Khamis, 18 Februari 2016

KINI HATI INI KIAN RESAH...




Kini hati ku resah lagi...
entah mengapa gelombang itu datang kembali
Tak tahu kenapa
Sedetik cuma , merasakan kelegaan
Kini debaran itu datang lagi
Meratah tangkai hati
Pilu, mengesankan

Fenomena terus mendatang,
menghempas keresahan hati
meratah ketenangan diri
membanting kebimbangan
mengungkit kecurigaan


Pinta hati ini,
pinta minda ini
pinta naluri ini

Pergilah keresahan
Pergilah kebimbangan
Pergilah kecurigaan

Usah dibisikkan lagi
Usah dialunkan kerapkali
Usah dibuai hati ini


Pergilah bersama-sama keredhaan 
Pergilah bersama-sama kemudahan
Pergilah bersama-sama kemuliaan

Selagi ada ikhsan dan restu Illahi..
Sesungguhnya berbaik sangka duhai hati
kerana semua ini kasih sayang yang diberi dirasai
Tanda cinta Pencipta kepada insani..


#nasihatuntukhidupkuyanghidup


KOREKSI DIRI

Nasihat ini untuk diri,
Nasihat ini untuk akal,
Nasihat ini untuk peribadi,
Nasihat ini untuk akhlak,
Nasihat ini untuk iman...
Nasihat, nasihat, nasihat....
andai bukan untuk yang lain...
hanya untuk empunya diri..

Angin, api, tanah, air...
bersertanya suatu nasihat..
angin bertiup,
api panas membakar 
tanah tempat berdiri,
air menyejukkan...
tetap menjadi nasihat..

Namun ada ketikanya, 
semua membawa makna yang berbeza..
Angin menjadi taufan,
api menjulang kehancuran,
tanah menelan meragut,
air meraduk ganas, 
memukul meranap...
masih tetap menjadi nasihat..
bukan melalui nikmat,
malah melalui musibah...
melalui suka,
mahupun melalui duka...
melalui sihat, 
mahupun sakit..


Andai semua itu nasihat,
degilkah hati menerimanya,
payahlah diri menurutinya
mustahilkah minda memikirkannya..


Nasihat, nasihat, nasihat...
diberi, mungkin diabai
diterima, mungkin dibuang
disampaikan, mungkin dicampak
didengar mungkin seperti angin berlalu


Ajari diri untuk nasihat
Didiklah minda untuk nasihat
Pupuklah iman untuk nasihat
Tetaplah hati untuk nasihat
Semoga akan terus menjadi suatu koreksi diri...


#nasihatuntukhidupkuyanghidup

Isnin, 19 Ogos 2013

AKU MILIKMU JUGA ( 2 Bab Akhir)



BAB 41 :  HASRAT YANG TERTUNAI, DOA YANG
TERMAKBUL


                Syed Adzi pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya. Menguruskan hal-hal ke tanah suci. Urusan di ibu pejabat Tabung Haji. Kalau tiada aral melintang, kami akan berangkat pada hari Jumaat minggu yang berikutnya. Syed Adzi bercadang kami akan membuat Haji Ifrad. Kebetulan pula aku pernah menunaikan umrah beberapa tahun lalu, sebelum melanjutkan pelajaran. Dan pemergian ini juga adalah pemergian kedua bagi Syed Adzi.  Kali pertama, Syed Adzi pergi bersama keluarga enam tahun yang lalu. Hal ini juga baru aku ketahui pada hari ini. Mungkin sebab itulah apabila melihat nama pada kad jemputan aku yang lalu, aku tidak syak langsung bahawa Syed Adzi adalah orang yang sama dengan Fakhrul. Rupa-rupanya banyak yang tidak aku ketahui tentang suamiku itu dan keluarganya.
Memang pernah aku ceritakan tentang impian untuk menunaikan fardhu Haji  dengan suamiku suatu masa kelak. Tetapi pada masa itu, impian itu aku sulam indah untuk pergi bersama Alang Di. Dan impian itu aku ceritakan kepada Hasnita. Mungkin Hasnitalah juga yang menyampaikan hasratku itu, untuk menunaikan ibadah rukun Islam kelima itu bersama suami. Dan perginya aku bersama seorang suami yang bukan dengan Alang Di tetapi dengan Syed Fakhrul Radzi. Inilah hadiah perkahwinan yang paling bermakna aku terima  dalam hidup aku ini.

       “Salam Bro. Aku hendak bercakap dengan kau sekejap, boleh? ” Syed Adzi menepuk belakang Ridz sewaktu di kafeteria UM. Memang sudah lama dia mencari Ridz dan sengaja datang ke kafeteria itu kerana dia tahu Ridz, sepupunya itu selalu berada di situ.

“Salam. Kenapa? Buat terkejut aku sahaja.” Sememangnya Ridz terkejut ditepuk kuat di bahunya itu.

“Aku hendak tanya sedikit, kau dengan Ainnur Rima...minah Business Study itu apa cerita?” Syed Adzi sememangnya tidak pernah berlembut dengan Ridz.

“Kenapa pula kau hendak menyibuk? Tak ada kaitan dengan kau pun.” Ridz bengang tiba-tiba disoal tentang itu.

“Dia dengan aku, urusan kami. Kau tidak perlu campur tangan. Apa kaitan dengan kau?” sambungnya lagi.

“Kau dengan dia memang bukan urusan aku tetapi aku hendak ingatkan kau dengan Sharifah 
Sairah itu. Tengah sarat,kan?  Cukuplah kau buat perangai dalam kerabat kita. Jangan kau hendak buat pasal lagi.”

“Aku serius dengan Rima. Bukan masalah kau pun!  Ops, silap... memang urusan dan masalah kau! Sebab kau syok gila dengan lady itu. Idza ada beritahu aku pasal itu. Tetapi itu tidak bermakna kau berhak campur tangan hal aku pun. Jaga sahaja adik aku yang tergila-gilakan kau itu. Tak payah campur tangan hal aku. Lagipun aku mampu beristeri lebih satu. Mampu zahir dan batin. Apa masalahnya?”
“Aku bukan apa, cukuplah kau buat onar dulu larikan si Shairah masa dia tengah belajar sebab sudah kemaruk cinta konon. Semua orang tua dalam kerabat kita sudah banyak mengalah dengan kau, tahu? Mereka sudah kahwinkan kalian secara baik-baik walaupun menanggung malu, kau sudah rosakkan anak gadis mereka. Kau tak ingat,kan. Masa itu separuh nyawa kau kena belasah dengan keluarga Shairah.  Takkan kau senang-senang hendak buat Shairah macam itu! Lagipun kalau kau kata kau mampu baik kau muhasabah diri kau itu dulu. Kalau tak silap aku kau masih hidup bantuan orangtua kau. Itu yang kau kata mampu. Duit poket kau pun bonda kau yang bantu. Lagi mahu cakap mampu!”” Syed Adzi masih tenang.
“ Alah, perempuan senang sahaja. Kena dua tiga ayat yang hebat. Cair. Shairah itu pun bukanlah pilihan aku pun. Dia tak tahu hendak simpan, terimalah apa yang terjadi dengan redha. Sekarang aku sudah jumpa dengan orang yang aku betul-betul suka, apa salahnya aku teruskan impian aku hendak dapat perempuan yang sebaik Rima.”
“Senang sahaja kau cakap,kan.” Senyap seketika.  Perbualan itu kelihatan tenang tetapi hakikatnya gelora yang melanda sudah begitu menggelodak.
“Kau ingat mudah ya? Dengan Shairah dulu, aku tak nak campur. Lagipun dia sudah jadi bini kau. Cuma aku rasa kau patut hargai apa yang kau miliki. Dan lupakan impian kau kepada Rima. Dia memang sudah terlalu banyak mengalami peristiwa yang pahit dalam hidup dia. Aku bagi kau amaran jangan sakitkan hatinya. Dia tak tahu kau sudah ada Shairah,kan. Bayangkan kalau dia dapat tahu kau menipu dia.”
“Pandailah aku memujuknya, ada di hujung jari aku sahaja.!” Kata Ridz bangga dengan mengetikkan jarinya.
Syed Adzi merenung tajam kepada Ridz. Menyampah melihat sikap sombongnya itu. Sementara itu, kafeteria itu sudah mula lengang berbanding tadi. Syed Adzi tidak mempedulikan pandangan-pandangan orang yang lalu-lalang di tempat mereka berbual itu. Almaklum dua orang lelaki popular di UM,  sedang berbual. Banyak juga gadis-gadis yang memandang berkali-kali melihat mereka. Kebetulan mereka memang mempunyai rupa paras dan penampilan yang sangat menarik. Cuma Ridz kelihatan lebih matang, berbanding Syed Adzi yang lebih sasa dan segak daripadanya.
“Dengan orang lain mungkin kau boleh buat sesuka hati. Tetapi Rima itu, kau jangan harap. Aku tak izinkan kau hancurkan hati dia hanya kerana ego kau sahaja. Aku tahu, salah satu  sebab kau rapat dengan dia kerana kau dicabar oleh kawan-kawan kau, kan. Ingat, Ridz! Aku takkan benarkan hal itu berlaku kepada dia.”
“Hahaha.. Yalah tu! Macamlah kau boleh ‘selamatkan’ dia daripada aku. Lagipun suka akulah. Dia sudah ada di tangan aku. Tinggal aku ikat sahaja. Lepas itu dia takkan lepas lagi. Lepas aku kahwin dengan dia, baru aku bagitau siapa aku. Masa itu dia sudah tak boleh buat apa-apa? Talak di tangan lelaki, bro.. jangan lupa.”
“Tapi aku takkan benarkan hal itu berlaku. Dia naïf. Jujur, setia... kau takkan boleh aniaya dia lagi.”
“Haah? Terimalah hakikat Adzi, Rima itu akan jadi hak aku.. Lupakanlah niat kau tu hendak memiliki dia. Dia akan jadi milik aku.  Lepas Shairah bersalin nanti, aku akan melamar dia. Liat-liat dia, dengan aku mesti cair punya.”
Sorry, bro... aku akan pastikan semua itu tidak menjadi kenyataan. Aku akan usahakan. Aku akan pastikan Rima berhak menerima yang lebih baik daripada apa yang dia dapat sekarang!”
“Lebih baik? Dengan kau... jangan haraplah, bro..” Namun sebenarnya Ridz memang mengagumi Syed Adzi dan mengakui dia adalah jauh lebih baik  berbanding dirinya.
“Aku tidak kata aku lebih baik. Tetapi niat aku kepada Rima kerana Allah. Aku tidak macam kau, ego! Dapatkan dia untuk tunjuk kepada orang lain betapa hebatnya kau. Tapi ingat Ridz, Allah itu Maha Adil. Kau takkan dapat semua yang kau hendak.”
“Aku berjanji aku akan ambil Rima daripada kau! Aku yakin Allah akan membantu aku  sebab aku ikhlas dengan dia. Dan kau jangan ganggu dia lagi.” Syed Adzi mengeluarkan kata-katanya lambat-lambat untuk memastikan Ridz faham akan niatnya kepada seorang wanita yang bernama Ainnur Rima itu.
“Mimpilah kau, Adzi! Cukuplah kau layan adik aku si Idza itu. Boleh juga kau tengok Rima selalu apabila sudah jadi biras nanti! Tapi jangan haraplah aku hendak bawa dia jumpa kau selalu dan aku akan pastikan Idzatul itu ikat kau betul-betul.”
“Kalau setakat adik kau yang tergedik-gedik itu, tak kahwin pun aku redha. Aku tidak pernah anggap dia sebagai seorang perempuan yang layak untuk jadi isteri aku. Apatah lagi menempati hati aku ini. Aku sudah beritahu dia awal-awal lagi. Dia takkan lebih daripada seorang adik kepada aku. Itupun kalau aku hendak terima dia sebagai adik.”
“Oh...aku lupa, dia itu kan adik kau. Tentu perangainya pun takkan berbeza dengan abangnya.”
“Apa pula masalah aku dengan adik aku itu?”
“Perasan bagus, perasan cantik, perasan hebat.. tapi otak kosong!” Syed Adzi  tidak menyangka dia akan mengeluarkan ayat itu, biarpun itulah yang ada dalam hati dan mindanya.
“Kau, Adzi!” Ridz sudah menggenggam jarinya dan mengetuk meja.
“Aku hendak ingatkan kau, sekali lagi. Rima akan menjadi isteri aku. Masa itu aku hendak kau jauhkan diri kau dari dia dan aku hendak kau lupakan dia. Ingat Ridz, Allah akan bantu orang yang benar. Rima akan jadi isteri aku!”
“Ya lah tu, kita tengok nanti!” jawab Ridz.
“Ya, Ingat! Rima itu akan jadi isteri aku yang sah.”
“Satu lagi, ingatkan adik kau... cermin diri dia itu, jangan hendak gunakan kawan-kawan aku untuk dapatkan aku sebab tiada satu pun tentang dia ada dalam perhatian aku, apatah lagi dalam hati aku ini.  Ajar adik kau itu jaga diri dia dan jangan jatuhkan maruah  dan harga diri seorang perempuan kerana cinta buta dia itu.”’ Syed Adzi meninggalkan  Ridz yang terpaku melihat adiknya sedang menitiskan air mata yang baru menunjukkan diri daripada sebalik dinding pemisah ruang itu.
“Adik akan balas perbuatan  Abang Adzi, kanda.” Raja Idzatul berkata setelah beberapa waktu menyepikan diri. Ridz tidak terkata apa-apa dengan ayat yang terkeluar daripada mulut adiknya itu.

Syed Adzi kembali semula pada hari khamis. Selepas bersalaman dengan ayah dan ibu, dia senyap-senyap dan perlahan-lahan datang kepadaku lalu mendakapku daripada belakang. Ketika itu aku di dapur. Aku tersenyum sendiri. Baru sahaja fikiranku melayang kepadanya Syed Adzi sudah ada di belakangku. Tidak sangka dia, Syed Adzi  akan pulang secepat itu kerana katanya akan sampai petang itu. Sekarang baru jam 9.00 pagi, Syed Adzi sudah balik dan sedang memelukku mesra. Aku menyandarkan kepalaku di dada bidangnya dan menyendengkan mukaku. Syed Adzi memahami lantas mengucup pipi kananku. Lama sekali. Aku memejamkan mata merasai kemesraan Syed Adzi. Rindu sekali aku kepadanya.
“Sudah boleh?” Bisiknya perlahan di telingaku. Ah, lelaki ini! Aku tersenyum lagi. Aku memahami wacana itu.
“Sudah,abang. Semalam lagi.” Jawabku dengan berbisik juga.
Satu lagi kucupan di pipiku. Kemudian dia melepaskanku perlahan-lahan.
“Abang hendak ke depan, buat apa yang patut. Abang ingat hendak pergi ke pekan cari barang keperluan untuk kenduri nanti dengan ayah. Tadi ayah dan ibu sedang senaraikan barang untuk dibeli. Tak mengapa jika abang tinggalkan sayang sekejap,ya?”
“Pergilah abang. Mmm Rima rindu abang!” perlahan  aku meluahkan rasa rindu yang terpendam sejak tiga hari yang lalu.
“Abang lagi rindu tapi tanggungjawab kena laksanakan juga. Nanti malam abang peluk sayang lama-lama lepas rindu, ya.” Syed Adzi mengusik. Senyum yang penuh makna. Aku mengangguk.




Aku meneruskan kerja-kerja di dapur. Syed Adzi, ayah dan ibu pergi ke pekan. Aku tidak menduga ibu akan ikut ke pekan namun katanya dia bimbang mereka akan tersalah beli barang. Sedangkan selama ini ayah tidak  silap dan pakar dalam memilih bahan untuk memasak. Namun aku dapat memahami ibu. Ibu sengaja memberi peluang untuk aku berkemas di bilik, memandangkan jika ada ibu, aku akan berada di mana dia berada. Jika ibu di dapur, maka sepanjang masa itu aku  akan di dapur. Jika ibu membersihkan halaman maka aku akan menemani ibu. Jadi jika ibu tiada di rumah, aktiviti aku pasti di bilik sahaja. Syed Adzi sudah pulang, dan ibu juga sudah berpesan untuk aku menukar cadar bersih yang ada dalam almari. Katanya cadar yang ada itu, sudah hampir dua minggu tidak berganti.
Tengahari itu, Kak Long sampai dengan anak-anak kecilnya. Kak Long datang untuk membantu ibu membuat serunding. Kak Long terus membuat kerja-kerja memasak  untuk makan tengah hari tanpa menjengah aku di bilik ketika itu. Kak Long masak asam pedas ikan terubuk hari ini. Asam pedas Kak Long memang paling sedap jika dibandingkan dengan masakan kami yang lain. Semua maklum. Dan pastinya makan tengah hari itu semua akan senyap dan berselera menikmati hidangan masakan asam pedas Kak Long. Terutama Syed Adzi yang sememangnya gemar masakan kampung itu.
Petang itu kami berkumpul membantu ibu membuat serunding. Serunding kelapa bekas air tangan ibu memang sedap dan sudah menjadi kebiasaan setiap kenduri yang dibuat seakan tidak sempurna tanpa serunding kelapa yang sedap itu. Syed Adzi begitu bersungguh-sungguh mengacau serunding. Aku senyum melihat dia dengan pengalaman pertamanya itu. Sebelum ini tentu Syed Adzi tidak pernah ada pengalaman memasak menggunakan dapur kayu api dan dalam kuali besar. Namun Syed Adzi tidak kekok. Siapa sangka Pengarah Urusan SFR Holding ini sedang menggoreng serunding kelapa dengan bersungguh-sungguh.  Ayah senyum sepanjang hari melihat menantu barunya  yang ringan tulang dan peramah itu. Tentu rasa kagumnya juga sudah semakin tinggi. Sesekali ayah akan memandang aku apabila Syed Adzi bertanya itu dan ini kepada ibu. Semua yang ingin dia tahu termasuk tentang aku. Ibu selamba sahaja bercerita tentang aku tanpa melihat aku yang kadang kala sudah merona merah di wajahku kerana malu. Tentu ayah juga seperti aku, hairan dengan mulut becok ibu dengan menantu barunya itu. Kak Long dan Aida kadang-kala menyampuk dan mereka akan ketawa besar. Huh, habis semua kisah hidupku  diselongkar dek Syed Adzi. Sehingga kisah aku dan Alang Di pun dikorek dalam-dalam oleh Syed Adzi. Tetapi  kisah Alang Di lebih banyak diceritakan oleh ayah kerana ayah yang lebih rapat dengan Alang Di, berbanding ibu. Alang Di segan dengan ibu memandangkan sejarah hidup aku dengan ibu sering aku adukan kepada Alang Di.  Apabila ayah bertanya kenapa Syed Adzi bertanya tentang Alang Di, Syed Adzi dengan bersungguh-sungguh menjawab dia cemburu dengan cinta pertama yang ada dalam hati aku dan jika dia tahu apa kedudukan sebenar, mudah baginya membuat benteng untuk mempertahankan hubungan kami dan memastikan Alang Di tidak akan hadir dalam hidup aku ini walaupun dalam mimpi. Ayah ketawa besar dan memberi semangat kepada Syed Adzi mempertahankan apa yang dimilikinya kini dan ayah juga menyatakan tidak akan berbanding cinta seseorang itu kerana Allah. Ayah memberikan jaminan bahawa cinta yang lalu tidak akan berputik dalam hati anaknya itu setelah mendapat cinta yang terbaik, tidak kiralah cinta itu cinta ke berapa sekalipun. Aku memberikan senyum paling manis buat ayah, sesungguhnya ayah memang sangat mengerti dan faham dengan prinsip hidup aku ini, anak kesayangannya. Petang itu berlalu dengan pelbagai kegembiraan dan  kebahagiaan dalam hati setiap seorang daripada kami.
Jam sudah mencecah sepuluh malam. Usai aku mengemas dan mencuci pinggan, aku segera ke bilik.  Ruang dapur dan ruang tamu juga sudah kosong. Cuma terdengar ayah dan ibu berbual-bual dari dalam bilik. Jika tiada sesiapa di rumah, ayah dan ibu sememangnya menghabiskan masa bersama-sama dalam bilik sambil menonton televisyen. Kak Long, Aida dan yang lain yang datang semasa makan malam tadi sudah pulang ke rumah masing-masing. Syed Adzi sedang leka menilik dan membelek akhbar di ruang tamu. Entah kali keberapa dia meneliti akhbar hari ini. Televisyen di ruang rehat itu juga tidak dihidupkan. Agak sunyi dan tenang sekali. Malam ini rasanya terlalu awal untuk membuat persediaan untuk kenduri hari sabtu nanti.
Aku masuk ke bilik, mandi kemudian bersolat Isyak. Badanku terasa segar sekali dan usai solat aku membaringkan tubuhku dan tidak sedar aku terus terlena.  Syed Adzi masuk ke bilik setengah jam kemudian. Aku tersedar dan membuka mata. Syed Adzi terus mencapai tuala dan masuk ke bilik air. Aku kira Syed Adzi mandi dan berwudhu. Malam juga sudah semakin larut. Aku lihat Syed Adzi menunaikan solat sunat kerana tadi Syed Adzi dan ayah menunaikan solat maghrib dan isyak di masjid. Aku memejamkan mata. Biarlah Syed Adzi melayan cinta dan rindunya kepada Pencipta yang Rahman dan Rahim dengan tenang.
Dalam kesuraman cahaya lampu tidur itu, Syed Adzi  berbaring di sisiku. Perlahan-lahan mendekatiku. Menghembus sedikit ke telinga kananku. Namun kali ini haruman yang menusuk ke hidung bukan haruman police yang aku gemari itu tetapi haruman yang berlainan sekali. Aku senyum apabila aku terasa hembusan nafasnya sudah terasa di pipi. Syed Adzi memberi salam. Aku menjawab salamnya secara berbisik. Senyap hanya nafas kami yang beralun silih berganti.
“Abang pakai perfume apa ini?” tiba-tiba terkeluar pertanyaan daripada mulutku. Biarpun aroma itu tidak sedikit pun menggangguku.
“Hmm sudah tukar perfume. Hendak mula hidup baru, perfume pun kena barulah” dia menjawab dengan ketawa kecil yang manja.
“Minyak attar,lah sayang.” Ketawa kecilnya masih bersisa. Lalu Syed Adzi membenamkan wajahnya ke pangkal leherku. Tubuhnya dirapatkan dan tangan melingkari tubuhku.
“Sayang tak kisah, kan?” dalam bisiknya.
“Sayang selesa sekali, abang..” aku sudah mula terasa geli dengan ciuman nakal Syed Adzi dan tertawa kecil.
“Abang!”
“Hmm, assalamualaikum sayang... Auzubillahi minas syaitannirrajim.. Bismillahirahmannir Rahim.” Suara Syed Adzi gemersik sekali kedengaran, sekadar terdengar lembut di telinga. Dan, malam pertama buat kali kedua ini kami layari dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang yang ikhlas dari lubuk hatiku. Aku percaya Syed Adzi juga demikian. Aku merasakan Syed Adzi  merupakan lelaki hebat dalam semua tindakan dan perlakuan, termasuk menjadi nakhoda yang baik dalam pelayaran kami. Tidak sedikitpun akan aku persoalkan. Jauh berbeza pada kali pertama dulu. Cinta kami ini kami perkukuh, kerana berlandaskan cinta kepada Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Alhamdullillah.
Dinihari itu kami menunaikan solat sunat syukur berjemaah, buat kali keduanya. Kali pertama usai sahaja acara akad nikah. Kami telah menyempurnakan tanggungjawab suami-isteri dengan baik dan berserta janji untuk sentiasa mencintai seikhlas hati setelah berjaya melalui pengalaman pahit selama sebulan yang lalu. Seterusnya kami menunaikan solat sunat hajat dan solat  tasbih sebelum sunat witir. Syed Adzi telah mendapat didikan agama yang sempurna daripada abi dan umi untuk menjadi sebaik mungkin khalifah di muka bumi ini. Aku bersyukur kerana bernaung dalam dakapan dan lindungan seorang yang sebaik Syed Adzi. Sementara menanti menunaikan solat subuh kami merehatkan badan dan lena seketika. Setengah jam kemudian ayah mengetuk perlahan pintu bilik kami. Tanganku mencari-cari tubuh yang berbaring di sebelahku, namun tiada. Aku mencelikkan mata. Syed Adzi senyum memandangku sambil membetulkan kopiah di kepalanya.
“Terima kasih sayang kerana menerima abang dan membahagiakan hidup abang” Entah kali ke berapa Syed Adzi mengucapkannya. Aku terasa malu dengan Syed Adzi, kerana akulah yang sepatutnya mengucapkannya.
“Sayang juga sangat berterima kasih kerana abang hadir dalam hidup sayang.” Aku membalas lembut dengan senyuman yang paling manis dan dalam hatiku ini berbunga-bunga.
“Abang ke masjid dengan ayah, ya... tentu rindu pada sayang, tetapi DIA yang mengizinkan segalanya.. Alhamdullillah.” Balas Syed Adzi kemudian.
“Alhamdullillah..” Aku mengiyakan dan menganggukkan kepala. Aku terus bangun untuk berwudhu dan berniat membaca al-quran sebelum menunaikan solat subuh.
Selesai menunaikan solat subuh, aku termangu di atas sejadah mengenangkan mimpiku sebentar ketika terlena tadi. Mimpi yang kerap hadir dalam lenaku sejak berusia 17 tahun itu. Mimpi yang menjadi tanda tanya. Ya Allah, terima kasih. Telah KAU hadirkan seorang lelaki yang menjadi jodohku ini sejak umurku semuda itu lagi.
Aku berdiri tegak di laluan itu. Lelaki di hadapanku sudah mendepangkan kedua-dua belah tangannya. Menanti aku. Cahaya yang menyelubunginya begitu indah berseri, cerah tetapi menenangkan.
“Cepat Rima, datang kepadaku. Akan aku bawamu ke jalan itu. Datanglah kepadaku,sayang!”
Aku melihat lelaki di hadapanku ini. Mata itu terserlah lagi, tetapi kini hidungnya terserlah diikuti lurutan cahaya itu ke bibirnya. Dan wajah itu, amat aku kenali. Aku tidak bertangguh berlari lalu mendakapnya. Dia terus memelukku dan kami berpaling berjalan menuju ke cahaya itu  dan aku terjaga.
Aku sudah tidak dapat menafikannya lagi. Sebelum ini aku ragu-ragu. Namun ketika aku mengamati sepasang mata Syed Adzi ketika persandingan dulu, aku melihat sepasang mata itu seperti selalu ada dalam ingatanku. Ya, sepasang mata yang aku lihat sejak berusia 17 tahun dalam mimpi-mimpi yang berpanjangan. Dan bibir yang aku impikan sejak setahun lalu, merupakan bibir miliknya juga.  Terngiang-ngiang komen tetamu ketika di banglo abi, ada yang mengatakan bibir kami kelihatan sama. Sangat serasi. Kerana ada kemiripan pada wajah kami. Walaupun aku tidaklah secantik mana yang sepadan digandingkan dengan Syed Adzi. Aku fikirkan tentu akan ada cemuhan dengan perbezaan kami itu tetapi sebaliknya hanya pujian yang aku dengar. Itulah juga yang aku sering dengar dalam mimpiku. Bibir kami yang sama. Bibir aku dan bibir lelaki dalam mimpi itu, kelihatannya sama.
Pagi ini sewaktu terlena sekejap, aku sudah mengenali lelaki itu. Ya Allah, sesungguhnya  rahsia jodoh itu hanya ada padaMU. Lelaki itu lelaki yang aku cintai. Cintaku yang terbaik pernah aku kecapi.  Dan aku yakin lelaki itulah juga yang akan membawa aku ke cahaya yang cemerlang itu. Maka doaku ini berpanjangan. Semoga lelaki itu akan sentiasa bersama dan membimbingku ke syurga kelak.
Pagi esoknya, kami bersolat subuh berjemaah  buat kali pertamanya. Syed Adzi sudah memaklumkan kepada ayah hasratnya berjemaah dengan aku.  Ayah pergi bersendiri ke masjid pagi itu. Di luar sudah ramai saudara mara yang datang. Kebetulan kami memang keluar terlambat sedikit. Kira-kira jam 8.00 pagi.
“Hai pengantin baru, lewat hari ini!” Kak Long menegur mengusik.
“Pengantin baru apa? Sudah sebulan lebih pun masih pengantin baru?” Mak su Habibah menyampuk.
“Sebulan dua itu barulah Maksu, kalau macam Along ini sudah dua tiga orang anak, kalau orang panggil pengantin baru,  barulah pelik” Kak Long mempertahankan bicaranya. Sebenarnya menutup kesilapannya mengusik aku di hadapan maksu. Semua itu hanya rahsia dalam keluarga kami sahaja, biarpun Maksu merupakan adik kepada ibu.
Aku menyembamkan wajah ke pangkal lengan Syed Adzi. Malu dengan teguran Kak Long. Bukan sebulan dua tetapi sehari dua ini kami menjadi pengantin baru. Senyuman di wajah kami melebar. Begitu juga dengan Kak Long. Senyuman penuh makna yang hanya beberapa orang di situ mengerti. Sememangnya aku terasa seperti pengantin baru, apatah lagi keluar dari bilik banyak saudara yang datang membantu hari ini. Syed Adzi tersenyum mesra dan bersalaman dengan saudara mara yang ada. Aku juga menuruti tindakannya itu kemudian biarpun usikan tidak putus-putus.
Segala perancangan dan majlis berjalan lancar. Aku bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih diberi kesempatan menjadi tetamuNYA bersama suami tercinta. Kami terus ke Mekah. Hari ini 28 Zulkaedah. Oleh sebab kami membuat  haji Ifrad maka kami terus ke Mekah. Semua rukun haji dapat ditunaikan dengan baik dan sesempurna yang mungkin. Hatiku tenang di samping Syed Adzi sepanjang melakukan rukun-rukun  menunaikan haji ini. Sikap baik Syed Adzi lebih terserlah ketika di Makkahtul Mukaramah ini, melunturkan segala keegoan dan kesombongan yang masih tersisa dalam hati ini. Aku kagum dengan aturan Allah kepada hidupku ini. Sesungguhnya apa yang kita sukai dan gemari itu tidak semestinya baik untuk kita begitu juga sebaliknya. Maka seorang mukmin yang sentiasa di sisiku ini dulunya tidak pernah ada dalam hidup dan selalu pula menganggu hidupku pada awal kehadirannya dalam hidupku rupa-rupanya adalah pilihan terbaik dalam hidup ini. Alhamdullillah.
Selepas kerja haji selesai kami terus ke Madinah. Ketika di Arafah, kami sempat mendaki Jabbal Rahmah dan berdoa semoga kehidupan kami berkeluarga ini sentiasa kaya dengan cinta dan kasih sayang serta berpanjangan hingga ke syurga. Semoga kami akan melalui hidup yang bahagia dan harmoni dan dikurniai anak-anak soleh dan solehah menghiasi warna-warni hidup kami seterusnya.  Tidak lupa kami mendoakan kebahagiaan saudara-mara kami. Kak Lina dan Abang Farid, Hasnita dan Halim, semua adik beradik kami, Aiman, Alang Di, Raja Idzham, dengan pasangan masing-masing turut dalam doa kami.  Semoga yang terbit dan mekar dalam hati kami semua hanya cinta dan kasih sayang Allah yang dapat dipelihara sebaik mungkin.
Ibadat haji ini dapat aku jalani dengan mudah dan tenang walaupun merupakan kali pertama menunaikannya. Mungkin kerana reda suamiku tercinta. Syed Adzi pula kerana reda kedua-dua ibu bapa kepadanya. Aku tidak melepaskan peluang berdoa di tempat-tempat mustajab doa seperti di pancuran emas, di Multazam dan di telaga Zam-zam. Begitu juga ketika di Madinah kami berdoa di Raudhah dalam Masjid Nabawi. Berdoakan keberkatan dalam hidup kami. Banyak tempat bersejarah kami lawati di Tanah Suci ini. Dan semua urusan menjadi lebih mudah kerana Haji Syed Fakhrul Radzi juga fasih berbahasa Arab dan masih banyak lagi saudara-maranya yang tinggal di sekitar Mekah. Bapa saudaranya juga merupakan usahawan berjaya di Mekah. Sewaktu musim haji kebanyakan penduduk berada di luar kawasan Mekah. Dan apabila musim haji selesai mereka akan kembali ke kediaman masing-masing.
Di kesempatan inilah juga Syed Adzi mengambil peluang menziarahi keluarga yang ada di Mekah dan sekitarnya. Kagum dengan kehidupan mereka di Tanah Suci ini. Sempat jugalah kami menziarahi keluarga bapa saudaranya itu, Syed Faizul Rahman. Kagum aku melihat kehidupan mereka di bumi Mekah ini. Setiap seorang ahli keluarga Pak Syed Far itu mempunyai pengasuhnya  sendiri. Daripada isterinya hingga ke setiap seorang anaknya dijaga oleh pengasuh yang dikhaskan. Tidak seperti wanita-wanita Arab yang sudah berkahwin,Ummi Latifah tidaklah terlalu berisi. Kata Ummi Latifah, malulah juga Pak Syed kerana dia tidak gemuk macam wanita Arab lain kerana beranggapan Pak Syed tidak cukup memberikannya makan. Bicara itu menjadi satu kelucuan kepada kami. Syed Adzi bertanya adakah aku ingin terus langsing dan takut dikatakan dia juga tidak pandai menjaga isteri dan tidak memberikanku cukup makan pakai.  Pak Syed Far mencadangkan agar perutku sentiasa ‘berisi’ tanpa henti agar sentiasa nampak gemuk. Barulah boleh buktikan Syed Adzi sememangnya hebat dalam semua hal terutama dalam memberikan nafkah yang secukupnya kepadaku. Orang-orang lelaki ini jika bercakap mesti hendak melencong. Besar ketawa mereka sambil bertepuk bertampar. Ditambah pula kehadiran dua orang sepupu Syed Adzi, Syed Faizul Rashid dan Syed Faizal Ramzi bersama pasangan masing-masing. Mereka tidak melepaskan peluang bertemu dengan sepupu mereka yang mereka anggap hebat itu. Lazimnya, tetamu lelaki hanya akan berbual bersama tetamu lelaki sahaja. Namun hari itu kami berkumpul sekeluarga beramah mesra. Mujur semua ahli keluarga Pak Syed Far fasih pula berbahasa Melayu malahan menggunakan bahasa buku. Begitu teratur dan sedap didengar.

Dua malam itu kami bermalam di rumah Pak Syed Far, atau boleh dikatakan seperti banglo besar di Malaysia. Mana tidaknya, rumah Pak Syed Far ini lima tingkat lengkap dengan lif dan setiap tingkat berfungsi sebagai ruangan tertentu. Bilik-bilik tidur majikan iaitu bilik Pak Syed Far, bilik anak-anaknya yang lima orang dan beberapa bilik tetamu.  Di tingkat paling bawah pula terdapat bilik-bilik pengasuh yang berkeluarga. Setiap bilik pengasuh itu pula seperti sebuah apartment kecil lengkap dengan bilik tidur, ruang tamu dan dapur. Tingkat kedua pula terdapat dapur dan ruang makan dan ruang rehat keluarga. Di tingkat tiga, ruang tamu dan ruang untuk tetamu lelaki dan di tingkat empat ruang tamu dan ruang untuk meraikan tetamu wanita. Kedua-dua tingkat ruang untuk tetamu lengkap dengan kemudahan bilik rehat, dan ruang makan. Ummi Latifah seorang wanita Arab yang memang berasal dari Mekah melayanku dengan baik. Kagum dengan kehidupan mereka yang melayan tetamu dengan sangat baik. Namun kami tidak terpisah memandangkan kami merupakan keluarga mereka juga Cuma pada waktu-waktu tertentu kami akan berkumpul berasingan lelaki dan wanita di tingkat tiga dan empat rumah itu. Pada hari kedua kami dijamu pelbagai juadah yang terjual di Restoran Mewah di bangunan tiga tingkat milik keluarga mereka di hadapan rumah kami menginap itu. Apa sahaja makanan Arab ada disediakan di restoran itu. Pekerja yang seramai lebih kurang lapan puluh orang itu pula menghuni di rumah pangsa yang disediakan di belakang restoran. Sungguh aku kagum dengan komitmen semua pekerja restoran yang dibuka dua puluh empat jam. Semua makanan dapat aku rasa cuma kebab sahaja yang tidak aku makan apabila teringat tentang asal usul nama Kebab itu yang diceritakan oleh sepupu Syed Adzi.
Kononnya  perkataan kebab itu berasal daripada nama seorang hamba abdi yang bernama Khabab. Hamba itu dihukum mati dengan cara dipanggang. Maka dari situlah asal nama kebab itu yang diambil daripada nama hamba yang mati dipanggang.  Mual sahaja tekakku apabila melihat susunan daging yang dipanggang di restoran itu. Rupa-rupanya Syed Adzi juga tidak lalu untuk makan kerana cerita itu.  Dan selagi aku ingat tentang kisah itu, aku berjanji tidak akan memakan kebab lagi. Selain daripada kebab, tiada makanan yang tidak kami rasa. Kami berselera apatah lagi, Ummi Latifah sendiri yang menyediakan juadah untuk kami. Tukang masak dan pembantu rumah hanya menghidang sahaja. Kami bukan hanya ingin menjaga hati Ummi Latifah dengan menikmati juadah dengan berselera tetapi masakan Ummi Latifah memang umph, first class!
Selesai kerja haji dan ziarah  dan selepas menziarahi keluarga adik Abi Rustam,   kami terus bercuti ke Turki dan Russia. Aku berasa sentiasa selamat dan bahagia di samping Haji Syed Fakhrul Radzi ini. Rupa-rupanya suamiku ini dapat menguasai banyak bahasa. Aku hanya mengetahuinya ketika percutian ini. Berbelit-belit rasanya untuk membunyikan bahasa Russia itu namun Syed Adzi dapat berinteraksi dengan baik walaupun tidak petah kerana jarang menuturkannya.  Bertambah kagum aku dengan suamiku ini. Hebat, memang hebat!


Seminggu selepas sekembali kami di tanahair, aku disahkan hamil sembilan minggu yang juga merupakan berita gembira untuk semua orang dalam keluarga kami terutama buat diri aku ini. Siapa yang menyangka dalam usia aku ini aku mengandungkan anak pertama kami.  Buat Syed Adzi ini merupakan kegembiraan kedua yang diterimanya. Sempat dia mengusikku dengan mengingatkan kata-kata Pak Syed Far tempohari kerana selepas ini katanya aku tidak akan merasa langsing. Selagi termampu dia mahu aku melahirkan anaknya sebanyak yang mampu. Apabila aku bertanya berapa bilangan anak yang dia inginkan, Syed Adzi hanya menjawab, akan ditetapkan kemudian.  Hal ini juga membuktikan bahawa aku sememangnya subur dan disebabkan banyak kali aku tidak haid sebelum ini sehingga kadangkala menjangkau setahun, mungkin aku akan dapat hamil beberapa kali lagi. Begitulah menurut kata ibu Hjh. Halimah tempohari. Besar sungguh harapan Syed Adzi.
Kegembiraan pertama untuk Syed Adzi ialah peristiwa yang berlaku pada hari kedua kepulangan kami yakni Raja Izdham datang bertemu kami dan memohon kemaafaan atas keterlanjuran dan perbuatannya yang lalu.  Raja Idzham tidak menyangka bahawa Syed Adzi masih ingin membantunya menangani masalah syarikatnya yang hampir diisytiharkan muflis walaupun antara mereka masih ada pertelingkahan. Rupa-rupanya, ketika Syed Adzi ke Kuala Lumpur  tempohari sebelum majlis kenduri itu, Syed Adzi turut menguruskan beberapa hal berkaitan dengan urusniaga syarikatnya dengan syarikat yang diuruskan oleh Raja Idzham agar dapat menyuntik dana supaya syarikat Rizdham dapat bernafas semula. Semua itu dirahsiakan daripada aku kerana tidak mahu aku berasa risau dan bersalah anggapan. Tambahan pula Syed Adzi tidak mahu usahanya itu disalahertikan.  Murni sungguh hati suamiku ini.

Dan satu hal yang menggembirakan, datang bersama Ridz adalah Raja Idzatul yang membawa berita gembira tentang perkahwinannya. Idzatul telah berjumpa dengan jodohnya, ketika membawa diri ke Genting Highland selepas perkahwinan kami dulu. Tidak tahulah bagaimana detik-detik pertemuan itu boleh berlaku, apabila Idzatul bertemu kembali rakan sekolah lamanya dulu yang sememangnya menaruh hatinya sejak zaman persekolahan. Syed Adzi gembira dengan jodoh itu kerana sebenarnya dia memang mengenali  bakal suami Idzatul  itu dan sangat pasti lelaki itu dapat menjadi seorang suami yang baik kepada Idzatul. Raja Idzatul juga mengaku pernah mengenakan sihir kepada Syed Adzi dan memohon maaf atas segala kesilapannya kepada Syed Adzi. Kemaafan itu sangat indah dan dengan kemaafan itulah juga hubungan kami bertaut kembali dan semakin rapat.
Setelah kedua-duanya sepupu Syed Adzi pulang, aku segera bertanya tentang mereka kepada Syed Adzi meminta penjelasan atas segala yang telah aku dengari ketika mereka berbual tadi. Sememangnya aku lebih banyak diam kerana banyak yang diperkatakan di luar pengetahuanku. Syed Adzi ketawa pada awalnya dan mengatakan bahawa sifat cemburu aku akhir-akhir ini selepas kembali dari menunaikan haji  semakin menjadi-jadi. Sebelum aku merajuk, Syed Adzi lantas bercerita tentang apa yang sebenarnya berlaku. Kerana Syed Adzi tahu jika aku merajuk beberapa waktu belakangan ini, amat sukar untuk memujukku dan alamat tidak akan layanan yang sepatutnya untuknya. Dan, Syed Adzi juga sudah semakin manja serta tidak boleh lepa dan lekang jika aku ada di sisi. Siapa tahu  segala perubahan yang berlaku itu ada kaitan dengan perubahan yang ada dalam rahimku ini.
Syed Adzi menjelaskan tentang siapa dan apa yang berlaku antara dia dan Raja Idzatul. Sebelum ini aku hanya mengetahui Raja Idzatul merupakan adinda kepada Ridz, itupun ketika mendengar perbualan Syed Adzi dan rakan-rakannya. Perjalanan cerita cinta yang bertepuk sebelah tangan itu sebenarnya turut ‘menampar’ diriku  sendiri. Namun Syed Adzi sememang seorang yang pandai menyusun ayat agar aku tidak terasa dengan semua itu.  Kebenarannya, Syed Adzi memang tahu dirinya disihir oleh Idzatul sebulan sebelum perkahwinannya. Waktu itu dia berasa hairan mengapa ada kebencian dalam hatinya kepada aku. Jika dia tidak mengusahakannya bertemu guru-gurunya yang lalu maka kemungkinan kami tidak akan bernikah. Atas nasihat guru-gurunya dia mengamalkan beberapa amalan membuang sihir dan akhirnya hatinya kembali bulat untuk menikahiku, walaupun tidak keseluruhan sihirnya dapat dihapuskan. Haji Fatah juga telah menjelaskan perkara itu kepada Syed Adzi pada pertemuan mereka yang pertama itu. Syed Adzi meminta agar diubati  sihir  dalam diri aku dahulu kemudian barulah menyelesaikan masalah dirinya, namun Haji Fatah telah cuba untuk membuang semua sihir dalam diri kami berdua dan usaha itu berjaya sepenuhnya. Syed Adzi sering meminta aku membaca beberapa surah sebelum tidur, dan amalan berselawat selepas basmallah juga kini sudah menjadi kebiasaanku pada setiap apa sahaja yang hendak aku lakukan.
Syed Adzi juga merancang agar Ikhwan rakan baiknya sewaktu sekolah untuk menuruti Idzatul ke Genting Highland. Ikhwan pernah memaklumkan tentang hasratnya terhadap Idzatul kepada Syed Adzi. Sebagai sahabat baik, Syed Adzi sentiasa menyokong dan menggalakkannya berbuat sesuatu secara ikhlas dan bersungguh-sungguh. Hasilnya kelak  pasti Ikhwan akan berjaya juga akhirnya merebut hati Idzatul. Hal itulah juga antara sebab mengapa Idzatul tidak pernah mendapat layanan baik daripada Syed Adzi. Aku masam sahaja apabila Syed Adzi bercerita tentang Idzatul dan bertanya jika tidak ada Ikhwan dalam jalan cerita itu, adakah Syed Adzi akan melayan Idzatul. Syed Adzi tertawa besar dengan pertanyaan itu. Memang akhir-akhir ini Syed Adzi kerap mentertawakanku dengan sikap cemburu yang melampau-lampau waima ketika Syed Adzi ingin keluar menguruskan hal-hal kerja. Syed Adzi menenangkanku dengan mengatakan sememangnya tidak ada Idzatul dalam hatinya walaupun tiada Ikhwan hadir dalam kisah itu. Aku tersenyum mesra dan mengakui bahawa Syed Adzi merupakan perancang yang baik dalam banyak hal.

“Assalamualaikum”
“Walaikumussalam”
“Ikhwan, kau ada masa sekarang tak? Aku hendak jumpa kau sekejap”
“Apahal kawan? Aku ingat apabila kau sudah dapat jantung hati kau itu,  kau dah lupa aku!” suara di hujung sana menjawab seakan-akan merajuk. Sememangnya sudah hampir sebulan ini Syed Adzi sudah tidak menghubungi sahabatnya itu. Sedangkan sebelum itu setiap minggu Syed Adzi dan Ikhwan Wafiq  akan keluar sama ada memancing, atau berbual-bual di warung nasi lemak Pak Leman kegemaran mereka berdua.
“Adalah sahaja kau hendak menyakat aku, kan! Aku tidak pernah lupa kau, sahabat dunia akhirat aku cuma tak sempat sahaja sebab aku banyak urusan perlu aku selesaikan. Free tak ini. Aku dalam perjalanan dari rumah orang tua si jantung hati aku ini.” Senyum Syed Adzi sendiri mengingatkan Ikhwan sering menggelar isterinya si jantung hati.
“Okay, aku tunggu di warung Pak Leman,ya. Woi, sudah sebulan aku tak ke situ sejak kau hilang dalam pelukan jantung hati kau itu. Tak seronok betul  pergi seorang. Kau dah ada kawan si jantung hati kau itu, tentu-tentu seronok. Aku ini juga keseorangan tidak berteman”
“Hahaha, itulah kau. Aku hendak jumpa ini pasal aku hendak bagi kau bertemanlah ini, kawan!”
“Oh, ya ke? Aku tunggu kau!”
“40 minit dari sekarang. Insyaallah aku sampai.”
“Okay, jumpa nanti.”

“Hah, apahal hendak jumpa aku ini? Macam ini ke kawan?” Ikhwan terus bertanya kuat tanpa mempedulikan orang sekeliling ketika melihat Syed Adzi menghampiri meja tempat dia duduk.
“Walaikumsalam!” sindir Syed Adzi.
“Alamak, lupa pula! Assalamualaikum.”
“Itulah kau, aku sudah teruja ini, sampai lupa hendak bagi salam. Apa cerita?”
“Ops, biarlah aku duduk dulu. Panas ini!” Syed Adzi duduk di sebelah Ikhwan.
“Huih, biar betul, sudah berapa banyak kau lantak ni?” tegur Syed Adzi mencerlung melihat bungkusan daun di atas meja.
“Bukan aku punyalah, aku pun baru sampai. Tadi masa aku sampai tak ada tempat. Keluarga yang duduk sini bangun, cepat-cepatlah cup.” Jelas Ikhwan.
“Apahal?” Ikhwan tidak sabar-sabar hendak mendengar cerita Syed Adzi.
“Tak sabar nampak!”
“Mestilah”
“Kau tak nak tanya ke apa yang aku buat jumpa kau ini? Waktu-waktu kerja pulak itu! Sah-sahlah kau ini curi tulang.” tapi seperti Syed Adzi, Ikhwan menguruskan syarikat sendiri. Jadi tidaklah menjadi masalah sangatlah kalau bos masuk lambat sedikit atau tidak masuk langsung. Tetapi sebelum datang berjumpa Syed Adzi, Ikhwan sudah ke pejabat dan menyusun jadualnya sebab dia tahu masa tidak akan disedari  berlalu.

“Ah, pakejlah” Ikhwan kelihatan berselera menikmati keenakan nasi lemak di warung Pak Leman yang sangat terkenal itu.
“Aku sebenarnya hendak uruskan urusan haji itu. Lagipun aku hendak bantu bakal abang ipar kau itu, dengarnya syarikatnya bermasalah.” Tersedak Ikhwan mendengar istilah bakal abang ipar oleh Syed Adzi.
“Masakan tersedak!” Syed Adzi ketawa memecah suasana. Memang dua anak muda yang sukar dipisahkan. Mereka sudah berkawan sejak di sekolah menengah. Sehingga di tingkatan enam pun mereka sangat baik. Kemudian masing-masing melanjutkan pelajaran. Syed Adzi ke Universiti Malaya, sedangkan Ikhwan ke Universiti Utara Malaysia (UUM). Kini kedua-dua mereka sudah ada syarikat sendiri yang agak berbeza dengan kursus yang mereka pelajari.
“Ikhwan, kau berminat tak dengan Intan payung kau itu lagi?” sekali lagi Ikhwan tersedak. Sudah lama istilah itu tidak digunakan dalam perbualan  mereka.
“Hish, kenapa kau tanya?”
“Eleh kawan, buat-buat tak tahu pula?”
“Aku berserah sahajalah Allah tentukan jodoh aku ini.”
“Kalau ada peluang, kau rasa kau hendak tak mencuba nasib sekali lagi. Alahai kawan, niat yang baik, insyaallah akan dipermudah. Usaha, tawakkal, doa… DIA akan memakbulkan semua permintaan hambaNYA.” Syed Adzi terus memberikan semangat kepada sahabat baiknya yang memang menyimpan hati kepada sepupunya Raja Idzatul. Namun walaupun Ikhwan tahu tentang minat Raja Idzatul kepada Syed Adzi dan mengalah, namun Syed Adzi  tahu Ikhwan masih menyimpan perasaan kepada wanita itu.
“Aku masih ada peluang ke?” Ikhwan buat-buat menyoal sedangkan dia tahu sememangnya peluang itu memang ada sejak Syed Adzi berkhawin.
“ Lagipun kau kan masih ada kouta bujang tiga. Mana tau dia masih hendak mengisi satu lagi kouta itu!” sambung Ikhwan lagi.
“ Yalah memang ada kouta itu, Allah benarkan. Tetapi aku sudah berjanji pada diri aku kouta aku tetap satu dalam satu masa. Ada izinNYA, ada nyawa di badan,  aku hanya akan  ada si jantung hati aku itu sahaja yang akan menemani aku selagi ada izinNYA.” Syed Adzi yakin dengan pendirian yang dibuatnya.
“Eh, aku lupa hendak tanya… Kau ni dah ‘dapat’ ke si jantung hati itu. Bukankah aku dengar kau mengadu sudah puas jolok-jolok, tak nak jatuh-jatuh.”
“Kau ni, ke situ pula. Hahahaha. Kau rasa agaknya kenapa sekarang ini aku macam bersemangat dan yakin sangat ini?”
“Patutlah kau tak nak simpan intan payung aku lagi. Kalau tidak, takkan hendak offer pada aku pula.”
“Bukanlah macam itu, kawan! Aku ada cari kau masa resepsi di rumah aku dulu. Aku bergaduh dengan abang ipar kau itu, ada ke dia siap goda-goda jantung hati aku itu, mana tak hangin satu badan aku dibuatnya. At last, aku bawa jantung hati aku jumpa kawan-kawan aku. Leka aku dengan kawan-kawan aku itu. Apabila aku cari kau semula, kau dah pun balik. Sorry lah sebab tak dapat hendak layan semua orang. Kau pun satu, yang balik cepat sangat, kenapa?”
“Akulah yang patut minta maaf. Hari itu aku ada hal sikit, tak sempat nak berlama-lama. Aku nampak kau berbalah dengan kekanda itu jadi aku ambil keputusan tak masuk campur.  Masa aku bersalam dengan abi kau, aku masih nampak kau. Tetapi apabila aku toleh semula, aku sudah tak nampak kau. Ramai sangatlah orang. Berapa puluh ribu orang kau jemput?”
“Ah, lupa sahajalah, hal sudah berlalu. Beribu-ribu lemonlah yang aku jemput.  Hehehe, itu semua kerja abi akulah itu. Aku pun terkejut. Hendak katakan saudara-mara aku, masakan sebanyak itu.”
“Lepas majlis itu, intan payung kau bawa hati ke Genting kau tahu? Hal inilah yang aku cari kau ini. Aku hendak kau kejar dia ke sana. Aku sudah bincang dan berterus-terang dengannya termasuk perasaan kau kepada dia. Tapi aku tak tahulah apa kesudahannya, kalau kau sendiri tak nak berusaha untuk mencari apa yang kau cita-citakan.’
“Apa? Kau cerita pasal aku.  Apa ni kawan, malulah aku!”
“Apa yang kau hendak malukan. Kisah benarkan. Cinta itu tidak payah hendak disorok-soroklah.  Sekarang ini terpulang pada kau. Separuh cerita dia sudah tahu, separuh lagi atas daya usaha kau. Doa banyak-banyak Allah buka hati dia untuk kau. Dia itu sebenarnya bagus, dan baik budaknya. Cuma itulah dia itu tergedik-gedik sedikit. Lagipun aku tidak boleh hendak ‘hidup’ tanpa jantung hati aku itu, bukan sebab Idza itu buruk. Itu sahaja. Aku suka sahaja kau jadi kerabat aku. Makin akrab kita ini. Adalah alasan aku berbaik-baik dengan kerabat baru kau itu,  lagipun mereka asyik bersalah sangka sahaja dengan aku ini.”
“Lagipun aku kenal siapa kau. Tentu kau boleh didik dia dengan baik. Aku yakin sangat!’ Syed Adzi menambah dengan menyatakan keyakinannya.
“Insyaallah.  Maklumat dia itu kau bagi aku. Aku cuba sebaik mungkin. Kau doakan aku tahu, kawan.” Akhirnya Ikhwan bersetuju. Memang itulah juga niatnya. Cuma dia tidak mahu menangguk di air yang keruh. Sekarang Ikhwan lebih yakin.
“Semua maklumat tentang dia, aku sudah catat dalam ini, goodluck kawan. Aku minta diri dulu, ada banyak urusan lagi sebelum berangkat nanti kena selesaikan. Selamat mencuba dan berjaya.” Syed Adzi bangun perlahan setelah menghulurkan catatan yang sudah awal-awal disediakan sebelum bertolak tadi. Mereka bersalaman kemudian berpelukan sebelum Syed Adzi meninggalkan Ikhwan meneruskan menikmati sarapan paginya itu.

Seminggu selepas kehadiran Raja Idzham dan Raja Idzatul berjumpa Syed Adzi itu, ibu berpesan kepadaku untuk membuat pemeriksaan ketika aku memaklumkan bahawa aku sudah lewat beberapa minggu daripada tarikh aku sepatutnya haid. Hal ini disebabkan Haji Fatah pernah memaklumkan bahawa aturan haid aku akan tetap dan teratur, selepas sesi rawatan yang lalu. Pada awalnya aku tidak mahu menuruti kata ibu, kerana tiada sebarang alahan pun selama beberapa minggu ini, dan aku menganggapnya biasa sahaja seperti belum berkahwin dulu. Setelah dibebel oleh ibu, malahan oleh ayah juga, akhirnya Syed Adzi memaksaku untuk membuat pemeriksaan. Dan, berita gembira itu telah menguja Syed Adzi memeluk dan menciumku bertalu-talu di hadapan doktor yang membuat pemeriksaan pada hari itu.  Aku sendiri seperti tidak percaya di samping malu diperlakukan sedemikian di hadapan orang luar. Tidak pernah terfikir bahawa aku akan mengandung walaupun aku sangat berharapkannya, apatah lagi pada usia ini kemungkinan untuk mendapatkan zuriat mungkin jauh sekali. Namun segala-galanya itu adalah anugerah Allah, Alhamdullillah. Rezeki dan amanah ini akan aku jaga sebaik mungkin. Aku terus ‘bercuti’.  Syed Adzi mahu aku menjadi suri rumah sepenuh masa. Namun Syed Adzi mengizinkan aku untuk berbuat apa-apa aktiviti yang bersesuaian dengan bakat dan minatku. Maka permintaanku untuk memiliki butik pakaian dan kedai bunga dan hiasan segera ditunaikan olehnya.  Namun aku hanya dibenarkan keluar ke kedai dan butik itu sesekali sahaja, selainnya aku boleh menyediakan dari rumah sahaja. Farah Rodziah pula dengan berbesar hati menawarkan khidmatnya untuk menguruskan kedai tersebut kerana dia mempunyai minat yang sama dengan aku. Adik iparku itu juga berkata akan menjaga aku jika aku ke kedai dan memastikan tidak akan membenarkan sesiapa mendekati aku waima mengelakkan aku menjadi perhatian orang. Kata-katanya itu, sebenarnya hanya untuk mengusik abangnya, Syed Adzi yang sememangnya juga sangat jelas dengan perasaan cemburunya  yang sebenarnya melebihi sifat cemburu aku ini.
Semua ahli keluarga menerima baik semua perancangan Syed Adzi. Syed Adzi mampu menanggung semua nafkah hidup kami. Lebih daripada mampu sebenarnya.  Dua minggu di rumah ibu, kami berpindah ke rumah baru. Gugusan kunci yang satu lagi dalam hantaranku itu merupakan kunci pendua rumah kami itu. Banglo mewah itu sememangnya sudah lama siap dan sudah diduduki sebulan sebelum pernikahan kami. Malah semua persiapan di pihak Syed Adzi dibuat di banglo tersebut. Masuk sahaja di ruang utama terpapar gambar sewaktu pernikahan kami. Cantik sekali, Syed Adzi sedang berjabat tangan dengan ayah dan berlatar belakangkan aku sedang melihat upacara itu dilaksanakan. Entah bila gambar itu dirakamkan. Syed Adzi ini rupanya seorang yang pencinta seni juga.  Semua hiasan dalam rumah itu disediakan olehnya. Farah Rodziah juga memberitahu aku bahawa setiap gubahan, rekabentuk dan seni hias yang lain dalam banglo tersebut adalah hasil tangan Syed Adzi sendiri. Terpegun aku melihat semua hasil kerja itu. Dan pada bingkai dan tempat-tempat tentu ada tercatat atau terukir SFR        A.Rima. Tentu lebih menguja diriku ini.  Dua orang pembantu disediakan mengurus rumah ini namun Syed Adzi telah berpesan bahawa untuk makan minumnya, Syed Adzi  hanya akan ambil jika disediakan oleh air tanganku.  Aku akur, dan aku sememangnya tidak akan membenarkan orang lain menyediakan makan minum untuk suami itu selain aku sendiri, ummi, ibu dan keluargaku sahaja. Dalam rumah ini, hanya aku yang akan menyediakan segala keperluan suamiku itu.
Rumah lama tempat tinggalku dulu, mami sewakan kepada sepupu Hasnita sekeluarga yang baru berpindah dari luar negara. Semuanya terancang dan terlaksana dengan teratur. Carvan Mercerdes RD1515 itu juga sudah menjadi milikku untuk memudahkan aku ke mana-mana. Namun dengan perasaan cemburu menebal di hati kami yang bak kata ibu kerana pembawaan budak itu, Farah Rodziah diminta oleh Syed Adzi tinggal bersama kami. Syed Adzi tidak akan menyediakan pemandu untuk aku kecuali jika ada pemandu perempuan. Dengan Pakcik Wahab tukang kebun kami yang juga suami kepada pembantu rumah kami, makcik Esah itu juga menjadi bahan cemburu Syed Adzi. Dahsyat sungguh penangan pembawaan budak pada Syed Adzi ini.  Sementara menanti sehingga aku bersalin. Jika aku hendak ke mana-mana, Farah diminta untuk menemaniku. Kebetulan setahun lagi Farah Rodziah pula akan bernikah.  Ummi dan Abi tidak menolak permintaan Syed Adzi, biarpun sebenarnya mereka sering sahaja ada di banglo kami itu kecuali malam hujung minggu kerana menurut mereka tidak mahu mengganggu waktu-waktu bersendirian kami suami isteri. Farah juga akan pulang ke banglo ummi ketika hujung minggu itu.
Walaupun dalam usia yang agak lewat ini, kehamilan tidaklah menjadi kesukaran bagiku. Syed Adzi kata selepas bersalin nanti, aku boleh terus mengandung untuk kali kedua. Dan begitulah seterusnya seandainya aku mampu untuk mengandung lagi. Mungkin untuk tiga atau empat kali lagi. Betul-betul dia mengikut nasihat Pak Syed Far, adik bongsu abi Rustam itu.  Syed Adzi  gembira berada dalam keluargaku yang ramai. Syed Adzi kata, jika sekali bersalin boleh dapat dua orang anak sekaligus, jika empat kali sudah dapat lapan orang anak. Wah, mahu pengsan aku hendak melayan lapan orang anak jika berselang tahun bersalin semata-mata menyahut angan-angannya itu. Syed Adzi mengatakan tiada masalah, sebab dia mampu mengadakan pengasuh  untuk setiap anak jika perlu. Harta yang banyak di dunia ini buat apa jika tidak dihabiskan untuk anak-anak dan isteri tercinta. Aku tidak boleh hendak berkata apa-apa lagi. Terpulanglah kepadanya. Tentu Syed Adzi sudah mengatur hidupnya dengan baik. Ketika aku mengusik supaya mencari pengasuh untuk dirinya juga, Syed Adzi tiba-tiba melenting, manja. Katanya, satu sebab dia mengadakan pengasuh untuk anak-anak ialah kerana dia mahu aku terus menjadi pengasuhnya, bukan orang lain. Jika ditakdirkan berpisah, biarlah ajal sahaja menjadi penyebabnya.  Aku ketawa sambil memeluknya serta mengucapkan terima kasih kerana keperihatinannya kepadaku. Sayang sungguh aku kepada Syed Adzi.
















EPILOG: INILAH KEBAHAGIAAN DAN KINI AKU MILIKMU JUA


Sedang aku terleka dengan kenangan-kenangan lalu, terdengar suara kecil merengek-rengek. Aku melihat Syed Fateh di sisi Syed Adzi, tidak bergerak. Cukup lena seperti abinya juga.  Aku tersenyum, bukan yang sulung ini yang merengek.  Aku memandang ke sisi kiriku pula, bergerak-gerak dalam katil kotak buaian itu. Sudah basah agaknya! Getus hatiku. Aku membuka telekungku kemudian kusangkut di tempat penyidai dengan kemas. Aku meneliti wajah itu, comel dan manis sekali! Mirip lelaki yang aku cintai itu. Hidungnya,  matanya, kulitnya yang cerah. Alis yang lebat dan sedikit meruncing.
Wajahnya tidak jauh beza dengan Fateh. Bibir munggil Fateh lebih mirip bibir abinya, sedangkan Fatehah lebih mirip bibirku. Namun sebenarnya bibir keempat-empat kami sangat mirip antara satu sama lain. Hidung Fateh kelihatan terletak sedang hidung Fatehah sedikit kecil dan meruncing sesuai dengan wajah perempuannya  yang lembut.
Aku meletakkan hujung jariku di bibir Fatehah. Bibir dan mulutnya mencari-cari sesuatu. Aku tersenyum. Aku angkat tubuh kecil yang montel itu dan diletakkan di permukaan katil. Aku tukarkan lampinnya yang sudah penuh itu yang mungkin tidak menyelesakannya. Fatehah masih merengek-rengek. Aku duduk di birai katilku dan kusuakan puting ke mulutnya. Aku membacakan basmallah dan selawat dan aku alirkan kasih sayang bersama titisan-titisan susu ini. Fatehah selesa dimanjai begitu sambil aku mengelus rambutnya yang sudah tumbuh semula lebat itu. Sehinggakan anak keduaku ini lena kembali. Aku letakkan Fatehah semula ke katilnya.
Sedang aku membetulkan baringan Fatehah, terdengar pula satu suara lain merengek-rengek, menangis perlahan seperti tidak mahu membangunkan mukmin yang sedang memeluknya.  Aku tersenyum lagi.  Memang sudah menjadi kebiasaan Fateh akan mendahulukan Fatehah dalam banyak hal walaupun Fateh anak pertamaku. Sikapnya banyak menyerupai abinya. Nakal, manja, sering tertawa dan banyak mengalah kepada kembarnya Fatehah.
Aku menghampiri katil dan duduk di sisi dua orang lelaki istimewa dalam hidup aku ini. Aku angkat tangan Syed Adzi dan kuletakkan di sisi tubuhnya. Perlahan-lahan aku mengangkat Fateh aku alihkan kedudukannya untuk memudahkan aku menukar lampinnya terlebih dahulu.  Setelah selesai aku mengangkatnya ke pangkuanku dan menyuakan puting  ke mulut Fateh dengan diiringi basmallah dan selawat, sama seperti aku lakukan kepada Fatehah tadi. Fateh menghisap susu kejap sekali berbanding Fatehah yang lebih lembut. Mengalir lagi kasih sayangku melalui titisan demi titisan air susuku ini. Fateh terlena pulas dan melepaskan sedutannya. Aku bangun lalu meletakkan Fateh di katil yang bersebelahan dengan katil kembarnya Fatehah. Kedua-dua anak kecil ini sudah tertidur kekenyangan dengan begitu pulas sekali.

Syed Muhammad Fateh Raffeouq bin Haji Syed Fakhrul Radzi
Syarifah Ainnur Fatehah Rassiqah bt. Haji Syed Fakhrul Radzi

Sepasang anak kembar yang membawa sinar dalam hidup aku dan Syed Adzi, dalam hidup umi dan abi kalian. Terima kasih Allah, dengan kurniaan anugerahMU ini. Semoga anak-anak ini menjadi anak-anak soleh, solehah. Terima kasih anak-anakku kerana hadir dalam dunia kami ini dan memberi makna yang tidak terhingga sebagai bukti cinta kasih kami.
Teringat sewaktu melahirkan mereka kira-kira empat bulan yang lalu. Pada usia aku ini kudratku  semakin berkurangan. Namun kekuatan aku perolehi daripada genggaman tangan suami dan kata-kata rangsangan Syed Adzi. Sebelum masuk ke ruang bersalin ini tadi, aku sudah memohon keampunan dan keredhaan suamiku. Jika Allah tidak mengizinkan aku terus melihat dunia dan syahid ketika melahirkan, sekurang-kurangnya aku tahu suami aku yang aku cintai ini telah redha kepada aku, sesungguhnya syurga aku seorang isteri terletak di bawah telapak kaki suamiku.
“Abang ada bersama sayang!” bisiknya perlahan gemersik di telingaku ketika wajahnya dihampirkan ke wajahku. Syed Adzi sudah bersama-sama di ruang bersalin itu sejak aku masuk tadi
“Inilah hadiah yang paling istimewa buat abang, sayang!”
“Walau apapun berlaku, abang redha akan dirimu.”
“Berjuanglah sayang, kuatkan hatimu.”
“Ingat Allah. Anugerah ini daripadaNYA.”
“Anugerah ini bukti cinta kita, sayang. Berjuanglah!”
Genggaman tangan semakin kuat dan aku meneran dengan ingatanku jelas kepada kata-kata Syed Adzi. Dan, akhirnya Fateh lahir ke dunia. Lima minit kemudian Fatehah pula mengikuti. Namun, rasa sakit yang aku tanggung ketika ini tidaklah seteruk mana. Hal ini mungkin kerana redha suami kepada aku. Rasanya lebih sakit lagi sewaktu rawatan sihir setahun yang lalu. Kelahiran kedua-dua  bayi kembar yang sihat dan comel ini juga merupakan hadiah istimewa untuk ulangtahun Syed Adzi yang ke tiga puluh dua tahun.
Atas permintaanku, aku berpantang selama 100 hari tidak seperti kebiasaannya orang lain berpantang. Syed Adzi memberikan keizinannya. Hal itu hanya untuk memastikan kesihatanku elok dan pulih sepenuhnya.  Sembuh daripada penyakit akibat sihir, kemudian hamil dan kini melahirkan.  Aku memerlukan ruang masa yang lebih sedikit untuk kesembuhan luka-luka bahagian dalamanku. Sepanjang berpantang emak Hajah Halimah banyak memberikan tunjuk ajar. Aku berurut dan diajar pelbagai amalan menjaga pemakanan yang baik dan berkhasiat. Belajar mengamalkan pemakanan sihat menggunakan daun pegaga, pucuk-pucuk kayu seperti mengkudu, aloe vera atau lidah buaya, kunyit dan bermacam-macam lagi. Emak Hajah Halimah dan bapa Haji Fatah sering melawat kami di banglo ini, malahan pada minggu pertama selepas bersalin emak dan bapa bermalam di banglo kami ini. Sememangnya kami sangat bahagia dengan kehadiran ibu dan ayah, ummi dan abi, dan emak dan bapa dalam syurga kami yang tidak seberapanya ini. Jika  semua ahli keluargaku datang dan juga ahli keluarga Syed Adzi berkumpul sekalipun rasanya lapan bilik lengkap selain dua bilik tetamu dan dua bilik utama yakni bilik tidur kami dan bilik rehat yang bersebelahan; yang sedia ada dalam rumah agam ini cukup untuk semua orang. Pernah juga aku bertanya kenapa begitu banyak bilik dalam rumah agam ini walaupun bilik-bilik itu tidak sebesar mana sekadar keluasan 4 meter x 5 meter sahaja setiap satunya. Syed Adzi akan tersenyum dengan penuh bermakna, sambil menjawab cukuplah untuk setiap seorang anak yang akan dilahirkan dalam hidup kami dan menyerikan banglo ini. Jawapan itu yang bermakna Syed Adzi memang bermaksud untuk memiliki sekurang-kurang lapan orang anak dalam hidup kami. Ya Allah, berilah aku kemampuan dan kekuatan melestarikan impian suamiku itu.

Aku  berpaling ke wajah itu. Malam ini Syed Adzi terlena dalam bilik ini. Beberapa bulan ini selepas aku melahirkan, Syed Adzi tidur di bilik sebelah. Mungkin untuk memberikan keselesaan kepadaku dalam tempoh berpantang itu. Kini tempoh berpantang 100 hari itu sudah selesai dua minggu yang lalu. Aku sebenarnya tidak kisah jika Syed Adzi tidur di bilik ini bersama-sama. Katil bersaiz king ini cukup besar untuk memuatkan kami empat orang tetapi mungkin Syed Adzi lebih selesa untuk tidur di bilik satu lagi itu. Pintu bilik ini juga tidak pernah aku kunci begitu juga dengan pintu bilik satu lagi. Malah tidak pernah bertutup. Semua itu permintaannya. Katanya mudah untuk membantu kalau-kalau anak-anak menangis serentak. Al maklumlah anak-anak itu kembar. Bukan senang untuk menjaga anak-anak kembar, begitulah katanya. Namun aku sangat bersyukur dengan kembar kami ini kerana semua yang berlaku seperti dirancang dan tidak pernah pula kedua-duanya meragam sekaligus. Hal ini bermakna, tidur Syed Adzi tidak pernah terganggu dan abi mereka tidak perlu bersusah hati. Ke mana tumpah kuah jika tidak ke nasi, itulah kata-kata ummi ketika aku menceritakan perangai kedua-dua orang kembar kami ini. Ummi kata, menjaga kembar dalam  keluarga kami sememangnya tidak sukar. Syed Adzi sentiasa bertolak ansur, maka sehingga kini, Farah tidak pernah berselisih pendapat  apatah lagi bertengkar dengan abangnya. Aku senyum lagi apabila teringat sejak dua minggu yang lalu, Syed Adzi lebih kerap masuk ke bilik ini untuk bermain-main dengan anak-anak kembarnya.
Aku menuju ke bilik air, membersihkan muka. Kemudian ke meja solek untuk memakai wangian. Insyaallah, niat hatiku selepas dua minggu ini akan aku tunaikan malam ini. Dan hal ini menjadi mudah kerana Syed Adzi seperti menyerah diri terlena dalam bilik ini, walaupun sudah dapat aku rasakan bahawa Syed Adzi sengaja berbuat demikian.
Aku memandangnya lagi, wajahnya menambah runtun di hatiku. Rindunya aku kepada suamiku ini. Inilah malam pertama Syed Adzi tertidur di sini. Senyuman masih di bibirku. Aku menuju ke pintu bilik lalu menguncinya. Tiada alasan untuk membiarkan pintu itu tidak berkunci, tetapi lebih beralasan untuk dikuncikan.  Aku menghampiri katil dan duduk di sisinya, meneliti wajahnya. Jari jemariku bermain-main lembut di anak-anak rambutnya, dari dahi ke belakang telinga. Hatiku bergetar. Syed Adzi mengalihkan sedikit letak baringnya, menyembunyikan sedikit kedudukan dadanya seperti terganggu dengan elusan jemariku itu. Jemariku turun ke pipi dan ke dagu Syed Adzi. Kulurut semula naik ke pipi, berkali-kali lembut. Syed Adzi bergerak lagi. Senyumku semakin melebar. Dada Syed Adzi berombak-ombak kencang menggambarkan debar hatinya juga. Aku tahu hajatnya malam ini sama seperti hajatku ini. Aku juga tahu Syed Adzi tidak tidur ketika ini kerana sewaktu menyusui Fateh tadi aku terlihat Syed Adzi membuka kelopak matanya mencuri-curi pandang kepada aku.
Aku membongkokkan tubuh merendah dan mendekatkan pula wajahku ke wajahnya. Biar Syed Adzi terhidu aroma Christian Dior yang sengaja kupakai tadi. Syed Adzi tambah gelisah. Jelas sekali. Aku letakkan semula jemariku ke bibirnya. Dadanya semakin kencang menahan gelora. Aku lagakan hidungku dengan hidungnya lembut dan manja.  Nafasnya semakin tidak menentu. Aku kucup lembut pangkal batang hidungnya. Aku sengaja ingin melihat selama mana Syed Adzi dapat bertahan. Setakat mana dia mampu berpura-pura tidur. Syed Adzi semakin gelisah. Aku mengucup lembut bibirnya lama, kemudian ke pipinya. Dan menggeselkan pipiku ke pipinya, sementara tangan kiriku sudah ku masukkan ke dalam baju melayunya sambil mengusap lembut dadanya yang semakin kuat turun naik menahan nafas.
Baby yang satu ini, hendak susu juga?”  Bisikku ke telinganya. Wajahnya masih menghadap ke arah kirinya mengarah kepada aku. Aku angkat mukaku memandang wajah itu.  Matanya masih terpejam namun merona darah merah ke wajahnya yang cerah itu. Aku ketawa kecil lalu mengeluarkan tangan dari dalam baju melayunya, seakan-akan mengalah kerana tidak ada sebarang respon balas daripadanya.
Aku bangun dan membetulkan letak baringku. Menelentangkan badanku seperti ingin tidur sambil melirik kepadanya. Aku memadamkan lampu tidur yang di sisiku. Tinggal cahaya suram dari lampu tidur di sisinya. Aku memejamkan mata, bersedia dengan kemungkinan mendatang. Sememangnya aku sudah bersedia menerima lagi kehadiran ahli baru dalam hidup kami. Aku terasa pergerakan di sebelahku dalam pejaman mataku. Hati berdebar-debar menantikan, senyuman di wajahku belum habis. Tiba-tiba sekilas dengan pantas sekujur tubuh menindih sebahagian tubuhku.  Sebelah tangan itu sudah mendakap tubuhku dan berada di belakang badan pada kancing baju dalamku. Sengaja aku buka butang baju tidurku beberapa lubang butang hingga mendedahkan bahagian dadaku semasa baring tadi. Wajahnya disembamkan ke pangkal leherku. Mengucup lembut dan menjalar ke tengkuk. Senyumanku melebar semula. Aku membalas pelukannya ke tubuh Syed Adzi yang tidak tidak berpakaian.
Baby yang ini sudah lama dahaga, sejuk tidur seorang-seorang.” Bisiknya perlahan di cuping telingaku.
“Siapa suruh tidur bilik sebelah?” tanyaku semula.
“Takut terlajak!” jawabnya dengan gelak kecil yang nakal.
“Tempoh berkabung sudah tamat dua minggu lepas,kan.” Protesku lagi.
“Ya, tapi orang rumah tak jemput masuk” mempertahankan sedikit ego lelakinya.
“Masakan hendak terjah sahaja, nanti kena pantang lebih 100 hari lagi.” Sambil Syed Adzi terus mengucup ke sebelah berlawanan. Dia tidak berhenti walaupun seketika dalam sesi memanaskan badan itu.
“Tapi abang tuan rumah, berhak bila-bila masa pun.. kenapa perlu dijemput?” tanyaku tidak berpuashati  dengan debaran yang semakin laju ini.
“Kena hormat orang rumah, barulah hidup lebih berkat, kan sayang.”
“Abang, Rima hendak sepasang lagi, boleh? Supaya selepas sembilan bulan nanti abang betul-betul kena berpantang seratus hari.” Rengekku manja lantas membalas semua perlakuannya. Sudah tidak tahan dan tidak perlu untuk bersoaljawab lagi. Hati kami sudah bersatu dan menuju hajat yang sama, saat yang begitu kami rindukan bersama-sama. Syed Adzi merangkul dan mendakapku lebih erat.
“Hmmm, boleh sangat! Tidak sabar rasanya, assalamualaikum.....” Syed berbisik lembut dan memulakan. Bukan lagi masa untuk berbicara.
Alhamdullillah, kini hidupku ini penuh makna. Entah ke mana keegoan dan sifat hipokrit serta prejudis aku kepada seorang lelaki. Yang ada dalam hati ini, dan minda ini juga adalah kebahagiaan yang sedang aku dan akan aku kecapi, insyaallah. Hidupku amat bahagia kini. Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan aku seorang insan sebaik ini kepadaku. Aku sedar cinta pertama bukanlah segala-galanya kepada seseorang. Cinta pandang pertama juga bukan penentuan. Bukalah hati kita untuk cinta terutama cinta yang mendekatkan kita kepada Allah. Yakni cinta yang berlandaskan cinta Allah. Terima kasih Allah kerana cintaMU ini. Syed Adzi, kini diri aku ini sepenuhnya milik lelaki yang sentiasa hadir dalam mimpiku itu. Haji Syed Fakhrul Radzi akhirnya aku menjadi milikmu jua.

TAMAT