Ahad, 21 Februari 2010

AKU MILIKMU JUA ( BAB 15 )

Bab 15 : Jauh Terbangnya Bangau Akhirnya kembali ke Belakang Kerbau juga.

5 hari sebelum majlis perkhawinan Kamal. Aiman tiba-tiba muncul. Gamat pejabat MH Holding hari itu. Aiman sudah berisi sedikit. Riuh rendah seharian dengan usik-mengusik. Aku juga turut gembira. Kepulangannya kuharapkan membawa sinar baru. Dia bersapa dengan panjang lebar. Banyak sekali cerita lucu. Tidak kering gusi dibuatnya, kami semua ini. Namun aku tidak mahu memperlihatkan rasa rindu aku ini. Aku melihatnya dari jauh sahaja. Aku mengharapkan dia akan datang menemuiku. Tetapi harapan hanya tinggal harapan. Tidak seperti aku harapkan. Dia terus masuk ke bilik Encik Saiful dan kemudian terus pulang.

Bergenang air mata di pelupuk mata, sudah lupakah dia kepada aku ini?

"Rima, berterus-teranglah dik, Usah dipendam rindu itu, nanti memakan diri." Nasihat Kak Min.

" Tidakkan sampai ke mana jika Rima pendamkan."

"Entahlah , saya tak tahu hendak berbuat apa, Kak." wajah muramku tidak dapat aku sembunyikan kini.

Kami hanya bertemu sekian kalinya di majlis perkahwinan Abang Kamal. Aku tidak mahu dikatakan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Aku tahu batas-batas hubunganku ini. Gembira sunguh Aiman bertemu kawan-kawan lama. Aku sesekali tersenyum juga melihat telatah Aiman. Tetapi aku berasakan semakin jauh daripadanya. Dalam diam-diam itu Abang Kamal memerhatikan gelagatku dengan penuh ihsan dari jauh.

Hanya petang itu, kami rakan-rakan sepejabat termasuk Aiman makan bersama-sama. Ketika itu juga Iqram beriya-iya menggiat kami. Aku hanya senyum dan Aiman juga bersahaja bagai tiada apaa-apa yang berlaku. Aku malu sendiri. Bertepuk sebelah tangankah aku ini? Ahh, peribahasa ini sudah seakan sebati dan sukar lekang daripada hidupku.

"Rima!" suara memanggilku. Tika itu majlis sudah semakin lengang. Aku juga sedang sibuk mengemas meja-meja di khemah jamuan.

"Kita duduk di sana." aku menoleh ke arah yang ditunjukinya.

"Hmm.." Aku mengatur langkahku perlahan. Seketika aku sampai ke pangkin di bawah pokok mangga di sisi halaman rumah abang Kamal.

"Apa khabar?"

"Baik" jawabku. "Itu sahajakah yang hendak ditanyanya?" getus hatiku.

"Maaf!" sepatah lagi keluar daripada mulutnya.

"Kenapa?" soalku.

"Awak marah,ya? Saya suka tengok awak macam ketika ini. Muka awak yang mula merah itu membuatkan saya semakin rindu." Aku menjelingnya.

"Ada apa halnya, awak nak berjumpa saya?"

"Jumpa orang yang disayangi, tidak boleh?"

"Tetapi, awak sudah menyiksa saya. Bukankah tempohari saya ini awak anggap macam tunggul mati sahaja?"

"Itulah sebabnya, saya minta maaf."

Selepas itu semuanya menjadi elok semula. Banyak perkara yang kami bicarakan. Gelak ketawa kami berselang-seli menari perhatian abang Kamal dan Kak Kamaliah. Mereka pastinya mengharapkan kami akan sentiasa berbahagia seperti mereka, fikirku. Cuma yang aku sedari ialah perubahan sikap Aiman. Iaitu, Aiman hanya menegurku setelah Iqram pulang, Kenapa? Hatiku berteka-teki.

Selepas peristiwa itu, kami sering berutus surat. Mengirim sayang dan kasih di hati kami. Aku tidak menafikan merasai kegembiraan ketika itu. Tetapi panas tidak sampai ke petang, kerana hujan di tengah hari. Harith pernah mengingatkan aku. Abang Kamal juga tetapi tidak pernah aku endahkan. Dan, surat terakhir ini melahirkan segala-galanya. Baris-baris itu kubaca berkali-kali.

"Rima,
Aku umpama sudah tidak berpijak di bumi nyata. Aku terlupa bahawa mempunyai banyak tanggungjawab. Carilah lelaki yang benar-benar layak untukmu. Kau berhak mendapatkan seorang lelaki yang lebih baik dan lebih sempurna daripada aku. Aku sudah membuat pilihan dan keputusan. Hubungan ini tidak akan ke mana sudahnya. Seperti aku katakan dahulu, bukalah hatimu untuk orang lain. Usahlah ditunggu, aku lagi. Haluan kita sudah berubah. Kita tidak boleh seiringan lagi. Kita sudah tidak di jalan yang sama. Maafkan, aku.."


Kata-kata itu yang seperti pernah aku baca. Ya! Kata-kata yang sama seperti dalam suart Alang Di. Aiman, Alang Di! Bahasa yang sama yang kalian gunakan. Aku tunduk menanggung beban berat di kepala dan dadaku. Sekali lagi. Sama seperti dulu, umpama dihenyakkan dengan batu yang besar.

Dan, tanpa aku sedar ada juga sepasang mata yang memandangku.

Aku benar-benar sedih, namun air mataku ini tiada yang mengalir keluar. Mungkin, sudah kering! "Salahkah lagi, pilihan aku ini?"

Esoknya, aku terlewat ke pejabat. Aku tidur agak lewat malam semalam. Memikirkan nasib aku ini... menghitung-hitung kesilapanku....

Jumaat, 19 Februari 2010

AKU MILIKMU JUA ( BAB 14 )

Bab 14 : Buang yang Keruh, Ambil yang Jernih.

Sudah enam bulan, suasana pejabat sunyi tanpa gurau senda Aiman. Hal ini bermakna, sudah enam bulanlah juga aku tidak menerima apa-apa berita daripada Aiman. Aku benar-benar gelisah memikirkannya.

Sejak belakangan ini, Iqram sudah mula mendekati aku. Mengajakku keluar bersama. Tidak pernah jemu, tidak pernah putus asa lagaknya. Bukan Iqram tidak tahu aku memang tidak suka keluar berdua-duaan dengan lelaki, tetapi dia masih terus mencuba.

Iqram sudah mula berani membelikan kad-kad yang mengandungi kata-kata puitis. Iqram juga kerap menelefon aku ketika di rumah. Pelbagai cara yang dilakukannya. Dan aku, berasa sedikit cuak dengan semua itu. Kenapa seharusnya Iqram bertindak begitu. Ada saya waktu terluang dia akan bertamu ke mejaku. Bercerita itu dan ini. Hal-hal peribadinya, pendapatnya dan harapannya. Yang sebenarnya tiada perlunya semua itu buat aku. Namun aku tetap melayannya seperti biasa. Aku telah menyatakan pendirianku. Aku hanya menganggapnya sebagai kawan, teman, sahabat.. tidak lebih dari itu. Walau aku bukan ada sesiapa pun ketika ini. Bukan juga Aiman... apatah apabila aku pernah merisik-risik alamat Aiman tetapi semua bagai dirahsiakan. Cuma Kamal sahaja yang kerap menyampaikan salam Aiman buat aku. Tiada sebarang kata sayang mahupun rindu... hanya sekadar salam.

Aku hampir hilang punca, apabila Iqram sudah semakin kerap mendesak.

"Fahamilah aku ini, Iqram". Dan adakalanya aku mengharapkan simpati Kamal dalam melalui keadaan itu.

" Abang, tolonglah Rima ini." Itulah permintaan aku sehingga satu ketika yang mendesak. Dan Kamal mengerti. Kini, Kamal akan sering ada bersama aku sekiranya Iqram menghampiri aku. Aku berasa sedikit lega.

Masa terus berlalu. Begitu pantas. Hampir setahun juga Aiman pergi. Berjuang mendapatkan segulung ijazah dan aku, masih lagi di sini. Mengharapkan sesuatu yang tidak pasti.

Kak Min sahajalah tempat aku meluahkan rasa hati ini. Tetapi aku tidak boleh terlalu bergantung kepada Kak Min. Kak Min punyai tanggungjawabnya sendiri. Suzie dan Lynn juga punyai tanggung sendiri. Maka aku terus begini. Melalui hari-hari dalam hidup aku bersendiri.

"Assalamualaikum, Rima.." Sapaan itu mengejutkan aku.

"Waalaikumsalam.. Abang, duduklah!" Aku memberikan ruang untuknya.

"Sudah jam lima, adik tak balik lagi?" soalnya.

"Entahlah, abang... hati Rima ini terasa sebak!" Jawabku. Sambil melihat anak-anak ikan berlari-lari , berkejar-kejaran dalam akuarium di hadapanku. Begitu lincah sekali.

"Pasal Iqram?" soalnya lagi.

"Hemm," Mengangguk.

"Bukan Aiman?" soalnya semula. Menggeleng.

"Rima, abang tahu perasaan Iqram. Abang tahu juga keputusan Rima.. perasaan Rima " Kamal meneruskan kata-kata, lembut.

"Masalahnya, Rima sudah tidak tahu apa lagi yang hendak Rima lakukan. Iqram seperti tidak pernah faham." Aku menjawab dengan rasa sebak menghenyak ke hatiku. Akhir-akhir ini aku sudah berani meluahkan perasaan aku ini kepada Kamal. Suasana menjadi sepi. Kamal tunduk. Mungkin bersetuju denganku. Iqram memang tidak pernah serik.

"Abang, Kenapa cari Rima?" Setelah sekian lama membisu. Aku cuba menceriakan suaraku walaupun aku tahu Kamal menyedari keadaan aku yang berpura-pura.

"Rim, dalam mengejar sesuatu itu kadang kala kita terpaksa korbankan banyak perkara yang kita sangat hargai. Dalam mengejar cinta kita boleh mengorbankan diiri sendiri. Sedangkan, cinta itu tidak semestinya berakhirkan perkahwinan. Cinta itu tiada hentinya. Betapa dalamnya cinta kita, kita akan bahagia jika orang yang kita cintai itu berbahagia. Bukan begitu, Rima?" Kamal memandang aku.

Aku membalas pandangannya. Mengangguk mengiyakan.

"Dalam mengejar kejayaan, abang menemui cinta. Demi cinta itu abang berkorban. Semoga dengan pengorbanan itu akan ada bahagia buat abang. Berasa segalanya atas kebahagiaannya. Cinta itu juga berakhir dengan perkahwinan tetapi...."

Sunyi. Aku menanti kata-kata seterusnya.

"Cinta abang ini berakhir dengan perkahwinan, Rima. Tetapi perkhawinan dengan orang yang tidak abang cintai. Demi Rima, demi cinta abang ini, abang setuju dengan perkahwinan abang ini. Dan, abang ingin Rima lah orang pertama yang mengetahui berita ini."

Ada getaran dalam suaranya. Kamal menundukkan kepalanya. Kedua-dua tangannya diletakkan ke dahi. Aku juga tiba-tiba terasa sebak.

"Rima, " perlahan.

"Kalau Rima kata Rima akan terima abang. Rima berkata ya untuk bersama abang. Abang sanggup menghentikan perkahwinan ini." Aku terkesima. Gugup.

"Abang!" Aku memanggilnya perlahan. Menundukkan sedikit kepalaku.

" Abang tidak sanggup melihat Rima dipermain-mainkan. Walaupun oleh kawan baik abang sendiri.tetapi Rima berhak menentukan hidup Rima." pintasnya tanpa sempat aku menyambung kata.

"Awalnya, abang beranggpan jika abang menerima perkahwinan ini, abang mengurangkan beban dan tekanan di hati Rima tetapi.... abang tidak sanggup melihat Rima seperti ini. Abang malu. Abang sudah kalah sebelum berjuang. Abang sepatutnya bersaing dengan mereka walaupun mereka adalah kawan-kawan baik abang."

" Sekarang ini, abang benar-benar menyesal! Pertunangan abang ini hanya bertempohkan sebulan sahaja. Dan, dua minggu lagi tarikh itu bakal tiba. Cakaplah sesuatu, Rima" Setitis airmata lelaki itu menitik ke lantai.

' Ya Tuhanku, kuatkanlah hatiku ini! Kuatkanlah juga hati lelaki ini!'

Airmataku juga turut tumpah tanpa dapat aku bendung lagi. Buat kedua kalinya, aku melihat seorang lelaki menangis kerana aku.

'Ya Tuhan, Sabarkanlah aku. Tabahkanlah hatiku. Dugaan apakah lagi ini? Adakah aku melukakan hati lelaki di hadapan aku ini? Seorang lelaki yang sangat aku hormati dan sangat aku kagumi ini?'

Bahu Kamal terhenjut-henjut. Genggaman tangannya menongkat dahinya.

Apa yang perlu aku lakukan? Buntu fikiranku. Sebak dan sebal terus-menerus mengasak.

Astagfirullah Al-Azim! berulangkali aku ungkapkan tanpa menzahirkannya. Kenapa harus jadi sehingga begini rupa? Berikanlah aku kekuatan. Berikanlah aku petunjukMU. Mata kupejamkan. Aku menghela nafas panjang dan melepaskannya, berkali-kali.

"Abang..." Akhirnya aku bersuara.

Kutarik genggaman tangannya. Beralaskan sapu tangan pemberiannya suatu masa dulu. Menggenggam erat jemarinya. Inilah pula kali pertama aku memegang tangan seorang lelaki yang bukan muhrimku.

"Abang, abang dengar Rima ini. Dengar apa yang Rima indin katakan ini." Kamal tunduk. Aku masih mengenggam erat.

"Abang, Rima hormat abang! Rima kagumi abang. Abang seorang yang istimewa. Rima memang kasih dan sayang akan abang. Tetapi kasih sayang Rima terhadap abang, bukan seperti apa yang abang sangkakan. Sayang dan kasih Rima kepada abang seperti kasih sayang adik kepada abangnya."

Kamal masih tunduk,mengangguk-anggukkan kepalanya. Jelas dia masih tidak dapat menghentikan sendunya. Sudah seperti anak-anak kecil yang minta dipujuk lagaknya.

"Rima berasa sangat selamat dengan abang. Rasa dihormati, disayangi, dilindungi,dicintai...." Aku terdiam sejenak.

"Tetapi Rima tidak mahu abang berkorban demi Rima. Abang sebenarnya tidak membuktikan kata-kata abang. Jika abang terus begini.. abang sebenarnya tidak pernah mencintai Rima. Abang berpura-pura. Abang hanya takut diri abang kecewa. Dan semua itu bukan untuk Rima, tetapi untuk diri abang sendiri."

" Jika abang benar-benar sayang akan Rima, abang tidak akan seperti in." sambungku. Aku sudah mulai yakin. Kulepaskan genggamanku apabila Kamal seoalah-olah ingin mengesat airmatanya.

"Maafkan Rima, ya bang! Rima yang bersalah dalam hal ini. Rima yang memekarkan perasaan abang. Rima yang tersilap langkah dan cara! Maafkan Rima!" Kamal terus membisu.

"Jikalau abang sayangkan Rima, abang tidak akan seperti ini" Lebih jelas dan lancar.

" Cinta abang belum pun bermula, sebenarnya. Perkahwinan yang direstui dan diredhai keluarga sering membawa kepada kebahagiaan. Cinta itu pula tiada ukuran yang boleh menentukannya. Mungkin ketika ini abang berasakan cinta abang sudah berakhir. Mungkin keakraban kita, abang anggap sebagai cinta. Tetapi Rima yakin cinta itu belum pun berputik. Belum tumbuh dalam hati abang."

"Rima bahagia, amat bahagia jika abang dapat belajar mencari cinta abang sendiri. Cintailah isteri abang. Itulah haknya. Hanya seorang isteri yang layak dicintai. Kerana Allah, abang. Dan selayaknya mencintai abang. Begitu juga hak suami kelak...."

"Mengapa abang perlu kesali dengan nikmat dan kurniaan DIA yang Maha pengasih itu? Maha Penyayang kepada abang."

Kamal mula mengangkat mukanya. Sudah mulai cerah dan ceria. Mungkin itulah nur yang terpancar dari hatinya yang mulai damai. Aku senyum kepadanya. Ikhlas dari hati aku ini. Kamal turut cuba senyum.

"Abang berjanji,ya!" Kamal terus merenungku.

"Jadilah suami yang terbaik seperti yang diharapkan oleh isteri abang nanti. Janji ya, abang!" Kamal mengangguk perlahan. Matanya berkaca. Ada sinar harapan yang baru terpancar terus dari hatinya.

"Abang kena tanamkan dalam hati, abang akan tunaikan harapan Rima ini. Rimalah orang yang paling gembira dan bahagia, jika abang tunaikan janji abang."

Senyumku semakin lebar. Senyumannya juga. Ahh, aku memang benar-benar sayang akan dia, kasih akan dia!

"Ah, malunya abang!" Kamal menelekup mukanya.

"Masalah Rima, Rima akan selesaikan sendiri."

"Ayah Rima pernah menasihati Rima, bahawa Rima perlu menghadapi masalah dan melaluinya dengan berani. Jangan pernah sesekali lari. Kerana daripada masalah itulah akan hadir pengalaman-pengalaman yang mengajar kita menjadi matang. Rima tidak bersusah hati pun. Inilah cabaran yang perlu Rima tempuhi dengan berani."

Kamal tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Tiada kata-kata yang keluar daripada mulutnya. Aku pasti perasaannya kini lega. Semua apa yang disimpan dalam hatiku ini, akhirnya dapat aku suarakan.Tiada lagi yang terbeban di hatiku, mahupun di hatinya.

"Abang, Rima hendak ikut abang balik ke rumah emak ayah abang, boleh?" Soalku secara tiba-tiba. Aku sendiri tidak tahu mengapa ayat itu yang terkeluar daripada mulutku ini. Kamal memandangku kehairanan.

"Rima kan adik abang. Abang bukan ada adik perempuan,kan? Biarlah Rima bantu buat persiapan, mana-mana yang patut untuk abang,boleh ya!" Terangku dengan lancar dan jelas. Entah hadir dari mana idea itu.

"Baiklah... esok macam mana, boleh?"

"Boleh!" pantas aku bersetuju. Esok hari sabtu, waktu bekerja setengah hari sahaja. Maksudnya malam esok aku bisa bermalam di rumah ibu bapa abang Kamal.

*****************************************
Suasana di rumah Kamal sunyi sahaja ketika kami sampai. Tetapi, sebaik sahaja aku masuk...aku dikejutkan oleh adik Kamal, Kamarul yang berusia 15 tahun.


" Oh, Kakak inilah isteri tidak jadi abang itu, ya?" Dia mengusik. Pelik juga budak lelaki seusia ini sangat manja dan lembut sekali perwatakannya. Aku fikir mungkin disebabkan Kamal tidak mempunyai adik-beradik perempuan maka Kamarul didik seperti perempuan.

Namun, sangkaanku meleset. Setelah aku temui kesemua ahli keluarga Kamal, ternyata ketujuh-tujuh adik-beradik Kamal mempunyai perwatakan yang hampir sama. Bersopan, cermat dan lembut segala tindak-tanduk. Walaupun Kamal tidak begitu pada pandangan aku, tetapi ketika berkumpul dengan keluarganya aku lebih mengenali Kamal. Sifat semula jadi dalam keluarga besar itu mungkin. Aku sendiri tidak pasti. Namun aku yakin ibu bapa Kamal bijak dalam mendidik dan mengatur kehidupan anak-anak.

Semuanya dilakukan dan disediakan dengan baik dan lancar oleh adik-beradik Kamal. Aku senang sekali di rumah itu biarpun dikelilingi lebih banyak lelaki yang baru aku kenali.

Keesokannya, aku dikejutkan oleh suara merdu seorang perempuan yang memberi salam seawal pagi itu. Aku menjengah ke muka tingkap. Terlihat olehnya aku ini.. dia lantas tersenyum. Aku membalas senyuman itu seraya menjawab salam. Manis sekali orangnya biarpun kulitnya agak hitam manis berbanding aku yang berkulit kuning langsat ini. Tetapi yang jelas, gadis itu amat menarik pada pandangan perempuanlku ini.

Dan, akhirnya aku diperkenalkan kepada tunangan Kamal, Kamaliah. Sedondon namanya. Mungkin kebetulan. Keramahan Kamaliah menyakinkan aku bahawa aku telah membuat suatu keputusan yang tepat dengan menerima Kamal, bukan sebagai kekasih atau suami tetapi sebagai abang dan sahabatku selamanya.

Abang Kamal ketawa besar apabila Kak Kamaliah berkata bahawa dia tidak pernah bimbang dan gentar untuk bersaing dengan aku untuk mendapatkan Kamal, kekasih dan bakal suaminya itu kerana dia lebih cantik dan menarik berbanding aku. Perasaan! Abang Kamal mengejek tunangannya itu. Dan suasana sangat ceria sekali.