Sabtu, 11 Julai 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 6 )


BAB 6 : LANGIT TIDAK AKAN SELALU CERAH


Aku menghulurkan surat tawaran kepada Alang Di. Dia mengambilnya dan terus membaca dengan tekun kemudian memulangkan semula kepadaku.


"Rima nak pergi?" soalnya sambil memalingkan muka ke arah jalan raya yang sedang sibuk.


"Kalau boleh, memanglah Rima nak sangat pergi. Mana mana Alang Di? " aku bertanyakan pendapatnya.


"Rima tahu kan bagaimana pendirian Alang Di?"

Alang Di cuba mengingatkanku. Ketika itu aku ke rumahnya untuk mengulangkaji pelajaran dengan Nana. Kebetulan Nana keluar mengikut Along Zaman ke pekan. Waktu itu kami duduk di pangkin bawah pohon rambutan menanti Along Zaman dan Zayana balik.


"Alang ni,kan Rima..kalau nak cari isteri tidaklah perlu orang yang berpelajaran tinggi sangat. Alang tidak mahu isteri Alang bekerja. Duduk di rumah, jaga Alang dan anak-anak sudah cukup."


Aku diam sahaja. Biarlah dia meneruskan kata-katanya.


"Alang pun tidak suka isteri Alang lebih baik dari Alang,"


Ego juga Alang Di. Aku menelengkan kepalaku melihat wajahnya. Begitu manja perlakuanku. Aku memang begitu selalunya. Mendengar sahaja dengan melentuk-liukkan tubuhku. Alang Di melihat reaksi ku sambil mengetap bibir. Tiba-tiba Alang Di menjentik batang hidungku.


"Alang!" jeritku sedikit marah.


"Alahai, masakan macam tu pun marah.." Alang Di memujuk.


" Rima tak sayang Alang, ya?" soalnya seperti melahirkan perasaan hatinya.


Mukaku mencuka. Memang belakangan itu ada perasaan yang lain kurasakan apabila bersama Alang Di.


"Rima nanti tidak perlulah belajar tinggi-tinggi,ya. Duduk rumah sahaja. Rima belajar menjahit, memasak dan jaga rumah elok-elok. Biar Alang Di yang kerja. Tanggung keluarga. Cari nafkah untuk isteri dan anak-anak." Alang Di seakan-akan melahirkan perasaanya. Kepada akukah, kata-kata itu ditujukan?


"Bahagia, kan Rima! Bila suami balik, Rima boleh sambut dia, layan dia. Malahan bersama-sama dalam banyak hal. Kalau ada masa, bersiar-siar bersama. Buat macam-macam hal bersama-sama. " Diam.


" Kalau Rima kerja, suami balik Rima tiada di rumah. Balik kerja dah penat!"


" Ah, Alang Di ni membebel pula." protes hati kecilku.


"Betulkah yang bercakap ini seorang mahasiswa tahun kedua di Universiti Kebangsaan Malaysia? Hish, kolotnya!" rungut hati kecilku lagi.


"Ya lah Alang. Rima pun tidak mahu belajarlah hari ini. Nanti kalau lulus cemerlang mestilah hendak sambung ke universiti. Sudah lulus dengan baik, nak kerja yang baik pula. Rima nak baliklah" rajukku masih tersisa.



Sebenarnya aku menyampaikan jawapan 'ya' pada kata-katanya tadi.

" Janganlah begitu. Alang tidak suruh Rima balik. Tunggulah sekejap lagi. Mungkin Nana sudah nak baliklah tu!" Alang Di menghalang.

Aku tidak jadi bangun. Alang Di memandang aku. Aku membalas pandangannya. Kami masing-masing menundukkan pandangan ke hamparan rumput yang menghijau. Akhirnya kami melayan perasaan masing-masing.

Selepas hari itu, banyak lagi kehendak atau harapan Alang Di yang dimaklumkan kepada aku. Aku juga mula berjinak-jinak dengan kelas-kelas janitan dan masakan supaya aku menjadi wanita seperti yang diimpikan Alang Di.


"Kalau Rima tak pergi, boleh tak?" Alang Di memecahkan ingatanku.

"Apa salahnya Alang.."pujukku.

" Tiada salahnya, tapi..." Alang Di bungkam. Lama. Suasana sepi seketika.

"Bukankah baik kalau kita memperoleh banyak ilmu. Agama juga menyarankan kita menuntut ilmu. Selain itu Rima ingin juga menimba pengalaman."

" Kalau Rima pergi, Rima akan jumpa berbagai-bagai jenis orang. Alang takut Rima akan melupai Alang."

Hah! Ke situ pula fikirannya. Kebudak-budakan betul.

"Kalau Rima sudah bertemu dengan orang lain yang lebih pandai, lebih kacak..Rima akan tinggal Alang tak? soalnya Alang Di lagi.

Aku faham perasaannya. Kebimbangan itu wajar. Kebimbangan itu sebenarnya menyenangkan hatiku.

"Cuba fikirkan lagi.." pujuknya.

Alang Di diam. Aku terasa pelik. Tiba-tiba aku teringat kata Alang Di tadi hendak memberitahuku sesuatu. Tetapi dia meminta aku memakluminya terlebih dahulu. Alang Di kata akan memberitahuku selepas aku memaklumkan apa yang ingin aku beritahu.

"Alang nak cakap apa tadi?"

"Hmm, Entahlah,ya.. Alang lupa pula." Alang Di cuba mengelak.

"Lain kalilah Alang cakap" Alang Di diam semula.

" Memang aku nak keluar dari rumahku ini. Cubalah Alang fahami hati Rima ini " Dalam hatiku berkata-kata memujuk diriku sendiri.

"Terpulanglah..." Alang Di bangun untuk beredar.

"Alang balik dulu lah... Esok kita jumpa lagi." Alang Di bingkas beredar. Tidak sanggup aku untuk berkata apa-apa. Dia pantas melangkah. Menghidupkan enjin motorsikalnya dan terus berlalu.

"Marahkah dia?"

Hatiku terus merintih mengharapkan orang lain mengerti aku.
*****&&&&&*&&&*&&&*&&&&&*&&&&******

Pak Usu Ishak dan Mak Usu Limah bersalam dengan ibu dan ayah. Aku bukan peduli topik apa yang dibincangkan ketika itu. Biarlah hal orang tualah agaknya. Ayah selalu kata orang muda tidak elok untuk mengambil tahu dan mendengar perbualan orang tua. Jadi sepanjang Pak Usu Ishak dan Mak Usu Limah ada, aku di bilik sahaja.

"Rima, keluar sekejap nak!" terdengar suara lembut ayah sambil mengetuk pintu bilikku perlahan.

Ayah mengajak aku keluar ke beranda rumah, sudah setengah jam tetamu ayah pulang.

" Jika ayah tanya antara Halim dan Zaidi, mana Rima pilih?" Aku kehairanan. Aku menjeling ibu yang mencuka di dalam. Mulutnya dicemikkan sedikit setiap kali ayah mengeluarkan kata-kata.
Aku masih berdiam diri.

"Ayah pun keliru hendak terima yang mana satu. Jadi ayah hendak bertanyakan Rima sendiri."

Aku memandang ayah dengan seribu persoalan. Bertambah kehairanan aku.

"Kenapa, ayah?" soalku lembut dan lambat-lambat. Ibu sudah bangun dan berlalu dari sisi kami.

"Tadi Pak Usu Ishak dan Mak Usu Limah datang" Ayah diam semula. Hah, aku memang maklum dan aku bertambah gelisah.

"Tidak pernah dibuat orang, tidak pernah ayah duga pun.."

" Tidak tahu cara mana ayah hendak memulakan bicara.."

Ah! semakin gelisah aku dibuatnya.

"Mereka merisik Rima untuk Zaidi.." Ayah diam lagi. Alang Zaidi merisik? Berbunga-bunga hatiku. Terlupa aku pada tawaran ke kolej yang ingin kusampaikan kepada ayah sejak tadi lagi namum tiada berkesempatan apatah dengan kedatangan Pak Usu Ishak dan Mak Usu Limah.

"Mereka merisik Rima untuk Halim, juga."

"Hah!" terkeluar dari mulutku.

"Itulah yang ayah tidak tahu hendak buat apa sekarang ni." ayah mengeluh.

"Memanglah mereka kata mereka tidak kisah siapa yang Rima pilih. Mereka akan bersetuju juga."

"Sudah gilakah pasangan suami isteri itu?" aku rasa seperti hendak menjerit sekuat-kuat hari.

Pak Usu Ishak merupakan adik kepada ibu Alang Di. Halim pula adalah anak Pak Usu Ishak dan Mak Usu Limah. Bermakna Halim dan Alang Di adalah saudara sepupu. Halim memang berperibadi baik. Halim juga agak tampan, setampan sepupunya Alang Di. Tetapi Halim agak pendiam dan pemalu. Teringat aku peristiwa aku mengusik-usik sehingga dia kehilangan kata-kata dan merajuk. Berminggu-minggu, sehingga aku pujuk kembali baru dia kembali berkawan dan bermain dengan kami.

Kenapalah si Halim itu ada hati dengan aku. Aku memang mengakui Halim pemuda baik. Dia lebih muda dua tahun daripada Alang Di, sepupunya itu. Mereka juga amat akrab. Aku pasti Halim mengetahui hubungan aku dan Alang Di. Tapi mengapa Halim turut merisik aku? Atau adakah dia tidak mengetahui tentang risikan oleh orangtuanya itu?

"Ayah pulangkan pilihan itu kepada Rima. Rima timbangkanlah mana yang Rima suka dan dapat membahagiakan Rima. Ayah ikut sahaja pilihan Rima."


Patutlah ibu marah kepada aku kali ini. Memang aku selalu menimbulkan kekeliruan. Aku sendiri keliru.. Mengapa boleh jadi sebegini rupa. Tiba-tiba aku teringat tawaran ke kolej yang kuterima semalam.

"Ayah.." panggilku perlahan. Sebenarnya hati aku benar-benar berkocak.

"Ayah tahu kan pilihan Rima. Rima sudah buat keputusan." spontan itu tiba-tiba aku mempunyai keputusan.

" Fikir masak-masak,nak!" jawab ayah, terkejut dengan kata-kataku. Masakan dalam masa 15minit aku sudah membuat keputusan. "Sudah tahukah dia Zaidi akan merisik?" timbul persoalan di hati ayah. Tertanya-tanya sendiri.

"Semalam Rima terima surat tawaran ke kolej. Ini suratnya... Rima memang hendak beritahu ayah. Kebetulan ayah panggil, Rima bawa surat ini sekali. Ayah bacalah" Ayah mengambil surat itu dan membacanya dengan tekun.

"Rima rasa ada baiknya jika Rima lanjutkan pelajaran dulu.. Biarlah dulu hal itu, jika ada jodoh tidak ke mana,kan ayah." Aku tertunduk diam. Ayah merenungku.

"Rima pun sebenarnya tidak menjangka akan menerima tawaran ini. Rima ada isi borang memohon ke kolej itu. Main-main dan cuba-cuba sahaja. Ayah tahukan keputusan SPM Rima yang lalu tidak begitu baik. Rima ikut kawan-kawan lain. Tapi mungkin rezeki Rima.." Aku menjelaskan supaya ayah lebih memahami situasi itu.

"Rima rasa tidak baik kita memutuskan silaturrahim, kan ayah.. Kalau Rima terima Alang Di, apakata Halim dan keluarganya? Jika sebalik Rima pilih Halim, mungkin pula Alang Di akan marah dan berkecil hati." Aku cuba menyatakan pendirianku.

"Rima rasa biarlah masa dan keadaan yang menentukannya " Aku seperti bertegas dan memujuk ayah.

" Ayah beritahulah alasan ini. Hubungan keluarga mereka tidak tergugat. Hubungan ayah dan mereka pun baik." Aku meneruskan.

" Mungkin ada hikmah Rima terima tawaran ini. " Aku diam. Ayah juga turut diam. Melayan fikiran dan perasaan masing-masing.

Namun benakku seperti ditumbuk-tumbuk. Hatiku seperti disiat-siat. Aku terasa sangat lemah. Harapanku untuk hidup bersama Alang Di terpaksa aku tangguhkan. Aku pasrah. Aku serahkan segala-galanya kepada Yang Maha Mengetahui. Jika ada jodoh, tentu akan ada jalannya nanti.

Tiba-tiba aku memaut bahu ayah. Badanku terasa longlai. Ayah memelukku. Diusapinya kepalaku.

"Maafkan ayah,nak!" Ayah berkata lembut. Aku tidak tahu mengapa ayah perlu meminta maaf.

"Ayah tidak bersikap tegas" Ayah menyambung kata-katanya. Ayah kelihatan murung.

"Apa yang ayah boleh buat lagi?" kekesalan ayah lahirkan. Ayah mengangkat kepalaku.

"Sedihnya Rima, ayah!" Aku bingkas bangun dan berlari ke bilikku. Adik-adikku terkejut melihat aku berlari. Ibu juga mungkin terkejut. Aku mengunci pintu bilikku dan menangis sepuas-puasnya. Dan sepanjang malam yang mengharukan itu, ibu tidak pun cuba memujukku. Kalau orang lain tentau ketika itu ada ibu di sisi anaknya. Apatah ketika melalui peristiwa sepayah ini. Tapi ibuku buat tidak tahu sahaja. Aku benci ibu.


Dua hari kemudian, Nana datang ke rumahku. Dia menarik tanganku, keras sekali tindakannya. Sedangkan aku tidak suka diperlakukan sedemikian oleh kawan baikku itu. Aku menyentap kembali tanganku. Nana b
erhenti lalu memandangku.

" Aku hendak bercakap dengan kau" kasar kata-kata dari mulut Nana.

"Kalau ya pun, janganlah buat aku macam ni!" tengking aku tiba-tiba. Aku yang selama ini tidak pun pernah sekali memarahinya mulai berang.

"Aku kata aku hendak bercakap dengan kau" tengkingnya pula membalas.

" Okay, jumpa aku di pantai petang ni. tempat selalu" Balasku. Terus aku masuk ke rumah.

Zayana mengetap bibir dan memandangku dengan bengis dan geram.

"Aku tunggu kau!" laung Nana.

Aku tidak mempedulikannya. Penyapu yang kulepaskan tadi kuambil kembali. Aku meneruskan kerja-kerja yang tergendala. Dan Nana berlalu dengan pelbagai kemarahan meninggalkanku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan