Isnin, 7 Januari 2013

KONTRUKSI SEORANG MUADDIB

Cerpen ini berjaya memenangi Pertandingan Penulisan Cerpen Kanak-kanak iaitu Johan peringkat Daerah Gombak namun tidak mendapat tempat di peringkat negeri Selangor pada tahun 2012. semoga akan dapat memberikan dorongan kepada diri ini dan lain-lain untuk berkarya lagi dan lagi...



Bual bicara yang sedang ditonton  anak-anaknya dipandang sepi. Sudah sejak beberapa hari ini entah mengapa rindu melanda hati dan jiwanya. Terasa begitu sunyi. Raina Najwa tahu pasti anak-anak di hadapannya juga mengalami kesunyian dan kerinduan sepertinya.  Sudah hampir dua minggu dua orang lelaki dalam hidup mereka, Muhammad Iqram Hafiz dan Muhammad Al-Amin pergi menunaikan umrah. Terasa terlalu lama menanti tempoh dua hari lagi kepulangan mereka dari Tanah Suci Mekah. Rambut Rania Asyikin yang baru berusia setahun dibelai mesra. Pulas puteri kecilnya itu tidur di pangkuan.
            “Ibu, bagaimana Aiman hendak selesai masalah matematik ini?” soal anak sulungnya lembut. Raina Najwa tersentak daripada lamunannya.
            “Susah kalau ‘kalkulator’ Aiman tidak ada. Dua-dua sekali pula itu!” Rungut Aiman yang menagih perhatian dan bantuan Raina.
            “Tidak mengapa Aiman, ada satu lagi kalkulator di sini. Mungkin tidak sehebat kalkulator Aiman yang dua itu. Tapi kata orang tiada rotan, akar pun berguna.” Usik Raina Najwa mengusik Aiman Al Amin. Hakikatnya Raina sendiri terasa kekurangan dalam hidupnya  seperti yang dirasai anaknya itu.
            “Kenapa Aiman kena rotan pula ibu?” soal anak sulung Raina kebingungan.
            “Maafkan ibu ya. Bukan hendak rotan Aiman. Kata-kata sebegitu dipanggil peribahasa  Melayu. Aiman sudah belajar di sekolah apa itu peribahasa, bukan? Cuma Aiman belajar simpulan bahasa  lebih  banyak.” Raina cuba menjelaskan.
Terpinga-pinga pula anaknya itu mendengarnya.
            “Tapi Ibu, Aiman bukan ada kaitan dengan peribahasa itu, Aiman cuma hendak  buat kerja sekolah  matematik.” Aiman mencelah.
            “Ya,sayang. Ibu maksudkan tadi, jika ayah dan atuk tiada, ibu masih boleh bantu Aiman juga. Begitu juga maksud peribahasa tadi bahawa jika sesuatu yang kita perlukan tiada, barangan atau benda yang bersesuaian fungsi masih dapat kita gunakan.” Pujuk Raina.
            “Tapi, ibu pandaikah seperti ayah dan atuk buat kerja matematik?” Aiman tiba-tiba keraguan, sedangkan tadi dia beriya-ya meminta diajarkan mata pelajaran matematik itu. Sambil itu Aiman menundukkan kepala mencium pipi Rania.
            “Aiman tidak boleh anggap apabila ibu jarang membimbing Aiman buat kerja sekolah, ibu tidak tahu. Ibu dahulu adalah antara anak murid kesayangan guru matematik ibu. Boleh dikatakan ibulah yang paling disayangi kerana selalu dapat markah tinggi dalam mata pelajaran matematik” Jelas Raina memadamkan anggapan negatif di minda anaknya itu.
            “Cubalah ibu ceritakan kisah ibu masa kecil-kecil dahulu… Ayah selalu cerita tentang diri ayah dan kawan-kawan ayah. Ibu tahu, termasuk tentang kekasih ayah sejak kecil dahulu.” Aiman teruja untuk mengetahui kisah hidupku sewaktu kecil dahulu. Sikap Aiman Al Amin memang banyak menyerupai sifat ayahnya, Ikram.
            “Baiklah, biar ibu letak adik dahulu di tilam ya. Sekejap lagi ibu kongsikan kisah dan pengalaman hidup ibu kepada anak-anak ibu.” Raina mendukung Rania untuk diletakkan di tilam Narita di lantai.
            “Boleh tak kami hendak dengar sama-sama dengar kisah ibu?” Riana Iftitah mendekati adiknya baru diletakkan lalu mencium Rania dengan lembut. Rania berkalih apabila dicium oleh kakaknya.
            “Airil juga ya, ibu!” Airil Zaqwan pula mendekati ibu mereka.
            “Baiklah, jika semua hendak dengar kisah ibu masa kecil dahulu, matikan televisyen dahulu dan matikan suiz lampu yang tidak digunakan. Tidak elok jika kita membazir.” Raina menyambung.
            “Membazir itu amalan syaitan, kan ibu!” pantas Riana mencelah.
            “Anak-anak ibu memang pandai. Sekarang semua anak ibu yang cerdik dan hebat ini pergilah matikan semua suiz yang tidak digunakan.  Boleh?” Raina Najwa memberikan arahan lembut untuk  mendidik anak-anak tidak mengamalkan pembaziran.           
            Raina Najwa duduk di sisi pembaringan Rania sambil mengusap  lembut rambut kanak-kanak mungil itu. Tiga orang lagi anak-anaknya Aiman Al-Amin, Riana Iftitah dan Airil Zaqwan duduk di sisinya. Raina Najwa memulakan ceritanya pada zaman kanak-kanak dan persekolahannya.

            “Arai, awak sudah menghafal sifir yang Mr Smart  suruh semalam itukah?” Lilian berlari-lari mengejar Raina Najwa.
            “Sudahlah Lilian, saya memang sudah hafal sejak minggu lalu. Sekarang ini saya sedang hafal sifir 12.” Jawab Raina.
            “Awak sangat baguslah Arai. Patutlah Mr Smart sayang awak. Kami baru hendak hafal sifir sembilan, awak sudah hafal sifir dua belas. Mr Smart  selalu puji awak.” Lilian memuji Raina. Panggilan Mr Smart sudah melekat di bibir ahli kumpulan mereka seramai 6 orang itu untuk guru Matematik mereka. Mr Smart akronim yang mereka cipta untuk guru mereka yang bermaksud Melayu/Malaysia (Bahasa Malaysia), Sains, Matematik dan art (Seni lukis).
            Dari jauh kelihatan Alagesan melambai-lambai  sambil berlari ke arah mereka. Laju sekali diikuti oleh Melissa dan Ainani.
            “Kalian nampak Iqram dan  Samuel tak?” soalnya sambil termengah-mengah lalu turut duduk di bawah pohon ketapang di hujung padang sekolah itu.
            “Apa masalah kau ini,ane? Sudah tambah gelap aku tengok!” Lilian menjerkah Alagesan yang belum reda lelahnya.
            “Huh, sedap aku dengar kau panggil aku ane…tapi kau janganlah pandang rendah. Betul tak Arai, orang kata hitam-hitam si tampuk manggis, sungguhpun hitam dipandang manis.” Alagesan bukan marah malahan mengusik Lilian kembali.
Raina dan Melissa hanya tertawa. Dua orang manusia ini memang tidak boleh berjumpa, ada sahaja pertengkarannya.
            “Jangan marah Lilian, awak kutuk-kutuk Ala..mana tahu silap-silap awak berjodoh dengan dia.” Melissa mengusik mereka.
            “Mana boleh ma.. aku orang Cina, Ala orang India. Nanti mama saya terkejut dapat menantu macam ini!” Lilian membela diri pula.
            “Cubalah kau bayangkan kau jadi isteri ane. Tentu anak kita tidak gelap tidak putih tetapi comel, manis, cantik macam Arai. Aku suka! Aku Suka!” Alagesan terus menggiat. Bicara kanak-kanak berusia 11 tahun ini sudah melencung jauh daripada tujuan asalnya.
            “Kawan-kawan, bukankah kita berkumpul petang ini sebab hendak ulangkaji pelajaran dan menghafal sifir. Kenapa sampai fikirkan hendak dapat anak macam saya pula?” Raina Najwa mengingatkan kawan-kawannya.
            “Yalah! Alagesan ini yang mulakan Arai.”
            “Kawan-kawan, awak semua tahu tak Arai sudah hafal hingga sifir 12, kita sifir sembilan belum hafal lagi. Teruklah esok kalau kena lari keliling padang lagi. Lagi teruk kalau terpaksa pungut kerengga lepas itu  genggam. Adegan itu yang aku paling tidak suka! Aduh, tolong!” Lilian akhir dapat melepaskan diri daripada perbualan yang menjerat dirinya tadi.
            “Arai, itu buah hati kau datang. Samuel dan Johan Bob pun ada.” Melissa menunjuk ke satu arah. Kelihatan tiga orang lagi sahabat menuju ke tempat rutin perjumpaan mereka.
            “Kenapa lambat? Sudah berpeluh aku mempertahankan diri daripada dikutuk oleh jelitawan-jelitawan yang ada ini!”
“Lebih baik lambat daripada tidak sampai langsung. Betul tak, kawan-kawan?” Iqram menyapa kumpulan itu. Ada bunyi sinis kedengaran nada itu.
“Aku minta maaf lambat. Abah aku ajak makan bersama tengahari tadi..” Iqram Hafiz.
“Hari ini kenapa pula?” tiba-tiba Samuel mengganggu wacana perbualan mereka.
“Kenapa apa? Hish apek ini datang-datang hendak menyampuk..”  selar Melissa. Raina Najwa hanya tersenyum.
“Ya lah, kenapa abah si Iqram ini tidak balik lagi? Hairan betullah!” sambung Johan Bob menyokong dan menjawab bagi pihak Samuel Lim.
“Dia ada latihan dengan pasukan bola sepak sebab itu dia balik lambat sikit. Kebetulan dia tahu kita ada perbincangan petang ini sebab tadi aku minta duit belanja.” Jawab Iqram.
“Hish, sudahlah lambat. Cepatlah siapa yang hendak tasmid dahulu ini?” soal Lilian mencelah mematikan perbualan mereka. Semua mata memandang kepadanya.
“Tasmid?” soal mereka seakan-akan serentak.
“Baca Al-Quran kah, hendak tasmid tajwid bacaan? Biar betul amoi ni.” Alagesan ketawa terbahak-bahak.
“Awak semua pun tahu perkataan itu?” Johan Bob bertanya seperti tidak percaya.
“Kita orang Malaysia, ma! Mesti tahulah..” lilian menjawab bersahaja.
“Betullah itu bukan? Kita satu Malaysia, berbagai-bagai kaum dan budaya serta bahasa tetapi kita mesti tahu tentang bangsa dan negara kita. Mesti kenal budaya kita. Satu bangsa, satu Malaysia. Macam kita sekarang ini. Apa salahnya jika guna untuk menyemak sifir sahaja? Macam tasmid jugalah.” Melissa menyokong Lilian.
“Seorang lagi amoi bercakap, sungguh hebatlah. Aku teruja sangat!” Alagesan menggayakan lagak orang yang sangat teruja.
“Memang sama maknanya tetapi tidak sesuai untuk digunakan selain untuk menyemak dan bacaan al-quran. Kenalah gunakan istilah yang betul.” Raina Najwa memberikan pendapat.
“Fuh, jika Arai berkata-kata aku lagi teruja. Macam ayat dalam karangan. Patutlah Mr. Smart sayang kau. Bijak dalam Bahasa Malaysia, mahir dalam matematik, kreatif dalam seni lukis. Selalu dapat A, markah tidak pernah kurang 90. Untunglah kau Iqram dapat buah hati bijak.” Alagesan terus mengusik.
“Sudahlah. Lagi lama kita berbual lebih banyak kita membuang masa. Cepat Lilian, awak dulu baca sifir. Saya dan Iqram semak ya.” Raina Najwa memang tidak suka dipuji berlebihan seperti itu. Kebetulan sememangnya semua mata pelajaran itu menjadi minatnya maka tidak hairanlah dia mampu menguasainya dengan baik.
Sesi menghafal sifir diteruskan hingga ke petang. Masing-masing berpuashati dengan penguasaan masing-masing. Bukan sahaja sifir sembilan malahan sifir sepuluh dan sebelas juga telah mereka hafal dan ingati. Esok dalam kelas Matematik pasti mereka dapat melepasi ujian saringan Mr.Smart  yang menjadi contoh dan idola mereka itu. Biarpun cikgu itu merupakan seorang cikgu yang tegas, dan dianggap garang oleh kebanyakan pelajar.
Ada juga dalam kalangan pelajar menggelarnya cikgu drastik terutama kelas-kelas yang diajar oleh Mr.Smart. Ada sahaja tindakannya dan denda yang dilaksanakannya menyebabkan mereka malu dan marah. Pernah ada ibu bapa yang mengadu kepada Guru Besar tentang hal anak-anak mereka didenda sebegitu rupa. Namun  Mr Smart  tetap juga dengan prinsip dan caranya mengajar. Tiada pilih kasih. Jika anaknya sendiri pun akan diperlakukan dengan cara yang sama.
Bagi kumpulan elit berwawasan nama yang diberikan bagi kumpulan Raina Najwa, Melissa Robert, Lilian, Samuel Lim, Iqram Hafiz, Johan Abdullah dan Alagesan  itu, Mr Smart  merupakan guru kesayangan mereka. Setiap mereka dalam kumpulan itu pernah melalui saat-saat yang memalukan dan dikenakan pelbagai denda kecuali  Raina Najwa. Ada antara mereka pernah didenda duduk di bawah meja sambil menghafal sifir. Ada pula yang perlu melekapkan muka ke papan putih berconteng dan mesti membiarkan kekotoran yang terlekat itu sehingga habis waktu persekolahan. Ada yang kena berlari lima pusingan padang dan mengenggam kerengga salam tapak tangan sambil berdiri di luar kelas. Jika kali pertama didenda dengan dendaan ringan tetapi tidak ada kemajuan pada esok harinya, dendaan akan menjadi semakin berat.

“Ibu, kenapa cikgu ibu itu kejam? Mana boleh buat macam itu? Macam penderaan sahaja Aiman rasa.” Tiba-tiba Aiman mencelah ketika Raina Najwa bercerita tentang Mr Smart.
“Bukan kejam Aiman tetapi Mr Smart  ada caranya sendiri untuk mendidik.” Raina menjernih fikiran negatif anak sulungnya itu.
“Mana boleh buat macam itu kan abang! Kalau  Riana, lagi Riana tak mahu buat. Riana menangis dalam kelas itu juga.” Kembar Aiman Al Amin menyokong abangnya.
“Hish, adik ini tahu hendak menangis sahajalah. Kita tidak boleh cepat mengalah, kan ibu!” Aiman seakan-akan mula memahami.
“Ibu masa dahulu itu sudah ada satu Malaysiakah?” tiba- Riana bertanya. Raina tertawa kecil, tidak terduga pula akan pertanyaan yang satu itu.
“Belum sayang, kebetulan sahaja tetapi kami memang sudah mengamalkannya tetapi masa itu lebih dikenali sebagai Budaya Kebangsaan. Macam satu Malaysia jugalah” Raina cuba memahamkan anak-anaknya tentang persamaan konsep itu. Anak-anaknya mengangguk-angguk. Entahkan faham entahkan tidak Raina Najwa sendiri tidak pasti.
“Ayah dan ibu dulu cinta-cinta ya? Kenapa nama ayah ada dalam cerita ibu ya? ‘Awek’  ayah selalu cakap dan cerita itu ibu ya. Ibu dan ayah sekolah sama-sama ya. Ayah kata ‘awek’ ayah lebih pandai daripada ayah tapi ibu tak pandai pun. Ibu duduk di rumah jaga anak-anak. Kalau ibu lagi pandai daripada ayah tentu ibu kerja lagi besar daripada ayah,kan? Airil keliru ini… keliru betul” Airil Zaqwan bercakap tidak putus-putus. Memang anaknya yang ketiga itu, biarpun baru menjangkau lima tahun tetapi sudah bijak mempersoalkan pelbagai perkara. Bak kata bapa mertuanya,Muhammad Al Amin; macam orang tua sahaja lagaknya.
“Banyaknya Airil tanya. Ibu hendak jawab yang mana satu ini?” Soal Raina Najwa menduga anaknya itu.
“Jawab semualah. Bukankah semua soalan macam sama sahaja.” Airil membalas usikan ibunya. Raina Najwa tersenyum dengan jawapan anak kecil itu.
“Hendak dengar cerita ibu lagi?” Soal Raina Najwa kembali.
“Mestilah ibu..” Pantas Aiman menjawab.

Semua pelajar kelas 5 Amanah rasa berdebar-debar menanti Mr.Smart masuk ke kelas. Hari itu mereka akan mendapat keputusan untuk kertas ujian peperiksaan akhir tahun. Pastinya setiap orang mengharapkan keputusan terbaik kerana selain bimbang mendapat keputusan bawah lima puluh peratus, mereka juga bimbang dengan denda yang bakal mereka terima. Mr Smart  memang pernah mengatakan jika mereka mendapat keputusan bawah lima puluh peratus beliau tidak ragu-ragu untuk mengenakan hukuman atau denda. Namun yang pasti denda itu tidak akan mencederakan sesiapa. Mr Smart  tidak pernah ingkar pada janji yang dibuatnya.
“Assalamualaikum dan selamat sejahtera cikgu!” Ketua kelas memberikan ucap selamat diikuti oleh semua pelajar dalam kelas. Mr Smart berdiri di hadapan kelas dengan tenang dan sedikit ceria.
“Hari ini awak semua boleh menilai keputusan yang awak dapat dan keputusan ini akan menentukan sama ada awak akan kekal dalam kelas 6 Amanah atau turun ke kelas lain.” Mr. Smart memulakan bicara untuk hari itu. Kebetulan pula beliau merupakan guru kelas 5 Amanah.
“Untuk pengetahuan semua, cikgu berasa bangga dengan kelas ini kerana berjaya mengekalkan semua ahlinya untuk ke darjah 6 Amanah tahun hadapan. Tahniah. Dan keputusan keseluruhan sudah saya siapkan dan ada di tangan saya. Sebelum itu saya ingin menyerahkan kertas ujian yang masih ada di tangan saya. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Raina Najwa kerana berjaya berada di tempat pertama kedudukan keseluruhan darjah 5 dan merupakan pelajar contoh pada tahun ini. Atas usaha gigih Raina, cikgu akan memberikan hadiah daripada cikgu sendiri sebagai dorongan kepada Raina untuk lebih berjaya akan datang” Suara Mr Smart begitu ceria. Semua kelas turut tersenyum dengan wajah ceria guru mereka.
“ Satu perkara lagi saya ingin beritahu awak sekalian. Tidak pasti sama ada berita ini berita baik atau buruk untuk awak semua.” Mr Smart mendiamkan diri  seketika.
“Berita apa cikgu?” Alagesan memang selalu tidak sabar.
“Beritanya ialah cikgu akan tetap mengajar kamu dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik.” Mr. Smart mengumumkan.
“Yeah, saya suka.. saya suka cikgu.” Alagesan dan Samuel terus bangun dan berjoget-joget.
“Alagesan dan Samuel, kenapa dengan awak berdua ini? Saya suruh awak lari keliling padang sepuluh kali hendak tak?” Mr. Smart  memberikan ancaman.
“Ala cikgu simpan tahun hadapanlah! Tetapi tahun hadapan pun macam tidak berpeluang sahaja hendak denda kami. Sebabnya cikgu saya sudah hafal dan ingat sampai sifir 25, cikgu!” Alagesan dengan pelatnya India girang bercakap.
“Nanti saya suruh hafal sifir 38 pula.” Mr Smart turut ketawa bersama-sama kelas.
“Dengan segala tunjuk ajar cikgu, bagilah apapun nombor… saya pasti boleh kira. Sebab itu jugalah semua kelas boleh dapat keputusan baik dalam ujian Pra Penilaian Sekolah Rendah.” Dengan bangganya Lilian menyampuk.
“Betullah itu menaci, ane memang sangat suka dengan menaci.” Alagesan tidak mahu mengalah. Riuh rendah kelas 5 Amanah dibuatnya.
Setahun lepas itu peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah dilalui. Rata-rata pelajar kelas 6 Amanah mendapat keputusan terbaik. Maka setiap seorang daripada mereka berpisah kerana mendapat tawaran belajar di Sekolah Berasrama penuh. Begitu juga dengan ahli kumpulan Elit Berwawasan.  Iqram Hafiz dan Johan Bob masing-masing dapat masuk Maktab Rendah Sains Mara. Yang lain-lain ada yang dapat masuk ke Sekolah Sains Berasrama Penuh dan seumpamanya. Dan nasihat daripada Mr Smart akan mereka pegang untuk perjuangan seterusnya.
“Anak-anak di hadapan saya ini,benar-benar membuat saya berasa bangga dan dihargai. Ingat anak-anak, dalam hidup kita ini kita akan sentiasa perlu berusaha dan tekal dalam membina sesuatu. Terutama membina hidup kita pada masa hadapan. Selama ini, cikgu mempunyai matlamat untuk melihat awak semua berada di landasan yang betul dan sebab itu cikgu berusaha untuk membolehkan awak semua menjadi seorang yang cekal dan tabah dengan kesakitan dan kepayahan. Cikgu ingin membina awak semua agar menjadi seseorang yang bukan sahaja boleh menggunakan ilmu itu tetapi akan dapat membina jati diri yang teguh dalam diri masing-masing. Cikgu hendak awak semua menjadi sebiji benih yang baik. Dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung. Bukan setakat menerima dan mengaplikasi idea orang lain tetapi menjadi orang yang dapat memanafaatkan segala sumber untuk membina diri dan membina orang lain. Jika suatu hari nanti cikgu bertemu dengan seorang arkitek, biarlah orang itu awak di hadapan saya. Jika cikgu bertemu dengan seorang doktor pakar yang terbaik biarlah doktor itu awak yang di hadapan saya. Jika saya bertemu dengan jurutera hebat, semoga jurutera itu awak di hadapan saya ini. Dan jika awak berjaya membina empayar awak sendiri kelak, jangan lupa untuk membina generasi seterusnya menjadi Pembina diri yang terutama.” Ucapan Mr.Smart ketika di majlis keraian dan perpisahan pelajar tahun itu. Dan pesanan itu terpahat di minda semua anak didiknya.
Tiga belas tahun berlalu.  Raina Najwa pulang ke daerah itu kembali. Daerah di mana dia mengenali seseorang yang menjadi pendorong, membina hidup yang lebih baik.  Petang itu Raina memang merancang mengunjungi pasar malam Tanjung Mutiara yang terkenal itu. Langkahnya disusun rapi menuju gerai jualan pelbagai juadah siap dan kuih-muih. Senyum di bibirnya semakin melebar. Alhamdullillah. Wajah tua itu ditatapnya dari jauh. Rindunya dia kepada wajah itu. Wajah seorang guru yang sentiasa terpahat menjadi idola hatinya. Dan senyumnya tambah manis melihat seorang jejaka di sisi lelaki itu. Semakin tampan dan segak. Berbeza  dan sangat anggun. Kerinduan yang terkumpul begitu menebal.
“Assalamualaikum… Pak cik beri saya 20 biji karipap ini, 25 kuih ketayap ini, 31 biji donat coklat, 36 popia basah dan kuih koci ini 33 biji..” Raina Najwa sengaja merumitkan pengiraan jumlah harga kuih-muih itu kerana dia tahu harga setiap kuih itu berbeza.
“Banyaknya cik beli, ada kendurikah..?” soal lelaki tua itu.
“Bukan kenduri tetapi keluarga saya balik berkumpul. Jadi kenalah beli banyak.” Raina menjawab.
“Tetapi kenapa jumlahnya berbeza-beza?” lelaki tua itu masih tunduk mengisi kuih ke dalam plastik. Lelaki muda itu pula sibuk melayan pelanggan lain.
“ Saya sengajakan, sebab saya pasti seberapa rumit pengiraannya, Mr Smart pasti dapat menyelesaikan pengiraan itu dengan pantas dan tepat.” Raina berkata dengan yakin. Pelanggan di gerai itu tinggal dia seorang. Kedua-dua orang lelaki di hadapan mengangkat muka dan memandangnya.
Mr Smart masih ingat saya?” soal Raina kepada mantan gurunya itu. Dua pasang mata memandang tepat kepadanya.
“Arai!” Jerit lelaki muka itu dengan perubahan muka yang ketara.
“Raina Najwa? Bila balik ke sini?” Mr Smart tertegun seperti tidak percaya dengan kehadiran Raina Najwa.
“Sudah dua minggu saya balik. Maaf cikgu. Baru berkesempatan menemui cikgu.” Raina menjawab lembut.
“Dengarnya, menantu saya ini sudah menyelesaikan Phd sekali ya. Hebat!” Mr Smart bertanya tanpa rasa bersalah.
“Ayah… malulah Iqram!” rungut Iqram Hafiz di sebelah Mr. Smart.
“Betulkan yang kamu memang tunggu Raina ini… Sudah ada depan mata ini ayah permudahkan sahaja. Kamu bukan tak tahu ayah mengamalkan sikap membina. Ayah cuma hendak kamu membina keluarga dengan pilihan hati kamu yang kamu tunggu dan setia selama ini.” Pintas Mr. Smart.
“Aduh, ayah… tolonglah!” Iqram Hafiz menepuk dahi. Raina Najwa hanya tersenyum.
“Bila boleh ayah masuk meminang Raina ya? Bakal suami kamu ini, nama sahaja menjawat Ketua Jurutera tetapi hendak membina keyakinan luahkan rasa hatinya pun susah sangat.” Mr Smart memang berterus-terang. Hal yang baik kenapa perlu bertangguh.
“Insyaallah, dua minggu dari sekarang keluarga kami akan berkumpul lagi. Ayah bolehlah datang dengan rombongan untuk pertunangan itu. Ibu sudah maklumkan hajat ayah itu sebelum saya pulang ke tanah air. Ayah sengaja ya?” Raina memberikan jawapannya.
“Bila ayah pergi merisik ini?” Muka Iqram yang putih sudah merona merah.
“Telefon sahaja bukan pergi ke rumah Arai pun. Sekarang ini dunia di hujung jari. Guna webcam sahaja ayah bercakap dengan keluarga Arai kau ini.” Mr Smart memang cekap.
“Tak melanggar adat ke ayah?” Iqram Hafiz terkejut dengan berita yang baru diketahuinya itu.
“Apa yang melanggar adatnya. Ayah hanya kasihan kamu.. termenung sahaja. Kalau bercakap, asyik bertanya bila Arai hendak balik. Sudah selesai semuanya ini, senang sikit hati ayah.” Mr Smart memang seorang yang tegas dan terancang.

“Oops, jangan kata Mr Smart itu Atuk Aiman, Haji Muhammad Al Amin bin Haji Abdul Ghaffar… Ibu?” Aiman memang cepat menangkap sesuatu yang tersirat.
“Itulah Mr. Smart ibu, sayang!” Raina mengiyakan telahan Aiman.
“Jadi, anak murid kesayangan atuk Aiman itu ibu lah?”
“Ya, sayang..”
“Tapi kata atuk anak murid kesayangannya adalah Pengarah Urusan syarikat. Aiman tidak pernah pun tengok ibu pergi kerja pun .” Aiman terus bertanya. Riana dan Airil hanya menganggukkan kepala bersetuju dengan pertanyaan Aiman.
“Ibu ada apa itu, Phd ya.. ibu belajar apa?” Riana pula bertanya.
“Ibu pergi ke pejabat sesekali sahaja. Lagipun dunia semakin maju, jadi ibu hanya berurusan dari rumah melalui internet. Ibu belajar bidang perniagaan,sayang.. sebab ibu suka mata pelajaran matematik.” Raina Najwa menjelaskan untuk menghilangkan kekeliruan anak-anak itu.
“Kenapa ibu ambil keputusan berkerja dari rumah sahaja?” Aiman masih tidak berpuashati.
“Sebab ibu hendak menuruti jejak Mr.Smart membina keluarga dan anak-anak ibu menjadi aset berguna untuk agama,bangsa dan negara.”
“Jadi ibu sama hebat dengan ayah dan atuklah” Riana bertanya lagi.
“Tiada manusia yang hebat. Ibu, ayah dan atuk mempunyai bidang masing-masing untuk membina generasi seterusnya dengan pendekatan masing-masing. Bagaimana hebatnya ibu dan ayah hari ini adalah hasil konstruksi seorang muaddib seperti Cikgu Muhammad Al Amin atau Mr.Smart kami.” Raina Najwa terus menjelaskan.
“Muaddib itu apa, ibu?” Akhirnya barulah terdengar Airil bersuara.
“Muaddib itu bermaksud pengajar, pengasuh dan pendidik. Airil boleh faham.” Najwa berkata lembut lalu mengucup dahi anaknya itu.
“Kalau boleh, kami pun hendak jadi muaddib seperti Mr Smart, boleh tak ibu?” Airil terus bertanya.
“Boleh asal kita ada cita-cita, kita pasti boleh membinnya. Baiklah sudah malam ini. Jom masuk bilik masing-masing, masa untuk tidur!” Raina Najwa dan anak-anak beriringan ke bilik tidur masing-masing