Ahad, 21 Februari 2010

AKU MILIKMU JUA ( BAB 15 )

Bab 15 : Jauh Terbangnya Bangau Akhirnya kembali ke Belakang Kerbau juga.

5 hari sebelum majlis perkhawinan Kamal. Aiman tiba-tiba muncul. Gamat pejabat MH Holding hari itu. Aiman sudah berisi sedikit. Riuh rendah seharian dengan usik-mengusik. Aku juga turut gembira. Kepulangannya kuharapkan membawa sinar baru. Dia bersapa dengan panjang lebar. Banyak sekali cerita lucu. Tidak kering gusi dibuatnya, kami semua ini. Namun aku tidak mahu memperlihatkan rasa rindu aku ini. Aku melihatnya dari jauh sahaja. Aku mengharapkan dia akan datang menemuiku. Tetapi harapan hanya tinggal harapan. Tidak seperti aku harapkan. Dia terus masuk ke bilik Encik Saiful dan kemudian terus pulang.

Bergenang air mata di pelupuk mata, sudah lupakah dia kepada aku ini?

"Rima, berterus-teranglah dik, Usah dipendam rindu itu, nanti memakan diri." Nasihat Kak Min.

" Tidakkan sampai ke mana jika Rima pendamkan."

"Entahlah , saya tak tahu hendak berbuat apa, Kak." wajah muramku tidak dapat aku sembunyikan kini.

Kami hanya bertemu sekian kalinya di majlis perkahwinan Abang Kamal. Aku tidak mahu dikatakan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Aku tahu batas-batas hubunganku ini. Gembira sunguh Aiman bertemu kawan-kawan lama. Aku sesekali tersenyum juga melihat telatah Aiman. Tetapi aku berasakan semakin jauh daripadanya. Dalam diam-diam itu Abang Kamal memerhatikan gelagatku dengan penuh ihsan dari jauh.

Hanya petang itu, kami rakan-rakan sepejabat termasuk Aiman makan bersama-sama. Ketika itu juga Iqram beriya-iya menggiat kami. Aku hanya senyum dan Aiman juga bersahaja bagai tiada apaa-apa yang berlaku. Aku malu sendiri. Bertepuk sebelah tangankah aku ini? Ahh, peribahasa ini sudah seakan sebati dan sukar lekang daripada hidupku.

"Rima!" suara memanggilku. Tika itu majlis sudah semakin lengang. Aku juga sedang sibuk mengemas meja-meja di khemah jamuan.

"Kita duduk di sana." aku menoleh ke arah yang ditunjukinya.

"Hmm.." Aku mengatur langkahku perlahan. Seketika aku sampai ke pangkin di bawah pokok mangga di sisi halaman rumah abang Kamal.

"Apa khabar?"

"Baik" jawabku. "Itu sahajakah yang hendak ditanyanya?" getus hatiku.

"Maaf!" sepatah lagi keluar daripada mulutnya.

"Kenapa?" soalku.

"Awak marah,ya? Saya suka tengok awak macam ketika ini. Muka awak yang mula merah itu membuatkan saya semakin rindu." Aku menjelingnya.

"Ada apa halnya, awak nak berjumpa saya?"

"Jumpa orang yang disayangi, tidak boleh?"

"Tetapi, awak sudah menyiksa saya. Bukankah tempohari saya ini awak anggap macam tunggul mati sahaja?"

"Itulah sebabnya, saya minta maaf."

Selepas itu semuanya menjadi elok semula. Banyak perkara yang kami bicarakan. Gelak ketawa kami berselang-seli menari perhatian abang Kamal dan Kak Kamaliah. Mereka pastinya mengharapkan kami akan sentiasa berbahagia seperti mereka, fikirku. Cuma yang aku sedari ialah perubahan sikap Aiman. Iaitu, Aiman hanya menegurku setelah Iqram pulang, Kenapa? Hatiku berteka-teki.

Selepas peristiwa itu, kami sering berutus surat. Mengirim sayang dan kasih di hati kami. Aku tidak menafikan merasai kegembiraan ketika itu. Tetapi panas tidak sampai ke petang, kerana hujan di tengah hari. Harith pernah mengingatkan aku. Abang Kamal juga tetapi tidak pernah aku endahkan. Dan, surat terakhir ini melahirkan segala-galanya. Baris-baris itu kubaca berkali-kali.

"Rima,
Aku umpama sudah tidak berpijak di bumi nyata. Aku terlupa bahawa mempunyai banyak tanggungjawab. Carilah lelaki yang benar-benar layak untukmu. Kau berhak mendapatkan seorang lelaki yang lebih baik dan lebih sempurna daripada aku. Aku sudah membuat pilihan dan keputusan. Hubungan ini tidak akan ke mana sudahnya. Seperti aku katakan dahulu, bukalah hatimu untuk orang lain. Usahlah ditunggu, aku lagi. Haluan kita sudah berubah. Kita tidak boleh seiringan lagi. Kita sudah tidak di jalan yang sama. Maafkan, aku.."


Kata-kata itu yang seperti pernah aku baca. Ya! Kata-kata yang sama seperti dalam suart Alang Di. Aiman, Alang Di! Bahasa yang sama yang kalian gunakan. Aku tunduk menanggung beban berat di kepala dan dadaku. Sekali lagi. Sama seperti dulu, umpama dihenyakkan dengan batu yang besar.

Dan, tanpa aku sedar ada juga sepasang mata yang memandangku.

Aku benar-benar sedih, namun air mataku ini tiada yang mengalir keluar. Mungkin, sudah kering! "Salahkah lagi, pilihan aku ini?"

Esoknya, aku terlewat ke pejabat. Aku tidur agak lewat malam semalam. Memikirkan nasib aku ini... menghitung-hitung kesilapanku....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan