Sabtu, 7 November 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 12 )


Bab 12 : Berselindung di balik Tabir yang Jarang

Aku belum memberi apa-apa jawapan kepada Aiman, Iqram dan Kamal. Sudah hampir empat bulan berlalu. Hati ku ini sudah benar-benar menerima hakikat walaupun sesekali kenangan lama mengimbau semula.

Ring! Ring! Ring!

Tengah sibuk begini telefon ini pun asyik berdering sahaja!

"Dik, angkatlah telefon tu!" Kak Min melaung. Aku lantas mengangkat gagang telefon tetapi masih meneliti kerja-kerja aku yang melambak-lambak di atas mejaku.

"Hello... boleh bercakap dengan Cik Ainur Rima?" Aku kenal suara itu.

"Nana, akulah ni..!" Aku terus memberhentikan kerja-kerja aku.

"Rima, minggu ini kau balik kampung,ya.." Diam sebentar.

"Nana, aku sibuklah. Tengoklah nanti macam mana,ya. Ada apa hal?" Tanganku masih mencatat sesuatu.


"Nana, kenapa diam ni?" Aku mengamitnya setelah sekian lama dia diam.

"Minggu ni majlis persandingan Alang Die" Sayup sahaja bunyi suara Nana.

"Hmm...cepatnya!" gumamku. Tanpa sedar pula air muka ku berubah. Secepat ini Alang Di berubah walaupun berita itu bukan satu kejutan kepada aku tetapi tetap menggetar naluri kewanitaan aku ini. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat aku menumpang kasih.

Aku tidak sangka secepat ini majlis itu akan diadakan. Baru dua bulan lepas ibu menelefonku memberitahu berita pertunangan Alang Di. Tidak tahu mengapa berita itu aku harus terima daripada mulut ibu. Ibu menelefonku di rumah. Ibu memang tidak suka aku berkawan dengan Alang Di. Entah apa alasannya aku tidak pasti tetapi ibu tidak sanggup merahsiakan berita itu daripadaku. Aku sedar ibu bersimpati denganku. Kasihnya dititipkan bersama pujukannya ketika itu. Ibu faham mengapa sudah hampir lima bulan aku tidak balik ke kampung. Aku tidak banyak cakap sekadar mengiyakan kata-kata ibu.

"Rima... kau dengar tak? terdengar suara Nana cemas.

"Ya... ada" jawabku lemah.

"Nana, aku cuba balik. Tapi aku tak janji.. okay!" Aku berpura-pura tidak berasa apa-apa.

"Aku minta maaflah, Rima! Sebab tidak ada kad jemputan sampai kepada kau. Alamat kau hilanglah". Ah, Alasan! Cakap sahajalah bahawa kalian sememangnya tidak mahu menjemput aku.

"Rima, Ibuku berkirim salam. Dia pun berharap kau boleh balik nanti." sambung Nana lagi. Entah benar, entah tidak ibunya berharap begitu.

"Tengoklah bagaimana nanti. Baiklah Nana.. Aku banyak kerja sekarang ni.. Boleh aku telefon kau nanti.." Sebenarnya aku yang tidak sabar-sabar meletakkan gagang telefon ini. Air mata aku ini sudah mengalir banyak sekali. Aku pantas mengelap air mataku sebelum sesiapa menyedarinya. Aku memandang Kak Min. Kak Min membalas pandanganku sayu. Tanpa sedar kelakuanku itu diperhati dengan penuh minat dari dalam bilik di hadapanku. Dan pastinya Encik Saiful menyedari reaksi aku itu.

*****************************************************

Letih sungguh aku hari ini. Usai makan malam aku lantas merehatkan badanku di sofa sambail menonton televisyen. Jam di dinding menujukkan pukul 11.50 malam. Mataku ini pula belum hendak lelap. Entah apa siaran di kaca televisyen pun aku tidak pasti. Termenung jauh... mengingati berita yang aku terima siang tadi.


Ring! Ring!

Bunyi deringan mengejutkan aku dari lamunan panjang itu. Aku bergegas ke telefon. Ada kecemasan agaknya malam-malam begini ada panggilan. Gagang pantas ku angkat.

"Hello, Rima.." suara Nana jelas kedengaran di hujung corong telefon.

"Asslamualaikum" jawabku hambar.

"Kau tidak tahu hendak bagi salam ke?" marahku menyembunyikan debaran hatiku.

"Alah, Maaflah... Assalamualaikum Rima... Kau lapang tak? Aku hendak berbual dengan kau sekejap boleh?" pinta Nana lembut.

"Sejak bila kau pandai minta izin? Kalau aku kata tidak boleh, macam mana? " Jawabku selamba sambil menarik telefon ke sofa. Aku mencari kedudukan selesa, bersedia. Entah apa pula cerita si Nana kali ini.

"Kau masih marah Alang ke?" soalnya tiba-tiba.

"Kenapa aku nak marah?"

" Kau tahu... masa Alang kata hendak bertunang hari itu, kami sekeluarga agak terkejut. Along terutamanya. Macam-macam kami tanya Alang dan Alang cakap itulah jodoh pilihan dia."

"Along marah-marah. Ibu hanya menangis."

"Apa kaitan dengan aku, Nana?" soalku seakan-akan marah. Memang aku betul-betul benci dengan keadaan itu.

"Yalah.. Semua ahli keluarga tahu kau berkawan dengan Alang. Tup-tup Alang hendak bertunang dengan oranglain. Aku risaukan kau, ibu juga tapi Alang DI kata dia sudah tiada apa-apa hubungan dengan kau. Tambah terkejut kami mendengarnya."

"Akhirnya kamu terpaksalah akur dengan keputusan dan pilihan Alang."

Aku merengus dalam hati. Betullah semua itu. Kenapa masa Alang bertunang, kau tidak telefon kawan kau ini? Sudah hendak nikah barulah sibuk-sibuk. Geram aku dibuatnya.

"Rima...." suaranya lemah.

"Hmmm..."

"Satu lagi aku dan Alang harapkan..." Senyap di hujung sana. Aku masih menunggu..

"Kami berharap sangat kau tidak membenci Alang. Mungkin sekarang jodoh kau dengan Alang Dia tiada. Tetapi manalah tahu, kuasa Tuhan. Macam-macam boleh jadi. Kalau ada apa-apa yang terjadi pada kakak ipar aku itu, atau jodoh mereka tidak panjang... Kau terimalah Alang Di balik!"

"Gila kau!" spontan aku menjawab. Nauzubillah. Manusia jenis apa kau ini, Nana? Mendoakan kemusnahan abang kau sendiri. Aku sememangnya benci dengan sikap kau yang satu ini. Sungguh aku benci. Ketahuilah Nana, Ainur Rima ini tidak akan sesekali menjilat balik ludah sendiri seperti yang kau harapkan itu. Tidak sekali-kali! Pandai pula hendak kaitkan dengan kuasa Tuhan. Aku ini bukanlah sekejam itu. Aku tidak pernah mendoakan kemusnahan Alang Di. Pada aku bahagia Alang Di, adalah kebahagiaan aku juga. Suara Nana semakin jauh kurasakan dibendung rasa tidak senang aku itu, tenggelam dalam kemarahanku.

"Nana, maaflah.. aku kerja esok! Sudah agak lewat ni." Aku mencari alasan. Dan Nana, seakan-akan faham.

"Rima, jangan lupa balik ya!" Arahnya. Aku terus meletakkan gagang. Tanpa mengucapkan salam pun . Apa yang perlu aku laku? 'Ya Allah, berilah petunjukMU'

Esoknya aku mencari Aiman meminta pertolongannya untuk menemani aku pulang ke kampung menghadiri majlis perkahwinan Alang Di. Aiman dengan senang hati menerima. Aku akan pulang dahulu, Aiman akan menyusul kemudian dengan Harith. Aku memohon cuti awal sehari dan ketua pejabatku meluluskan permohonan cuti ku itu dengan mudah. Banyak pesanan mengasak ke telinga. Aku terima sahaja. Sebab aku benar-benar mengharapkan cutiku diluluskan. Sekali lagi aku diusik oleh Kak Min dan Kak Aini dengan perolehan perlepasan cuti aku itu.

Majlis Alang Di aku hadiri bersama Aiman. Harith tidak turut sama kerana Rohana tunangannya pitam dan mabuk kerana perjalanan jauh ke kampungku. Ditambah jalan yang berselekoh dan banyak berliku. Aku cuba mengawal perasaan aku. Betapa sukarnya keadaan itu, melayan pelbagai karenah Aiman. Aiman memang pandai sekali berlakon. Walaupun itulah kehendak Aiman diberi perhatian dan dimanjai olehku.

Kedatanganku menjadi perhatian. Peluk cium Nana dan ibunya menggugat juga kekuatan aku ketika itu. Tetapi aku perlu bersikap tabah. Terdengar desas desus. Aku dan Aiman diperkatakan dibandingkan dengan Alang Di dan isteri. Biarlah mereka sosek-sosek di belakang. Aku tidak pernah perkara-perkara yang salah. Aku cuma berharap ibu dapat menerima menantunya sepenuhnya terutama apabila menjangka aku sudah pun punyai pengganti Alang Di. Biarlah semua berakhir dengan baik. Begitu juga harapanku kepada Nanan, walaupun pada awalnya dia tidak mempercayai Aiman itu kekasihku yang baru seperti yang aku nyatakan. Namun akhirnya ketika melihat perlakuan kamu waktu bersama, Nana akur. Dia berharap kami akan bahagia. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku pilih Aiman untuk lakonan itu. Bukan Iqram atau Kamal. Permintaan aku menyebabkan Iqram dan Kamal membuat kesimpulan aku telah memilih dan menerima Aiman dalam meneruskan perjalanan hidupku yang seterusnya.

Kekalutan itu aku selesaikan perlahan-lahan. Rasa sangat berterima kasih dengan lakonan Aiman membawa keakraban yang disalahtafsirkan ileh semua orang di pejabatku. Juga disalahtafsirkan oleh Aiman sendiri.

Aiman melayanku dengan baik sehingga sedikit demi sedikit dahan yang telah dipatahkan oleh Alang Di bercambah tunas-tunas baru. Namun ia bercambah terlalu cepat.

**************************************************************

"Assalamualaikum" terdengar suara Alang Di.

"Walaikumsalam" jawabku terkejut.

"Apa khabar Alang?" soalku pantas.

"Alhamdullillah, Rima?" soalnya kembali.

Aku dapat menjangka panggilanan Alang Di kali ini bukan setakat bertanya khabar. Aku cuba mengawal debar di hati.

"Telefon dari mana?" soalku bersahaja.

"Pejabat.. Semua sudah keluar lunch." jawabnya agak keras.

"Kenapa Alang?" aku cuba menyingkatkan perbualan.

"Rima sebenarnya memang tidak sayang Alang, kan?" tersentak aku. Lelaki inikah Alang Di yang kukenali?

"Alang buat macam-macam untuk menguji Rima, akhirnya terbukti sememangnya Rima memang tidak pernah menyintai Alang." rungutnya. Aku diam mendengarnya. Apa hal pula ini?

"Rima, bagi Alang....adalah wanita yang terbaik pernah Alang kenali. Rima adalah segalanya buat Alang tetapi kasih sayang Alang tidak pernah Rima hargai. Kenapa Rima? Jawablah soalan abang ini?"

Sudah 'Gila talak' ke lelaki yang satu ini? Kalau bercerai talak tiga, bolehlah 'Gila talak'. Aku tidak pernah bernikah pun dengannya. Hendak ditalakkan apa pula?

"Apa maksud Alang?" Janggal pula untuk membahasakannya dengan panggilan abang. Setelah sekian waktu mendiamkan diri.


"Rima rasa apa perasaan abang apabila Rima tidak pernah menangis pun mendengar abang bertunang? Sehinggakan abang majlis persandingan abang pun, Rima tidak kisah atau bersedih untuk menghadirinya. Memang hati Rima sudah jauh berubah! Rima siap bawa teman lelaki pula . Rima tahu tak apa perasaan abang ketika itu? Marah, geram, sakit hati..... macam-macam, berbaur.. sampai hati Rima!"

Menangis! Untuk apa? Mengapa aku perlu menangis? Hmm... patutlah muka Alang Di mencuka sahaja ketika majlis persandingan dulu.

"Kenapa Rima menangis,Alang? Sedangkan Alang sedang menuju bahagia. Rima bahagia kalau Alang bahagia. Rima hendak Alang tahu, Rima selalu mendoakan kebahagiaan Alang."

"'Abang'lah.." bentaknya tiba-tiba.

" Tak bolehkah Rima panggil 'abang'? Susah sangatkah?". Hish, marah pula dia!

" Apa hal pula ni?" Aku cuba mengawal kemarahanku dibentak begitu. Selama ini Alang tidak pernah sekalipun meninggikan suara kepadaku.

"Rima ni memang tidak ada perasaan, agaknya!" sedap sahaja mulut itu berkata-kata.

"Maksud Alang?" keras bunyi suara aku.

" 'Abang'!" sekali lagi dia membentak. Kalau aku ikutkan hati hendak sahaja aku letak gagang yang sedang kupegang ini. Diam.

" Rima, abang minta maaf.. Abang tidak bermaksud untuk memarahi Rima." Ketegangan suaranya mula mengendur.

"Abang kesal semua ini berlaku. Masa nikah tempohari, abang hanya membara badan sahaja. Ikut sahaja apa yang ayah angkat abang cadangkan. Abang tidak tahu ke mana dan apa perasaan abang ketika itu. Apabila abang tahu Rima seperti tidak kisah dengan segala yang berlaku, abang ambil keputusan meneruskannya."

"Rupanya Rima memang tidak pernah menyayangi abang. Mungkin selama inipun,abang tidak pernah ada di hati Rima. Rima lepaskan abang dengan begitu mudah. Rima tidak menangis pun. Rima tidak pernah berasa cemburu dengan banyak perkara yang berlaku selama ini. Sedangkan cemburu itu kan tanda sayang. Tapi Rima tidak begitu! Jika pasangan lain, sedikit sahaja sudah melenting... tapi Rima tidak. Abang pelik dengan sikap Rima. Kejadian antara abang dan Sharifah itu dulu pun tidak sesekali menggugat Rima. Abang sungguh kecewa. Abang sungguh kecewa! Sebab itu, abang ambil keputusan memutuskan hubungan kita."

"Rima terlalu tenang.. tidak menyerang, bertanya sebab atau sekurang-kurang bertanya kepada Nana pun tidak... Kenapa Rima? Kenapa?" Rintih Alang Di. Begitu rupanya penderitaannya. Kelu lidahku untuk berkata-kata. Sedang, aku perlu bijak. Terlalu banyak soalan yang perlu aku jawab. Ketahuilah hati aku ini lebih menderita.

"Abang tak bahagia, sayang! Abang tidak bahagia. Nita tidak seperti Rima. Rima ada segala-galanya yang abang harapkan. Kami selalu bergaduh. Nita selalu mengungkit kisah-kisah lama." rayu Alang Di menagih simpatiku.

Aku mula berasa cuak. Aku mesti memilih kata-kata yang tepat untuk menjawabnya. Aku tidak mahu Alang Di menjadi lebih hipokrit.

"Abang...". Kali pertama aku membahasakannya seperti itu.

"Ya...hmm" Ada riak ceria dan gembira pada suaranya.

"Rima juga minta maaf. Rima tidak bermaksud untuk mengenepikan abang. Dalam hati Rima, abanglah segala-galanya.. Satu-satunya. Dari dulu lagi, dan kini juga mungkin selamanya. Cuma bezanya sekarang , cinta Rima pada abang hanya sebagai kawan. Abang mesti memahaminya" Aku diam menyusun kata-kata seterusnya.

"Rima sebenarnya memang sudah puas menangis, Bukan Rima tidak pernah cemburu tapi abang bukan sesiapa kepada Rima. Kita tiada ikatan yang rasmi.. Abang juga menafikan kedudukan Rima dalam hati abang. Jika ada pun abang halang Rima untuk memaklumkan hubungan kita. Rima tahu hak Rima setakat mana. Ingat tak kata-kata abang suatu ketika lalu.. Cinta itu bukan untuk dilafazkan tetapi dibuktikan. Rima menahan perasaan. Rima sediah abang menghalang hak Rima untuk menyatakan rasa cinta dan sayang itu. Abang halang Rima ucapkannya... walaupun di hadapan abang sendiri. Rima akur walaupun hati Rima ini tersiksa" panjang lebar aku menjawab soalan-soalannya dengan tenang.

"Berita pertunangan dan perkahwinan abang dan Nita, Rima terima.... tanpa air mata. Mungkin air mata ini sudah kering. Abang usah bimbang... Rima redha. Abang selalu ingatkan Rima.. Kita merancang dan Allah pula yang akan menentukannya. Itulah pesanan yang abang selalu beri kepada Rima. Lagipun abang bukan tidak tahu bagaimana Rima. Kenapa abang tidak menyatakan terus terang."

Aku menyeka air mataku yang mengalir deras. Getar suara kukawal. Kutarik nafas panjang-panjang dan kulepaskan semula. Aku tidak mahu Alang Di tahu apa keadaanku ketika itu. Dan masih banyak yang perlu aku katakan.

" Rima harap dan berdoa, abang akan sentiasa bahagia. Nitalah jodoh abang. Abang jadi lelaki, suami yang bertanggungjawab seperti yang Rima kenal. Belajarlah menerima dengan ikhlas..jika selama ini abang berasa sentiasa memberi. Bukalah hati abang ya. Rima tidak akan apa-apa. Abang tidak perlu risaukan Rima. Bimbingan abang dulu sentiasa dan masih kuat Rima pegang."

"Kalaulah abang tahu perasaan Rima sewaktu Nana bercerita tentang Sharifah, Abang tentu sedih. Bagaimana abang sanggup bertindak begitu. Abang jatuhkan air muka dia. Maksudnya abang tidak menghormatinya sebagai wanita. Abang, Rima perempuan... Rima tidak menyokong sebab abang salah. Bukan salah Sharifah semata-mata. Abang membiarkan Sharifah menanggung semua itu sendirian. Abang faham maksud Rima?"

"Ya, abang faham." jawab Alang Di ringkas.

"Segala yang berlaku tentu ada hikmahnya." Aku teringat kata-kata Kak Min ketika menenangkan perasaan aku ini kira-kira lima bulan yang lalu.

" Satu permintaan Rima. Jadilah suami yang menghargai isteri. Rima tidak mahu menjadi sebab keruntuhan rumahtangga abang.. Rima tidak boleh membiarkan abang dengan sengaja membenarkan memusnahkan kebahagiaan abang. Setiap insan itu pasti ada keistimewaannya tersendiri. Perlahan-lahan, abang pasti mengenali Nita. Tidak kira bagaimana sekalipun abang bertemunya. Dialah yang Allah tentukan sebagai jodoh abang. Dan, antara kita bukan sesiapa, abang."

"Rima harap abang boleh menerima Rima sebagai adik, seperti Nana, mungkin.. Lagipun itu lebih baik rasa untuk kita berdua."

" Maafkan abang. Abang tidak boleh terima Rima atau anggap Rima seperti adik abang, seperti Nana. Tidak Rima. Tidak boleh.." Alang Di mencelah. Dia pantas menolak.

Aku faham kenapa itu jawapannya. Teringat aku kepada kata-kata Nana tempohari. Kalau dia menganggap aku sebagai adik dan sekiranaya berlaku kemungkinan-kemungkinan itu. Nauzubillahu min zalik.


"Terpulanglah. Cuma Rima rasa cukuplah setakat ini hubungan kita. Kalau Rima ini Nita, Rima juga akan bertindak sepertinya. Abang tidak berhak menghukum Nita kerana kesalahan Rima. Rima harap abang faham." sekali lagi aku meminta pengertiannya.

"Satu lagi, Rima tidak mahu dengar apa-apa yang buruk selepas ini. Abang jadilah abang yang Rima kenali selama ini.. penyayang, dan bertanggungjawab... Abang bersikaplah adil kepada diri abang dan keluarga abang." tegas aku menyatakannya. Aku lantas meletakkan gagang. Tidak sanggup aku meneruskan bicara luka ini. Aku tahu dikau menderita. Derita yang kau undang sendiri. Tahukah kau Alang Di, Rima lebih merasainya.