Sabtu, 6 Jun 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 3 )

BAB 3 : DIA YANG KUTUNGGU SENTIASA....

Hari ini hari ahad. Hujung minggu begini setiap jam 5.00 petang aku sudah berada di pangkin di hadapan rumah ayah. Menunggu seseorang. Seseorang yang kurasakan begitu istimewa dalam hidup. Dia cinta pertamaku..tapi aku tidak pasti adakah ia 'cinta,? Atau hanya angan-anganku sahaja. Setiap petang hujung minggu begini dia akan melintas di hadapan rumah ayahku ini. Aku pasti dan dia seperti dipanggil akan melambai-lambai aku. Dia pasti mematikan enjin motor kawasakinya di kedai Pak Mat yang tidak jauh dari rumah ayah. Sedangkan hari ini aku belum nampak kelibatnya dan aku berharap sangat hari ini dia akan singgah ke sini. Pangkin yang dibuat ayah untuk berehat-rehat. Betul-betul menghala ke jalan. Ada berita yang ingin kusampaikan.

Mengapalah lambat sangat dia, hari ini. Masa terus berjalan sudah mencecah jam 6.45 petang. Mengapa dia tidak lalu-lalu lagi? Atau dia tidak balik minggu ini.. Atau, sudahkah dia pulang ke Kuala Lumpur?

Aku masih menanti dengan sabar. Jam 7.00 petang. Terkejut aku oleh ayah yang tiba-tiba ada di sebelahku. Sudah lama ayah berdiri di situ. Aku sahaja yang tidak menyedarinya.

"Rima, dah hampir masuk waktu maghrib. Tidak elaok anak dara duduk di sini. Tambah-tambah waktu begini." Ayah menegurku lembut.

Aku bingkas bangun menuruti ayah. Waktu begini biasanya ayah akan melihat ayam itiknya sudah masuk ke reban atau tidak.. Mengunci reban supaya tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Ayah memang seorang yang sangat perihatin dan teliti.

"Ayah marah, ya?" tanyaku perlahan. Ayah diam sahaja.

"Ayah marah Rima?" sekali lagi aku bertanya;juga agak perlahan supaya ibu tidak mendengar bicara kami. Aku menunggu.

"Tidak. Ayah tahu Rima sudah boleh buat keputusan sendiri. Rima sudah besar, tapi duduk melangut di tepi jalan macam tu, bukankah tidak manis. Ayah bimbang apa pula kata orang kampung nanti."

Senyap.

'Ah, orang kampung ni tidak boleh tengok orang senang agaknya!' dengus hatiku.

"Macam ayah tidak pandai mengajar anak. Anak gadis pula tu"

"Kalaulah orang tahu Rima tunggu Zaidi. Tentu labih buruk jadinya. Mulut orang ni bukan macam mulut tempayan, boleh ditutup-tutup."

Ayah terus menuju ke bilik mandi. Aku tahu ayah akan ke surau. Ayah pengerusi surau di kampung ini. Ayah mesti tunjukkan telada yang baik. Atas sebab itu ayah selalu mengingatkan aku tentang adab sopan sebagai seorang anak gadis.

Ayah akan cakap baik-baik sekiranya ingin menegur kami beradik-adik terutama aku. Ayah seakan-akan takut akan menyinggung perasaanku. Mungkin dia dapat merasakan apa yang aku rasa sepanjang 15 tahun yang lalu.

Aku terus ke bilik. Ibu sedang menyediakan hidangan makan malam, ku kira. Aku lihat kakak-kakakku sibuk menolong ibu sambil bergurau. Sesekali terdengar gelak tawa mereka. Aku tahu ibu sesekali menjelingku.

"Rima.. mencukanya muka kau! Sampai sini masamnya. Hajat tidak kesampaian ke?" laung salah seorang kakakku.

Aku memandangnya. Mencemekkan mukaku. Aku masuk ke bilik. Aku mencapai tuala mandi. Sejurus aku tersedar aku sudah pun mandi . Aku terasa ingin bersama-sama kakak-kakakku namun aku malas mendengar ejekan mereka. Ibu pun akan bercakap satu dua ayat sahaja denganku.

Dari dalam bilik, aku terdengar deruan motor ayah. Sudah ke surau agaknya, ayah. Aku keluar menuju ke bilik air. Ibu masih sedang menghidang makanan. Memang kami makan malam sewal 7.30 hingga 8.00 malam. Kecuali ayah. Ibu akan menemai makan malam ayah sekembalinya dari surau. Berdua-duaan sahaja. Aku mengambil wuduk dan terus masuk kebilik.


Usai solat, tiada apa yang aku lakukan. Aku segera mengambil surat tawaran kolej yang aku terima kelmarin. Aku termenung panjang. Aku bangun mengambil pena dan kertas. Malam isnin, aku biasa menulis kepada Zaidi. Walaupun pada siang hari kadangkala dia akan bertandang ke rumah ayah menemuiku. Cuma minggu ini aku tidak melibat kelibatnya langsung. Tidak balikkah dia minggu ini? Apakah masalah dia? Berkecamuk fikiran ku

Aku mulai menulis.

Setulus ingatan mesra buat Alang Di..
Rima berkunjung kembali ke arena persuratan ini. Semoga Alang Di sentiasa mendapat keberkatan dalam kehidupanmu..


Dan, mata pena terhenti. Aku betul-betul buntu. Perutku tiba-tiba berkeroncong. Ah, aku teringat aku belum makan. Aku bingkas bangun dan keluar ke ruangan makan. Makanan terhidang rapi.

Aku ambil pinggan dan kuisi nasi serta lauk-pauk. Terdengar ayah sudah pulang. Ayah memberi salam. Sejurus ibu dan ayah masuk ke ruang makan.

"Hendak ke mana,Rima? Mari makan sekali dengan ayah dan ibu." Pelawa ayah. Ibu mengangguk. Aku meletakkan pinggan ke atas meja dan mengambil tempat dudukku. Suasana sepi. Cuma ayah sesekali batuk. Ayah memang melarang kami bercakap sewaktu makan. Adap sopan yang tidak kuabaikan.

Selesai makan, ayah memandangku. Aku juga sudah selesai dan hendak bangun.

"Ayah jumpa Zaidi di surau tadi." spontan dari mulut ayah. Ibu mengangkat sedikit pandangannya kepada ku. Aku berdiri tegak di tepi meja. Berdegup kencang jantungku tiba-tiba.

" Dia kata cuti seminggu. Ambil cuti tahun katanya."

Aku diam dan terus berjalan ke dapur. pinggan ku letakkan ke singki. Oleh sebab fikiranku jauh melayang, aku tersenggol kole di tepi singki.

Tang!

Adik-adik berlari ke dapur

"Kenapa kak?" salah seorang bertanya.

" Tak ada apa-apalah.. Kole ni terjatuh."

"Terkejut kami" Masing-masing bergerak semula ke ruang tamu. Aku tersenyum sendiri.

Patutlah aku tidak nampak dia balik ke Kuala Lumpur tadi. Hatiku tiba-tiba berbunga-bunga.


Surat tadi kurenyuk. Ah! Esok tentu dia datang.

'Zaidi, Zaidi..... buat resah aku saja.' getus hatiku. Aku terlena bersama senyuman di bibirku mengenangkan Zaidi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan