Selasa, 2 Mac 2010

AKU MILIKMU JUA ( BAB 16 )

Bab 16 : Maaf, ke sekian kalinya....

Bip! Bip!

Butang bernombor 01 menyapa...berkali-kali. Aku mengangkat gagang telefon.

"Rima, masuk ke bilik saya sekejap"

"Baik Encik Saiful.."

"Bawa sekali fail Fuad & Associate"

Aku melantas mencari-cari fail tersebut. Aku buka kemudian kubelek-belek beberapa kali helaian baucer di dalamnya yang telah aku semak. Setelah berpuashati, aku lalu menuju ke bilik Encik Saiful.

Aku hairan kenapa fail tersebut perlu aku semak sedangkan tugas menyediakan baucer adalah tugas bahagian kewangan. Namun tugas-tugas demikian tidak dapat kuelakkan. Memang ada ketikanya aku melakukan tugas-tugas di luar bidang tugasku. Apatah lagi untuk menepati dateline sesuatu tender dan kontrak.

Aku melangkah lemah. Peristiwa-peristiwa beberapa hari yang lalu mengganggu fikiranku. Kadangkala menjadikan aku berasa begitu tidak bermaya. Pintu bilik Encik Saiful aku ketuk perlahan.

"Masuk!" terdengar sayup dari dalam.

Lalu aku membuka pintu dan melihat wajah orang di dalam. Senyum. Begitu menyejukkan hati. Ketua pejabat aku ini memang seorang yang bergaya. Usia yang melewati 40an itu begitu tenang. Senyumannya juga tampak begitu ikhlas. Tambahan Encik Saiful tergolong dalam kumpulan orang yang kacak.

"Duduklah.." pelawanya lembut.

Aku mengangguk. Duduk. Walaupun aku tahu semua itu tidak memerlukan waktu yang lama untuk dibincangkan. Seperti yang berlaku kebiasaannya. Suasana sepi. Hanya kedengaran bunyi helaian kertas diselak-selak. Aku menanti, masa terus berlalu. Hai, apa yang lama sangat dibelek-belek kertas tu!, hatiku mula menggetus. Aku memandang sekitar. Kemas dan teratur seperti pemilik bilik itu juga. Nampak ringkas tetapi menarik. Bukan selalu aku dapat meneliti keadaan bilik ini sebegini rupa. Pandanganku ke sorotkan ke wajahnya. Wajahnya begitu kemas dan bersih sekali. Tentu hidupnya juga setenang wajahnya. Pasti bahagia sekali hidupnya sehingga terpancar di wajahnya itu. Di samping keluarga. Di samping seorang suri yang cantik dan anak-anak yang sedang membesar.

Wajah itu tidak banyak bezanya dengan wajah Kak Aini. Berkulit putih kuning dan berbentuk bujur sirih, yang memang bersesuaian dengan sikapnya yang sering berlembut. Sama seperti Kak Aini. Sikap keperihatinan kedua-dua individu dalam kisah hidupku ini begitu menyenangkan.

"Berapa jumlah besarnya, Rima?"

"Hah?" aku tersentak. Lamunanku terhenti tiba-tiba. Berapa jumlah besarnya? Aku terfikir-fikir sesuatu. Bukankah angka itu ada di hadapannya.

"Lebih kurang RM 500,000.00" jawabku ringkas.

"Bayaran permulaannya?" Aku terpinga-pinga.

"Kita bersetuju untuk membayar mengikut fasa. Setiap fasa yang selesai dilaksanakan, jumlah tertentu akan dijelaskan. Projek ini agak kecil Encik Saiful. dan keputusan mesyuarat yang lalu bersetuju membuat 4 kali pembayaran. Bayaran pertama dijadualkan dua minggu selepas kontarak ditandatangani." terangku. Persoalannya, hal yang dibincangkan ketika ini bukan dalam bidangku. Aku memandangnya mengharapkan dia memahami. Mata kami bertembung dan aku segera melarikan pandanganku ke kertas baucer tersebut. Entah mengapa begitu berbeza sekali pandangannya kali ini.

"Rima.." aku menati bicara seterusnya.

"Agaknya jumlah sebanyak itu , cukupkah untuk mengubah hidup awak?" soalan yang begitu lancar.

"Hah?" tiada perkataan lain yang boleh keluar daripada mulutku agaknya.

"Saya bertanya, RM 500,000.00 itu cukupkah untuk mengubah haluan hidup awak?" Pertanyaan itu diulang semula. Aku terpinga-pinga.

Suasana sepi tiba-tiba. Mengapakah soal hidupku dibangkitkan ketika ini. Dan adakah nilai hidupku bernilai RM500,000.00 sahaja? Kenapa pula aku harus meletakkan nilai untuk hidupku.. Perasaanku mula melonjak. Marah. Apakah yang sedang berlaku kepada lelaki di hadapanku ini...

"Saya hendak Rima memulakan hidup baru. Hidup yang lebih baik daripada mengharapkan sesuatu yang tidak pasti. Terutamanya daripada seorang lelaki seperti Aiman."

Aku termangu.

"Saya tahu saya tidak berhak mencampuri urusan Rima dan Aiman, atau Rima dengan orang lain juga. Tetapi Aiman bukanlah seorang yang sesuai buat Rima.."

Aku terus terdiam.. Tunduk tercari-cari sesuatu yang tidak pasti.

"Kalau Rima tidak keberatan, jadilah suri hidup saya. Sudah lama saya memendamkannya. Dan, akhirnya air mata Rima yang membuatkan saya bertindak dengan keputusan sebegini. Saya tidak sampai hati melihat Rima bersedih. Luluh hati saya." .. Suasana sunyi.

"Rima, jadilah suri hidup saya. Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa tetapi saya akan cuba sebaik mungkin membahagiakan Rima."

" Apa yang Encik Saiful katakan ini? Saya tidak mengerti." Memang aku tidak faham apa-apa. Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Kata-kata Encik Saiful benar-benar mengguris hati perempuanku..

"Bukan susah memahami kata-kata saya ini. Saya amat yakin Rima memahami apa sahaja yang saya maksudkan." Jawabnya sambil matanya terus merenung aku. Pandangannya juga menikam jauh ke dalam mataku. Bukan setakat itu malahan turus ke hati.... begitu jauh sehingga menghiris luka-luka lama untuk berdarah semula... Aduh, ia begitu menyakitkan! Semua itu cuba aku tanggung dan pertahankan. Ya Allah, KAU sabarkanlah hati aku ini.

"Jadi isteri saya? " kali ini suaranya lebih tegas. Jelas.

Aku hanya mampu memandangnya dan diam. Hambar. Kecewa. Terkejut. Sedih. Segalanya berbaur. Inikah sikap sebenar seorang lelaki yang benar-benar aku hormati. Segala-galanya seakan-akan luruh. Bebanan baru lagi sekali dihenyak berat ke pundakku. Merintih dalam hatiku.

"Jumlah itu hanya satu permulaan untuk membina hidup baru kita. Sebuah banglo, sebuah kereta dan belanja perkahwinan. Sudah tentu lebih daripada mencukupi."

"Tapi!" pintasku. Sambil mencari-cari kekuatan.

"Puan Azizah dan anak-anak Encik Saiful, bagaimana?"

Encik Saiful tersenyum. Mungkin dirasakan seperti harapannya mula berputik.Mungkin juga dia merasakan bahawa aku akan menerima tawarannya.

"Itu bukan masalah besar. Rima boleh tinggal di rumah berasingan. Soal keizinan saya akan uruskan. Soal anak-anak juga tiada masalah.. Dan, saya mampu.."

Aku berkira-kira. Mindaku juga ligat berputar, mencari kata-kata terbaik. Menjelaskan keputusan. Semua ini perlu diselesaikan.

"Sejak bila... " Aku bertanya untuk mendapatkan kepastian. Tenang. Aku cuba mengawal getar dalam hatiku ini.

"Sejak dulu lagi. Sejak pertama kali melihat Rima, hati saya sudah begitu tertarik. Lembut dan manja. Suara Rima, gerak geri Rima, liuk lentuk Rima... semuanya. Membuatkan saya tidak boleh tidur... tapi saya pendamkan kerana tidak mahu membuatkan Rima rasa tidak senang di sini."

Memang aku tidak senang duduk sekarang ini.. Seperti duduk di atas bara api. Apa silapku dengan segala tingkah laku semulajadikan itu. Setahu aku, sewaktu kecil hingga kini, aku seperti budak lelaki. Kawan-kawanku pernah menggelarkan aku 'tomboy' suatu waktu dulu. Kerana aku ini berambut pendek, sentiasa berseluar panjang dan berkelakuan seperti seorang budak lelaki. Sukan Bola sepak juga merupakan permainan kegemaranku. Cuma sepak takraw sahaja tidak aku minati. Itupun disebabkan banyak kali menimbang bola dan aku masih gagal. Sikap aku berubah apabila aku berkawan dengan Nana. Gadis yang begitu bersopan santun dan mempunyai ciri-ciri kewanitaan yang tinggi. Gadis yang agak matang berbanding dengan gadis seusianya yang lain. Ketika berkawan itulah aku belajar memakai gaun, memakai baju kurung sehingga sekarang ini. bertudung sebagai hijab menutup auratku.

Aku juga tidak secantik Nana. Aku pasti. Tidak secantik mana dibandingkan dengan kebanyakan wanita di sekelilingku.. Walaupun bukanlah hodoh. Hidungku tidak mancung seperti Nasha Aziz. Tidak ada yang boleh dikatakan cantik... cuma mungkin tubuh aku berbentuk buah pear... padan juga dengan ketinggianku setinggi 1.56meter.
Sederhana sahaja dan aku masih mengekalkan beberapa sikap-sikap seorang lelaki.

"sekarang saya rasa masanya sudah tiba. Kenapa perlu dikejar Aiman. Saya ada di hadapan Rima. Saya yakin saya mampu dalam segala hal.... Dan, saya tidak boleh tunggu lagi. Saya sudah lama memikirkannya. Sudah lama juga saya membuat keputusan ini. Saya akan pastikan Rima tidak akan menangis lagi."

Hah? Siapa tahu, entah-entah aku akan menangis seumur hidupku... Bermadu, bukannya mudah! Biarpun madu itu manis tetapi hidup bermadu itu tidak pula semanis mana malah seakan hempedu pahitnya. Itulah kata orang. Dan, aku tidak sengaja menempah susah.. Begitu berbisa. Hati Puan Azizah pula bagaimana? Sekiranya aku berbahagia sekalipun, mungkin akan banyak hati yang terluka. Menangis dan hancur.

Aku pernah bertekad suatu ketika dulu bahawa aku tidak akan sekali-kali membina kebahagiaan atas kehancuran dan penderitaan orang lain. Aku perlu bijak. Belum lagi selesai hal terdahuku, kini masalah baru pula timbul.

Aku juga tidak boleh berdiam diri lagi. Semakin aku diamkan akan semakin parah lagi jadinya. Semakin mekar pula harapan Encik Saiful kepadaku kelak. Aku sudah punya keputusan. Biarpun keputusan itu hadir dalam saat-saat terdesak, namun aku tahu keputusanku itu tepat dan wajar. Aku tidak boleh berdolak-dalih. aku pasti berterus terang. Aku mahu Encik Saiful tahu keputusan aku ini secepat mungkin. Agar dia tidak tertanya-tanya. Aku sudah tidak sampai hati mendengar kata-kata yang diucapkan dan mungkin akan berat hati dengan kata-kata yang seterusnya.Aku perlu segera bertindak sebelum terlambat.

"Bagaimana dengan Puan Azizah? Rasanya tiada apa-apa kekurangannya pun. Dan, anak-anak Encik Saiful pun tentu tidak suka dengan keputusan ini." Aku membuaka lembaran bicaraku secara berkias. Menyentuh tanggungjawabnya terhadap keluarga. Tentang hati-hati yang bakal terluka dan dilukainya.

"Saya tahu apa yang saya buat ini. Rima jangan risau. Selama ini, kebahagiaan yang ada hanya terlihat pada zahirnya sahaja. Hakikatnya saya tidak bahagia dengan hidup salam selama ini. Dan, ketika ini pun saya sering diabaikan."

Ah, lelaki ini masih dengan egonya! Masih mahu ditatang seperti minyak yang penuh. Sebelum ini aku memang mendengar tentang kepincangan dalam rumahtangganya daripada Kak Aini. Namun bagiku itu semua bukan masalah aku dan aku tidak mahu sekali-kali ambil pusing. Sudah lumrah ego seorang lelaki akan gugah sekiranya isterinya memiliki banyak yang lebih daripadanya walaupun hanya dalam satu hal sahaja. Puan Azizah anak tunggal dalam keluarga Tan Sri Salleh. Tentu sekali hidupnya lebih baik berbanding Encik Saiful sendiri. Sedangkan kerjaya yang ada ini adalah hasil pemberian mertuanya. Tidak dia tahu untuk bersyukur dengan segala apa yang dia miliki selama ini? Mungkin sahaja lelaki mudah bosan dengan sikap suka merajuk seorang wanita.. Sekali dua, boleh bertahan tetapi kalau sudah berkali-kali, kesabaran mungkin tercabar juga. Begitulah pula dengan sikap Puan Azizah.

Pada aku sewaktu menerima Puan Azizah dulu, Encik Saiful sepatutnya menerimanya berserta semua sikapnya.. seadanya. Namun sikap berpura-pura Encik Saiful itu akhirnya memakan diri dan menjadi suatu penyakit dalam hidup Encik Saiful hingga kini. Tetapi hal ini bukanlah alasan kuat untuk dia berpaling kepada aku pula. Dan juga bukan alasan untuk aku menerimanya pula.

"Ya Allah, bantulah hambaMU yang naif ini." Maafkan aku Encik Saiful kerana tidak dapat menerimamu...

Dan harta yang ditawarkan itu juga.... walaupun pernah terfikir dalam minda aku ini suatu masa dulu untuk mendapat kemewahan sebanyak dan menikmati kelewahan harta benda seperti orang lain. Namun aku terus berfikir dan aku pasti segala kemewahan tidak akan bererti jika aku memilikinya dengan cara yang salah dan bukan kemewahan dan harta benda itu lambang dan erti kata kebahagiaan yang sebenarnya. Bersetuju bermakna aku merelakan diri aku ini memasuki sangkar emas milik Encik Saiful dengan sengaja.

"Encik Saiful", Aku memulakan kata-kata.
"Hmmm..."
"Saya tahu dan menghargai apa yang encik buat untuk saya selama ini... Kasih sayang dan perhatian Encik Saiful kepada saya. Saya tidak menafikan saya senang dengan semua itu. Namun tidak pernah terfikir mahupun terlintas di hati dan fikiran saya untuk sampai ke tahap ini."

"Mungkin hidup saya kini tidak ditakdirkan gembira dan mendapat apa yang kita ingin setiap masa. Memang saya menginginkan hidup yang senang , mewah dan bahagia, terutama di samping seseorang yang kita cintai dan mencintai kita. Namun..... jika kebahagiaan itu menindas orang lain saya tidak rela. Landasan yang tidak pernah saya impikan, iaitu mendapat kasih saya hasil kekecewaan, penderitaan dan kehancuran orang lain."

