Ahad, 12 Julai 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 7 )

BAB 7 : SESUATU ITU TIDAK AKAN SAMA NILAINYA

Tiga bulan sudah majlis ulangtahun ku itu berlalu. Maknanya sudah tiga bulan juga tiada khabar daripadanya. Tiada panggilan telefon, Tiada kad ucapan. Aku sudah lesu, tidak bersemangat lagi akhir-akhir ini.

"Assalamualaikum, Rima" Kamal menegurku.

"Sihat?" Dia terus berjalan tanpa menolehku. Aku menjawab salam.

Alhamdullillah, aku masih sihat tetapi hatiku agak kurang sihat. Mindaku juga.

"Burung di sangkat sudah terlepas. Hati yang sedih bertambah duka. Luka mula berdarah kembali" Aiman berlagu-lagu. Kedengaran jelas dalam ruangan pejabat itu.

"Aiman, lagu baru kah?" Kak Aini menegur.

"Yalah, ciptaan sendiri" Jawab Aiman sinis. Berdesing telinga mendengarnya. Entah kenapa aku pula yang terasa. Aku menjeling tajam ke arah Aiman.

"Hai Rima!" Aiman menegurku.

"Walaikumsalam" jawabku selamba.

"Amboi! Marah ke?"

Aku diam. Tidak kuasa aku hendak melayan Aiman ketika itu. Aku lihat Kak Min masuk dengan wajah yang ceria. Mataku tertumpu kepada Kak Min.

"Kaun yang kujaga. kau yang kubelai. Kau yang kutitipkan kasih sayang. Kau pergi meninggalkanku." Berlagu lagi si Aiman seperti hendak menyakiti hatiku. Aku sedar dia mengerlingku.

" Hai burung yang kusayangi. Aku sediakan untukmu sangkar emas. Kujagai makan minummu. Namun mengapa? Mengapa kau pergi jauh dari sangkar yang kubinakan untukmu. Kembalilah...kembalilah kepadaku." Aiman bersajak pula.

Kak Min memandang Aiman dengan riak geram.

"Kenapa dengan kamu ni, Aiman? Burung terbanglah, pergilah... sangkar emaslah!" Kak Min membebel menyatakan rasa jengkelnya.

"Jangan marah ya!"

"Cuma ada seekor burung peliharaan seseorang tu, sudah meninggalkan tuannya tanpa tuannya sedari."

"Kalaulah saya burung itu..tentu saya akan menyesalinya perbuatan itu seumur hidup. Kalaulah saya boleh gantikan tempat burung itu bukankah baik, Kak Min!"
Panjang pula penjelasan Aiman. Dan aku perasan matanya masih tertancap kepada aku.

"Tidak kuasa Kak Min hendak melayan kamu, Aiman! Ada sahaja yang jadi bahan cerita kamu.. Suka hatilah hendak jadi burung ke, hendak jadi kumbang ke.. jangan jadi buaya sudahlah " protes Kak Min akhirnya.

Kak Min meneruskan kerja. Aku juga malas melayan karenah Aiman yang aku kira nakal itu. Pemuda itu hanya beberapa tahun tua daripada aku. Aku juga tidak pernah cuba untuk mendekatinya. Dia sendiri pun seperti tidak cuba untuk mendekatiku. Kecuali ketika awal-awal aku bertugas dahulu. Namun sehingga kini aku sering terperangkap dalam renungannya yang begitu tajam. Selalu aku melarikan dari pandangan aku. Apa yang aku takuti, aku sendiri pun tidak tahu.

"Rima, surat kau ni!" Kamal meletakkan sepucuk surat yang bersampul putih bersih di mejaku.

Hatiku berdebar-debar. Hanya seorang sahaja yang akan menghantar surat menggunakan sampul 6x9 inci berwarna putih kepada aku. Tetapi alamat yang tertera di atas sampul itu bertaip kemas. Bukan seperti selalu yang aku terima dengan tulisan tangan yang kemas juga tetapi menarik perhatian. Tulisan yang menggambarkan penulisnya seorang yang berfikiran positif, seorang yang akrab dan cepat mesra. Seperti kata Dato' Dr Fadhillah Kamsah.. tulisan itu melambangkan keyakinan dan kecerdasan penulisnya.

Aku senyum kepada Kamal. Ah! entah bila lelaki ini berada di hadapan aku. Bukankah baru tadi dia melepasi mejaku menuju ke mejanya.

Kamal membalas senyuman aku. Begitu mesra. Aku terkesima dengan senyumannya itu. Dengan sinar matanya, juga.

"Kalau ada masalah apa-apa, Kamal sedia membantu." katanya perlahan tetapi masih jelas kedengaran di telingaku ini. Macam pelayan hotel pula lagaknya.

Hish, pelik sungguh lelaki ini ! Lelaki-lelaki lain juga. Berubah-ubah. Macam sumpah-sumpah. Sekejap terlalu pendiam. sekejap menjadi begitu perihatin. Aku memandang langkah Kamal yang agak lambat itu ke arah Aiman kemudian berhenti dan berbual-bual dengan Aiman. Memanglah mereka kawan baik. Tentu ada perkara yang melucukan. Besar gelak Aiman. Begitu juga Kamal. Aku berasa aneh. Jarang sekali aku melihat Kamal ketawa sedemikian.

"Hai,yang.. buat apa tu?" Kak Min seperti selalu menepuk bahuku.

'Hai perempuan ni, terperanjat aku!'

Aku berpaling memandang Kak Min. Tersenyum nipis.

"Kak Min pun pelik melihat gelagat si Kamal tu hari ini."
" Selama kerja di sini, Kak Min rasa inilah kali pertama Kak Min tengok dia ketawa macam tu! Kalau Aiman dan Harith tu lainlah ceritanya." Mata Kak Min menuruti pandanganku. Mungkin Kak Min terfikir perkara yang sama aku fikirkan ketika itu.


Iqram datang menuju ke kumpulan itu. Kak Min masih di sisiku.

"Hai Rima!" tegur Iqram sambil mengangkat tangannya menegurku. Senyum. Aku rasakan pelik juga tegurannya hari itu. Kumpulan lelaki itu memandangku.

" Hai,Rima!" Ajuk Aiman kepada Iqram. Sesama mereka lantas ketawa bersama-sama. Huh, sangat pelik!

"Surat apa ni Rima?" tegur Kak Min mengejutkan aku. Aku tersedar surat itu sudah ada di tangan Kak Min. Aku pantas merebutnya.

"Hah, surat buah hati,ya!" Kak Min mengusik. Aku memuncungkan mulutku dan mengenyitkan mata. Lantas menyimpan surat tersebut ke dalam tas tanganku.
************************************************************************************

"Rima, kau ni teruk betullah!" Tengking Nana.

Aku tergamam. Kenapa pula si Nana ni menengking-nengking aku?

"Kau sudah tidak anggap aku kawan kau lagi bukan, sebenarnya! Aku benci kau ini. Selama ini aku tidak sangka kau ini runcing di luar tapi pepat di dalam."

Ah! apapula yang sampai terkeluar peribahasa-peribahasa ni?


"Sejak bila kau berkawan dengan Alang Di?"


Aku memandangnya. Oh, inilah persoalannya!


" Aku ini kawan kau yang berkawan dengan kau...selama mana kita kawan, selama itulah aku berkawan dangan Alang." Aku cuba mengusik.


" Itu aku tahulah.. maksud aku bercinta dengan abang aku itu?" suara Nana masih keras.

Aku terdiam. Tidak berkata sepatah apa pun. Menanti Nana meneruskan kata-katanya.


" Selama ini Rima.. Aku ingat kau anggap aku ini kawan baik kau. Tapi, tidak... Aku malulah Rima. Malu, kau tahu ke tidak? Malu...!"


Aku memusingkan badanku menghadap Nana. Ingin berkata sesuatu tetapi belum sempat berkata-kata...


" Aku cerita banyak tentang Alang Di kepada kau. Yang buruk, yang baik, beritahu apa perasaan aku apabila abang aku buat perangai. Apa sahaja..Patutlah kau diam sahaja. Boleh pula nasihati aku."



"Kau tidak berasa apa-apa kah ketika aku mengutuk abang aku itu? Entah-entah apa sahaja yang aku cerita kepada kau, kau sampaikan kepada dia!" sambungnya.


"Kenapa aku yang terakhir tahu hubungan kau dengan Alang Di? Kau kawan baik aku! Dia abang aku! Tapi aku yang terlambat tahu?" Nana melahirkan rasa tidak puas hatinya.

Nana menekup mukanya. Mungkin tidak tertahan lagi menanggung perasaan kesalnya itu. Mungkin dia rasa tertipu. Bahunya terhinjut-hinjut menahan tangis. Aku mendekatkan tubuhku kepadanya. Merangkul bahunya. Kepalaku aku tindihkan ke bahunya.


"Maafkan aku, ya Nana.." kataku sayu. Airmataku juga sudah tidak tertahan lagi.


"Aku tidak bermaksud merahsiakannya. Aku sendiri tidak tahu bila segalanya ini bermula. Semua berlaku secara tiba-tiba." Nana berpusing kepadaku dan memelukku erat dalam tangisnya.


"Aku memang tidak bermaksud untuk membelakangkan kamu, Nana. Yang sebenarnya, aku pun tidak tahu status perhubungan kami ini. Kadang-kadang aku rasa aku bertepuk sebelah tangan. Kau bukan tidak tahu Alang Di macam mana. Semua orang dia layan baik. Sebab itu aku tidak boleh nak cakap apa-apa dengan kau" pujukku.


Hakikatnya aku dan Alang Di tidak pernah mengucapkan rasa hati kami antara satu sama lain..cuma yang jelas Alang Di sering berkias-kias. jika Alang Di berterus terang.. aku pasti juga akan mengakuinya terang-terangan. Aku sendiri tidak pasti dengan Alang Di atau perasaan aku ini.


Pelukan Nana kurasakan semakin longgar. Aku lantas memandang kawan baikku itu.


"Aku tanya satu perkara, boleh?" suaranya lebih lembut berbanding tadi. Aku mengangguk.


"Pasal aku dengan Hamidi, Alang Di tahu tak?" Aku menggelengkan kepala.


"Aku hendak tahu satu perkara lagi!"


"Kata satu sahaja.." aku seakan menyindir.


"Apa perasaan kau setiap kali aku bergaduh dengan Alang Di dan kemudian menceritakan keburukannya. Tentu kau sedih,kan? Aku rasa tentu kau membenci aku, kan..Yalah, seperti ketika Alang Di marah-marah Hamidi di hadapan aku. Aku rasa macam hendak tumbuk sahaja muka dia tu? " tanya Nana pantas.


"Itu, hal kau adik-beradik. Aku tidak mahu masuk campur.Hal aku dengan Alang Di masakan aku hendak kaitkan dengan hal atau masalah keluarga kau. Belum masanya lagi. Aku sedih juga dengar pelbagai cerita tentang Alang Di tapi aku belajar untuk menerimanya. Aku akan terima dia seadanya. Tiada manusia yang sempurna."


Nana memandangku sayu.


"Itupun jika dia betul-betul hendakkan aku, jika tidak berputih matalah.."


Aku mencubit pehanya. Tiba-tiba. Terasa malu pula aku mengaku begitu. Nana membalas cubitan dan aku membalas semula. Berulangkali dan akhirnya kami ketawa bersama-sama. Hal itu berlalu begitu sahaja bersama hembusan angin pantai yang mesra petang itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan