Ahad, 10 Julai 2011

DELEGASI FITRAH

Bertema "Terima kasih Cikgu"... sempena sambutan hari guru daerah Gombak 2009...
Sebenarnya disyaratkan bahawa cerpen ini tidak boleh dikeluarkan atau dicetak di mana-mana media terutama apabila menjadi pemenang penulisan... Namun, walaupun hanya memenangi Johan Penulisan Karya Kanak-kanak ( peringkat guru) daerah pada tahun 2009, maka saya terbitkan dalam catatan ini... terdapat sedikit penambahan dan perubahan daripada jalan cerita yang telah dipertandingkan tersebut untuk membolehkan karya ini menjadi karya milik saya semula.... maka saya tidak melanggar apa-apa syarat yang telah saya dan penganjur tetapkan, insyaallah...

######################################

Hari-hariku kini semakin sibuk. Tidak menang tangan dibuatnya.  Laporan yang melambak di atas meja perlu disemak satu persatu.  Sesibuk manapun aku berasakan hidupku amat bermakna.  Seluruh hidupku telah terarah ke jalan yang benar-benar kuhargai.  Bidang inilah matlamatku hingga ke akhir hayatku. Biarpun kelak aku tidak dalam kerjayaku ini, aku bertekad menghabiskan seluruh hidupku memikul tugas mulia ini. Guru, yang sentiasa berguru namun bukan kepalang ajar dan akan aku pastikan bunga akan sentiasa menjadi dan berkembang.

            “ Naemah, pelaporan minggu depan ni giliran awak! Pastikan tajuk –tajuk akhbar minggu ini diteliti.  Buat rumusan dan saya hendak awak pastikan ulasan awak lengkap. Jangan lupa… atau jangan sengaja melupakannya.”  Cikgu ‘Ali Fuad mengejutkan aku dari lamunan panjang.

            “Hah, terkejut! Mengelamun jauh nampaknya!” sindir Cikgu ‘Ali Fuad kemudiannya.  Seluruh kelas mentertawakanku.  Wajahku muncam, mulut kumuncungkan.
            ‘Hish, bencinya! Pantang tengok orang senang.’ Hatiku merengus sendiri.
            “ Ingat, ya Naemah! Jangan tak datang pula,ya.” Sambung Cikgu ‘Ali Fuad mengejutkanku sekali lagi. Wajahku semakin mencuka.

            “ Hai kawan, sayang betul cikgu Ali tu pada kau? Selang dua minggu kau kena buat ulasan.  Agaknya ada kau seorang sahaja dalam kelas ni. Orang lain Ali tu sudah tak nampak” ejek Zarina yang duduk di sebelahku.  Di sebelahku sejak aku berada dalam darjah satu lagi.  Hingga kini kami telah berada  di tingkatan 6 bawah tetapi Zarina juga yang duduk di sebelahku. Kami telah beberapa kali cuba untuk duduk berasingan tetapi apabila penyusunan kelas dilakukan, kami akan berjodoh semula.

            “  ‘Ali, lah…ada idham maalghunah.” Jawabku setelah lama mendiamkan diri.
            “ Ya lah, ‘Ali.” Jawabnya sambil ketawa kecil.

            “ Cikgu Muhammad ‘Ali Fuad bin Muhamad Farid.” Zarina menyebut perlahan-lahan sambil terus ketawa kecil. Sebelum keluar Cikgu ‘Ali Fuad memaling kepada kami. Tersenyum. Seperti beliau mendengar namanya disebut-sebut.
           
“ Ali , ‘Ali … apa bezanya,pun!” getusku.
            “ Nama saya  Muhammad ‘Ali Fuad bin Muhamad Farid. Boleh panggil saya Cikgu ‘Ali, Cikgu Fuad, atau saya lebih suka awak semua guna nama penuh. Sebab dengan nama itu umpama suatu doa untuk  saya.  ‘Ali, ya! Bukan Ali..” sesi memperkenalkan diri itu benar-benar kuingati.
           
“Yang duduk di baris empat, lajur tiga bangun dan perkenalkan diri awak.” Cikgu ‘Ali Fuad memanggilku. Tangan Zarina menyinggung  tanganku.  Aku terkejut. Buku yang kubelek-belek  di tanganku sejak tadi terlambung tinggi. Aku  cuba menyambut semula  buku itu. Namun buku itu terlepas lagi dari tanganku, jatuh ke lantai. Aku cuba mengambil buku di lantai. Suasana kelas mulai gamat. Semua mata tertumpu kepadaku.

            “ Saya masih menunggu!” Suara Cikgu ‘Ali Fuad menghentikan kegamatan. 
            ‘Argh, malunya’. Aku bangun  perlahan tersipu-sipu, kemalu-maluan.
            “ Nama awak?”, Tanya Cikgu ‘Ali Fuad lagi.
            “ ehm, maaf, cikgu.” Jawabku perlahan-lahan.

            “ Hah? Saya tak pernah dengar nama, ehm... maaf, cikgu.  Ini kali pertama rasanya.” . Bergurau. Sebelum aku sempat meneruskan jawapanku. Berderai  ketawa kawan-kawan sekelasku. Ada yang terbahak-bahak. Ada yang ketawa sambil mengendang-gendang  meja.

            “Bukan macam tu Cikgu Fuad…eh, Cikgu Ali.. Err, cikgu Fuad Ali!” Aku memandang Zarina di sebelahku.  Moga-moga Zarina boleh membantuku.  Aku memang sangat berharap. Tapi, Zarina terlalu asyik ketawa. Mentertawakanku.  

            “ Cikgu Muhammad ‘Ali Fuad.. Bukan Fuad Ali,  Saya hendak awak satu-satu yang panggil saya cikgu ‘Ali Fuad, ‘Ali…. Bukan Ali. Awak?”  Suara cikgu ‘Ali Fuad agak tegas menghentikan kegamatan kelasku ketika itu.
           
“ Saya Nurul Naemah bt. Hj Husrin. Cikgu boleh panggil saya Ema.” jawabku sambil menahan malu dan sebak.
           
“ Baiklah. Saya akan panggil awak Naemah atau Nurul, bukan Ema.”, balas Cikgu ‘Ali Fuad.  Hish, bengang sungguh... Malu tidak terkata.  Inilah sesi perkenalan yang paling memalukan bagiku.
##########################################
          
“ Hai, beranganlah tu!”. Zarina menjerkahku.
            “ Mana ada… Cuma teringat  peristiwa mula-mula kita berkenalan dengan cikgu tu.” Pintasku.

            “ Hai, mestilah.  Kenangan yang paling tidak dapat kulupakan.  Apatah lagi kau, tuan punya diri..” balas Zarina lagi. Terus-menerus menggelakkanku...

            Sesi ulasan atau pelaporan akan kulalui lagi. Tidak seperti kawan-kawan sekelas yang lain. Aku akan melaksanakan tugasan itu setiap dua minggu.  Kadang-kadang aku terasa seperti dibuli oleh Cikgu ‘ Ali Fuad.

 “ ‘Ali ada makna, Ali tak ada makna, Ya lah tu!” selalu aku merungut sendiri apabila berada dalam sesi pembelajaran Bahasa Melayu dan Pengajian Am.  Malang sungguh  akurasakan, kerana Cikgu Muhammad ‘Ali Fuad bin Muhamad Farid akan masuk ke kelasku enam kali seminggu untuk dua mata pelajaran itu.  Setiap hari. Bertambah malang aku rasakan apabila Cikgu ‘Ali Fuad sering memberikan banyak tugasan untukku. Rakan-rakan sekelas tidak akan berasa culas kerana kadang-kadang aku akan membuat ulasan tajuk dan berita akhbar yang hangat dibincangkan setiap minggu. Aku memang selalu berasa jengkel. Apatah setelah aku mendaftar untuk mengulang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun itu.  Hal ini disebabkan aku mendapat keputusan yang sederhana dalam peperiksaan itu tahun sebelumnya. Aku hanya mendapat  C6 untuk Kertas Bahasa Melayu dan gagal pula dalam kertas Fizik. Kekecewaanku  begitu mencengkam kerana kedua-dua kertas itu adalah mata pelajaran kegemaranku.   Namun banyak kekangan yang tidak membolehkan aku mengulang dalam aliran itu  lagi.

            Daripada kelas beraliran sains, kini aku hanya dapat menyambung pelajaranku ke tingkatan Enam Bawah dalam aliran sastera.  Dengan tanggungjawab yang pelbagai di rumah menjaga adik-adik dan menguruskan hal-hal di rumah ketika ayah dan ibuku keluar bekerja, aku merasakan apa yang dilakukan oleh Cikgu ‘Ali Fuad umpama penderaan.  Cikgu ‘Ali Fuad bukan sahaja tidak menghiraukan kepayahan dengan bebanan yang banyak malahan semakin aku meperlihatkan sikap membantahku, aku akan diberi lebih banyak tugasan.

            Perpustakaanlah  tempat aku ‘melepak’  setiap hari. Waktu senggang akan kuhabiskan dengan membaca semua isi kandung akhbar.  Bukan hanya akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian; tetapi Malay Mail, News Strait Times dan lain-lain lagi.  Bukan lagi hanya akhbar, majalah dan buku-buku berkaitan tajuk yang dibincangkan setiap minggu tersebut.  Cikgu ‘Ali Fuad akan mengemukakan pelbagai soalan yang perlu kujawab. Setiap soalan yang tidak dapat kujawab aku akan didenda olehnya. Berbentuk latihan-latihan ilmiah.  Aku  cuba sedaya upaya mengelakkan daripada didenda.  Aku perlu sentiasa bersedia.
         
 Encik Haris, pembantu pusat sumber pasti akan terasa kehilangan jika satu hari aku tidak menjengah pusat sumber ini.  Ada kalanya, Encik Haris akan menyediakan satu daripada 2 set akhbar untukku.  Awalnya, aku berasakan tugasan itu sebagai satu bebanan. Umpama tiada beban batu digalas.  Apatah aku memang tidak suka dengan Cikgu ‘Ali Fuad, dan aku sangat tidak suka membaca. Jika tidak kerana terpaksa, tentu membacalah aktiviti terakhir yang akan aku lakukan untuk masa lapangku

Biarpun umpama batu besar yang menimpa kepalaku,  kini aku terpaksa melakukannya kerana  Cikgu ‘Ali Fuad yang aku anggap sebagai musuh sekaligus yang kugelar cikgu yang sentiasa bersikap runcing di luar pepat di dalam; gunting dalam lipatan; api dalam sekam; musuh dalam selimut itu mengkehendaki dan memaksaku. Melakukan sesuatu tugas yang paling tidak aku sukai . Memang kejam. Menggunakan kedudukan dan peranannya sebagai guru untuk mengenakan aku.

Aku selalu merungut kepada Zarina, memprotes bahawa  padaku Cikgu ‘Ali Fuad sengaja memberikan tanggungjawab itu untuk memudahkannya dalam tugas-tugas mengajar. Mudahlah baginya mengumpulkan isi-isi atau fakta-fakta untuk penulisan kerana aku sudah menyediakan banyak informasi untuknya.  Aku yang sebenarnya selama ini bersusah tetapi Cikgu ‘Ali Fuad  akan menggunakan maklumat yang kucari untuk sesi pengajarannya. Bukan di kelas aku sahaja tetapi di kelas-kelas lain.  Aku memang benar-benar  menyimpan dendam kepadanya.

            “ Entah-entah cikgu tu ada hati pada kau,tak?”. Satu hari Zarina menyatakan pendapatnya.
            “ Ah, boleh jalan.. siapa yang hendak dengan dia tu! Tolong sikit!” . Geli-geleman aku mendengar ayat-ayat Zarina.
            “ Cikgu tu kacaklah. Putih, tinggi, sasa… pandai lagi. Takkanlah kau tak berminat langsung.” Zarina meneruskan pendapatnya.
            “ Laki orang pula tu! Aku ni takkan membina kebahagiaan atas penderitaan orang lain tau! Kacak dan segak macam manapun dia, takkan menggugat aku pun. Tidak sikit pun. Tidak sekali-kali.” Marah aku kepada Zarina. 
            “ Aku ni bukan apa, sakit hati aku dengan apa yang dia buat pada aku ni! Tak tahu apa kerja lagi yang aku kena buat dan entah berapa banyak lagi. Aku seorang pula tu.” sambungku. 
           
            “ Memanglah jika seseorang tu ada segala-galanya macam dia, rupa ada, harta ada, pandai pula tu…banyak orang yang suka. Tapi bukan pada aku. Rasa sakit hati aku ni Tuhan saja yang tahu. Kau dan yang lain tahu ketawakan aku.”  Rungutanku berpanjangan.
           
“ Ya lah, aku kesian juga tapi kau pernah tak terfikir  setiap satu kejadian atau peristiwa yang berlaku tu ada bandingan atau pasangannya. Yang buruk lawannya baik, yang kacak macam Cikgu ‘Ali Fuad tu kawannya yang cantik macam kau.  Yang jauh boleh didekatkan, Yang marah boleh ditenangkan. Manalah tahu ,jodoh kau. Kedua pun apa salahnya. Tentu ada kebaikan dan hikmah di sebalik semua ini...ha, ha ha” balas Zarina lagi, sambil berseloroh dan ketawa.

“ Oh, itulah doa kau untuk aku?”. protesku.
            “ Bukanlah begitu. Cuba kau fikir secara matang, secara rasional. Aku, secara peribadi sudah merasakan banyak kebaikan daripada hal yang kau tanggung ni. Setiap hari hidup aku tak lengkap jika tak ke pusat sumber ni. Walaupun pada awalnya aku rasa juga kepayahan tu..lagi-lagi nak jumpa abang Haris yang auw tu. Hish, meluat aku! Tahu?” jelas Zarina kemudiannya.
          
Itulah yang kerap aku bincangkan dengan sahabat karibku  itu. Isu cikgu muda yang beranak satu itu. Tentulah sebagai  sahabat dia juga turut merasakan kepayahanku. Setiap hari tanpa jemu dia akan menemaniku. Zarina tidak pernah menolak. Sesibuk manapun Penolong Ketua Umum sekolah yang kubanggakan ini, dia pasti menjadi teman suka dukaku. Pasti ada masa yang sentiasa diluangkan untukku. Dalam apa keadaan sekalipun. Kami diibaratkan umpama belangkas.  Ditambah pula nama bapa kami yang serupa.  Hj.Husrin. Kembar tak seiras atau kembar setahun, kata mereka. Hal ini kerana perbezaan kami yang agak ketara. Aku berkulit cerah dan sedikit gempal sedangkan Zarina berkulit hitam manis, tinggi dan langsing.  Dan, aku lahir pada bulan Disember sedangkan Zarina lahir pada bulan Januari. Hujung dan awal tahun. Namun segalanya itu bukan ukuran untuk menghalang kami menjadi akrab.
 
Penjelasan Zarina benar-benar mengujaku. Selama ini aku hanya melihat negatifnya. Tidak pernah sekalipun aku melihat semua yang berlaku selama ini dari sudut postif.  Aku memang keras hati, berpegang kepada pendapat dan pandangan sendiri. Aku tidak suka memikirkan sesuatu yang tidak berkaitan dengan hidup dan prinsipku. Tapi ada seseorang yang sangat mengganggu hidupku. Muhammad  ‘Ali Fuad.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia kulalui dengan tenang dan bersedia.  Biarpun  aku mengambil  kertas mata pelajaran aliran sastera kali ini. Kebiasaanku membaca  pelbagai topik membolehkanku mengkaji  dan membuat persediaan lengkap terutama untuk kertas sastera  dan semua buku yang berkaitan dengan lebih mudah.  Bukan sahaja Bahasa Melayu tetapi semua kertas peperiksaan kujawab dalam keadaan benar-benar bersedia. Sepenuhnya.

Usai peperiksaan itu, aku mengakui manafaat atas segala yang kulalui selama ini. Biarpun pahit, biarpun perit. Aku telah memperoleh kemaslahatannya.

Tingkatan Enam Atas kulalui dengan lebih bersedia.  Cikgu ‘Ali Fuad, masih mengajarku, tetapi hanya untuk mata pelajaran Pengajian Am dan hanya akan masuk dua kali seminggu. Sedar tak sedar, aku merasakan rutinku ke pusat sumber  juga semakin berkurangan. Kawan karibku juga semakin sibuk, sementelaah dia menjadi Ketua Umum tahun itu.  Mencatat sejarah apabila menjadi Ketua Umum Perempuan pertama sekolah kami. Aku sentiasa juga bersamanya tetapi tempat utama kami bukan lagi di pusat sumber.  Cikgu ‘Ali Fuad juga tidak boleh memaksa aku membuat ulasan seperti tahun sebelumnya. Mungkin tiada keperluannya.

“ Rina, aku sebenarnya terasa seperti kehilangan. Seperti ada sesuatu yang tidak lengkap dalam hidupku. “  Suatu hari aku suarakan rasa hatiku.

“Mmm, ya kah?”. Zarina meneruskan kerja-kerjanya.
“Dulu kita sibuk sangat mungkin, sebab itu aku rasa seluruh masa aku terisi. Tidak ada istilah masa lapang. Sekarang, sibuk atau tidak aku tetap rasa sesuatu kekurangan. Seperti ada sesuatu yang tiada. Apa yang tiada, ya?  ” Aku meluahkan keresahanku.

“ Biasalah, apabila kita miliki atau ada sesuatu kita  selalu tak menghargainya. Apabila dah tiada, barulah kita tercari-cari, merasa kehilangannya.” Sambung Zarina yang masih leka dengan carta organisasi & perancangan aktiviti Badan Kepimpinan Pelajar.

“Sebab itu, kita perlu ingat lima perkara sebelum datangnya lima perkara . sihat sebelum sakit, senang atau kaya sebelum tiba masa susah atau miskin, muda sebelum tua, masa lapang sebelum masa sempit  dan hidup sebelum mati.” Zarina meneruskan hujahnya.
“ Terima sesuatu atau seseorang itu seadanya. Itu tanda kita bersyukur.”
“ Maksud kau?” soalku.
“ Tak usah tanya, kau tau jawapannya.” jawab Zarina.
“ Mungkin…” jawabku lemah.
“ Kau lebih berasa sayu sebab Cikgu ‘Ali Fuad nak berpindah sekolah, kan?" Tekanya.         
"Doakanlah segala apa yang berlaku selama ini dan perpindahan ini adalah yang terbaik untuknya. Untuk kau juga Lagipun dia berpindah sebab naik pangkat, bukanlah elok dia berhijrah." Senyap.
“Kau pun bukan suka dia ada sini,kan. Senanglah hati kau kelak.” Sambung Zarina sinis.  Aku terkesima. Aku akur.

                 “Minggu depan keputusan SPM keluar,kan?” Zarina menukar tajuk. Dia masih perihatin dengan situasiku walau matanya asyiktertumpu di kertas putih di hadapannya. Aku mengangguk lemah. Zarina mengangkat pandangn lalu meredupkan mata. Kami saling berbalas senyuman. Tetapi, hambar.
##############################

 “ Alhamdullillah, aku dapat pangkat 1… Bahasa Melayu, Sastera, Pendidikan Islam, Sejarah ..A1, tau!”  jeritku kegembiraan sambil memeluk Zarina. Itu berita gembira untuk semua. Ibu bapaku. Kawan-kawanku. Dan guruku, Cikgu ‘Ali Fuad.  Aku menangis kegembiraan. Kesayuan. Berbaur.
Tetapi, di manakah insan yang selalu ‘mendera’ku  suatu masa lalu?  Dia tiada untuk menerima berita gembira ini.  Beberapa hari lalu dia berangkat ke Kota Kinabalu, Sabah. Aku tidak berkesempatan menemuinya, waimah untuk mengucapkan terima kasih dan selamat bertugas di tempat baru.  Hanya isterinya Cikgu Wan Atifah yang kutemui. Melalui isterinya itu, Cikgu ‘Ali Fuad, menitipkan salam dan pesanan. Suatu catatan.  Tulisan tangannya sendiri  dalam sekeping upih pinang kering.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-berenang ke tepian,
Biarlah dikau sakit dahulu, pasti dirimu akan senang kemudian,
Batu yang keras akan lekuk jua dek titisan air yang lembut, tekal dan sabar.
Sehari dikau anyamkan selembar benang, sehari dikau calitkan setitik warna..
Akhirnya dikau akan menganyam sehelai kain, jika ia putih…warna-warna yang
Dikau calitkan  itu akan membentuk corak dikau ingini..
ada warna ceria, ada warna duka, ada warna benci, ada warna suka….
Ada warna-warna kepayahan, keperitan, penderitaan
Ada warna-warna kegembiraan , kesenangan, kebahagiaan
Pelbagai,
Sehingga  suatu ketika dikau akan tahu..
Betapa indahnya warna-warna itu
Sebagai suatu delegasi yang tersirat
Melengkapi fitrah kehidupanmu….
          
Doaku buat adikku…
            Jika dikau melihat bintang di langit, rumput di bumi..usah dikau lupakan.
            Jika dikau mengenggam bara, pastikan ia menjadi arang.
            Jika kau campak sebutir bijih benih, pastikan ia  benih yang baik…
Agar ia menjadi pulau..
Janganlah dikau takut memulakan langkah pertama.
kerana itulah langkah hidupmu.
            Binalah rumahmu di tepian pantai, pasti dikau tidak takut bermain ombak.
            Adikku Nurul Naemah…
            Semoga hidupmu sentiasa dalam kejayaan.
            Dirahmati dan diberkati..
                                                            Abangmu Muhammad ‘Ali Arif bin Muhamad Farid

            Dengan segala kekuatan, aku meneruskan perjalananku. Aku perlu tabah. Catatan itu wahananya, Cikgu ‘Ali Fuad  sentiasa menjadi inspirasiku.  Hanya dia yang menjadikan kepayahan dan kesukaran sebagai wakil untuk aku melalui kejayaan demi kejayaan.

            Aku melanjutkan pelajaran sebaik sahaja menamatkan tingkatan enam atas.  Ke maktab perguruan. Keputusan SPM  yang kedua itu aku sandarkan. Rezekiku memang dalam bidang perguruan ini. Walau bukan ini pilihanku .Betapa aku benci untuk menjadi seorang guru kerana Cikgu ‘Ali Fuad itu, tapi inilah hakikat hidupku. Menyubur benih-benih cinta dalam bidang ini.

            Tiga tahun mengajar, aku melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Dengan berbekalkan doa orang tua, kawan-kawan terutama Zarina dan usaha berterusan aku berjaya mendapat keputusan cemerlang. Ijazah kelas pertama.  Satu sebabnya, aku sentiasa hidup gembira dengan membaca. Bahagia dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Mungkin juga kerana doa Cikgu ‘Ali Fuad.  Siapa tahu?

Dan, pada hari Konvokesyen aku dikejutkan dengan kehadiran seorang yang amat bererti dalam hidupku.

Abang? Cikgu? Seorang insan bernama Muhammad ‘Ali Arif bin Muhamad Farid. Berdiri di hadapanku. Insan  yang ingin sangat kutemui. Dan siapa sangka lelaki itu yang dulu tidak aku sukai dan yang dulu menjadi inspirasiku jua itu berdiri di hadapanku hari ini...

Lucu, apabila sepasang anak kembarnya yang baru diberi nama….Nurul Naemah dan Nurul Zarina. Sempena nama sahabat karib yang sentiasa di hati guru itu dan keluarganya. Cuma katanya, janganlah kembar itu jadi tak seiras seperti kami. Seorang  gelap seorang putih, seorang rendah seorang tinggi. Itulah saat yang paling menggembirakan bagiku. Sangat membahagiakan. Aku amat bersyukur.

    ##################################################
Jam menunjukkan 3.30 petang.

“ Assalamualaikum, Puan Nurul Naemah. Tak balik lagi? Lewat ni.  Minit mesyuarat  Panitia Bahasa Melayu yang saya hantar minggu lepas, puan sudah semak”  Ketua Panitia Bahasa Melayu yang muda belia itu benar-benar mengejutkanku.   

Sejak semalam laporan minit mesyuarat itu telah kusemak. Melihat anak muda dalam usia dua puluhan ini, dalam diam-diam aku kagum kepadanya. Dalam usia mudanya, setiap masanya terisi dengan pelbagai aktiviti yang bermakna. Ideanya bernas, keperihatinan telus.  Biar apapun dipertanggungjawabkan, pasti menjadi. Dia punyai keistimewaan tersendiri. Mengingatkan kepada seseorang. Seseorang yang sangat dekat di hati aku ini.

            “ Cikgu ‘Arif  ‘Alifuddin bin Muhammad ‘Ali Fuad,  umie dah siapkannya awal lagi. Cuba ambil dalam laci meja umie tu” Jawabku sambil memuncungkan mulut. Mengarah ke meja Ketua Bidang Bahasa.

            “ Cantiknya muka puan, agaknya sebab itulah Abi ‘Alif  tu terpikat pada puan..” getusnya sambil ketawa. Sama seperti ketawa ayahnya. Mengusik .
 
            “ ‘Alif dah nak balik  atau lambat lagi?” tanyaku kepada anak muda yang mewarisi ketampanan bapanya dan ketulusan ibunya; juga mewarisi kekuatan semangat kedua-dua orang tuanya itu. Terutama semangat ibunya melalui liku-liku hidup. Berjuang melawan serangan kanser tetapi masih memberikan jiwa kepada Nurul Naemah dan Nurul Zarina, bayi kembar yang menyinari hidup keluarganya.  ‘Alif  juga merupakan anak sulung yang sangat perihatin dan penuh kasih sayang. Sangat tabah menerima kehilangan ibunya dalam usia sama ada sepuluh tahun.

            “ Ikut umielah, abi tak beritahu umie nak ambil pukul berapa?” soalnya kembali.
           
“ Ada, lambat sikit.. Abi nak  ke UIA dulu ambil Nurul dan Zarina. Lagipun  abi ‘Alif   kata nak beli barang-barang keperluan untuk kenduri arwah ibu ‘Alif, malam esok” Jawabku sambil tersenyum. ‘Alif mengangguk-anggukkan kepalanya.

            “ ‘Alif boleh tolong ambil ‘Abid dan ‘Aulia? Umie bimbang abi lambat. Kesian adik-adik  ‘ Alif tu.. “ pintaku meminta pertolongannya.

            “ Boleh, umie!  Haiqal ada juga telefon ‘Alif. Minta jemput dia di stesen LRT. Cuti awal katanya.  ‘Alif ambil adik-adik dulu bawa mereka sekali. Kemudian ambil Haiqal”  Jawabnya dengan senyuman terukir di wajah. Riaknya  tulus.

            “ Terima kasih, ‘Alif..”  ucapku dengan suara yang kulunakkan.
           
“ Sama-sama umie. ‘Alif sentiasa kasih akan umie.” Balasnya yang selalu menyenangkan hatiku.

            Kini, inilah keluarga bahagiaku. Hidup bersama –sama tiga orang anak yang lahir daripada rahim Kak Wan Atifah dan tiga orang lagi lahir daripada rahimku sendiri. Tiga pasang anak-anak yang menjadi sandaran kasih sayang kami. Hasil perkongsian  bersama seorang guru. Guru yang  juga menjadikan aku seorang guru.  Juga membantuku membesarkan dan  mendidik seorang guru.

                         Dia guruku, Cikgu Muhammad 'Ali Fuad bin Muhamad Farid... kini suami yang amat aku cintai telah menjadi guru dalam sepanjang hayat aku ini... Insyaallah akan aku manafaatkan segala yang aku lalui ini sebagai satu delagasi untuk menentukan fitrah kejayaan dan kehidupan... bukan sahaja untuk diri aku sendiri tetapi untuk generasi seterusnya... Suami aku kini seorang pesara guru yang sentiasa memberikan khidmat kepada masyarakat.  Betul kata orang, sekali seseorang itu melangkahkan kaki ke dalam profesion perguruan, dia akan sentiasa menjadi guru.... begitulah juga Cikgu 'Ali Fuad yang kami sekeluarga kasihi...

                    Semoga aku akan dapat melahirkan lebih banyak guru sepertimu yang sentiasa menjadi delegasi membentuk anak bangsa dan pemimpin masa depan yang berjaya dan berguna.  Terima kasih guruku… kerana menjadi delegasi fitrah hidupku.

AKU MILIKMU JUA..... STATUS PENULISAN

UNTUK SEKIAN KALINYA BARU INI SAYA BOLEH MENYAMBUNG CATATAN DI RUANGAN INI....  CATATAN INI BERTUJUAN UNTUK MEMAKLUMKAN  "AKU MILIKMU JUA" AKAN DIHENTIKAN  DALAM RUANGAN INI KERANA SAYA BERNIAT UNTUK MENERUSKANNYA DALAM BENTUK CETAKAN BUKU..... SEMOGA SESIAPA YANG BERMINAT MENCARI KELUARANNYA DI PASARAN KELAK... NAMUN, SAYA TIDAK DAPAT MEMASTIKAN TARIKH PENERBITANNYA... HARAP MAKLUM. 


TERIMA KASIH ATAS KEPERIHATINAN SEMUA UNTUK MEMBACA CATATAN TERSEBUT... 
INSYAALLAH, SAYA AKAN MENULISKAN BENTUK-BENTUK KARYA LAIN YANG BERSESUAIAN DENGAN KEWUJUDAN  LAMAN LENTERA MINDA INI....