" Saya menghormati Encik Saiful sebagai ketua jabatan dan majikan saya. Saya menghargai segala keperihatinan yang diberikan kepada saya. Saya juga ingin sekali merasai kebahagiaan yang ditawarkan oleh Encik Saiful tetapi.... saya tidak boleh. Saya memang tidak boleh! Kasih yang Encik Saiful hulurkan sebenarnya bukan milik saya. Saya tidak mampumenyambutnya malah untuk menggapainya pun saya tidak mampu... begitu jauh sekali. Saya amat berharap Encik Saiful memahami saya."

"Bukan kerana Aiman tetapi kerana diri saya sendiri yang tidak mampu menerimanya. Saya tahu biarpun saya cuba, pasti saya kecewa kelak. Sebelum banyak lagi hati-hati yang terluka, kita perlu bertindak bijak."

Diam... Sunyi.... Sepi...

"Maafkan saya.. Saya tidak mampu membalas tepukan Encik Saiful. Saya tidak tahu bagaimana Encik Saiful boleh bertepuk dengan beberapa tangan sekali gua tetapi saya pasti hubungan begini tidak akan ke mana. Hal ini akan menjadikan kita semua menderita. Saya yakin Encik Saiful akan menyedarinya kelak. Saya tidak pernah terniat mengundang rasa sayang di hati Encik Saiful. Saya juga berharap tidak mengundang benci setelah semua ini berlaku"

"Dan malangnya saya ini punyai hati sekeras batu walaupun batu itu boleh lekuk oleh titisan air dan kasih sayang tetapi saya tidak pasti selama mana ia boleh terjadi. Saya juga pasti Encik Saiful akan beralah sebelum batu itu lekuk. Dan pada ketika itu, saya bimbang Encik Saiful pula akan sangat kecewa. Sebelum semua itu berlaku, ada baiknya harapan encik itu tidak bersambut. Maafkan saya, encik Saiful!"

Aku menundukkan kepalaku. Encik Saiful bersandar di kerusinya sambil maanya merenung siling, tidak berganjak. Aku perlahan-lahan mengangkat muka memandangnya. Ada rina memerah di mukanya yang nampak begitu kecewa. Namun aku yakin kata-kataku tadi memberikan kesan di hatinya. Wajahnya bertambah muram. Bingkai cermin matanya dipusing-pusingkan.

Aku menantikan jawapan. Keluhannya dihambur bersama dengan nafasnya yang keras. Aku pasti dia sedang memujuk hatinya. Padaku, biarlah ketika ini hatinya terluka... Aku juga bukan terdesak, mencari pengganti Aiman. Tidak sekali-kali. Aku pasrah.

Sepi lagi... dan keadaan ini tidak boleh aku biarkan begitu sahaja.

"Encik Saiful saya minta diri dulu. Maafkan saya sekali lagi... semga apa yang berlaku ini , setakat ini sahaja. Biarlah hal ini antara kita berdua sahaja dan saya berharap tidak akan ada apa-apa yang akan berubah antara kita."

Aku bangun sambil melihat Encik Saiful menganggukkan kepalanya. Aku melangkah perlahan. Jam menunjukkan 6.00 petang. Selalunya pada waktu-waktu begini Encik Saiful sudah lama meninggalkan pejabat. Dan di luar ruang pejabat begitu sepi... hanya ada kerusi, meja dan perabot lain... yang kaku.

"Rima!". Langkahku terhenti.

"Saya harap awak akan fikirkannya sekali lagi. Berilah saya peluang membuktikan kata-kata saya." Seolah-olah merayu.

"Maafkan saya Encik Saiful... Saya pasti keputusan ini adalah yang terbaik untuk kita berdua dan oranglain juga. Saya tidak mahu dan tidak akan memikirkannya lagi..." kataku perlahan, antara dengar dan tidak. Dan.... airmata yang bergenang di pelupok mata ini telah luruh tanpa dapat aku tahan-tahan lagi.

Maafkan, aku! Maafkanlah aku.... dan hati aku terus melonta-lonta....