Bual bicara yang sedang ditonton anak-anaknya
dipandang sepi. Sudah sejak beberapa hari ini entah mengapa rindu melanda hati
dan jiwanya. Terasa begitu sunyi. Raina Najwa tahu pasti anak-anak di
hadapannya juga mengalami kesunyian dan kerinduan sepertinya. Sudah hampir dua minggu dua orang lelaki
dalam hidup mereka, Muhammad Iqram Hafiz dan Muhammad Al-Amin pergi menunaikan
umrah. Terasa terlalu lama menanti tempoh dua hari lagi kepulangan mereka dari
Tanah Suci Mekah. Rambut Rania Asyikin yang baru berusia setahun dibelai mesra.
Pulas puteri kecilnya itu tidur di pangkuan.
“Ibu, bagaimana Aiman
hendak selesai masalah matematik ini?” soal anak sulungnya lembut. Raina Najwa
tersentak daripada lamunannya.
“Susah kalau
‘kalkulator’ Aiman tidak ada. Dua-dua sekali pula itu!” Rungut Aiman yang
menagih perhatian dan bantuan Raina.
“Tidak mengapa Aiman, ada
satu lagi kalkulator di sini. Mungkin tidak sehebat kalkulator Aiman yang dua
itu. Tapi kata orang tiada rotan, akar pun berguna.” Usik Raina Najwa mengusik
Aiman Al Amin. Hakikatnya Raina sendiri terasa kekurangan dalam hidupnya seperti yang dirasai anaknya itu.
“Kenapa Aiman kena
rotan pula ibu?” soal anak sulung Raina kebingungan.
“Maafkan ibu ya. Bukan
hendak rotan Aiman. Kata-kata sebegitu dipanggil peribahasa Melayu. Aiman sudah belajar di sekolah apa
itu peribahasa, bukan? Cuma Aiman belajar simpulan bahasa lebih
banyak.” Raina cuba menjelaskan.
Terpinga-pinga pula anaknya itu mendengarnya.
“Tapi Ibu, Aiman bukan
ada kaitan dengan peribahasa itu, Aiman cuma hendak buat kerja sekolah matematik.” Aiman mencelah.
“Ya,sayang. Ibu
maksudkan tadi, jika ayah dan atuk tiada, ibu masih boleh bantu Aiman juga.
Begitu juga maksud peribahasa tadi bahawa jika sesuatu yang kita perlukan
tiada, barangan atau benda yang bersesuaian fungsi masih dapat kita gunakan.”
Pujuk Raina.
“Tapi, ibu pandaikah
seperti ayah dan atuk buat kerja matematik?” Aiman tiba-tiba keraguan,
sedangkan tadi dia beriya-ya meminta diajarkan mata pelajaran matematik itu.
Sambil itu Aiman menundukkan kepala mencium pipi Rania.
“Aiman tidak boleh
anggap apabila ibu jarang membimbing Aiman buat kerja sekolah, ibu tidak tahu.
Ibu dahulu adalah antara anak murid kesayangan guru matematik ibu. Boleh
dikatakan ibulah yang paling disayangi kerana selalu dapat markah tinggi dalam
mata pelajaran matematik” Jelas Raina memadamkan anggapan negatif di minda
anaknya itu.
“Cubalah ibu ceritakan
kisah ibu masa kecil-kecil dahulu… Ayah selalu cerita tentang diri ayah dan
kawan-kawan ayah. Ibu tahu, termasuk tentang kekasih ayah sejak kecil dahulu.”
Aiman teruja untuk mengetahui kisah hidupku sewaktu kecil dahulu. Sikap Aiman
Al Amin memang banyak menyerupai sifat ayahnya, Ikram.
“Baiklah, biar ibu letak
adik dahulu di tilam ya. Sekejap lagi ibu kongsikan kisah dan pengalaman hidup
ibu kepada anak-anak ibu.” Raina mendukung Rania untuk diletakkan di tilam
Narita di lantai.
“Boleh tak kami hendak
dengar sama-sama dengar kisah ibu?” Riana Iftitah mendekati adiknya baru
diletakkan lalu mencium Rania dengan lembut. Rania berkalih apabila dicium oleh
kakaknya.
“Airil juga ya, ibu!”
Airil Zaqwan pula mendekati ibu mereka.
“Baiklah, jika semua
hendak dengar kisah ibu masa kecil dahulu, matikan televisyen dahulu dan
matikan suiz lampu yang tidak digunakan. Tidak elok jika kita membazir.” Raina
menyambung.
“Membazir itu amalan
syaitan, kan ibu!” pantas Riana mencelah.
“Anak-anak ibu memang
pandai. Sekarang semua anak ibu yang cerdik dan hebat ini pergilah matikan
semua suiz yang tidak digunakan. Boleh?”
Raina Najwa memberikan arahan lembut untuk mendidik anak-anak tidak mengamalkan
pembaziran.
Raina Najwa duduk di
sisi pembaringan Rania sambil mengusap
lembut rambut kanak-kanak mungil itu. Tiga orang lagi anak-anaknya Aiman
Al-Amin, Riana Iftitah dan Airil Zaqwan duduk di sisinya. Raina Najwa memulakan
ceritanya pada zaman kanak-kanak dan persekolahannya.
“Arai, awak sudah
menghafal sifir yang Mr Smart suruh semalam itukah?” Lilian berlari-lari
mengejar Raina Najwa.
“Sudahlah Lilian, saya
memang sudah hafal sejak minggu lalu. Sekarang ini saya sedang hafal sifir 12.”
Jawab Raina.
“Awak sangat baguslah
Arai. Patutlah Mr Smart sayang awak. Kami baru hendak hafal sifir
sembilan, awak sudah hafal sifir dua belas. Mr Smart selalu puji awak.” Lilian memuji Raina.
Panggilan Mr Smart sudah melekat di bibir ahli kumpulan mereka seramai 6
orang itu untuk guru Matematik mereka. Mr Smart akronim yang mereka
cipta untuk guru mereka yang bermaksud Melayu/Malaysia (Bahasa Malaysia),
Sains, Matematik dan art (Seni lukis).
Dari jauh kelihatan
Alagesan melambai-lambai sambil berlari
ke arah mereka. Laju sekali diikuti oleh Melissa dan Ainani.
“Kalian nampak Iqram
dan Samuel tak?” soalnya sambil
termengah-mengah lalu turut duduk di bawah pohon ketapang di hujung padang
sekolah itu.
“Apa masalah kau ini,ane?
Sudah tambah gelap aku tengok!” Lilian menjerkah Alagesan yang belum reda
lelahnya.
“Huh, sedap aku dengar
kau panggil aku ane…tapi kau janganlah pandang rendah. Betul tak Arai, orang
kata hitam-hitam si tampuk manggis, sungguhpun hitam dipandang manis.” Alagesan
bukan marah malahan mengusik Lilian kembali.
Raina dan Melissa hanya tertawa. Dua orang manusia ini memang tidak
boleh berjumpa, ada sahaja pertengkarannya.
“Jangan marah Lilian,
awak kutuk-kutuk Ala..mana tahu silap-silap awak berjodoh dengan dia.” Melissa
mengusik mereka.
“Mana boleh ma.. aku
orang Cina, Ala orang India. Nanti mama saya terkejut dapat menantu macam ini!”
Lilian membela diri pula.
“Cubalah kau bayangkan
kau jadi isteri ane. Tentu anak kita tidak gelap tidak putih tetapi comel,
manis, cantik macam Arai. Aku suka! Aku Suka!” Alagesan terus menggiat. Bicara
kanak-kanak berusia 11 tahun ini sudah melencung jauh daripada tujuan asalnya.
“Kawan-kawan, bukankah
kita berkumpul petang ini sebab hendak ulangkaji pelajaran dan menghafal sifir.
Kenapa sampai fikirkan hendak dapat anak macam saya pula?” Raina Najwa
mengingatkan kawan-kawannya.
“Yalah! Alagesan ini
yang mulakan Arai.”
“Kawan-kawan, awak
semua tahu tak Arai sudah hafal hingga sifir 12, kita sifir sembilan belum
hafal lagi. Teruklah esok kalau kena lari keliling padang lagi. Lagi teruk
kalau terpaksa pungut kerengga lepas itu
genggam. Adegan itu yang aku paling tidak suka! Aduh, tolong!” Lilian
akhir dapat melepaskan diri daripada perbualan yang menjerat dirinya tadi.
“Arai, itu buah hati
kau datang. Samuel dan Johan Bob pun ada.” Melissa menunjuk ke satu arah.
Kelihatan tiga orang lagi sahabat menuju ke tempat rutin perjumpaan mereka.
“Kenapa lambat? Sudah
berpeluh aku mempertahankan diri daripada dikutuk oleh jelitawan-jelitawan yang
ada ini!”
“Lebih baik lambat daripada tidak sampai
langsung. Betul tak, kawan-kawan?” Iqram menyapa kumpulan itu. Ada bunyi sinis
kedengaran nada itu.
“Aku minta maaf lambat. Abah aku ajak makan
bersama tengahari tadi..” Iqram Hafiz.
“Hari ini kenapa pula?” tiba-tiba Samuel
mengganggu wacana perbualan mereka.
“Kenapa apa? Hish apek ini datang-datang
hendak menyampuk..” selar Melissa. Raina
Najwa hanya tersenyum.
“Ya lah, kenapa abah si Iqram ini tidak
balik lagi? Hairan betullah!” sambung Johan Bob menyokong dan menjawab bagi
pihak Samuel Lim.
“Dia ada latihan dengan pasukan bola sepak
sebab itu dia balik lambat sikit. Kebetulan dia tahu kita ada perbincangan
petang ini sebab tadi aku minta duit belanja.” Jawab Iqram.
“Hish, sudahlah lambat. Cepatlah siapa yang
hendak tasmid dahulu ini?” soal Lilian mencelah mematikan perbualan mereka.
Semua mata memandang kepadanya.
“Tasmid?” soal mereka seakan-akan serentak.
“Baca Al-Quran kah, hendak tasmid tajwid
bacaan? Biar betul amoi ni.” Alagesan ketawa terbahak-bahak.
“Awak semua pun tahu perkataan itu?” Johan
Bob bertanya seperti tidak percaya.
“Kita orang Malaysia, ma! Mesti tahulah..”
lilian menjawab bersahaja.
“Betullah itu bukan? Kita satu Malaysia,
berbagai-bagai kaum dan budaya serta bahasa tetapi kita mesti tahu tentang
bangsa dan negara kita. Mesti kenal budaya kita. Satu bangsa, satu Malaysia.
Macam kita sekarang ini. Apa salahnya jika guna untuk menyemak sifir sahaja?
Macam tasmid jugalah.” Melissa menyokong Lilian.
“Seorang lagi amoi bercakap, sungguh
hebatlah. Aku teruja sangat!” Alagesan menggayakan lagak orang yang sangat
teruja.
“Memang sama maknanya tetapi tidak sesuai
untuk digunakan selain untuk menyemak dan bacaan al-quran. Kenalah gunakan
istilah yang betul.” Raina Najwa memberikan pendapat.
“Fuh, jika Arai berkata-kata aku lagi
teruja. Macam ayat dalam karangan. Patutlah Mr. Smart sayang kau. Bijak
dalam Bahasa Malaysia, mahir dalam matematik, kreatif dalam seni lukis. Selalu
dapat A, markah tidak pernah kurang 90. Untunglah kau Iqram dapat buah hati
bijak.” Alagesan terus mengusik.
“Sudahlah. Lagi lama kita berbual lebih
banyak kita membuang masa. Cepat Lilian, awak dulu baca sifir. Saya dan Iqram
semak ya.” Raina Najwa memang tidak suka dipuji berlebihan seperti itu.
Kebetulan sememangnya semua mata pelajaran itu menjadi minatnya maka tidak
hairanlah dia mampu menguasainya dengan baik.
Sesi menghafal sifir diteruskan hingga ke
petang. Masing-masing berpuashati dengan penguasaan masing-masing. Bukan sahaja
sifir sembilan malahan sifir sepuluh dan sebelas juga telah mereka hafal dan
ingati. Esok dalam kelas Matematik pasti mereka dapat melepasi ujian saringan Mr.Smart
yang menjadi contoh dan idola mereka
itu. Biarpun cikgu itu merupakan seorang cikgu yang tegas, dan dianggap garang
oleh kebanyakan pelajar.
Ada juga dalam kalangan pelajar
menggelarnya cikgu drastik terutama kelas-kelas yang diajar oleh Mr.Smart. Ada
sahaja tindakannya dan denda yang dilaksanakannya menyebabkan mereka malu dan
marah. Pernah ada ibu bapa yang mengadu kepada Guru Besar tentang hal anak-anak
mereka didenda sebegitu rupa. Namun Mr
Smart tetap juga dengan prinsip dan
caranya mengajar. Tiada pilih kasih. Jika anaknya sendiri pun akan diperlakukan
dengan cara yang sama.
Bagi kumpulan elit berwawasan nama yang
diberikan bagi kumpulan Raina Najwa, Melissa Robert, Lilian, Samuel Lim, Iqram
Hafiz, Johan Abdullah dan Alagesan itu, Mr
Smart merupakan guru kesayangan
mereka. Setiap mereka dalam kumpulan itu pernah melalui saat-saat yang
memalukan dan dikenakan pelbagai denda kecuali
Raina Najwa. Ada antara mereka pernah didenda duduk di bawah meja sambil
menghafal sifir. Ada pula yang perlu melekapkan muka ke papan putih berconteng
dan mesti membiarkan kekotoran yang terlekat itu sehingga habis waktu
persekolahan. Ada yang kena berlari lima pusingan padang dan mengenggam
kerengga salam tapak tangan sambil berdiri di luar kelas. Jika kali pertama
didenda dengan dendaan ringan tetapi tidak ada kemajuan pada esok harinya,
dendaan akan menjadi semakin berat.
“Ibu, kenapa cikgu ibu itu kejam? Mana
boleh buat macam itu? Macam penderaan sahaja Aiman rasa.” Tiba-tiba Aiman
mencelah ketika Raina Najwa bercerita tentang Mr Smart.
“Bukan kejam Aiman tetapi Mr Smart ada caranya sendiri untuk mendidik.” Raina
menjernih fikiran negatif anak sulungnya itu.
“Mana boleh buat macam itu kan abang!
Kalau Riana, lagi Riana tak mahu buat.
Riana menangis dalam kelas itu juga.” Kembar Aiman Al Amin menyokong abangnya.
“Hish, adik ini tahu hendak menangis
sahajalah. Kita tidak boleh cepat mengalah, kan ibu!” Aiman seakan-akan mula
memahami.
“Ibu masa dahulu itu sudah ada satu
Malaysiakah?” tiba- Riana bertanya. Raina tertawa kecil, tidak terduga pula
akan pertanyaan yang satu itu.
“Belum sayang, kebetulan sahaja tetapi kami
memang sudah mengamalkannya tetapi masa itu lebih dikenali sebagai Budaya
Kebangsaan. Macam satu Malaysia jugalah” Raina cuba memahamkan anak-anaknya
tentang persamaan konsep itu. Anak-anaknya mengangguk-angguk. Entahkan faham
entahkan tidak Raina Najwa sendiri tidak pasti.
“Ayah dan ibu dulu cinta-cinta ya? Kenapa
nama ayah ada dalam cerita ibu ya? ‘Awek’ ayah selalu cakap dan cerita itu ibu ya. Ibu
dan ayah sekolah sama-sama ya. Ayah kata ‘awek’ ayah lebih pandai
daripada ayah tapi ibu tak pandai pun. Ibu duduk di rumah jaga anak-anak. Kalau
ibu lagi pandai daripada ayah tentu ibu kerja lagi besar daripada ayah,kan? Airil
keliru ini… keliru betul” Airil Zaqwan bercakap tidak putus-putus. Memang
anaknya yang ketiga itu, biarpun baru menjangkau lima tahun tetapi sudah bijak
mempersoalkan pelbagai perkara. Bak kata bapa mertuanya,Muhammad Al Amin; macam
orang tua sahaja lagaknya.
“Banyaknya Airil tanya. Ibu hendak jawab yang
mana satu ini?” Soal Raina Najwa menduga anaknya itu.
“Jawab semualah. Bukankah semua soalan
macam sama sahaja.” Airil membalas usikan ibunya. Raina Najwa tersenyum dengan
jawapan anak kecil itu.
“Hendak dengar cerita ibu lagi?” Soal Raina
Najwa kembali.
“Mestilah ibu..” Pantas Aiman menjawab.
Semua pelajar kelas 5 Amanah rasa
berdebar-debar menanti Mr.Smart masuk ke kelas. Hari itu mereka akan
mendapat keputusan untuk kertas ujian peperiksaan akhir tahun. Pastinya setiap
orang mengharapkan keputusan terbaik kerana selain bimbang mendapat keputusan
bawah lima puluh peratus, mereka juga bimbang dengan denda yang bakal mereka
terima. Mr Smart memang pernah
mengatakan jika mereka mendapat keputusan bawah lima puluh peratus beliau tidak
ragu-ragu untuk mengenakan hukuman atau denda. Namun yang pasti denda itu tidak
akan mencederakan sesiapa. Mr Smart tidak pernah ingkar pada janji yang dibuatnya.
“Assalamualaikum dan selamat sejahtera
cikgu!” Ketua kelas memberikan ucap selamat diikuti oleh semua pelajar dalam
kelas. Mr Smart berdiri di hadapan kelas dengan tenang dan sedikit
ceria.
“Hari ini awak semua boleh menilai
keputusan yang awak dapat dan keputusan ini akan menentukan sama ada awak akan
kekal dalam kelas 6 Amanah atau turun ke kelas lain.” Mr. Smart memulakan
bicara untuk hari itu. Kebetulan pula beliau merupakan guru kelas 5 Amanah.
“Untuk pengetahuan semua, cikgu berasa
bangga dengan kelas ini kerana berjaya mengekalkan semua ahlinya untuk ke
darjah 6 Amanah tahun hadapan. Tahniah. Dan keputusan keseluruhan sudah saya
siapkan dan ada di tangan saya. Sebelum itu saya ingin menyerahkan kertas ujian
yang masih ada di tangan saya. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Raina
Najwa kerana berjaya berada di tempat pertama kedudukan keseluruhan darjah 5 dan
merupakan pelajar contoh pada tahun ini. Atas usaha gigih Raina, cikgu akan
memberikan hadiah daripada cikgu sendiri sebagai dorongan kepada Raina untuk
lebih berjaya akan datang” Suara Mr Smart begitu ceria. Semua kelas turut
tersenyum dengan wajah ceria guru mereka.
“ Satu perkara lagi saya ingin beritahu
awak sekalian. Tidak pasti sama ada berita ini berita baik atau buruk untuk
awak semua.” Mr Smart mendiamkan diri
seketika.
“Berita apa cikgu?” Alagesan memang selalu
tidak sabar.
“Beritanya ialah cikgu akan tetap mengajar
kamu dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik.” Mr. Smart
mengumumkan.
“Yeah, saya suka.. saya suka cikgu.”
Alagesan dan Samuel terus bangun dan berjoget-joget.
“Alagesan dan Samuel, kenapa dengan awak
berdua ini? Saya suruh awak lari keliling padang sepuluh kali hendak tak?” Mr.
Smart memberikan ancaman.
“Ala cikgu simpan tahun hadapanlah! Tetapi
tahun hadapan pun macam tidak berpeluang sahaja hendak denda kami. Sebabnya
cikgu saya sudah hafal dan ingat sampai sifir 25, cikgu!” Alagesan dengan
pelatnya India girang bercakap.
“Nanti saya suruh hafal sifir 38 pula.” Mr
Smart turut ketawa bersama-sama kelas.
“Dengan segala tunjuk ajar cikgu, bagilah
apapun nombor… saya pasti boleh kira. Sebab itu jugalah semua kelas boleh dapat
keputusan baik dalam ujian Pra Penilaian Sekolah Rendah.” Dengan bangganya
Lilian menyampuk.
“Betullah itu menaci, ane memang sangat
suka dengan menaci.” Alagesan tidak mahu mengalah. Riuh rendah kelas 5 Amanah
dibuatnya.
Setahun lepas itu peperiksaan Penilaian
Sekolah Rendah dilalui. Rata-rata pelajar kelas 6 Amanah mendapat keputusan
terbaik. Maka setiap seorang daripada mereka berpisah kerana mendapat tawaran
belajar di Sekolah Berasrama penuh. Begitu juga dengan ahli kumpulan Elit
Berwawasan. Iqram Hafiz dan Johan Bob
masing-masing dapat masuk Maktab Rendah Sains Mara. Yang lain-lain ada yang
dapat masuk ke Sekolah Sains Berasrama Penuh dan seumpamanya. Dan nasihat
daripada Mr Smart akan mereka pegang untuk perjuangan seterusnya.
“Anak-anak di hadapan saya ini,benar-benar
membuat saya berasa bangga dan dihargai. Ingat anak-anak, dalam hidup kita ini
kita akan sentiasa perlu berusaha dan tekal dalam membina sesuatu. Terutama
membina hidup kita pada masa hadapan. Selama ini, cikgu mempunyai matlamat
untuk melihat awak semua berada di landasan yang betul dan sebab itu cikgu
berusaha untuk membolehkan awak semua menjadi seorang yang cekal dan tabah
dengan kesakitan dan kepayahan. Cikgu ingin membina awak semua agar menjadi
seseorang yang bukan sahaja boleh menggunakan ilmu itu tetapi akan dapat
membina jati diri yang teguh dalam diri masing-masing. Cikgu hendak awak semua
menjadi sebiji benih yang baik. Dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke
darat menjadi gunung. Bukan setakat menerima dan mengaplikasi idea orang lain
tetapi menjadi orang yang dapat memanafaatkan segala sumber untuk membina diri
dan membina orang lain. Jika suatu hari nanti cikgu bertemu dengan seorang
arkitek, biarlah orang itu awak di hadapan saya. Jika cikgu bertemu dengan seorang
doktor pakar yang terbaik biarlah doktor itu awak yang di hadapan saya. Jika
saya bertemu dengan jurutera hebat, semoga jurutera itu awak di hadapan saya
ini. Dan jika awak berjaya membina empayar awak sendiri kelak, jangan lupa
untuk membina generasi seterusnya menjadi Pembina diri yang terutama.” Ucapan Mr.Smart
ketika di majlis keraian dan perpisahan pelajar tahun itu. Dan pesanan itu
terpahat di minda semua anak didiknya.
Tiga belas tahun berlalu. Raina Najwa pulang ke daerah itu kembali.
Daerah di mana dia mengenali seseorang yang menjadi pendorong, membina hidup
yang lebih baik. Petang itu Raina memang
merancang mengunjungi pasar malam Tanjung Mutiara yang terkenal itu. Langkahnya
disusun rapi menuju gerai jualan pelbagai juadah siap dan kuih-muih. Senyum di
bibirnya semakin melebar. Alhamdullillah. Wajah tua itu ditatapnya dari jauh.
Rindunya dia kepada wajah itu. Wajah seorang guru yang sentiasa terpahat
menjadi idola hatinya. Dan senyumnya tambah manis melihat seorang jejaka di
sisi lelaki itu. Semakin tampan dan segak. Berbeza dan sangat anggun. Kerinduan yang terkumpul
begitu menebal.
“Assalamualaikum… Pak cik beri saya 20 biji
karipap ini, 25 kuih ketayap ini, 31 biji donat coklat, 36 popia basah dan kuih
koci ini 33 biji..” Raina Najwa sengaja merumitkan pengiraan jumlah harga
kuih-muih itu kerana dia tahu harga setiap kuih itu berbeza.
“Banyaknya cik beli, ada kendurikah..?”
soal lelaki tua itu.
“Bukan kenduri tetapi keluarga saya balik
berkumpul. Jadi kenalah beli banyak.” Raina menjawab.
“Tetapi kenapa jumlahnya berbeza-beza?”
lelaki tua itu masih tunduk mengisi kuih ke dalam plastik. Lelaki muda itu pula
sibuk melayan pelanggan lain.
“ Saya sengajakan, sebab saya pasti
seberapa rumit pengiraannya, Mr Smart pasti dapat menyelesaikan pengiraan
itu dengan pantas dan tepat.” Raina berkata dengan yakin. Pelanggan di gerai
itu tinggal dia seorang. Kedua-dua orang lelaki di hadapan mengangkat muka dan
memandangnya.
“Mr Smart masih ingat saya?” soal
Raina kepada mantan gurunya itu. Dua pasang mata memandang tepat kepadanya.
“Arai!” Jerit lelaki muka itu dengan
perubahan muka yang ketara.
“Raina Najwa? Bila balik ke sini?” Mr
Smart tertegun seperti tidak percaya dengan kehadiran Raina Najwa.
“Sudah dua minggu saya balik. Maaf cikgu.
Baru berkesempatan menemui cikgu.” Raina menjawab lembut.
“Dengarnya, menantu saya ini sudah
menyelesaikan Phd sekali ya. Hebat!” Mr Smart bertanya tanpa rasa bersalah.
“Ayah… malulah Iqram!” rungut Iqram Hafiz
di sebelah Mr. Smart.
“Betulkan yang kamu memang tunggu Raina
ini… Sudah ada depan mata ini ayah permudahkan sahaja. Kamu bukan tak tahu ayah
mengamalkan sikap membina. Ayah cuma hendak kamu membina keluarga dengan
pilihan hati kamu yang kamu tunggu dan setia selama ini.” Pintas Mr. Smart.
“Aduh, ayah… tolonglah!” Iqram Hafiz
menepuk dahi. Raina Najwa hanya tersenyum.
“Bila boleh ayah masuk meminang Raina ya?
Bakal suami kamu ini, nama sahaja menjawat Ketua Jurutera tetapi hendak membina
keyakinan luahkan rasa hatinya pun susah sangat.” Mr Smart memang
berterus-terang. Hal yang baik kenapa perlu bertangguh.
“Insyaallah, dua minggu dari sekarang
keluarga kami akan berkumpul lagi. Ayah bolehlah datang dengan rombongan untuk
pertunangan itu. Ibu sudah maklumkan hajat ayah itu sebelum saya pulang ke
tanah air. Ayah sengaja ya?” Raina memberikan jawapannya.
“Bila ayah pergi merisik ini?” Muka Iqram
yang putih sudah merona merah.
“Telefon sahaja bukan pergi ke rumah Arai
pun. Sekarang ini dunia di hujung jari. Guna webcam sahaja ayah bercakap dengan
keluarga Arai kau ini.” Mr Smart memang cekap.
“Tak melanggar adat ke ayah?” Iqram Hafiz
terkejut dengan berita yang baru diketahuinya itu.
“Apa yang melanggar adatnya. Ayah hanya
kasihan kamu.. termenung sahaja. Kalau bercakap, asyik bertanya bila Arai
hendak balik. Sudah selesai semuanya ini, senang sikit hati ayah.” Mr Smart
memang seorang yang tegas dan terancang.
“Oops, jangan kata Mr Smart itu Atuk
Aiman, Haji Muhammad Al Amin bin Haji Abdul Ghaffar… Ibu?” Aiman memang cepat
menangkap sesuatu yang tersirat.
“Itulah Mr. Smart ibu, sayang!”
Raina mengiyakan telahan Aiman.
“Jadi, anak murid kesayangan atuk Aiman itu
ibu lah?”
“Ya, sayang..”
“Tapi kata atuk anak murid kesayangannya
adalah Pengarah Urusan syarikat. Aiman tidak pernah pun tengok ibu pergi kerja
pun .” Aiman terus bertanya. Riana dan Airil hanya menganggukkan kepala
bersetuju dengan pertanyaan Aiman.
“Ibu ada apa itu, Phd ya.. ibu belajar
apa?” Riana pula bertanya.
“Ibu pergi ke pejabat sesekali sahaja.
Lagipun dunia semakin maju, jadi ibu hanya berurusan dari rumah melalui
internet. Ibu belajar bidang perniagaan,sayang.. sebab ibu suka mata pelajaran
matematik.” Raina Najwa menjelaskan untuk menghilangkan kekeliruan anak-anak
itu.
“Kenapa ibu ambil keputusan berkerja dari
rumah sahaja?” Aiman masih tidak berpuashati.
“Sebab ibu hendak menuruti jejak Mr.Smart
membina keluarga dan anak-anak ibu menjadi aset berguna untuk agama,bangsa dan
negara.”
“Jadi ibu sama hebat dengan ayah dan
atuklah” Riana bertanya lagi.
“Tiada manusia yang hebat. Ibu, ayah dan
atuk mempunyai bidang masing-masing untuk membina generasi seterusnya dengan
pendekatan masing-masing. Bagaimana hebatnya ibu dan ayah hari ini adalah hasil
konstruksi seorang muaddib seperti Cikgu Muhammad Al Amin atau Mr.Smart kami.”
Raina Najwa terus menjelaskan.
“Muaddib itu apa, ibu?” Akhirnya barulah
terdengar Airil bersuara.
“Muaddib itu bermaksud pengajar, pengasuh
dan pendidik. Airil boleh faham.” Najwa berkata lembut lalu mengucup dahi
anaknya itu.
“Kalau boleh, kami pun hendak jadi muaddib
seperti Mr Smart, boleh tak ibu?” Airil terus bertanya.
“Boleh
asal kita ada cita-cita, kita pasti boleh membinnya. Baiklah sudah malam ini.
Jom masuk bilik masing-masing, masa untuk tidur!” Raina Najwa dan anak-anak
beriringan ke bilik tidur masing-masing
Tiada ulasan:
Catat Ulasan