Jumaat, 21 Ogos 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 11 )

BAB 11 : BIARKAN SEMUA ITU BERLALU


Pagi isnin ini, aku sampai agak awal di pejabat. Tidak banyak lagi pekerja yang ada. Bangunan MH Holding masih lengang.


Aku mengemas mejaku yang tidak sempat aku kemas rapi sebelum meninggalkan pejabat hari Khamis yang lalu. Sedang sibuk berkemas, aku ditegur seseorang.


"Assalamualaikum.." Aku mengangkat muka memandang orang yang memberi salam.


"Waalaikumsalam.." jawabku, sambil tersenyum tawar.


"Sudah sihat?" tanyanya lembut.


"Alhamdullillah" jawabku ringkas.

Hatiku tidak senang dengan keadaan itu. Senyumannya agak bermakna. Lelaki berusia akhir 30an itu merenungku. Aku melarikan pandanganku.


"Terima kasih kerana membenarkan Puan Yasmin menemani saya tempohari.." setelah lama berdiam diri. Gelisah diperhatikan sedemikian rupa.


"Sudah menjadi tanggungjawab saya." jawabnya perlahan. Hari ini dia kelihatan begitu kemas dan bergaya. Wajahnya yang baru bercukur menampakkan lagi ketampanannya. Hidung yang agak mancung dengan alis mata yang agak tebal, sungguh anggun. Dalam diam aku mengagumi perwatakan Ketua Jabatan ku ini.


Hatiku lega apabila terdengar gelak Aiman dan rakan-rakannya. Aku terpandang Kak Min sudah ada di mejanya merenung kami dari jauh. Dia senyum mengusik apabila aku membulatkan mataku. Encik Saiful beredar ke biliknya apabila mendenagr riuh-rendah kumpulan jejaka itu. Kak Aini bersama mereka turut ketawa. Kak Aini menjeling juga aku dan abangnya itu sambil menuju ke meja. Entahlah apalah yang difikirkannya. Ah, pedulilah! Aku bukan berbuat salah apa-apa.


Hari ini berlalu dengan pantas. Aku agak sibuk menyiapkan audit memandangkan sudah hampir akhir bulan. Menyusun baucer-baucer dan invois. Semakan fail itu semua perlu aku selesaikan. Dua hari bercuti, banyak kerja yang tertangguh. Aku tidak banyak bercakap. Ingatan ku kepada Alang Di juga menjauhkan aku buat sementara.


Petang itu, aku bertembung dengan Aiman di dalam lif. Aku kira dia sudah pulang kerana sudah keluar awal dengan teman-temannya 10 minit yang lalu. Apabila ditanya, Aiman menyatakan dia ke tandas sekejap. Rakan lain sudah turun dahulu. Hanya kami berdua sahaja di dalam lif.


"Rima, janganlah sedih sangat. Kalau orang sudah tidak sudi..saya kan ada.." Aiman memecah kesunyian.


Pintu lif terbuka. Aku lantas keluar. Aiman mengikut di belakang aku. Bagaimana dia tahu aku ditinggalkan? Kak Min? Tidak mungkin.. Musatahil Kak Min mengkhianati kepercayaan aku. Aku kenal Kak Min. Dia seorang yang amanah. Tidak mungkin Aiman mengetahui hal itu daripada Kak Min. Aku terus mengatur langkah dengan cepat.


Aiman berlari dan berdiri di hadapanku. Hanya jarak 1 meter dari ku..


"Rima, dengarlah apa yang saya hendak cakapkan ini!" Langkahku terhenti, aku memandang dengan sayu.


"Apa yang awak hendak cakapkan ini? Saya letihlah!" gumamku.


"Saya ikhlas ini, berilah saya peluang untuk mencantum semula harapan yang mula retak itu. Bukan semua orang seperti dia yang mengecewakan awak itu!"


"Siapa dia?" aku mula curiga.


"Sesiapalah yang melukakan hati awak.." Aiman mula menampakkan riak serba salah. Mungkin kerana tersalah cakap.


"Berilah saya peluang untuk berkongsi susah dan senang bersama awak!" Aiman seakan-akan merayu. Biar betul! Pemuda berusia 27 tahun ini sedang memujuk rayuku.


"Biar saya fikirkan dahulu.." jawabku ringkas. Mengelak darinya dan masuk ke keretaku. Mengemaskan dudukku. Aku menghidupkan enjin kereta.


"Hah!" terkejut aku. Wajah Aiman hanya sejengkal dari mukaku. cuma terhalang oleh cermin tingkap kereta. Aku menurunkan cermin tingkap itu.


"Terima kasih Rima...Saya akan tunggu jawapan awak."


Aku mengangguk. Aiman menegakkan badannya.


Aku mengundurkan kereta. Dia melambaikan tangan sambil membuat mimik muka. Aku tersenyum sendiri. Kereta meluncurperlahan. Aku melihat ke cermin pandang belakang.Aiman menari-nari. Aku senyum lagi.


*******************************************************************
Dua minggu berlalu, aku semakin tenang dan ceria. Aku sudah mula nakal seperti dahulu. Hairan, aku seperti terlepas daripada menanggung suatu bebanan berat. Hatiku benar-benar lega... Encik Saiful juga pernah menegur sikapku yang baru. Sebenarnya sikap aku yang lama, yang kusimpan selepas kes Fauzi dahulu.. Encik Saiful juga tampak ceria dengan keadaan aku ini. Tetapi siapa tahu apa yang tersirat dalam hatiku ini. Hanya Kak Min.. yang kadang kala perasan akan garis-garis luka di wajahku ini. Ada kalanya aku menangis di bilik air. Sesekali pula Kak Min akan menemani dan memujukku.


"Hai, biasanya orang lelaki sahaja yang frust 3 hari ... lepas itu cari lain." Iqram menegurku yang sedang ketawa dengan Kak Aini yang seronok tentang Hafizi, anak bongsunya.


Aku tersentak. Aku memandang Iqram.


"Kenapa? Orang lelaki kalau frust 3 hari saja ke?"


"Ya, 3 hari sahaja! Paling lama lah tu orang lelaki sedih dan kecewa... ada yang lebih cepat! Sebab itu hari ini isteri meninggal dunia, kekasih lari.... esoknya boleh cari ganti." Beriya-iya si Iqram menerangkan. Aku mencemek sambil membetulkan tudungku yang terlipat.


"Tapi kiranya kamu ni,macam orang lelakilah juga. 3 hari sahaja frust! Selepas itu sudah elok semula, ya?"


Rasanya, mukaku mula menjadi merah tiba-tiba. Apatah ketika itu Iqram seperti menujukan soalan itu kepada aku.


"Mana ada saya frust?" gumamku.


"Alahai.. mengaku sahajalah! Kami semua tahulah. Surat bersampul putih biasanya membawa hasrat suci tetapi surat bersampul putih itulah yang sudah menyebabkan kamu itu cuti kecemasan selepas menerimanya.. Bukan gitu? Tidak usahlah hendak berdalih-dalih.." Iqram seolah-olah mengejekku.


Surat bersampul putih? Dua minggu lepas, Aiman yang menyebut perkara itu. Sekarang Iqram pula. Apa yang mereka tahu tentang surat itu? Aku memandang Aiman. Aiman sedang sibuk membuat kerjanya tidak pun mengangkat mukanya. Namun aku tahu bahawa dia berpura-pura sibuk.


Aku mulai berasa curiga. Sememangnya sampul itu seperti dibuka orang. Apakah mereka? Oh, Tidak! Harap-harap bukan seperti apa yang aku sangkakan.


"Rima, kalau kamu sudi menerima saya ini, padang Dataran Merdeka saya akan tadahkan" kata Iqram sambil mendepangkan tangannya. Aku mengejeknya.


"Saya.... suka sama kamu!" dengan loghat yang dibuat-buat dan sambil ketawa, Iqram mengusikku. Seperti berjaya melakukan sesuatu yang hebat, lagaknya.


'His! Bergurau kah atau betul si Iqram ini? Di hadapan orangramai pula. Buat aku malu sahaja. Tetapi jika betul bagaimana pula ya?' soal hatiku. Kepada Aiman juga aku masih belum punyai apa-apa jawapan yang dapat aku berikan.

*******************************************
Sehari selepas itu, Kamal pula bertemuku di pejabat. Sewaktu semua orang pergi makan tengahari. Sedangkan aku berpuasa hari itu. Berpuasa sunat hari khamis.

"Rima, boleh abang bercakap sedikit?". Kamal memang selayaknya aku panggil abang. Usianya lebih 4 tahun lebih tua daripada Aiman.

Aku mengangguk perlahan kemudian meneruskan aktiviti aku waktu itu, membelek-belek majalah wanita yang baru aku beli semalam. Aku mengangkat muka kemudian, memandangnya lalu mempelawanya duduk.

"Rima sudah tidak apa-apa?" soal Kamal lembut.

"Kenapa bang?" soalku kemudian.

Dialah satu-satu lelaki yang aku panggil abang. Aku senang memanggilnya abang memandangkan aku tidak mempunyai abang kandung.

"Betul Rima tidak apa-apa? Mungkinkah pengharapan yang begitu lama dan akhirnya hancur tidak meninggalkan kesan apa-apa kepada Rima?" Abang Kamal bertanya lagi. Dan aku? Terkesima.

"Apa yang abang cakapkan ni?" soalku menduganya.


"Ya lah apabila orang yang paling kita sayang meninggalkan kita sedangkan waktu yang sama kita sangat mengharap dan memerlukannya. Abang rasa itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan" Abang Kamal terus mengasakku.

"Apa sebenarnya yang abang tahu ni?" Suara agak keras. Mula berang.

"Baik abang cakap betul-betul! Rima tak faham.." suaraku mula meninggi.

"Tidak mengapalah...Kita lupakan hal itu. Masa hadapan itu lebih penting. Biarlah yang berlalu menjadi sejarah."

Hish, geramnya aku! Lain yang aku tanya, lain pula yang dijawabnya. Aku merenungnya dan dia pula membalas renunganku. Tajam! Dan.... aku memalingkan mukaku. Mencuka.

" Janganlah Rima marahkan abang pula" dia memujukku. Aku memandangnya semula. Cuba senyum.

"Kalau ada ruang di hati Rima, abang akan berusaha mengisinya. Itupun kalau Rima memberi abang peluang."

Ah, sekali lagi! Benarkah kata-kata itu keluar daripada mulut Abang Kamal. Benarkah dia seperti Aiman dan Iqram, menagih kasih aku ini.

"Abang sedar, abang tidaklah sehebat dia mungkin tapi abang berjanji akan buat yang terbaik untuk Rima. Cuma terpulanglah kepada Rima untuk memberikan ruang dan peluang di hatimu untuk abang."

Airmataku mula bergenang. Hibanya hatiku ini. Aku memikirkan Kamal boleh kuanggap abangku tetapi dia juga serupa dengan Aiman dan Iqram. Mengharapkan sesuatu dariku. Sesuatu yang tidak mungkin aku berikan kepada sesiapa pun ketika ini. Pintu hatiku ini belum terbuka untuk sesiapa.

"Rima fikirkan,ya. Usah mendesak diri. Fikir masak-masak" Jarinya menguit-nguit hujung jariku. Aku lantas bangun apabila terdengar dari luar sana suara Aiman yang semakin jelas kedengaran. Aku menarik tanganku. Astaghfirullah al-azim. Ya Allah, kuatkan hatiku ini. Setitis air mataku menitis. Cepat-cepat kusapu sebelum sesiapa menyedari.

Bertambah satu lagi kemusykilan aku kini. Tentang surat bersampul putih itu! Ketiga-tiga mereka menyentuh perkara yang sama. Dan aku pasti mencari jawapannya.

Tumpuan aku tiba-tiba kepada Harith. Ya, Harith tidak mungkin berbohong dan Harith tidak mungkin ada hati kepada aku. Dia sudah bertunang. Tunangannya sedang menuntut di instusi pengajian tinggi awam.. tetapi aku tidak ingat di mana. Walaupun usianya lebih muda dalam kalangan mereka berempat, Harith kelihatan lebih bertanggungjawab. Mungkin kemusykilan aku akan terjawab juga nanti.

Aku lihat Harith membawa beberapa dokumen ke mesin photostat. Inilah peluangku! Apatah mesin itu terletak dalam bilik cetakan yang khas yang berasingan dengan ruang kerja ini. Aku lalu bangun dan menurutinya.

Tidak sukar bagiku untuk memecahkan kemelut mindaku ini. Harith menerangkan segalanya dengan segera. Pada hari surat itu sampai, Aiman mengambilnya daripada peti surat. Awalnya dia fikir surat itu adalah untuknya. Hal itu disebabkan sewaktu dulu dia juga berutus surat bersampulkan sampul putih dengan kekasihnya. Kebetulan nama kami hampir sama. Ainur Rima Rahmat dan Aiman Iman Abdul Rahman. Ketika itu semua mereka ada di situ, baru balik daripada makan tengahari. Dan, semua mereka membaca surat aku itu. Oleh sebab Aiman seorang yang sangat cermat ketika membuka surat, maka kesilapan itu mudah disembunyikan. Lagi-lagi apabila Aiman membuka surat itu dari sisinya.

Ah, betullah sangkaan aku! Harith sempat menasihatkan aku. Harith juga mengetahui ketiga-tiga rakannya itu menaruh hati kepadaku. Sempat pula dia mengusikku, jika dia belum bertunang mungkin dia pun ikut serta kawan-kawannya itu. Dia mengharapkan aku dapat membuat pilihan yang betul. Ambillah masa untuk memikirkan hal itu, katanya kerana kemungkinan aku tidak dapat membuat keputusan yang betul ketika itu lebih besar dengan keadaan aku yang tidak bersedia dan baru dikecewakan.
Aku akur!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan