Jumaat, 21 Ogos 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 11 )

BAB 11 : BIARKAN SEMUA ITU BERLALU


Pagi isnin ini, aku sampai agak awal di pejabat. Tidak banyak lagi pekerja yang ada. Bangunan MH Holding masih lengang.


Aku mengemas mejaku yang tidak sempat aku kemas rapi sebelum meninggalkan pejabat hari Khamis yang lalu. Sedang sibuk berkemas, aku ditegur seseorang.


"Assalamualaikum.." Aku mengangkat muka memandang orang yang memberi salam.


"Waalaikumsalam.." jawabku, sambil tersenyum tawar.


"Sudah sihat?" tanyanya lembut.


"Alhamdullillah" jawabku ringkas.

Hatiku tidak senang dengan keadaan itu. Senyumannya agak bermakna. Lelaki berusia akhir 30an itu merenungku. Aku melarikan pandanganku.


"Terima kasih kerana membenarkan Puan Yasmin menemani saya tempohari.." setelah lama berdiam diri. Gelisah diperhatikan sedemikian rupa.


"Sudah menjadi tanggungjawab saya." jawabnya perlahan. Hari ini dia kelihatan begitu kemas dan bergaya. Wajahnya yang baru bercukur menampakkan lagi ketampanannya. Hidung yang agak mancung dengan alis mata yang agak tebal, sungguh anggun. Dalam diam aku mengagumi perwatakan Ketua Jabatan ku ini.


Hatiku lega apabila terdengar gelak Aiman dan rakan-rakannya. Aku terpandang Kak Min sudah ada di mejanya merenung kami dari jauh. Dia senyum mengusik apabila aku membulatkan mataku. Encik Saiful beredar ke biliknya apabila mendenagr riuh-rendah kumpulan jejaka itu. Kak Aini bersama mereka turut ketawa. Kak Aini menjeling juga aku dan abangnya itu sambil menuju ke meja. Entahlah apalah yang difikirkannya. Ah, pedulilah! Aku bukan berbuat salah apa-apa.


Hari ini berlalu dengan pantas. Aku agak sibuk menyiapkan audit memandangkan sudah hampir akhir bulan. Menyusun baucer-baucer dan invois. Semakan fail itu semua perlu aku selesaikan. Dua hari bercuti, banyak kerja yang tertangguh. Aku tidak banyak bercakap. Ingatan ku kepada Alang Di juga menjauhkan aku buat sementara.


Petang itu, aku bertembung dengan Aiman di dalam lif. Aku kira dia sudah pulang kerana sudah keluar awal dengan teman-temannya 10 minit yang lalu. Apabila ditanya, Aiman menyatakan dia ke tandas sekejap. Rakan lain sudah turun dahulu. Hanya kami berdua sahaja di dalam lif.


"Rima, janganlah sedih sangat. Kalau orang sudah tidak sudi..saya kan ada.." Aiman memecah kesunyian.


Pintu lif terbuka. Aku lantas keluar. Aiman mengikut di belakang aku. Bagaimana dia tahu aku ditinggalkan? Kak Min? Tidak mungkin.. Musatahil Kak Min mengkhianati kepercayaan aku. Aku kenal Kak Min. Dia seorang yang amanah. Tidak mungkin Aiman mengetahui hal itu daripada Kak Min. Aku terus mengatur langkah dengan cepat.


Aiman berlari dan berdiri di hadapanku. Hanya jarak 1 meter dari ku..


"Rima, dengarlah apa yang saya hendak cakapkan ini!" Langkahku terhenti, aku memandang dengan sayu.


"Apa yang awak hendak cakapkan ini? Saya letihlah!" gumamku.


"Saya ikhlas ini, berilah saya peluang untuk mencantum semula harapan yang mula retak itu. Bukan semua orang seperti dia yang mengecewakan awak itu!"


"Siapa dia?" aku mula curiga.


"Sesiapalah yang melukakan hati awak.." Aiman mula menampakkan riak serba salah. Mungkin kerana tersalah cakap.


"Berilah saya peluang untuk berkongsi susah dan senang bersama awak!" Aiman seakan-akan merayu. Biar betul! Pemuda berusia 27 tahun ini sedang memujuk rayuku.


"Biar saya fikirkan dahulu.." jawabku ringkas. Mengelak darinya dan masuk ke keretaku. Mengemaskan dudukku. Aku menghidupkan enjin kereta.


"Hah!" terkejut aku. Wajah Aiman hanya sejengkal dari mukaku. cuma terhalang oleh cermin tingkap kereta. Aku menurunkan cermin tingkap itu.


"Terima kasih Rima...Saya akan tunggu jawapan awak."


Aku mengangguk. Aiman menegakkan badannya.


Aku mengundurkan kereta. Dia melambaikan tangan sambil membuat mimik muka. Aku tersenyum sendiri. Kereta meluncurperlahan. Aku melihat ke cermin pandang belakang.Aiman menari-nari. Aku senyum lagi.


*******************************************************************
Dua minggu berlalu, aku semakin tenang dan ceria. Aku sudah mula nakal seperti dahulu. Hairan, aku seperti terlepas daripada menanggung suatu bebanan berat. Hatiku benar-benar lega... Encik Saiful juga pernah menegur sikapku yang baru. Sebenarnya sikap aku yang lama, yang kusimpan selepas kes Fauzi dahulu.. Encik Saiful juga tampak ceria dengan keadaan aku ini. Tetapi siapa tahu apa yang tersirat dalam hatiku ini. Hanya Kak Min.. yang kadang kala perasan akan garis-garis luka di wajahku ini. Ada kalanya aku menangis di bilik air. Sesekali pula Kak Min akan menemani dan memujukku.


"Hai, biasanya orang lelaki sahaja yang frust 3 hari ... lepas itu cari lain." Iqram menegurku yang sedang ketawa dengan Kak Aini yang seronok tentang Hafizi, anak bongsunya.


Aku tersentak. Aku memandang Iqram.


"Kenapa? Orang lelaki kalau frust 3 hari saja ke?"


"Ya, 3 hari sahaja! Paling lama lah tu orang lelaki sedih dan kecewa... ada yang lebih cepat! Sebab itu hari ini isteri meninggal dunia, kekasih lari.... esoknya boleh cari ganti." Beriya-iya si Iqram menerangkan. Aku mencemek sambil membetulkan tudungku yang terlipat.


"Tapi kiranya kamu ni,macam orang lelakilah juga. 3 hari sahaja frust! Selepas itu sudah elok semula, ya?"


Rasanya, mukaku mula menjadi merah tiba-tiba. Apatah ketika itu Iqram seperti menujukan soalan itu kepada aku.


"Mana ada saya frust?" gumamku.


"Alahai.. mengaku sahajalah! Kami semua tahulah. Surat bersampul putih biasanya membawa hasrat suci tetapi surat bersampul putih itulah yang sudah menyebabkan kamu itu cuti kecemasan selepas menerimanya.. Bukan gitu? Tidak usahlah hendak berdalih-dalih.." Iqram seolah-olah mengejekku.


Surat bersampul putih? Dua minggu lepas, Aiman yang menyebut perkara itu. Sekarang Iqram pula. Apa yang mereka tahu tentang surat itu? Aku memandang Aiman. Aiman sedang sibuk membuat kerjanya tidak pun mengangkat mukanya. Namun aku tahu bahawa dia berpura-pura sibuk.


Aku mulai berasa curiga. Sememangnya sampul itu seperti dibuka orang. Apakah mereka? Oh, Tidak! Harap-harap bukan seperti apa yang aku sangkakan.


"Rima, kalau kamu sudi menerima saya ini, padang Dataran Merdeka saya akan tadahkan" kata Iqram sambil mendepangkan tangannya. Aku mengejeknya.


"Saya.... suka sama kamu!" dengan loghat yang dibuat-buat dan sambil ketawa, Iqram mengusikku. Seperti berjaya melakukan sesuatu yang hebat, lagaknya.


'His! Bergurau kah atau betul si Iqram ini? Di hadapan orangramai pula. Buat aku malu sahaja. Tetapi jika betul bagaimana pula ya?' soal hatiku. Kepada Aiman juga aku masih belum punyai apa-apa jawapan yang dapat aku berikan.

*******************************************
Sehari selepas itu, Kamal pula bertemuku di pejabat. Sewaktu semua orang pergi makan tengahari. Sedangkan aku berpuasa hari itu. Berpuasa sunat hari khamis.

"Rima, boleh abang bercakap sedikit?". Kamal memang selayaknya aku panggil abang. Usianya lebih 4 tahun lebih tua daripada Aiman.

Aku mengangguk perlahan kemudian meneruskan aktiviti aku waktu itu, membelek-belek majalah wanita yang baru aku beli semalam. Aku mengangkat muka kemudian, memandangnya lalu mempelawanya duduk.

"Rima sudah tidak apa-apa?" soal Kamal lembut.

"Kenapa bang?" soalku kemudian.

Dialah satu-satu lelaki yang aku panggil abang. Aku senang memanggilnya abang memandangkan aku tidak mempunyai abang kandung.

"Betul Rima tidak apa-apa? Mungkinkah pengharapan yang begitu lama dan akhirnya hancur tidak meninggalkan kesan apa-apa kepada Rima?" Abang Kamal bertanya lagi. Dan aku? Terkesima.

"Apa yang abang cakapkan ni?" soalku menduganya.


"Ya lah apabila orang yang paling kita sayang meninggalkan kita sedangkan waktu yang sama kita sangat mengharap dan memerlukannya. Abang rasa itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilupakan" Abang Kamal terus mengasakku.

"Apa sebenarnya yang abang tahu ni?" Suara agak keras. Mula berang.

"Baik abang cakap betul-betul! Rima tak faham.." suaraku mula meninggi.

"Tidak mengapalah...Kita lupakan hal itu. Masa hadapan itu lebih penting. Biarlah yang berlalu menjadi sejarah."

Hish, geramnya aku! Lain yang aku tanya, lain pula yang dijawabnya. Aku merenungnya dan dia pula membalas renunganku. Tajam! Dan.... aku memalingkan mukaku. Mencuka.

" Janganlah Rima marahkan abang pula" dia memujukku. Aku memandangnya semula. Cuba senyum.

"Kalau ada ruang di hati Rima, abang akan berusaha mengisinya. Itupun kalau Rima memberi abang peluang."

Ah, sekali lagi! Benarkah kata-kata itu keluar daripada mulut Abang Kamal. Benarkah dia seperti Aiman dan Iqram, menagih kasih aku ini.

"Abang sedar, abang tidaklah sehebat dia mungkin tapi abang berjanji akan buat yang terbaik untuk Rima. Cuma terpulanglah kepada Rima untuk memberikan ruang dan peluang di hatimu untuk abang."

Airmataku mula bergenang. Hibanya hatiku ini. Aku memikirkan Kamal boleh kuanggap abangku tetapi dia juga serupa dengan Aiman dan Iqram. Mengharapkan sesuatu dariku. Sesuatu yang tidak mungkin aku berikan kepada sesiapa pun ketika ini. Pintu hatiku ini belum terbuka untuk sesiapa.

"Rima fikirkan,ya. Usah mendesak diri. Fikir masak-masak" Jarinya menguit-nguit hujung jariku. Aku lantas bangun apabila terdengar dari luar sana suara Aiman yang semakin jelas kedengaran. Aku menarik tanganku. Astaghfirullah al-azim. Ya Allah, kuatkan hatiku ini. Setitis air mataku menitis. Cepat-cepat kusapu sebelum sesiapa menyedari.

Bertambah satu lagi kemusykilan aku kini. Tentang surat bersampul putih itu! Ketiga-tiga mereka menyentuh perkara yang sama. Dan aku pasti mencari jawapannya.

Tumpuan aku tiba-tiba kepada Harith. Ya, Harith tidak mungkin berbohong dan Harith tidak mungkin ada hati kepada aku. Dia sudah bertunang. Tunangannya sedang menuntut di instusi pengajian tinggi awam.. tetapi aku tidak ingat di mana. Walaupun usianya lebih muda dalam kalangan mereka berempat, Harith kelihatan lebih bertanggungjawab. Mungkin kemusykilan aku akan terjawab juga nanti.

Aku lihat Harith membawa beberapa dokumen ke mesin photostat. Inilah peluangku! Apatah mesin itu terletak dalam bilik cetakan yang khas yang berasingan dengan ruang kerja ini. Aku lalu bangun dan menurutinya.

Tidak sukar bagiku untuk memecahkan kemelut mindaku ini. Harith menerangkan segalanya dengan segera. Pada hari surat itu sampai, Aiman mengambilnya daripada peti surat. Awalnya dia fikir surat itu adalah untuknya. Hal itu disebabkan sewaktu dulu dia juga berutus surat bersampulkan sampul putih dengan kekasihnya. Kebetulan nama kami hampir sama. Ainur Rima Rahmat dan Aiman Iman Abdul Rahman. Ketika itu semua mereka ada di situ, baru balik daripada makan tengahari. Dan, semua mereka membaca surat aku itu. Oleh sebab Aiman seorang yang sangat cermat ketika membuka surat, maka kesilapan itu mudah disembunyikan. Lagi-lagi apabila Aiman membuka surat itu dari sisinya.

Ah, betullah sangkaan aku! Harith sempat menasihatkan aku. Harith juga mengetahui ketiga-tiga rakannya itu menaruh hati kepadaku. Sempat pula dia mengusikku, jika dia belum bertunang mungkin dia pun ikut serta kawan-kawannya itu. Dia mengharapkan aku dapat membuat pilihan yang betul. Ambillah masa untuk memikirkan hal itu, katanya kerana kemungkinan aku tidak dapat membuat keputusan yang betul ketika itu lebih besar dengan keadaan aku yang tidak bersedia dan baru dikecewakan.
Aku akur!

Sabtu, 1 Ogos 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 10 )

BAB 10 : Biarpun pahit kutelan juga..

Menerima surat terakhir Alang Di begitu menghancurkan hatiku. Tergamak Alang Di. Bertahun-tahun aku mengorbankan perasaan hanya untuk setia kepadanya. Malah bukan perasaan aku sahaja.. Perasaan Zamani, Romzi, dan Fauzi . Zaki juga. Inikah balasan yang aku terima kerana menghampakan mereka . Inikah hukuman buat aku yang setia. Sudah tiada airmataku lagi.

Pagi jumaat ini sungguh dingin. Aku rasakan badanku lemah. Agak terkejut melihat sepasang mataku yang bengkak di cermin. Aku ambil keputusan mengambil cuti hari ini dan esok.

"Kak Min, Rima ini"

"Heh, Rima... kenapa tidak sampai lagi? Sudah lewat ni.."

"Kak Min, Rima ambil cuti hari ini. Mungkin esok sekali, Rima tidak sihatlah kak.." kataku lemah.

"Rima tidak apa-apa dik?" soal Kak Min tidak berpuashati dengan jawapanku.

" Rima sebenarnya okay sahaja, cuma badan Rima ini tiba-tiba rasa lemah.. kena cirit-biritlah agaknya." Bohongku.

"Okay, Kak Min beritahu Encik Saiful"

"Terima kasih Kak Min" Suaraku lemah. Semangat kuhilang. Aku lena semula.

Sekitar Taman Perumahan Setia Jaya begitu tenang. Mungkin disebabkan penghuni telah pergi bekerja. Cuma aku tidak pernah merasakan ketenangan ini kerana hanya akan pulang menjelang.

Aku melihat keluar rumah. Aku melihat rumah di seberang jalan itu, Kak Lina sedang sibuk membelek bunga-bunga yang dijagai dengan baik itu. Memang tidak dinafikan bunga-bunga di banglo tersebut memang cantik dan subur. Rumah kami yang berhadapan walaupun sebenarnya bersisi banglo dua tingkat itu dengan rumah teres dua tingkat yang aku diami ini. Masing-masing terletak di bahagian tepi. Aku juga pelik dengan susunan dan kedudukan rumah-rumah di Taman ini. Rumah yang aku duduki ini dan banglo Kak Lina hanya dipisahkan oleh sebatang jalan kecil bukan pula jalan utama. Banglo Kak Lina pula memang menghadap ke rumah tempat tinggalku ini. Apatah setelah pintu masuk dan beberapa bahagian banglo itu diubahsuai. Kak Lina memang seorang yang bercitarasa tinggi.
Sebenarnya rumah tempat tinggal aku ini milik ibu Hasnita. Hasnita anak tunggal. Tujuan asal rumah ini dibeli adalah untuk kegunaan Hasnita tetapi sejah ayahnya meninggal dunia, ibunya mengajak Hasnita tinggal bersamanya. Lagi pula Hasnita perlu membantu ibunya mengendali syarikat peninggalan allahyarham ayahnya di Ipoh. Rumah ini serba lengkap. Hasnita yang meminta aku tinggal di sini. Kata Mami, aku hanya perlu tinggal di sini dan sekaligus menjaga rumah ini. Tetapi aku sendiri tidak berasa selesa tinggal percuma di sini, lalu aku menganggap rumah ini sebagai rumah sewa. Aku membayar sebanyak RM500 setiap bulan kepada mami namun mami hanya mengambil sejumlah RM250 sahaja untuk mengelakkan aku meninggalkan rumah ini kerana jika mami tidak mengambil bayaran sewa itu aku pasti akan keluar dari rumah ini. Kerana itulah syarat aku untuk tinggal di sini. Mami akur dan aku akan memasukkan bayaran itu dalam akaun Hasnita pada setiap bulan.

Mami Hasnita memang perihatin orangnya. Selama aku di sini, dia akan menjengukku atau sekurang-kurangnya menelefonku. Mami dan Hasnita akan menginap di sini jika ada sebarang urusan di Kuala Lumpur. Aku pun gembira menerima kedatangan mereka. Tiada kejanggalan dalam hubungan kami sebagai keluarga angkat. Kemesraan hubungan kamu dan kemesraan yang aku berikan melebihi perhatian dan kemesraan kepada ibuku sendiri. Selama aku di sini hanya sekali ibu pernah menjengukku. Memang tanggungjawab aku untuk menziarahi ibu bapaku tapi dalam masa tiga buan ini banyak yang aku perlu lakukan untuk menyesuaikan diri di tempat baruku ini.
Aku keluar dan menegur Kak Lina yang sedang leka itu. Kak Lina tersenyum walaupun sedikit terkejut. Mungkin dia tidak menyangka aku ada di rumah hari ini.
"Rima tak kerja hari ini?" Kak Lina bertanya.
Aku menggelengkan kepalaku lalu menuju ke pintu pagar.
"Tidak berapa sihat hari ini" jawabku. Duduk di kerusi di sisi pintu pagar di taman Kak Lina.
"Kak Lina perasan ada kereta di garaj. Akak jengah-jengah juga. Betul sangkaan akak, tentu Rima tidak sihat." Luah Kak Lina.
Aku memandang kereta Iswara aeroback hitam di garaj rumahku. Kereta yang dibelikan ayah. Tidak tahu mengapa ayah harus bersusah payah untukku, walaupun ibu asyik membebel ketika itu. Ayah tidak peduli. Mungkin menebus rasa bersalahnya meninggalkan aku di rumah datuk ketika kecil dahulu. Aku pula terpaksa terima. Kalau tidak kecoh pula dibuatnya. Hairan juga kerana adik-beradikku yang lain tidak pula memprotes pemberian itu.
"Sudah ke klinik?" soal Kak Lina menghentikan lamunanku.
" Tidak lagi, tapi sudah telan panadol tadi."
"Sembab sangat muka Rima ni, menangis ya?" tegur Kak Lina.
"Hakimi mana kak?" soalku mengalih isu perbualan.
"Ada, tapi tidur lagi tadi.. Pukul lima dia dah bangun. Main, lebih kurang pukul 8 tadi dia masuk tidur semula. Ni, belum bangun lagi." panjang lebar Kak Lina menjelaskan. Selebihnya aku tidak dengar kerana asyik melayan perasaanku sendiri.
"Kak, saya balik dululah". Kak Lina mengangguk. Aku bangun sambil tersenyum memandangnya. Hambar. Longlai melangkah masuk ke rumahku.
"Rima, tengah hari ini makan di rumah akak ya?" Laung Kak Lina, kemudiannya.
" Terima kasih kak, tapi rasanya tidak boleh. Kawan saya nak datang ke rumah. Dan saya sudah pesan makanan tengahari pada mereka. Maaf, ya kak!" Aku menolak dan berbohong lagi. Entah kali ke berapa aku berbohong hari ini.

Tidak pula aku menduga, tengah hari itu Kak Min benar-benar datang melawatku. Terkejut aku apabila ada orang memberi salam. Fikirku tentu Kak Lina menghantar makanan. Menyusahkan dia sahaja. Memang selalu dia menghantar makanan ke sini. Terutama waktu-waktu cuti. Aku sahaja yang jarang sekali memasak. Aku seorang, katanya. Tidak perlu susahkan diri hendak masak. Dan aku memang sudah tidak mampu menolaknya. Demi menjaga hatinya. Bukan sudah sangat katanya.. Lagipun pembantunya Mak Limah memang sangat pandai memasak dan selalu masak lebih. Aku akui memang masakan Mak Limah sedap-sedap belaka. Tidak pernah sekalipun tekak ku ini menolak keenakan masakan Mak Limah.
Tapi rupa-rupanya sangkaanku meleset. Kak Min yang berdiri di muka pintu sebaik sahaja daun pintu itu aku buka.

Masuk ke rumahku, Kak Min lantas mendakapku. Kedua-dua tangannya memegang pipiku. Bertalu-talu dia bertanya dan akhirnya aku ceritakan tentang Alang Di dan sejarah perkenalan dan percintaan kami. Juga, tentang surat bersampul putih yang aku terima semalam. Kak Min benar-benar bersimpati. Diusapnya kepalaku. Memujuk dan menasihati aku agar redha dengan ujian Allah kepadaku. Mungkin ada hikmahNYA yang tersembunyi.
Sekali lagi aku menangis sepuas-puasnya dalam dakapan Kak Min. Dan kami terlupa masa berlalu begitu cepat.
Jam menunjukkan pukul 4.00 petang. Baru aku tersedar Kak Min masih di rumahku." Tidak masuk kerja kah dia petang ini?" Hatiku berkata sendiri.
"Itulah.. Ini,Kak Min hendak beritahu.. Encik Saiful itu memanglah perihatin dengan staf dia tetapi tidaklah pula pernah dia buat macam ini" Kak Min seperti mengusikku. Suasana mula berubah. Jiwaku juga semakin tenang.
"Kak Min dapat halfday leave sebab dia suruh Kak Min temankan Rima." Kak Min menjeling manja.
"Rima, ada apa-apa ke dengan dia?" Kak Min mengusik lagi.
"Kenapa pula Kak Min cakap macam itu? " getusku.
"Ya lah..mana tau? Orang banyak peminat!" Kak Min menggalakku sambil ketawa. Aku tersenyum sambil menepuk bahunya.
" Ini sebab sudah menjagkit akak lah ni....!"
Kami ketawa bersama-sama. Keresahanku hilang sedikit demi sedikit bersama gurauan demi gurauan daripada Kak Min itu.. Hari aku semakin pulih akhirnya..

