Sabtu, 18 Julai 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 8 )

BAB 8 : TEMPAT JATUH LAGIKAN DIKENANG

Kurasakan hari ini berlalu begitu lambat. Tidak sabar aku untuk balik ke rumah. Untuk membaca surat itu. Tadi sudah kubelek-belek surat itu. Aku pasti siapa pengirimnya. Tanda pos itu sebagai buktinya. Tetapi aku tidak boleh membukanya lagi. Aku rasakan banyak mata yang melihatku terutama jejaka-jejaka itu dan tentu sekali Kak Min juga.

Aku mencampakkan kunci rumahku ke katil. letih sungguh hari ini. Aku bergegas tadi keluar dari pejabat. Rasanya akulah orang pertama keluar dari pejabat hari ini. Cemas tidak terpeluk Encik Saiful tadi sewaktu keluar dari pintu pejabat. Jika tidak tentu malu besar aku hari ini. Sudahlah dari pagi aku disindir-sindir oleh kumpulan jejaka nakal tentang surat bersampul putih yang kau terima itu. Satu kes lagi jika aku terpeluk Encik Saiful, majikanku itu.

Aku keluarkan surat bersampul putih itu. Aku membelek-beleknya lagi. Berdebar-debar hatiku. Sampul itu seperti sudah dibuka kemudian digamkan semula. Ah, mungkin Alang Di yang membuka dan melekatkan semula. Selalu juga Alang Di buat begitu. Aku membuka perlahan-lahan sampul itu dan aku menatap kandungannya surat itu sepenuh hati.

Buat Rima yang diingati,
Sudah lama Alang berfikir-fikir untuk mengutuskan warkah ini. Selama beberapa bulan ini Alang memang tidak mengutuskan sebarang warkah kepada sesiapa pun. Sengaja Alang berbuat demikian. Alang cuma cuba bersikap adil. Alang perlu masa untuk memikirkannya semua keadaan.

Rima,

Alang sebenarnya serba salah dalam menghadapi hubungan kita ini. Terasa terikat, terasa begitu menyulitkan. Bagaimanalah Alang hendak menyatakannya. Terasa berat pena ini bergerak..seberat tanggungan hati Alang ini. Apa sahaja yang Alang lakukan, Rima sentiasa ada..di mana-mana pun.Sesiapa sahaja yang cuba Alang kenali atau berkawan wajah Rima pasti hadir dan menghalang. Alang cuba melupakan tetapi Alang tidak sampai hati. Alang takut Rima akan kecewa dan disakiti. Dan dalam hati ALang, Alang berasakan terlalu terkongkong, rasa terikat dan rasa kehilangan hak atau kebebasan Alang . Gara- gara Rima. Alang rasa hubungan ini merupakan suatu bebanan. Alang mulai tidak senang apabila memikirkannya. Atas alasan inilah, Alang mendiamkan diri. Alang cuba mencari sesuatu yang jelas tentang kita.


Rima,
Mungkin selama ini terdapat salah faham antara kita. Alang memang menyayangi Rima. Sayang yang tidak terhingga. Tetapi sayang Alang itu mungkin telah mengaburi perasaan Rima. Alang tidak boleh menyatakan sayang itu sebagai cinta seperti yang Rima harapkan. Jawapan kepada persoalan-persoalan Rima dalam surat-surat Rima yang lalu sukar untuk Alang jawab. Cintakah itu? Alang sendiri tidak tahu..tidak pasti. Cuma Alang tidak mahu Rima terus mengharap. Mengharap sesuatu yang Alang tidak dapat berikan kepada Rima.

Rima,
Rima seorang gadis yang begitu baik pada pandangan Alang. Rima ada segalanya. Rima mempunyai masa depan yang baik juga. Keputusan ini Alang rasa muktamad dan Alang yakin keputusan Alang ini betul demi kebaikan Rima. Rima ada segala-galanya. Rupa, pelajaran, keturunan yang baik dan mendapat didikan agama yang baik. Tidak ada kurangnya. Tetapi Alang tidak dapat menerima dan menunaikan segala apa yang Rima harapkan.


Rima,
Akhirnya, Alang doakan semoga Rima akan bertemu dengan seorang lelaki yang lebih baik dan sepadan dengan Rima. Mungkin lebih baik daripada Alang sendiri, kerana Rima berhak menerima dan hidup dengan lelaki yang lebih baik daripada Alang. Alang sentiasa mendoakan kebahagiaanmu.


Alang Di.


Air mataku mengalir laju. Tidak dapatku seka lagi. Apa lagi kuharapkan. Berbulan-bulan aku menanti kehadiaran warkah ini tetpi inilah yang aku terima. Aku berasakan duniaku gelap. aku rasakan impianku berkecai dan debu-debu harapanku berterbangan. Tiada apa-apa lagi yang tertinggal.

"Kenapa Alang Di? Kenapa? Kenapa begitu lama untuk terungkapnya kata-kata itu?" hatiku meratap sayu.

" Kesetiaanku berbelas tahun ini kau hampakan. Perasaan kasih dan sayang aku kau hancurkan. Harapanku kau leburkan. Kenapa Alang?" Hatiku terus berlagu sedih.

Tiada lagi kata-kata di bibir. Aku ambil bantal menekup mukaku. Aku merasakan dunia sedang mentertawakanku. Dunia di sekelilingku. Aku berasakan Zamani, Romzi, Zaki, Fauzi mentertawakanku juga dengan galak sekali. Wajah mereka bersilih ganti.

"Alang Di, inikah yang aku terima atas segala pengorbananku ini?"

"Salahkah aku memilih menerusakan pelajaranku dan menolak risikan itu empat tahun lalu?"

" Atau adakah kerana aku tidak menurut kehendakmu yang melarang aku mengikuti kembara dan ekspedisi mendaki Gunung Ledang yang lalu?"

"Ingkarkah aku dalam semua kata-kataku?"

"Alang Di..!" Aku meratap sayu. Mendayu-dayu. Aku seperti mendengar suaraku diselangi suara Zamani, hilai Romzi, ejekan Zaki dan pujuk rayu Fauzi. Tentu sekali mereka bertepuk tangan dengan keputusan mu itu, Alang Di.. Mereka yang aku tolak harapan cintanya keranamu, Alang Di. Dan sekarang, kau menolakku sepertimana aku lakukan kepada mereka.

"YaTuhanku yang Maha Pengasih dan Penyayang, berikanlah kekuatan kepada hambaMU ini.."

*********************************************************************************
Sabarlah kakakku. Orang yang kau harapkan telah berpaling tadah. Orang yang kau percaya telah membelakangkanmu. Dia bermain api dan api itu sudah semakin marak. membakar dan terus membakar. Permata yang kau harapkan rupanya kaca yang kau miliki.

Aku meneliti bait-bait susunan kata dalam surat Aida. Pelik bunyinya. Aku terus membacanya.

Orang yang kau sayangi, rupanya menyayangi oranglain. Kau pasti terluka.

Hai, kenapalah Aida menulis begitu. Aku tidak memahami bait-bait itu biarpun aku telah membacanya berkali-kali.

Tuk!tuk! tuk!
"Rima, ada panggilan telefon di lobi." Suara Hasnita , rakan sekuliah kedengaran melaung dari luar bilik asramaku.

Aku melipat semula surat Aida adikku itu, yang baru aku terima pagi tadi. Aku lantas keluar dan berlari ke lobi setelah mengucap terima kasih kepada Hasnita yang masih tercegat di pintu.

" Rima, ini Nanalah."

"Waalaikumsalam" balasku.

"Ha,ah..Assalamualaikum.." Aku menjawab semula salam itu di dalam hati.

"Rima, minggu ini kau balik ke kampung? Balik, ya! Aku hendak jumpa kau. Ada hal sikit. Balik ya!" Zayana seperti mendesak.

"Aku banyak kerja, mungkin tidak boleh balik. Dua minggu lagi exam. Ada dua assigment aku belum siap lagi." Aku cuba menolak permintaannya.

"Kalau kau kawan aku, kau balik!"

" Apa halnya? cakaplah!"

" Tidak boleh cerita dalam telefon lah.."

" Jikalau kau tidak balik, aku akan ke sana!"

Aku terdiam. Tiada jawapan. Memang aku serba salah. Tugasan belum sempat aku siapkan lagi. Jika aku balik ke kampung maknanya aku memang menempah masalah dan susah.

"Rima, macam mana?"

" Maaflah Nana, aku rasa tidak bolehlah!"
"Okay, aku ke sana, kau tunggu ya!". Akhirnya.

Hari sabtu itu aku lalui seperti biasa, penuh kesibukan. Bukan aku sahaja, malah rakan-rakan sekuliah juga begitu. Setiap bilik hostel pasti kedengaran ketukan mesin taip. Mereka seperti aku juga, mengharap kecemerlangan dalam pelajaran.

Hari minggu, fikiranku agak lega. Kedua-dua tuagasan telah aku siapkan. Tarikh akhir penghantaran pun pada hari selasa. Maka hari minggu ini aku bolehlah melegakan fikiranku ini. Aku terlupa aku ada janjitemu dengan Nana. Aku berkira-kira untuk tidur sahaja sepanjang hari ini.

Ting,ding, dong!
"Sila ambil perhatian. Ainur Rima. bilik 5E3, sila turun ke lobi. Ada tetamu ingin berjumpa." Suara Susnita yang bertugas di kaunter pengumuman jelas berkumandang di hujung corong interkom.

Aku bingkas bangun. Baru aku teringat Nana hendak berjumpaku hari ini. Macam ada perkara yang serius. Aku mengemaskan diri. Mujur aku sudah selesai mencuci pakaian dan mandi ketika itu. Aku mengenakan tudung. Duduk di hadapan cermin. Aku tersenyum sendiri. Hmm, dengan mengenakan tudung, aku berasakan penampilanku lebih menarik. Aku tersenyum lagi.

Tekaanku benar, memang Nana yang berada di lobi. Kami duduk sebentar di bilik tetamu. Nana datang seorang tetapi memandu kereta Alang Di. Dan aku kenal sangat kereta itu sebab Alang Di memilih nombor plat yang sama dengan tarikh lahirnya. Sejak Alang Di berkerja dia memang hidup senang. Nana membawaku ke Benteng, tempat terkenal dengan gerai-gerai makanan laut dan kawasan riadah yang memang terkenal dalam kalangan pelajar di kolejku dan masyarakat sekitar.

"Rima, aku minta maaf bagi pihak Alang Di" Nana memulakan bicara telah lama di meja makan di Gerai Rasa Utama itu. Aku kehairanan.

"Rima sudah tahu cerita?" soal Nana menyoalku apabila melihat aku terpinga-pinga.

"Cerita apa?"

" Masalah Alang Di di kampung." Nana meneruskan.

"Berat sangat ke?" seperti orang lurus bendul.

" Rasanya biarlah kau dengar daripada mulut aku daripada mendengar daripada oranglain . Hal ini berkait rapat dengan Alang Di. Dia yang minta aku sampaikan kepada kau"

"Kenapa bukan dia sendiri yang berjumpa aku?" soalku bungkam.

"Alang Di serba salah, dia tidak tahu hendak bercerita bagaimana. Lagipun kita sama-sama perempuan, katanya. Tentu lebih memahami perasaan perempuan"

Nana bercerita Alang Di terperangkap dalam situasi yang tidak disangka-sangka. Kebetulan dua bulan sebelum ini, dia dikatakan berjanjitemu dengan Sharifah di sebuah pusat membeli-belah. Sharifah itu kawanku juga tetapi dia lebih muda setahund daripadaku. Dia terus bekerja sleepas SPM. Alang Di mempelawanya makan dan bersam-sama melihat-lihat sekitar pusat membeli belah itu. Memang Alang Di agak baik dengannya. Aku sendiri mengetahuinya kerana Alang Di akan bercerita tentang perempuan-perempuan didampinginya. Aku fikir tiada salahnya dia berkawan dengan orang lain. Aku tidak pernah sesekali menghalang, tidak pernah matah. Kerana padaku di memang aku kasihi tetapi dia bukan milikku lagi... Selagi kami belum ada apa-apa ikatan, dia bebas melakukan apa sahaja.

"Jadi, apa masalahnya?" gumamku kesal. Kalau setakat itu sahaja bukanlah penting sangat perkara yang hendak dibincangkan.

"Masalahnya sekarang ini, bapa Sharifah datang mencari Alang Di. Dia marah-marah, katanya Sharifah menolak pinangan Jefri sebab ada hubungan dengan Alang Di. Kau tahulah orang kampung, heboh! Keluarga kau pun tahu!"

"Entah-entah betul yang Alang ada hubungan dengan Sharifah.." Dugaku.

"Eh, Rima..kau ni tidak ada perasaan kah?"

"Alang Di tidak pernah buat apa-apa pun dengan Sharifah itu. Alang bukan pegang dia, peluk dia, cium dia.. Cuma dia sahaja yang menyimpan perasaan dengan Alang, tau!"

"Habis itu, macam mana seterusnya?" Soalku sinis. Resah aku apabila Nana mempertahankan Alang Di begitu. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Lagipun untuk mempertahankan Alang Di, Nana memperlekeh dan merendah-rendahkan maruah kaum sejenisku, kaum sejenisnya..

" Alang sudah berterus terang kepada Pak Hamid. Pak Hamid sudah pun terima pinangan Jefri. Alang Di tidak mahu cerita yang salah sampai kepada kau. Sekarang ini, kira selamatlah si Sharifah itu yang gatal-gatal hendakkan Alang."
"Amboi, sedapnya mulut perempuan ini mengatakan keaiban orang sekadar untuk mempertahankan darah dagingnya!" Sakit juga hati aku. Untuk mempertahankan Alang Di, Nana sanggup menghina Sharifah. Aku dan dia bukanlah tidak mengenali Sharifah. Berbanding aku, Sharifah jauh lebih cantik, lebih lemah lembut... Sedangkan aku agak kasar. tidak hairanlah jika Alang Di terpikat dengannya. Jauh beza dengan aku yang sejak dulu pun aku tidak pernah lekang berseluar panjang. Tetapi Sharifah sejak bersekolah menengah lagi sudah bertudung litup. Kalau tiada apa-apa masakan Sharifah bertindak sedemikian.
Aku memang kasih dan sangat menyayangi Alang Di tetapi tidaklah sampai hendak menjatuhkan martabat wanita. Apatah lagi perempuan seperti Sharifah. Dan ketika ini, aku tidak dapat merumuskan apa-apa. Salah siapa, dan siapa pula yang betul kerana aku mendengar daripada sebelah pihak sahaja.
Tentu Alang Di ada peranan dalam hal itu. Dalam ketika itu aku teringat akan bait-bait dalam surat Aida tempohari. Mungkin inilah yang dimaksudkannya. Tetapi aku tidak tahu bagaimana untuk memahami hal ini dengan jelas dan bersikap telus menerima segalanya. Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi. Ini merupakan kali kedua perasaan hampa melanda di hati aku ini.
Kali pertama berlaku pada awal hubungan aku dengan Alang Di. Khabar dan kisah yang menghancurkan hati dan jiwaku ketika itu. Aku bungkam dan resah mendengar cerita itu. cerita yang keluar daripada mulut Nana sendiri.
Nana ketika itu pernah melahirkan rasa tidak puashatinya kepada tindakan Alang Di dengan rakan-rakan lelakinya. Mereka terlalu akrab. Berpeluk-peluk dan kadang kala bercium pipi antara sesama lelaki. Ada kala bergurau senda umpama sepasang kekasih layaknya. Terutama apabila Alang Di bersikap sama seperti itu kepada Hamidi, buah hati Nana yang menjadi tunangannya kini. Nana sering merungut Hamidi selalu mengadu diperlakukan seperti seorang kekasih oleh Alang Di. Apatah lagi apabila Alang Di menentang keras hubungan mereka berdua. Sehinggakan ketika pertunangan Nana dan Hamidi pun, Alang Di berada di rumah ayahku.
Akulah orang yang paling kecewa mengetahui hal itu namun aku tidak mempercayainya sehinggalah aku membaca catatan Alang Di pada buku rujukan yang dipinjamkan kepadaku. Kata-kata luahan cinta seorang lelaki kepada seorang lelaki yang lain.. Mungkin Alang Di tidak teringat dengan catatan yang ada dalam buku itu. Begitu menjijikkan. Dan, aku sangat kecewa. Bagaimana mungkin dalam masa yang sama Alang menyatakan akulah satu-satu yang disayanginya, tetap satu..dulu, kini dan selama-lama di hatinya.
Hati aku luluh dan aku bertekad untuk mengubah haluan perasaan Alang Di. Aku berjanji untuk memalingkan Alang Di kepada cintanya untuk golongan perempuan bukan mencintai kaum sejenisnya. Dalam kekecewaan itu aku berjanji untuk memberikan kasih sayang atau mungkin ketika itu kuanggap cinta; sepenuhnya buat Alang Di. Semoga Alang Di berubah. Sejak itulah sebenarnya aku menjadi begitu akrab dengan Alang Di. Setiap petang aku pasti bertemu jika dia bercuti atau berbalasan surat sewaktu dia di universiti. Walaupun kami akan bertemu pada setiap hujung minggu namun aku pasti menulis kepadanya dua kali setiap minggu. Pelbagai perkara yang aku kisahkan. Dengan segala kata-kata indah yang memujuknya. Mulai saat itu juga aku kerap mendengar cerita perempuan-perempuan yang didampinginya. Aku pasrah walaupun aku tidak redah dengan semua hubungan ALang Di dengan oranglain. Betapa aku keresahan sekalipun, aku bersyukur kerana itu lebih baik buat Alang Di daripada di berminat kepada kaum sejenisnya. Aku pupuk 'cinta' dalam hati aku ini dan aku sangat menyayanginya kini. Namun tidak pernah pula aku mendengar cerita tentang Sharifah daripada Alang Di. Kalau ditakdirkan Sharifah itulah pilihan Alang Di, itu adalah lebih baik baginya.
"Rima!" terhenti lamunanku.
"Aku harap kau tidak bertindak bodoh."
" Jika balik ke kampung, pasti kau akan mendengar bermacam-macam hal. Kau usahlah percaya cerita yang bukan-bukan,ya! Alang Di benar-benar minta maaf" Jelas Nana perlahan.
Minta maaf? Kenapa pula Alang Di mesti minta maaf kepada aku. Berkecamuk fikiranku seketika. Akhirnya pertemuan itu berakhir begitu sahaja. Nana menghantar aku pulang dalam suasana hambar. Bermacam-macam perkara berlegar dalam kotak kepalaku. Aku sebenar amat kesal dengan sikap Nana dan Alang Di. Bagaimanakah perasaan Sharifah ketika ini?
Beberapa bulan selepas peristiwa itu, aku mendapat kad jemputan majlis perkahwinan Sharifah. Sehari suntuk aku menolong-nolong dalam majlis itu. Alang Di juga ada. Tidak terlihat pun garis kecewa atau dipaksa di wajah Sharifah dan Jefri. Pasangan pengantin itu kelihatan begitu mesra dan gembira. Tidak aku nafikan mata Sharifah sesekali melirik kepada Alang Di terutama sewaktu upacara persandingan. Alang Di macam biasa sahaja namun kelihatan geruh wajahnya juga. Aku berasa simpati kepada Sharifah mengingatkan kembali tentang apa yang diceritakan Nana dahulu. Sebelum majlis akad nikah semalamnya aku memasuki bilik pengantin untuk mengucapkan tahniah.
"Rima, maafkan saya ya! Saya yang salah menafsir." lembut, sambil dia menyambut tangan yang kuhulurkan.
" Apa maksud awak?" tanyaku sambil aku mengangkat sedikit keningku.
"Saya bukan dan tidak bertujuan hendak merampas dia.. tetapi dia layan saya dengan baik. Begitu baik. Kami memang selalu berhubung...telefon dan berutus surat. Saya benar-benar fikir, dia menyukai saya! Rupa-rupanya saya bertepuk sebelah tangan."
" Alhamdullillah, semuanya sudah berlalu. Dan, saya redha dengan jodoh ini."
"Dia? Siapa? Jefri? Sharifah, awak benar-benar merampas dia daripada saya, tahu?" Aku menyambut sambil bergurau walaupun aku tahu dia yang dimaksudkannya adalah Alang Di.
Bertepuk sebelah tangan? Sesuatu yang memang sinonim. Entah-entah aku juga sedang bertepuk sebelah tangan. Siapa tahu? Kebetulan pula Jefri memang rakan sepermainanku. Aku mengenali rapat Jefri dan aku amat pasti Jefri dapat membahagiakan Sharifah.
"Bukan Jefrilah! Jefri saya punya. Bukan rampas awak punya!" sambil memegang lembut jari-jemariku. Aku ketika itu sudah duduk di sebelahnya. Kebetulan tiada sesiapa yang lain selain kami berdua.
"Awak faham maksud saya, bukan?" tanyanya lembut. Aku mengangguk.
"Apa kata Jefri?" soalku ingin tahu.
"Saya sudah terangkan duduk perkara yang sebenar. Segala-galanya. Dia memahami. Lagipun bukan saya tiada perasaan dengan Jefri cuma perasaan saya ketika itu lebih berat kepada dia.". Diam.
"Saya berjanji akan berkongsi dan memberi yang terbaik untuk Jefri." Dia tersenyum. Cantik sekali. Aku juga tersenyum. Alhamdullillah, diberikan kekuatan dan ketabahan kepada Sharifah.
Langsir diselak. Tuan Imam bertanya persetujuan Sharifah untuk dinikahkan kepada Jefri. Sharifah berkata 'ya' tanpa silu. Dia begitu yakin sambil tangannya mencubit pehaku. Aku sedikit terkejut dengan situasi itu. Namun, keyakinannya itu sebenarnya amat menenangkan aku seketika itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan