Sabtu, 6 Jun 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 4 )

BAB 4 : DIA YANG DI HATI ....

Zaidi.

Zaidi, nama yang terpahat di hatiku ini. Tidakkah dia teringatkan aku ini. Di atas meja masih tiada sebarang apa yang aku harapkan. Aku hampa. Ke mana perginya Zaidi?

Mukaku mula mencuka. Aku mencetak surat perjanjian usahama yang telah kusiapkan tadi. Serasa ada mata-mata yang sedang memerhatikan aku. 'Ah, pedulilah!'

Fikiranku menerawang kembali kepada Zaidi. Zaidi yang kukenali melalui kawan baikku Zayana. Zaidi abang Zayana. Aku memanggilnya dengan panggilan Alang Di; sepertimana panggilan oleh keluarga Nana. Aku berasa lebih mesra begitu.

Alang Di lebih tua tujuh tahun daripada aku. Aku mengenalinya sejak usia 10 tahun lagi. Alang Di memang baik dengan aku. Dia cepat mesra. Dia agak bijak terutama dalam bidang matematik dan perakaunan. Aku dan Nana sering meminta Alang Di membantu dan mengajar kami mengulang kaji mata pelajaran matematik. Alang Di tidak pernah menolak.

Alang Di memang agak rajin dan sabar melayan karenahku. Memang aku agak nakal seperti budak lelaki lagakku. Tetapi Alang Di tidak pernah mengambil kisah semua itu. Baginya asalkan aku gembira, dia akan turut gembira.

Selalunya Alang Di akan menunggu kami pulang dari kelas agama. Menemani aku pulang sehingga ke rumah datuk. Rumah Nana terletak di tengah-tengah kedudukan rumah atuk dan rumah ayah. Namun sebatu juga jaraknya. Jarak sedekat itu pun, ibu jarang melawatku.

Kami akan berbasikal bersama. Nana dan Alang Di akan menghantar aku terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah mereka bersama-sama. Alang Di memang setia menunggu aku setiap petang dan menghantar aku pulang.. Saban hari. Walaupun kami akan melintasi rumahnya sebelum sampai ke rumah datuk. Tetapi Alang Di sanggup. Demi aku katanya.

Alang Di memang anggun di mataku. Aku memang marah kalau ada rakan-rakan mendekati Alang Di. Padaku tiada sesiapa pun boleh merampasnya dari aku. Alang Di juga seperti faham keadaanku. Dia betul-betul menjaga aku.

Aku rasa disayangi Alang Di. Rasa dihargai. aku bangga dengan perhatian Alang Di kepada aku.
Sebab lain aku bangga ialah Alang Di sebenarnya memang tampan. Bukan pada pandangan mataku sahaja. Pada pandangan orang lain juga. Alang Di bijak dan pandai bergurau. Alang Di merupakan ketua pelajar di sekolahnya. Tentunya Alang Di berwibawa.
anak ketiga daripada 9 orang adik-beradik, bukan sahaja dihormati sering dipuji oleh keluarganya tetapi juga disebut-sebut oleh orang kampung. Along Zaman, abangnya juga sangat menghormatinya. Along Zaman akan mengambilkira pandangan Alang Di dalam mengambil sebarang keputusan. Along Zaman akan mendahulukan Alang Di dalam membuat pilihan dan tindakan. Along Zaman merupakan ketua keluarga Nana setelah kematian ayahnya 12 tahun lalu. Namun Along Zaman amat menghormati Alang Di. Dan apa saja yang berhubung dengan masa depan keluarga serta keputusan sebesar mana sekalipun mesti mendapat persetujuan Alang Di.

Alang Di memang hebat.

Alang Di bukan sahaja bijak dan disegani. Alang Di sememangnya seorang yang segak. Badannya sasa dan kulitnya yang agak cerah menampakkan lagi ketampanannya. Aku sangat tertarik setiap kali berbicara dengan Alang Di. Kumisnya yang kehijauan terutama selepas bercukur menampakkan dia lebih kacak. Tingginya sahaja hampir enam kaki.. Aku sendiri akan mendongak ketika bercakap dengannya..

Tetapi Alang Di faham. Dia akan duduk sekiranya aku ingin berbincang atau bercakap dengannya. Atau menundukkan sedikit kepalanya rapat kepada aku, mendengar apa yang ingin kuperkatakan.

Aku pula terlalu jauh berbeza berbanding dengan Alang Di. Aku yang berkulit kuning langsat dan agak rendah ini rasanya jauh berbeza daripada Alang Di. Cuma Alang Di, kata senyumanku seperti pelakon dan seniwati Latifah Omar bezanya aku tiada tahi lalat seperti Latifah Omar. Bangga sungguh aku!

Alang Di tidak mudah memuji orang lain.

Kami sering berbasikal keliling kampung terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah. Dari pagi hingga ke petang pun, aku pasti tidak jemu. Datuk dan nenekku tidak pernah menghalang kami. Datuk memang menyenanginya. Alang Di belajar mengaji dengan datuk. Pada waktu lapang Alang Di akan meminta izin sebelum mengajak gadis 'tomboy' ini keluar ke mana-mana. Sewaktu menghantar aku pulang, Alang Di akan meminta maaf sekiranya kami terlewat. Walaupun ketika itu usia aku baru menjangkau 10 tahun dan Alang Di 17 tahun.

Hubungan kami menjadi rapat dari sehari ke sehari. Aku berasa disayangi. Alang Di tidak pernah membiarkan sesiapa menganggu aku. Alang Di memperlihatkan rasa tidak senang apabila ada budak-budak lelaki yang cuba rapat denganku.. sedangkan aku seorang 'tomboy'. Alang Di akan menunjukkan kemarahannya. Alang Di akan memperlihatkan rasa cemburu jika ada orang lain cuba berbaik-baik dengan aku.

Dalam usia semuda 12 tahun aku seperti sudah mengenal cinta. Aku dan Alang Di mengikat janji sebelum dia melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara dalam bidang perakaunan. Tiada siapa yang tahu apa yang berlaku ketika itu. Hanya aku dan Alang Di yang tahu akan perjanjian itu. Nana, teman baikku itu juga tidak tahu.

Bagi Alang Di, kampusnya bukanlah jauh. Alang Di akan selalu balik menjengukku di rumah. Aku tidak lagi pernah keluar berdua-duaan dengan Alang Di. Bukan seperti sewaktu kami kedil-kecil dahulu. Kami juga tidak putus berutus surat. Secara diam-diam. 4 tahun Alang Di di ITM. Hubungan kami tetap rahsia. Cuma, Nana sudah mulai mencurigaiku. Berbagai-bagai cara Nana gunakan untuk mencungkilnya. Banyak soalan yang ditanyai. Apabila aku berpindah ke rumah ayah, Alang Di di tahun akhir. Dan, kami tetap berhubung seperti biasa.

Bagiku, Alang Di memang setia. Kalau ada masa terluang dia akan menelefon ke rumah ayah. Ayah seperti mengetahui namun kadangkala terlalu berat untuk mengizinkan. Alang Di terpaksa memberi banyak alasan sebelum dapat bercakap denganku. Ibu pun memang sangat menyenangi dan sayang Alang Di. Dia pandai mengambil hati semua orang. Jenakanya boleh membuat orang tertawa. Apabila cuti sahaja, Alang Di akan singgah rumah ayah, cuma kebaikan itu pernah disalahtafsirkan ibu.

Tentu ibu kira Alang Di menaruh hati pada Kak Yati, kakak sulongku, kerana usia mereka sebaya. Kak Linda pula tiga tahun lebih muda daripada Alang Di. Ibu memang berkenan pada Alang Di, tetapi bukan aku yang dipadankan dengan Alang Di. Dengan Kak Yati. Ketika itu ibu tidak tahu Alang Di baik dengan Kak Yati disebabkan seorang yang lain. Kerana Abang Rashid, kawan baik Alang Di. Ada juga ketikanya Alang Di datang ke rumah ayah bersama Abang Rashid. Alang Di hanya membantu. Abang Rashid pendiam orangnya berbanding Kak Yati yang sentiasa riang dan lincah. Abang Rashid boleh juga dikatakan kacak. Apatah dia berdarah campuran Pakistan, Cina dan Melayu. Ibu menyenangi juga Abang Rashid walaupun tidak seperti begitu menyenangi Alang Di.

Namun Alang Di sentiasa tenang dalam pelbagai situasi. Alang Di alim juga. Alang Di sentiasa beringat-ingat dalam banyak hal. Banyak perkara kami kongsikan bersama. Contohnya, Alang Di tidak suka warna hitam. Aku juga begitu. Alang Di sering ingatkan aku hormatkan orang tua walaupun kita rasakan mereka bersalah. Alang Di menasihati aku usah berdendam dan sentiasa berbaik sangka. Atas nasihat Alang Di itulah aku menerima ibu perlahan-lahan dalam hidupku. aku mula belajar memaafkan. Akhirnya hatiku tenang. Banyak jasa Alang Di dalam membentuk peribadiku.

Akhirnya teka-teki hubungan Alang Di dan aku, Abang Rashid dan Kak Yati bocor juga. Hal itu disebabkan keluarga Abang Rashid menghantar rombongan merisik dan melamar Kak Yati. Ketika itulah ibu sedar, yang selama ini Alang Di datang kerana aku. Ibu tahu kerana Alang Di tidak begitu rapat dengan Kak Linda. Alang Di akan kelihatan gembira apabila aku ada. Ibu sedar situasi itu tetapi ibu tidak menyakininya. Walaupun ada kebetulan aku tiada ketika Alang Di bertandang, dia tidak akan banyak bercakap seperti selalunya. Ibu masih belum menyakininya. Sehinggalah ketika itu, ketika keluarga Abang Rashid menyatakan hasratnya.. Dan Ibu sudah mulai mengerti semua itu yang berlaku..sepertimana ayah mengerti perjalanan hubungan aku dan Alang Di.

Kak Linda juga tidak pernah mengambil kesempatan untuk memikat Alang Di. Walaupun Alang Di amat disenangi, namun Alang Di bukan jenis lelaki yang mempunyai ciri-ciri lelaki yang diminati oleh Kak Linda. Hanya aku yang benar-benar terpikat dengan Alang Di. Aku seperti tidak bertepuk sebelah tangan. Surat ku tidak pernah tidak berbalas. Bahasa dalam arena persuratan Alang Di cukup baik. Kalau aku merajuk, Alang Di akan memujukku. Walaupun hanya dalam suratnya. Aku yakin Alang Di benar-benar menyayangiku.

Abang Rashid sendiri pernah bercerita Alang Di tidak pernah ada teman istimewa selain aku. Aku percaya itu. Alang Di selalu bercerita tentang aku kepada rakan-rakannya. Katanya, kekasih hatinya ada di kampung. Tentu akulah orangnya. Ah, perasan!
Aku yakin benar. Ayah juga percaya. Abang Rashid juga.. Namun keluarga Alang Di tentu belum mengetahuinya.


Kalau sekadar buah mulut orang, aku percaya keluarga ALang Di tidak akan melenting. Terutama Nana. Walaupun aku rakan baiknya tetapi aku tidak pernah memberitahu Nana tentang kami. Itu permintaan Alang Di. Aku tidak tahu apa sebabnya tetapi aku menghormatinya.

"Hey!"

Satu tepukan kuat singgah di bahuku. Tersentak aku.

"Kak Min!" aku menjerit. Terkejut pula Kak Min dengan jeritanku itu.

"Usahlah buat macam tu, sakitlah!"

Aku memasamkan mukaku.

" Nie, Kak Min nak tahu. Kenapa adik Kak Min,ni? Seperti cacing kepanasan je.."

Senyap.

"Sedari tadi, Kak Min perhati..tau!"

Masih senyap.

" Pelik sangat Rima hari ini. Ada apa-apa yang tak kena?" Soal Kak Min bertalu-talu.

Aku tahu, sebentar tadi Kak Min berasa hati tetapi dia tetap memaniskan muka dan melembutkan suara memujukku. Terharu aku dengan perhatian Kak Min.

"Tak ada apa-apa Kak Min. Banyak perkara yang berlaku hari ni. Keliru saya dibuatnya." gumamku.

Dari jauh pula ada mata yang merenungku dengan sinar mata yang bercahaya.

"Semoga hari ini membuahkan titik permulaan yang baik untuk mengenalimu ", Berkata pemilik mata itu kepada dirinya sendiri.

"Kalau ada apa-apa Rima beritahu Kak Min ya! Jangan simpan dalam hati, tau!" Pujuk Kak Min.

"Kak Min minta maaf sebab buat Rima terkejut tadi." Pinta Kak Min lagi apabila melihat air mata bergenang di kelopak mataku.

"Saya yang sepatutnya minta maaf, herdik Kak Min tadi. Kurang ajar sangat pula rasanya."

"Tak mengapalah. Kak Min buat kerja Kak Min dulu, ya " Kak Min berlalu meninggalkanku dengan segala kesayuan yang ada dalam hatiku ini.

Dan, hari itu berlalu dengan situasi yang begitu hambar sekali kurasakan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan