Sabtu, 18 Julai 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 8 )

BAB 8 : TEMPAT JATUH LAGIKAN DIKENANG

Kurasakan hari ini berlalu begitu lambat. Tidak sabar aku untuk balik ke rumah. Untuk membaca surat itu. Tadi sudah kubelek-belek surat itu. Aku pasti siapa pengirimnya. Tanda pos itu sebagai buktinya. Tetapi aku tidak boleh membukanya lagi. Aku rasakan banyak mata yang melihatku terutama jejaka-jejaka itu dan tentu sekali Kak Min juga.

Aku mencampakkan kunci rumahku ke katil. letih sungguh hari ini. Aku bergegas tadi keluar dari pejabat. Rasanya akulah orang pertama keluar dari pejabat hari ini. Cemas tidak terpeluk Encik Saiful tadi sewaktu keluar dari pintu pejabat. Jika tidak tentu malu besar aku hari ini. Sudahlah dari pagi aku disindir-sindir oleh kumpulan jejaka nakal tentang surat bersampul putih yang kau terima itu. Satu kes lagi jika aku terpeluk Encik Saiful, majikanku itu.

Aku keluarkan surat bersampul putih itu. Aku membelek-beleknya lagi. Berdebar-debar hatiku. Sampul itu seperti sudah dibuka kemudian digamkan semula. Ah, mungkin Alang Di yang membuka dan melekatkan semula. Selalu juga Alang Di buat begitu. Aku membuka perlahan-lahan sampul itu dan aku menatap kandungannya surat itu sepenuh hati.

Buat Rima yang diingati,
Sudah lama Alang berfikir-fikir untuk mengutuskan warkah ini. Selama beberapa bulan ini Alang memang tidak mengutuskan sebarang warkah kepada sesiapa pun. Sengaja Alang berbuat demikian. Alang cuma cuba bersikap adil. Alang perlu masa untuk memikirkannya semua keadaan.

Rima,

Alang sebenarnya serba salah dalam menghadapi hubungan kita ini. Terasa terikat, terasa begitu menyulitkan. Bagaimanalah Alang hendak menyatakannya. Terasa berat pena ini bergerak..seberat tanggungan hati Alang ini. Apa sahaja yang Alang lakukan, Rima sentiasa ada..di mana-mana pun.Sesiapa sahaja yang cuba Alang kenali atau berkawan wajah Rima pasti hadir dan menghalang. Alang cuba melupakan tetapi Alang tidak sampai hati. Alang takut Rima akan kecewa dan disakiti. Dan dalam hati ALang, Alang berasakan terlalu terkongkong, rasa terikat dan rasa kehilangan hak atau kebebasan Alang . Gara- gara Rima. Alang rasa hubungan ini merupakan suatu bebanan. Alang mulai tidak senang apabila memikirkannya. Atas alasan inilah, Alang mendiamkan diri. Alang cuba mencari sesuatu yang jelas tentang kita.


Rima,
Mungkin selama ini terdapat salah faham antara kita. Alang memang menyayangi Rima. Sayang yang tidak terhingga. Tetapi sayang Alang itu mungkin telah mengaburi perasaan Rima. Alang tidak boleh menyatakan sayang itu sebagai cinta seperti yang Rima harapkan. Jawapan kepada persoalan-persoalan Rima dalam surat-surat Rima yang lalu sukar untuk Alang jawab. Cintakah itu? Alang sendiri tidak tahu..tidak pasti. Cuma Alang tidak mahu Rima terus mengharap. Mengharap sesuatu yang Alang tidak dapat berikan kepada Rima.

Rima,
Rima seorang gadis yang begitu baik pada pandangan Alang. Rima ada segalanya. Rima mempunyai masa depan yang baik juga. Keputusan ini Alang rasa muktamad dan Alang yakin keputusan Alang ini betul demi kebaikan Rima. Rima ada segala-galanya. Rupa, pelajaran, keturunan yang baik dan mendapat didikan agama yang baik. Tidak ada kurangnya. Tetapi Alang tidak dapat menerima dan menunaikan segala apa yang Rima harapkan.


Rima,
Akhirnya, Alang doakan semoga Rima akan bertemu dengan seorang lelaki yang lebih baik dan sepadan dengan Rima. Mungkin lebih baik daripada Alang sendiri, kerana Rima berhak menerima dan hidup dengan lelaki yang lebih baik daripada Alang. Alang sentiasa mendoakan kebahagiaanmu.


Alang Di.


Air mataku mengalir laju. Tidak dapatku seka lagi. Apa lagi kuharapkan. Berbulan-bulan aku menanti kehadiaran warkah ini tetpi inilah yang aku terima. Aku berasakan duniaku gelap. aku rasakan impianku berkecai dan debu-debu harapanku berterbangan. Tiada apa-apa lagi yang tertinggal.

"Kenapa Alang Di? Kenapa? Kenapa begitu lama untuk terungkapnya kata-kata itu?" hatiku meratap sayu.

" Kesetiaanku berbelas tahun ini kau hampakan. Perasaan kasih dan sayang aku kau hancurkan. Harapanku kau leburkan. Kenapa Alang?" Hatiku terus berlagu sedih.

Tiada lagi kata-kata di bibir. Aku ambil bantal menekup mukaku. Aku merasakan dunia sedang mentertawakanku. Dunia di sekelilingku. Aku berasakan Zamani, Romzi, Zaki, Fauzi mentertawakanku juga dengan galak sekali. Wajah mereka bersilih ganti.

"Alang Di, inikah yang aku terima atas segala pengorbananku ini?"

"Salahkah aku memilih menerusakan pelajaranku dan menolak risikan itu empat tahun lalu?"

" Atau adakah kerana aku tidak menurut kehendakmu yang melarang aku mengikuti kembara dan ekspedisi mendaki Gunung Ledang yang lalu?"

"Ingkarkah aku dalam semua kata-kataku?"

"Alang Di..!" Aku meratap sayu. Mendayu-dayu. Aku seperti mendengar suaraku diselangi suara Zamani, hilai Romzi, ejekan Zaki dan pujuk rayu Fauzi. Tentu sekali mereka bertepuk tangan dengan keputusan mu itu, Alang Di.. Mereka yang aku tolak harapan cintanya keranamu, Alang Di. Dan sekarang, kau menolakku sepertimana aku lakukan kepada mereka.

"YaTuhanku yang Maha Pengasih dan Penyayang, berikanlah kekuatan kepada hambaMU ini.."

*********************************************************************************
Sabarlah kakakku. Orang yang kau harapkan telah berpaling tadah. Orang yang kau percaya telah membelakangkanmu. Dia bermain api dan api itu sudah semakin marak. membakar dan terus membakar. Permata yang kau harapkan rupanya kaca yang kau miliki.

Aku meneliti bait-bait susunan kata dalam surat Aida. Pelik bunyinya. Aku terus membacanya.

Orang yang kau sayangi, rupanya menyayangi oranglain. Kau pasti terluka.

Hai, kenapalah Aida menulis begitu. Aku tidak memahami bait-bait itu biarpun aku telah membacanya berkali-kali.

Tuk!tuk! tuk!
"Rima, ada panggilan telefon di lobi." Suara Hasnita , rakan sekuliah kedengaran melaung dari luar bilik asramaku.

Aku melipat semula surat Aida adikku itu, yang baru aku terima pagi tadi. Aku lantas keluar dan berlari ke lobi setelah mengucap terima kasih kepada Hasnita yang masih tercegat di pintu.

" Rima, ini Nanalah."

"Waalaikumsalam" balasku.

"Ha,ah..Assalamualaikum.." Aku menjawab semula salam itu di dalam hati.

"Rima, minggu ini kau balik ke kampung? Balik, ya! Aku hendak jumpa kau. Ada hal sikit. Balik ya!" Zayana seperti mendesak.

"Aku banyak kerja, mungkin tidak boleh balik. Dua minggu lagi exam. Ada dua assigment aku belum siap lagi." Aku cuba menolak permintaannya.

"Kalau kau kawan aku, kau balik!"

" Apa halnya? cakaplah!"

" Tidak boleh cerita dalam telefon lah.."

" Jikalau kau tidak balik, aku akan ke sana!"

Aku terdiam. Tiada jawapan. Memang aku serba salah. Tugasan belum sempat aku siapkan lagi. Jika aku balik ke kampung maknanya aku memang menempah masalah dan susah.

"Rima, macam mana?"

" Maaflah Nana, aku rasa tidak bolehlah!"
"Okay, aku ke sana, kau tunggu ya!". Akhirnya.

Hari sabtu itu aku lalui seperti biasa, penuh kesibukan. Bukan aku sahaja, malah rakan-rakan sekuliah juga begitu. Setiap bilik hostel pasti kedengaran ketukan mesin taip. Mereka seperti aku juga, mengharap kecemerlangan dalam pelajaran.

Hari minggu, fikiranku agak lega. Kedua-dua tuagasan telah aku siapkan. Tarikh akhir penghantaran pun pada hari selasa. Maka hari minggu ini aku bolehlah melegakan fikiranku ini. Aku terlupa aku ada janjitemu dengan Nana. Aku berkira-kira untuk tidur sahaja sepanjang hari ini.

Ting,ding, dong!
"Sila ambil perhatian. Ainur Rima. bilik 5E3, sila turun ke lobi. Ada tetamu ingin berjumpa." Suara Susnita yang bertugas di kaunter pengumuman jelas berkumandang di hujung corong interkom.

Aku bingkas bangun. Baru aku teringat Nana hendak berjumpaku hari ini. Macam ada perkara yang serius. Aku mengemaskan diri. Mujur aku sudah selesai mencuci pakaian dan mandi ketika itu. Aku mengenakan tudung. Duduk di hadapan cermin. Aku tersenyum sendiri. Hmm, dengan mengenakan tudung, aku berasakan penampilanku lebih menarik. Aku tersenyum lagi.

Tekaanku benar, memang Nana yang berada di lobi. Kami duduk sebentar di bilik tetamu. Nana datang seorang tetapi memandu kereta Alang Di. Dan aku kenal sangat kereta itu sebab Alang Di memilih nombor plat yang sama dengan tarikh lahirnya. Sejak Alang Di berkerja dia memang hidup senang. Nana membawaku ke Benteng, tempat terkenal dengan gerai-gerai makanan laut dan kawasan riadah yang memang terkenal dalam kalangan pelajar di kolejku dan masyarakat sekitar.

"Rima, aku minta maaf bagi pihak Alang Di" Nana memulakan bicara telah lama di meja makan di Gerai Rasa Utama itu. Aku kehairanan.

"Rima sudah tahu cerita?" soal Nana menyoalku apabila melihat aku terpinga-pinga.

"Cerita apa?"

" Masalah Alang Di di kampung." Nana meneruskan.

"Berat sangat ke?" seperti orang lurus bendul.

" Rasanya biarlah kau dengar daripada mulut aku daripada mendengar daripada oranglain . Hal ini berkait rapat dengan Alang Di. Dia yang minta aku sampaikan kepada kau"

"Kenapa bukan dia sendiri yang berjumpa aku?" soalku bungkam.

"Alang Di serba salah, dia tidak tahu hendak bercerita bagaimana. Lagipun kita sama-sama perempuan, katanya. Tentu lebih memahami perasaan perempuan"

Nana bercerita Alang Di terperangkap dalam situasi yang tidak disangka-sangka. Kebetulan dua bulan sebelum ini, dia dikatakan berjanjitemu dengan Sharifah di sebuah pusat membeli-belah. Sharifah itu kawanku juga tetapi dia lebih muda setahund daripadaku. Dia terus bekerja sleepas SPM. Alang Di mempelawanya makan dan bersam-sama melihat-lihat sekitar pusat membeli belah itu. Memang Alang Di agak baik dengannya. Aku sendiri mengetahuinya kerana Alang Di akan bercerita tentang perempuan-perempuan didampinginya. Aku fikir tiada salahnya dia berkawan dengan orang lain. Aku tidak pernah sesekali menghalang, tidak pernah matah. Kerana padaku di memang aku kasihi tetapi dia bukan milikku lagi... Selagi kami belum ada apa-apa ikatan, dia bebas melakukan apa sahaja.

"Jadi, apa masalahnya?" gumamku kesal. Kalau setakat itu sahaja bukanlah penting sangat perkara yang hendak dibincangkan.

"Masalahnya sekarang ini, bapa Sharifah datang mencari Alang Di. Dia marah-marah, katanya Sharifah menolak pinangan Jefri sebab ada hubungan dengan Alang Di. Kau tahulah orang kampung, heboh! Keluarga kau pun tahu!"

"Entah-entah betul yang Alang ada hubungan dengan Sharifah.." Dugaku.

"Eh, Rima..kau ni tidak ada perasaan kah?"

"Alang Di tidak pernah buat apa-apa pun dengan Sharifah itu. Alang bukan pegang dia, peluk dia, cium dia.. Cuma dia sahaja yang menyimpan perasaan dengan Alang, tau!"

"Habis itu, macam mana seterusnya?" Soalku sinis. Resah aku apabila Nana mempertahankan Alang Di begitu. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Lagipun untuk mempertahankan Alang Di, Nana memperlekeh dan merendah-rendahkan maruah kaum sejenisku, kaum sejenisnya..

" Alang sudah berterus terang kepada Pak Hamid. Pak Hamid sudah pun terima pinangan Jefri. Alang Di tidak mahu cerita yang salah sampai kepada kau. Sekarang ini, kira selamatlah si Sharifah itu yang gatal-gatal hendakkan Alang."
"Amboi, sedapnya mulut perempuan ini mengatakan keaiban orang sekadar untuk mempertahankan darah dagingnya!" Sakit juga hati aku. Untuk mempertahankan Alang Di, Nana sanggup menghina Sharifah. Aku dan dia bukanlah tidak mengenali Sharifah. Berbanding aku, Sharifah jauh lebih cantik, lebih lemah lembut... Sedangkan aku agak kasar. tidak hairanlah jika Alang Di terpikat dengannya. Jauh beza dengan aku yang sejak dulu pun aku tidak pernah lekang berseluar panjang. Tetapi Sharifah sejak bersekolah menengah lagi sudah bertudung litup. Kalau tiada apa-apa masakan Sharifah bertindak sedemikian.
Aku memang kasih dan sangat menyayangi Alang Di tetapi tidaklah sampai hendak menjatuhkan martabat wanita. Apatah lagi perempuan seperti Sharifah. Dan ketika ini, aku tidak dapat merumuskan apa-apa. Salah siapa, dan siapa pula yang betul kerana aku mendengar daripada sebelah pihak sahaja.
Tentu Alang Di ada peranan dalam hal itu. Dalam ketika itu aku teringat akan bait-bait dalam surat Aida tempohari. Mungkin inilah yang dimaksudkannya. Tetapi aku tidak tahu bagaimana untuk memahami hal ini dengan jelas dan bersikap telus menerima segalanya. Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi. Ini merupakan kali kedua perasaan hampa melanda di hati aku ini.
Kali pertama berlaku pada awal hubungan aku dengan Alang Di. Khabar dan kisah yang menghancurkan hati dan jiwaku ketika itu. Aku bungkam dan resah mendengar cerita itu. cerita yang keluar daripada mulut Nana sendiri.
Nana ketika itu pernah melahirkan rasa tidak puashatinya kepada tindakan Alang Di dengan rakan-rakan lelakinya. Mereka terlalu akrab. Berpeluk-peluk dan kadang kala bercium pipi antara sesama lelaki. Ada kala bergurau senda umpama sepasang kekasih layaknya. Terutama apabila Alang Di bersikap sama seperti itu kepada Hamidi, buah hati Nana yang menjadi tunangannya kini. Nana sering merungut Hamidi selalu mengadu diperlakukan seperti seorang kekasih oleh Alang Di. Apatah lagi apabila Alang Di menentang keras hubungan mereka berdua. Sehinggakan ketika pertunangan Nana dan Hamidi pun, Alang Di berada di rumah ayahku.
Akulah orang yang paling kecewa mengetahui hal itu namun aku tidak mempercayainya sehinggalah aku membaca catatan Alang Di pada buku rujukan yang dipinjamkan kepadaku. Kata-kata luahan cinta seorang lelaki kepada seorang lelaki yang lain.. Mungkin Alang Di tidak teringat dengan catatan yang ada dalam buku itu. Begitu menjijikkan. Dan, aku sangat kecewa. Bagaimana mungkin dalam masa yang sama Alang menyatakan akulah satu-satu yang disayanginya, tetap satu..dulu, kini dan selama-lama di hatinya.
Hati aku luluh dan aku bertekad untuk mengubah haluan perasaan Alang Di. Aku berjanji untuk memalingkan Alang Di kepada cintanya untuk golongan perempuan bukan mencintai kaum sejenisnya. Dalam kekecewaan itu aku berjanji untuk memberikan kasih sayang atau mungkin ketika itu kuanggap cinta; sepenuhnya buat Alang Di. Semoga Alang Di berubah. Sejak itulah sebenarnya aku menjadi begitu akrab dengan Alang Di. Setiap petang aku pasti bertemu jika dia bercuti atau berbalasan surat sewaktu dia di universiti. Walaupun kami akan bertemu pada setiap hujung minggu namun aku pasti menulis kepadanya dua kali setiap minggu. Pelbagai perkara yang aku kisahkan. Dengan segala kata-kata indah yang memujuknya. Mulai saat itu juga aku kerap mendengar cerita perempuan-perempuan yang didampinginya. Aku pasrah walaupun aku tidak redah dengan semua hubungan ALang Di dengan oranglain. Betapa aku keresahan sekalipun, aku bersyukur kerana itu lebih baik buat Alang Di daripada di berminat kepada kaum sejenisnya. Aku pupuk 'cinta' dalam hati aku ini dan aku sangat menyayanginya kini. Namun tidak pernah pula aku mendengar cerita tentang Sharifah daripada Alang Di. Kalau ditakdirkan Sharifah itulah pilihan Alang Di, itu adalah lebih baik baginya.
"Rima!" terhenti lamunanku.
"Aku harap kau tidak bertindak bodoh."
" Jika balik ke kampung, pasti kau akan mendengar bermacam-macam hal. Kau usahlah percaya cerita yang bukan-bukan,ya! Alang Di benar-benar minta maaf" Jelas Nana perlahan.
Minta maaf? Kenapa pula Alang Di mesti minta maaf kepada aku. Berkecamuk fikiranku seketika. Akhirnya pertemuan itu berakhir begitu sahaja. Nana menghantar aku pulang dalam suasana hambar. Bermacam-macam perkara berlegar dalam kotak kepalaku. Aku sebenar amat kesal dengan sikap Nana dan Alang Di. Bagaimanakah perasaan Sharifah ketika ini?
Beberapa bulan selepas peristiwa itu, aku mendapat kad jemputan majlis perkahwinan Sharifah. Sehari suntuk aku menolong-nolong dalam majlis itu. Alang Di juga ada. Tidak terlihat pun garis kecewa atau dipaksa di wajah Sharifah dan Jefri. Pasangan pengantin itu kelihatan begitu mesra dan gembira. Tidak aku nafikan mata Sharifah sesekali melirik kepada Alang Di terutama sewaktu upacara persandingan. Alang Di macam biasa sahaja namun kelihatan geruh wajahnya juga. Aku berasa simpati kepada Sharifah mengingatkan kembali tentang apa yang diceritakan Nana dahulu. Sebelum majlis akad nikah semalamnya aku memasuki bilik pengantin untuk mengucapkan tahniah.
"Rima, maafkan saya ya! Saya yang salah menafsir." lembut, sambil dia menyambut tangan yang kuhulurkan.
" Apa maksud awak?" tanyaku sambil aku mengangkat sedikit keningku.
"Saya bukan dan tidak bertujuan hendak merampas dia.. tetapi dia layan saya dengan baik. Begitu baik. Kami memang selalu berhubung...telefon dan berutus surat. Saya benar-benar fikir, dia menyukai saya! Rupa-rupanya saya bertepuk sebelah tangan."
" Alhamdullillah, semuanya sudah berlalu. Dan, saya redha dengan jodoh ini."
"Dia? Siapa? Jefri? Sharifah, awak benar-benar merampas dia daripada saya, tahu?" Aku menyambut sambil bergurau walaupun aku tahu dia yang dimaksudkannya adalah Alang Di.
Bertepuk sebelah tangan? Sesuatu yang memang sinonim. Entah-entah aku juga sedang bertepuk sebelah tangan. Siapa tahu? Kebetulan pula Jefri memang rakan sepermainanku. Aku mengenali rapat Jefri dan aku amat pasti Jefri dapat membahagiakan Sharifah.
"Bukan Jefrilah! Jefri saya punya. Bukan rampas awak punya!" sambil memegang lembut jari-jemariku. Aku ketika itu sudah duduk di sebelahnya. Kebetulan tiada sesiapa yang lain selain kami berdua.
"Awak faham maksud saya, bukan?" tanyanya lembut. Aku mengangguk.
"Apa kata Jefri?" soalku ingin tahu.
"Saya sudah terangkan duduk perkara yang sebenar. Segala-galanya. Dia memahami. Lagipun bukan saya tiada perasaan dengan Jefri cuma perasaan saya ketika itu lebih berat kepada dia.". Diam.
"Saya berjanji akan berkongsi dan memberi yang terbaik untuk Jefri." Dia tersenyum. Cantik sekali. Aku juga tersenyum. Alhamdullillah, diberikan kekuatan dan ketabahan kepada Sharifah.
Langsir diselak. Tuan Imam bertanya persetujuan Sharifah untuk dinikahkan kepada Jefri. Sharifah berkata 'ya' tanpa silu. Dia begitu yakin sambil tangannya mencubit pehaku. Aku sedikit terkejut dengan situasi itu. Namun, keyakinannya itu sebenarnya amat menenangkan aku seketika itu.

Ahad, 12 Julai 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 7 )

BAB 7 : SESUATU ITU TIDAK AKAN SAMA NILAINYA

Tiga bulan sudah majlis ulangtahun ku itu berlalu. Maknanya sudah tiga bulan juga tiada khabar daripadanya. Tiada panggilan telefon, Tiada kad ucapan. Aku sudah lesu, tidak bersemangat lagi akhir-akhir ini.

"Assalamualaikum, Rima" Kamal menegurku.

"Sihat?" Dia terus berjalan tanpa menolehku. Aku menjawab salam.

Alhamdullillah, aku masih sihat tetapi hatiku agak kurang sihat. Mindaku juga.

"Burung di sangkat sudah terlepas. Hati yang sedih bertambah duka. Luka mula berdarah kembali" Aiman berlagu-lagu. Kedengaran jelas dalam ruangan pejabat itu.

"Aiman, lagu baru kah?" Kak Aini menegur.

"Yalah, ciptaan sendiri" Jawab Aiman sinis. Berdesing telinga mendengarnya. Entah kenapa aku pula yang terasa. Aku menjeling tajam ke arah Aiman.

"Hai Rima!" Aiman menegurku.

"Walaikumsalam" jawabku selamba.

"Amboi! Marah ke?"

Aku diam. Tidak kuasa aku hendak melayan Aiman ketika itu. Aku lihat Kak Min masuk dengan wajah yang ceria. Mataku tertumpu kepada Kak Min.

"Kaun yang kujaga. kau yang kubelai. Kau yang kutitipkan kasih sayang. Kau pergi meninggalkanku." Berlagu lagi si Aiman seperti hendak menyakiti hatiku. Aku sedar dia mengerlingku.

" Hai burung yang kusayangi. Aku sediakan untukmu sangkar emas. Kujagai makan minummu. Namun mengapa? Mengapa kau pergi jauh dari sangkar yang kubinakan untukmu. Kembalilah...kembalilah kepadaku." Aiman bersajak pula.

Kak Min memandang Aiman dengan riak geram.

"Kenapa dengan kamu ni, Aiman? Burung terbanglah, pergilah... sangkar emaslah!" Kak Min membebel menyatakan rasa jengkelnya.

"Jangan marah ya!"

"Cuma ada seekor burung peliharaan seseorang tu, sudah meninggalkan tuannya tanpa tuannya sedari."

"Kalaulah saya burung itu..tentu saya akan menyesalinya perbuatan itu seumur hidup. Kalaulah saya boleh gantikan tempat burung itu bukankah baik, Kak Min!"
Panjang pula penjelasan Aiman. Dan aku perasan matanya masih tertancap kepada aku.

"Tidak kuasa Kak Min hendak melayan kamu, Aiman! Ada sahaja yang jadi bahan cerita kamu.. Suka hatilah hendak jadi burung ke, hendak jadi kumbang ke.. jangan jadi buaya sudahlah " protes Kak Min akhirnya.

Kak Min meneruskan kerja. Aku juga malas melayan karenah Aiman yang aku kira nakal itu. Pemuda itu hanya beberapa tahun tua daripada aku. Aku juga tidak pernah cuba untuk mendekatinya. Dia sendiri pun seperti tidak cuba untuk mendekatiku. Kecuali ketika awal-awal aku bertugas dahulu. Namun sehingga kini aku sering terperangkap dalam renungannya yang begitu tajam. Selalu aku melarikan dari pandangan aku. Apa yang aku takuti, aku sendiri pun tidak tahu.

"Rima, surat kau ni!" Kamal meletakkan sepucuk surat yang bersampul putih bersih di mejaku.

Hatiku berdebar-debar. Hanya seorang sahaja yang akan menghantar surat menggunakan sampul 6x9 inci berwarna putih kepada aku. Tetapi alamat yang tertera di atas sampul itu bertaip kemas. Bukan seperti selalu yang aku terima dengan tulisan tangan yang kemas juga tetapi menarik perhatian. Tulisan yang menggambarkan penulisnya seorang yang berfikiran positif, seorang yang akrab dan cepat mesra. Seperti kata Dato' Dr Fadhillah Kamsah.. tulisan itu melambangkan keyakinan dan kecerdasan penulisnya.

Aku senyum kepada Kamal. Ah! entah bila lelaki ini berada di hadapan aku. Bukankah baru tadi dia melepasi mejaku menuju ke mejanya.

Kamal membalas senyuman aku. Begitu mesra. Aku terkesima dengan senyumannya itu. Dengan sinar matanya, juga.

"Kalau ada masalah apa-apa, Kamal sedia membantu." katanya perlahan tetapi masih jelas kedengaran di telingaku ini. Macam pelayan hotel pula lagaknya.

Hish, pelik sungguh lelaki ini ! Lelaki-lelaki lain juga. Berubah-ubah. Macam sumpah-sumpah. Sekejap terlalu pendiam. sekejap menjadi begitu perihatin. Aku memandang langkah Kamal yang agak lambat itu ke arah Aiman kemudian berhenti dan berbual-bual dengan Aiman. Memanglah mereka kawan baik. Tentu ada perkara yang melucukan. Besar gelak Aiman. Begitu juga Kamal. Aku berasa aneh. Jarang sekali aku melihat Kamal ketawa sedemikian.

"Hai,yang.. buat apa tu?" Kak Min seperti selalu menepuk bahuku.

'Hai perempuan ni, terperanjat aku!'

Aku berpaling memandang Kak Min. Tersenyum nipis.

"Kak Min pun pelik melihat gelagat si Kamal tu hari ini."
" Selama kerja di sini, Kak Min rasa inilah kali pertama Kak Min tengok dia ketawa macam tu! Kalau Aiman dan Harith tu lainlah ceritanya." Mata Kak Min menuruti pandanganku. Mungkin Kak Min terfikir perkara yang sama aku fikirkan ketika itu.


Iqram datang menuju ke kumpulan itu. Kak Min masih di sisiku.

"Hai Rima!" tegur Iqram sambil mengangkat tangannya menegurku. Senyum. Aku rasakan pelik juga tegurannya hari itu. Kumpulan lelaki itu memandangku.

" Hai,Rima!" Ajuk Aiman kepada Iqram. Sesama mereka lantas ketawa bersama-sama. Huh, sangat pelik!

"Surat apa ni Rima?" tegur Kak Min mengejutkan aku. Aku tersedar surat itu sudah ada di tangan Kak Min. Aku pantas merebutnya.

"Hah, surat buah hati,ya!" Kak Min mengusik. Aku memuncungkan mulutku dan mengenyitkan mata. Lantas menyimpan surat tersebut ke dalam tas tanganku.
************************************************************************************

"Rima, kau ni teruk betullah!" Tengking Nana.

Aku tergamam. Kenapa pula si Nana ni menengking-nengking aku?

"Kau sudah tidak anggap aku kawan kau lagi bukan, sebenarnya! Aku benci kau ini. Selama ini aku tidak sangka kau ini runcing di luar tapi pepat di dalam."

Ah! apapula yang sampai terkeluar peribahasa-peribahasa ni?


"Sejak bila kau berkawan dengan Alang Di?"


Aku memandangnya. Oh, inilah persoalannya!


" Aku ini kawan kau yang berkawan dengan kau...selama mana kita kawan, selama itulah aku berkawan dangan Alang." Aku cuba mengusik.


" Itu aku tahulah.. maksud aku bercinta dengan abang aku itu?" suara Nana masih keras.

Aku terdiam. Tidak berkata sepatah apa pun. Menanti Nana meneruskan kata-katanya.


" Selama ini Rima.. Aku ingat kau anggap aku ini kawan baik kau. Tapi, tidak... Aku malulah Rima. Malu, kau tahu ke tidak? Malu...!"


Aku memusingkan badanku menghadap Nana. Ingin berkata sesuatu tetapi belum sempat berkata-kata...


" Aku cerita banyak tentang Alang Di kepada kau. Yang buruk, yang baik, beritahu apa perasaan aku apabila abang aku buat perangai. Apa sahaja..Patutlah kau diam sahaja. Boleh pula nasihati aku."



"Kau tidak berasa apa-apa kah ketika aku mengutuk abang aku itu? Entah-entah apa sahaja yang aku cerita kepada kau, kau sampaikan kepada dia!" sambungnya.


"Kenapa aku yang terakhir tahu hubungan kau dengan Alang Di? Kau kawan baik aku! Dia abang aku! Tapi aku yang terlambat tahu?" Nana melahirkan rasa tidak puas hatinya.

Nana menekup mukanya. Mungkin tidak tertahan lagi menanggung perasaan kesalnya itu. Mungkin dia rasa tertipu. Bahunya terhinjut-hinjut menahan tangis. Aku mendekatkan tubuhku kepadanya. Merangkul bahunya. Kepalaku aku tindihkan ke bahunya.


"Maafkan aku, ya Nana.." kataku sayu. Airmataku juga sudah tidak tertahan lagi.


"Aku tidak bermaksud merahsiakannya. Aku sendiri tidak tahu bila segalanya ini bermula. Semua berlaku secara tiba-tiba." Nana berpusing kepadaku dan memelukku erat dalam tangisnya.


"Aku memang tidak bermaksud untuk membelakangkan kamu, Nana. Yang sebenarnya, aku pun tidak tahu status perhubungan kami ini. Kadang-kadang aku rasa aku bertepuk sebelah tangan. Kau bukan tidak tahu Alang Di macam mana. Semua orang dia layan baik. Sebab itu aku tidak boleh nak cakap apa-apa dengan kau" pujukku.


Hakikatnya aku dan Alang Di tidak pernah mengucapkan rasa hati kami antara satu sama lain..cuma yang jelas Alang Di sering berkias-kias. jika Alang Di berterus terang.. aku pasti juga akan mengakuinya terang-terangan. Aku sendiri tidak pasti dengan Alang Di atau perasaan aku ini.


Pelukan Nana kurasakan semakin longgar. Aku lantas memandang kawan baikku itu.


"Aku tanya satu perkara, boleh?" suaranya lebih lembut berbanding tadi. Aku mengangguk.


"Pasal aku dengan Hamidi, Alang Di tahu tak?" Aku menggelengkan kepala.


"Aku hendak tahu satu perkara lagi!"


"Kata satu sahaja.." aku seakan menyindir.


"Apa perasaan kau setiap kali aku bergaduh dengan Alang Di dan kemudian menceritakan keburukannya. Tentu kau sedih,kan? Aku rasa tentu kau membenci aku, kan..Yalah, seperti ketika Alang Di marah-marah Hamidi di hadapan aku. Aku rasa macam hendak tumbuk sahaja muka dia tu? " tanya Nana pantas.


"Itu, hal kau adik-beradik. Aku tidak mahu masuk campur.Hal aku dengan Alang Di masakan aku hendak kaitkan dengan hal atau masalah keluarga kau. Belum masanya lagi. Aku sedih juga dengar pelbagai cerita tentang Alang Di tapi aku belajar untuk menerimanya. Aku akan terima dia seadanya. Tiada manusia yang sempurna."


Nana memandangku sayu.


"Itupun jika dia betul-betul hendakkan aku, jika tidak berputih matalah.."


Aku mencubit pehanya. Tiba-tiba. Terasa malu pula aku mengaku begitu. Nana membalas cubitan dan aku membalas semula. Berulangkali dan akhirnya kami ketawa bersama-sama. Hal itu berlalu begitu sahaja bersama hembusan angin pantai yang mesra petang itu.

Sabtu, 11 Julai 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 6 )


BAB 6 : LANGIT TIDAK AKAN SELALU CERAH


Aku menghulurkan surat tawaran kepada Alang Di. Dia mengambilnya dan terus membaca dengan tekun kemudian memulangkan semula kepadaku.


"Rima nak pergi?" soalnya sambil memalingkan muka ke arah jalan raya yang sedang sibuk.


"Kalau boleh, memanglah Rima nak sangat pergi. Mana mana Alang Di? " aku bertanyakan pendapatnya.


"Rima tahu kan bagaimana pendirian Alang Di?"

Alang Di cuba mengingatkanku. Ketika itu aku ke rumahnya untuk mengulangkaji pelajaran dengan Nana. Kebetulan Nana keluar mengikut Along Zaman ke pekan. Waktu itu kami duduk di pangkin bawah pohon rambutan menanti Along Zaman dan Zayana balik.


"Alang ni,kan Rima..kalau nak cari isteri tidaklah perlu orang yang berpelajaran tinggi sangat. Alang tidak mahu isteri Alang bekerja. Duduk di rumah, jaga Alang dan anak-anak sudah cukup."


Aku diam sahaja. Biarlah dia meneruskan kata-katanya.


"Alang pun tidak suka isteri Alang lebih baik dari Alang,"


Ego juga Alang Di. Aku menelengkan kepalaku melihat wajahnya. Begitu manja perlakuanku. Aku memang begitu selalunya. Mendengar sahaja dengan melentuk-liukkan tubuhku. Alang Di melihat reaksi ku sambil mengetap bibir. Tiba-tiba Alang Di menjentik batang hidungku.


"Alang!" jeritku sedikit marah.


"Alahai, masakan macam tu pun marah.." Alang Di memujuk.


" Rima tak sayang Alang, ya?" soalnya seperti melahirkan perasaan hatinya.


Mukaku mencuka. Memang belakangan itu ada perasaan yang lain kurasakan apabila bersama Alang Di.


"Rima nanti tidak perlulah belajar tinggi-tinggi,ya. Duduk rumah sahaja. Rima belajar menjahit, memasak dan jaga rumah elok-elok. Biar Alang Di yang kerja. Tanggung keluarga. Cari nafkah untuk isteri dan anak-anak." Alang Di seakan-akan melahirkan perasaanya. Kepada akukah, kata-kata itu ditujukan?


"Bahagia, kan Rima! Bila suami balik, Rima boleh sambut dia, layan dia. Malahan bersama-sama dalam banyak hal. Kalau ada masa, bersiar-siar bersama. Buat macam-macam hal bersama-sama. " Diam.


" Kalau Rima kerja, suami balik Rima tiada di rumah. Balik kerja dah penat!"


" Ah, Alang Di ni membebel pula." protes hati kecilku.


"Betulkah yang bercakap ini seorang mahasiswa tahun kedua di Universiti Kebangsaan Malaysia? Hish, kolotnya!" rungut hati kecilku lagi.


"Ya lah Alang. Rima pun tidak mahu belajarlah hari ini. Nanti kalau lulus cemerlang mestilah hendak sambung ke universiti. Sudah lulus dengan baik, nak kerja yang baik pula. Rima nak baliklah" rajukku masih tersisa.



Sebenarnya aku menyampaikan jawapan 'ya' pada kata-katanya tadi.

" Janganlah begitu. Alang tidak suruh Rima balik. Tunggulah sekejap lagi. Mungkin Nana sudah nak baliklah tu!" Alang Di menghalang.

Aku tidak jadi bangun. Alang Di memandang aku. Aku membalas pandangannya. Kami masing-masing menundukkan pandangan ke hamparan rumput yang menghijau. Akhirnya kami melayan perasaan masing-masing.

Selepas hari itu, banyak lagi kehendak atau harapan Alang Di yang dimaklumkan kepada aku. Aku juga mula berjinak-jinak dengan kelas-kelas janitan dan masakan supaya aku menjadi wanita seperti yang diimpikan Alang Di.


"Kalau Rima tak pergi, boleh tak?" Alang Di memecahkan ingatanku.

"Apa salahnya Alang.."pujukku.

" Tiada salahnya, tapi..." Alang Di bungkam. Lama. Suasana sepi seketika.

"Bukankah baik kalau kita memperoleh banyak ilmu. Agama juga menyarankan kita menuntut ilmu. Selain itu Rima ingin juga menimba pengalaman."

" Kalau Rima pergi, Rima akan jumpa berbagai-bagai jenis orang. Alang takut Rima akan melupai Alang."

Hah! Ke situ pula fikirannya. Kebudak-budakan betul.

"Kalau Rima sudah bertemu dengan orang lain yang lebih pandai, lebih kacak..Rima akan tinggal Alang tak? soalnya Alang Di lagi.

Aku faham perasaannya. Kebimbangan itu wajar. Kebimbangan itu sebenarnya menyenangkan hatiku.

"Cuba fikirkan lagi.." pujuknya.

Alang Di diam. Aku terasa pelik. Tiba-tiba aku teringat kata Alang Di tadi hendak memberitahuku sesuatu. Tetapi dia meminta aku memakluminya terlebih dahulu. Alang Di kata akan memberitahuku selepas aku memaklumkan apa yang ingin aku beritahu.

"Alang nak cakap apa tadi?"

"Hmm, Entahlah,ya.. Alang lupa pula." Alang Di cuba mengelak.

"Lain kalilah Alang cakap" Alang Di diam semula.

" Memang aku nak keluar dari rumahku ini. Cubalah Alang fahami hati Rima ini " Dalam hatiku berkata-kata memujuk diriku sendiri.

"Terpulanglah..." Alang Di bangun untuk beredar.

"Alang balik dulu lah... Esok kita jumpa lagi." Alang Di bingkas beredar. Tidak sanggup aku untuk berkata apa-apa. Dia pantas melangkah. Menghidupkan enjin motorsikalnya dan terus berlalu.

"Marahkah dia?"

Hatiku terus merintih mengharapkan orang lain mengerti aku.
*****&&&&&*&&&*&&&*&&&&&*&&&&******

Pak Usu Ishak dan Mak Usu Limah bersalam dengan ibu dan ayah. Aku bukan peduli topik apa yang dibincangkan ketika itu. Biarlah hal orang tualah agaknya. Ayah selalu kata orang muda tidak elok untuk mengambil tahu dan mendengar perbualan orang tua. Jadi sepanjang Pak Usu Ishak dan Mak Usu Limah ada, aku di bilik sahaja.

"Rima, keluar sekejap nak!" terdengar suara lembut ayah sambil mengetuk pintu bilikku perlahan.

Ayah mengajak aku keluar ke beranda rumah, sudah setengah jam tetamu ayah pulang.

" Jika ayah tanya antara Halim dan Zaidi, mana Rima pilih?" Aku kehairanan. Aku menjeling ibu yang mencuka di dalam. Mulutnya dicemikkan sedikit setiap kali ayah mengeluarkan kata-kata.
Aku masih berdiam diri.

"Ayah pun keliru hendak terima yang mana satu. Jadi ayah hendak bertanyakan Rima sendiri."

Aku memandang ayah dengan seribu persoalan. Bertambah kehairanan aku.

"Kenapa, ayah?" soalku lembut dan lambat-lambat. Ibu sudah bangun dan berlalu dari sisi kami.

"Tadi Pak Usu Ishak dan Mak Usu Limah datang" Ayah diam semula. Hah, aku memang maklum dan aku bertambah gelisah.

"Tidak pernah dibuat orang, tidak pernah ayah duga pun.."

" Tidak tahu cara mana ayah hendak memulakan bicara.."

Ah! semakin gelisah aku dibuatnya.

"Mereka merisik Rima untuk Zaidi.." Ayah diam lagi. Alang Zaidi merisik? Berbunga-bunga hatiku. Terlupa aku pada tawaran ke kolej yang ingin kusampaikan kepada ayah sejak tadi lagi namum tiada berkesempatan apatah dengan kedatangan Pak Usu Ishak dan Mak Usu Limah.

"Mereka merisik Rima untuk Halim, juga."

"Hah!" terkeluar dari mulutku.

"Itulah yang ayah tidak tahu hendak buat apa sekarang ni." ayah mengeluh.

"Memanglah mereka kata mereka tidak kisah siapa yang Rima pilih. Mereka akan bersetuju juga."

"Sudah gilakah pasangan suami isteri itu?" aku rasa seperti hendak menjerit sekuat-kuat hari.

Pak Usu Ishak merupakan adik kepada ibu Alang Di. Halim pula adalah anak Pak Usu Ishak dan Mak Usu Limah. Bermakna Halim dan Alang Di adalah saudara sepupu. Halim memang berperibadi baik. Halim juga agak tampan, setampan sepupunya Alang Di. Tetapi Halim agak pendiam dan pemalu. Teringat aku peristiwa aku mengusik-usik sehingga dia kehilangan kata-kata dan merajuk. Berminggu-minggu, sehingga aku pujuk kembali baru dia kembali berkawan dan bermain dengan kami.

Kenapalah si Halim itu ada hati dengan aku. Aku memang mengakui Halim pemuda baik. Dia lebih muda dua tahun daripada Alang Di, sepupunya itu. Mereka juga amat akrab. Aku pasti Halim mengetahui hubungan aku dan Alang Di. Tapi mengapa Halim turut merisik aku? Atau adakah dia tidak mengetahui tentang risikan oleh orangtuanya itu?

"Ayah pulangkan pilihan itu kepada Rima. Rima timbangkanlah mana yang Rima suka dan dapat membahagiakan Rima. Ayah ikut sahaja pilihan Rima."


Patutlah ibu marah kepada aku kali ini. Memang aku selalu menimbulkan kekeliruan. Aku sendiri keliru.. Mengapa boleh jadi sebegini rupa. Tiba-tiba aku teringat tawaran ke kolej yang kuterima semalam.

"Ayah.." panggilku perlahan. Sebenarnya hati aku benar-benar berkocak.

"Ayah tahu kan pilihan Rima. Rima sudah buat keputusan." spontan itu tiba-tiba aku mempunyai keputusan.

" Fikir masak-masak,nak!" jawab ayah, terkejut dengan kata-kataku. Masakan dalam masa 15minit aku sudah membuat keputusan. "Sudah tahukah dia Zaidi akan merisik?" timbul persoalan di hati ayah. Tertanya-tanya sendiri.

"Semalam Rima terima surat tawaran ke kolej. Ini suratnya... Rima memang hendak beritahu ayah. Kebetulan ayah panggil, Rima bawa surat ini sekali. Ayah bacalah" Ayah mengambil surat itu dan membacanya dengan tekun.

"Rima rasa ada baiknya jika Rima lanjutkan pelajaran dulu.. Biarlah dulu hal itu, jika ada jodoh tidak ke mana,kan ayah." Aku tertunduk diam. Ayah merenungku.

"Rima pun sebenarnya tidak menjangka akan menerima tawaran ini. Rima ada isi borang memohon ke kolej itu. Main-main dan cuba-cuba sahaja. Ayah tahukan keputusan SPM Rima yang lalu tidak begitu baik. Rima ikut kawan-kawan lain. Tapi mungkin rezeki Rima.." Aku menjelaskan supaya ayah lebih memahami situasi itu.

"Rima rasa tidak baik kita memutuskan silaturrahim, kan ayah.. Kalau Rima terima Alang Di, apakata Halim dan keluarganya? Jika sebalik Rima pilih Halim, mungkin pula Alang Di akan marah dan berkecil hati." Aku cuba menyatakan pendirianku.

"Rima rasa biarlah masa dan keadaan yang menentukannya " Aku seperti bertegas dan memujuk ayah.

" Ayah beritahulah alasan ini. Hubungan keluarga mereka tidak tergugat. Hubungan ayah dan mereka pun baik." Aku meneruskan.

" Mungkin ada hikmah Rima terima tawaran ini. " Aku diam. Ayah juga turut diam. Melayan fikiran dan perasaan masing-masing.

Namun benakku seperti ditumbuk-tumbuk. Hatiku seperti disiat-siat. Aku terasa sangat lemah. Harapanku untuk hidup bersama Alang Di terpaksa aku tangguhkan. Aku pasrah. Aku serahkan segala-galanya kepada Yang Maha Mengetahui. Jika ada jodoh, tentu akan ada jalannya nanti.

Tiba-tiba aku memaut bahu ayah. Badanku terasa longlai. Ayah memelukku. Diusapinya kepalaku.

"Maafkan ayah,nak!" Ayah berkata lembut. Aku tidak tahu mengapa ayah perlu meminta maaf.

"Ayah tidak bersikap tegas" Ayah menyambung kata-katanya. Ayah kelihatan murung.

"Apa yang ayah boleh buat lagi?" kekesalan ayah lahirkan. Ayah mengangkat kepalaku.

"Sedihnya Rima, ayah!" Aku bingkas bangun dan berlari ke bilikku. Adik-adikku terkejut melihat aku berlari. Ibu juga mungkin terkejut. Aku mengunci pintu bilikku dan menangis sepuas-puasnya. Dan sepanjang malam yang mengharukan itu, ibu tidak pun cuba memujukku. Kalau orang lain tentau ketika itu ada ibu di sisi anaknya. Apatah ketika melalui peristiwa sepayah ini. Tapi ibuku buat tidak tahu sahaja. Aku benci ibu.


Dua hari kemudian, Nana datang ke rumahku. Dia menarik tanganku, keras sekali tindakannya. Sedangkan aku tidak suka diperlakukan sedemikian oleh kawan baikku itu. Aku menyentap kembali tanganku. Nana b
erhenti lalu memandangku.

" Aku hendak bercakap dengan kau" kasar kata-kata dari mulut Nana.

"Kalau ya pun, janganlah buat aku macam ni!" tengking aku tiba-tiba. Aku yang selama ini tidak pun pernah sekali memarahinya mulai berang.

"Aku kata aku hendak bercakap dengan kau" tengkingnya pula membalas.

" Okay, jumpa aku di pantai petang ni. tempat selalu" Balasku. Terus aku masuk ke rumah.

Zayana mengetap bibir dan memandangku dengan bengis dan geram.

"Aku tunggu kau!" laung Nana.

Aku tidak mempedulikannya. Penyapu yang kulepaskan tadi kuambil kembali. Aku meneruskan kerja-kerja yang tergendala. Dan Nana berlalu dengan pelbagai kemarahan meninggalkanku.

Khamis, 9 Julai 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 5 )


BAB 5 : USAH DISANGKA AIR YANG TENANG ITU TIADA BUAYA.

"Rima, masuk ke bilik saya sebentar."suara di hujung intercom itu jelas kedengaran.

Aku memandang ke sudut kanan pejabat. Kulihat Encik Saiful sedang memandangku. Tersenyum.

"Kenapa aku dipanggil? Kak Siti setiausahanya kan ada." getus hatiku kecilku.

Aku bangun dan berjalan menuju ke bilik Encik Saiful. Dia menggamitku dari dalam. Kebetulan tempat dudukku berhadapan dengan tempat duduk Kak Siti. Walaupun agak terasing tempat dudukku ini namun kedudukannya begitu strategik. Aku dapat melihat rakan-rakan lain dengan jelas. Dan, aku juga dapat melihat jabatanku dengan jelas juga. Ditambah biliknya yang berlatarkan cermin lutsinar. Sesekali sahaja bidai di bilik Encik Saiful itu ditutup. Biasanya Encin Saiful selesa dengan melihat dari tempat duduk dalam bilik itu. Melihat anak-anak buahnya menjalankan tugas.

Aku menghampiri meja Kak Siti. Kak Siti yang sedang leka memasukkan data komputer sedikit terkejut lalu mengangkat pandangannya kepada aku..sambil tersenyum.

"Kak Siti, saya nak masuk sekejap. Encik Saiful panggil."

Kak Siti Masih tersenyum mengangguk sambil menunjukkan isyarat supaya mengetuk pintu terlebih dahulu.

Aku beredar menuju ke bilik Encik Saiful. Berhenti di pintu dan mengetuk perlahan.

"Masuk!" terdengar suara Encik Saiful dari dalam.

AKu masuk perlahan dengan mataku tertumpu kepada Encik Saiful. Encik Saiful tidak memandangku tetapi seperti mencari-cari sesuatu.

"Duduk dulu", arahnya sambil terus mencari sesuatu. Aku duduk dan menunggu dengan sabar walaupun penuh dengan debaran dan bergelodak. Jarang sekali aku bercakap dengan Encik Saiful walaupun dia seorang yang mudah mesra. Dalam masa tiga bulan lebih ini, boleh dikira berapa kali aku bercakap dengannya selain mengucapkan salam. Aku cuba menenangkan hatiku.

"Hah, jumpa pun.." suaranya agak gembira sambil mengangkat mukanya memandang aku.

"Ah, pandangan itu lagi!" gumam hatiku.

" Kenapa Rima? Gugup?"

Aku masih mendiamkan diri diri. Menanti.

"Mestilah, kan? jika jumpa orang istimewa macam saya!"

"Eh, perasaan.. Puji diri sendiri pula tu!", getus hatiku lagi.

" Nah, surat pengesahan jawatan Rima bekerja di sini."

"Tahniah!" sambung Encik Saiful setelah melihat aku yang terus berdiam diri.

Aku tersenyum hambar. Kelat rasa hati ku. Aku masih tertanya-tanya.

"Kerjalah baik-baik. Rima akan sentiasa berasa selesa dan diterima di sini.", sambil tangan kanannya menepuk dada sebelah kiri.

Aku mengangguk dengan berbagai-bagai telahan dalam kotak fikiranku ini.

"Saya gembira dapat menyampaikan berita baik ini sendiri."

"Terima kasih, Encik Saiful."sambil menghulurkan tanganku untuk mengambil surat pengesahan jawatan itu. Tiba-tiba Encik Saiful menarik kembali surat yang dihulurkan. Aku memandangnya. Dia tersenyum. Ah, apa pula lagi! Aku meletakkan tanganku semula ke peha.

" Saya harap Rima akan dapat meneruskan tugas-tugas yang telah Rima jalankan selama tiga bulan ni dengan komitmen yang tinggi"

" Dan kalau ada apa-apa masalah, Rima boleh terus berbincang atau minta pertolongan saya."

'Wah, hebat ni.. pengurusku sendiri menawarkan bantuan kepada ku!" Aku menganggukkan kepadaku perlahan.

"Jangan segan-segan bertanya. Saya sedia membantu"
"Bila-bila masa." Aku terpinga-pinga.
Dia menghulurkan semula sura pengesahan tersebut. Belum sempat sampul itu sampai ke tanganku, tiba-tiba terlepas dari tangannya.
"Oops, Sayang!" seperti melatah.
Encik Saiful mengambil semula surat dan akhirnya sampai juga ke tanganku. Aku memegang tanpa melihat isi kandung surat tersebut.
"Tak nak baca?" soal Encik Saiful.
"Tidak mengapa,kemudian nanti" jawabku perlahan. Aku lantas berdiri.
"Encik Saiful jika tiada apa-apa lagi, saya minta diri dulu." sambungku kemudiannya.
"Kebetulan, saya masih banyak kerja yang perlu diselesaikan."
Tiba-tiba aku teringat yang aku belum mengucapkan terima kasih kepadanya atas majlis harijadi aku yang lalu.
"Encik Saiful.." aku cuba mengawal situasi supaya tampak formal.
"Hmm.." lagaknya seperti ternanti-nanti apa yang ingin kuperkatakan.
" Saya nak ucapkan terima kasih kerana Encik Saiful bersusah payah mengadakan majlis harijadi saya tempohari."
Encik Saiful tersenyum. Tersirat sesuatu di sebalik senyumannya itu. Walaupun Encik Saiful mempunyai raut wajah yang agak tampan juga namun tidak tahu mengapa seperti sedikit jelek dengan senyuman kali ini.

"Untuk Rima, saya sanggup buat apa sahaja."
Tersentak aku. Namun aku cuba untuk nampak bersahaja. Alhamdullillah aku berjaya mengawal diri. Mujur juga ketika itu aku sudah hampir ke muka pintu kerana sejak berdiri untuk minta diri tadi aku berundur bergerak perlahan-lahan hingga hampir ke pintu.
" Saya minta diri dulu" pintaku sambil memulas tombol kunci pintu bilik itu.
" Okay.. lagipun diri awak tu belum jadi milik saya lagi." sahutnya perlahan sambil buat-buat seperti sedang meneliti sesuatu di atas mejanya. Terdengar juga kata-kata itu di pendengaranku.
"Huh, selamat!" getus hatiku.
Aku sememang jengkel dengan situasi itu tadi. Kebetulan aku baru mendapat tahu yang majlis meraikan ulangtahun tempohari adalah daripada Encik Saiful sendiri.
" Bertuah awak. Boss sayangkan awak!" kata Kak Min bergurau, seakan-akan satu sindirian kepadaku.
"Rima, Encik Saiful tu tidak pernah buat majlis untuk sesiapa pun di sini, sebelum ni. Kami tak pernah merasa pun. Cik Abang Rima tu terkejut juga ketika Encik Saiful kata nak taja majlis tu!"
Kak Min mengulas lagi.
" Saya tak sukalah,kak." aku melahirkan perasaan hatiku ketika itu.
" Apa kata orang nanti? Apa tujuannya?"
"Iyalah..macam ada udang di sebalik batu,kan."

Sebenarnya, kata-kata Kak Min lebih menggusarkan aku. Namun dari wajah Kak Min, aku dapat membaca bahawa Kak Min juga tidak menyukai situasi itu.
"Oi cik adik! Apa hal Encik Saiful panggil?" tegur Kak Min ketika aku melintasi mejanya.
"Ini hah.. surat pengesahan jawatan!". Aku mengunjukkan surat itu kepadanya.
" Eh, Encik Saiful yang bagi sendiri kepada Rima? Biasanya bahagian personal yang uruskan semua ni.". Nampak riak-riak kehairanan dan kebimbangan di wajah Kak Min.
" Itulah juga yang menjadi kehairanan saya. Pelik,kan?"
"Encik Saiful pun ada hati juga pada Rima agaknya.". Mengusik.
" Hish, dijauhkanlah hendaknya. Suami orang tu kak!"
"Jaga-jaga Rima". Kak Min terus mengusik.
"Orang dah kahwin ni, banyak pengalaman" katanya lagi disertai ketawa kecil.
" Kak Min!" jerit ku perlahan. Manja.
"Janganlah marah. Kak Min tidak memaksudkan apa-apa."
"Tapi nasihat Kak Min, berhati-hatilah ya, Rima.."
Sememangnya Kak Min nampak agak bimbang akan perkara yang baru berlaku tadi. Dan aku, apatah lagi..
"Ha ah laah.. hati-hati! Abang akak tu sejak akhir-akhir ni nampak lain sahaja!" Terasa tangan memeluk pinggangk, lembut.
Kak Aini adik Encik Saiful berdiri di sebelahku sambil merapatkan lagi badannya. Rupa-rupanya dia mendengar perbualan kami.
"Walaupun abang akak tu memang baik orangnya. Akak tidak suka juga jika dia menyusahkan Rima. Tindakan dan perlakuannya akhir-akhir ini nampak berbeza."
Aku memandang wajah Kak Aini dengan senyuman yang aku rasakan amat kelat.