AKU MILIKMU JUA ( BAB 9 )

BAB 9 : DITELAN PAHIT DIBUANG SAYANG..(2)

Sudah penat aku berfikir. Tidak jadi apa-apa dengan bermalas-malas begini. Biarlah hal-hal itu berlalu. Yang penting diri aku sendiri.

"Aduhai! Aku belum memberitahu Alang Di tentanga Ekspedisi ke Gunung Ledang." aku berbisik perlahan.
Aku lantas ke bilik air. Kemudian bersiap-siap untuk turun ke lobi.

Harap-harap Alang Di ada di rumah hari ini. Selalunya dia akan pulang ke kampung untuk menziarahi ibunya.

Aku tersenyum apabila terdengar gagang diangkat di hujung sana.. dan suara itu pula yang menjawab panggilanku ini.

"Alang, Rima hendak beritahu. Rima akan ikut ekspedisi kolej dua minggu lagi." jelasku setelah bertanyakan khabarnya. Alang Di diam.

"Ke mana?" soalnya kemudian.

"Gunung Ledang, naik melalui Melaka dan turun di Johor."

"Pergi dengan siapa?" soalnya lagi.

"Dari kolej ini, 6 orang termasuk Rima. Kolej-kolej lain juga hantar 6 orang wakil." terangku.

Alang Di diam lagi. Lama. Selepas peristiwa itu, barulah ini kali pertama aku menelefonnya. Mungkin dia berharao berita yang lebih menggembirakan.

"Rima, jika Alang tak izinkan.. Rima akan pergi..,", pertanyaan itu terhenti.

"Kenapa?" suaraku kulunakkan. Seakan-akan merajuk.

" Nanti Rima jumpa orang lain. Rima, Alang cemburu...tahu?" Alang melahirkan perasaannya.

Ah, lelaki ini menggugat perasaanku. Rindu benar aku padanya.

"Betul Alang cemburukan Rima?" godaku lagi.

"Hemm.." terdengar suara halus di seberang sana.

"Rima," Aku menumpukan pendengaranku.

"Hal hari itu jangan ambil hati ya.. Alang pun tidak tahu macam mana sehingga boleh jadi semua itu. Alang tidak mahu hati Rima terluka." luahnya.

"Iya.." Aku menjawab perlahan.

"Alang benar-benar sayangkan Rima. Rima tidak apa-apa, kan?" soalnya tidak berpuashati dengan jawapanku yang mengiyakan sahaja.

Sayang! Sudah berani lelaki pujaan hatiku ini mengucapkan kata sayang. Sebentar tadi cemburu. sekarang sayang. Bukankah cemburu itu tanda sayang. Hatiku berbunga senyuman.

"Rima maafkan1" Oops, mana ada dia minta maaf! Tersilap jawab pula aku.

"Kita masih seperti dahulu,kan?" suara lembut dan ada desakan.

" Yalah..." sambil memuncungkan mulutku, menunjukkan manja. Tapi, bukan Alang Di nampak pun.

"Alang, Rima pergi nanti, Rima bawa Alang sekali dalam hati Rima ya."

"Pergi mana?"

"Ekspedisi itulah!"

"Bukankah Alang tidak izinkan?"

" Tetapi peluang ini bukan selalu datang. Penting untuk pencapaian Rima. Lagipun Rima cuma hendak beritahu Alang sahaja. Bukan minta izin.." aku mengusik. Kalau Alang Di berkeras, aku pasti membatalkan daripada mengikuti ekspedisi itu.

"Pergilah!" keras Alang Di mengizinkannya. Mungkin tidak sepenuh hatinya. Gagang diletak keras.

Aku cuba mendail semula tetapi tiada sesiapa yang mengangkat menjawabnya. Merajuk pula lelaki kesayanganku itu. Aku tersenyum sinis.

AKU MILIKMU JUA ( BAB 9 )

BAB 9 : DITELAN PAHIT DIBUANG SAYANG

Suasana hostel begitu tenang dan sunyi. Kebanyakan penghuninya keluar mengambil angin atau membeli belah dan banyak juga yang pulang ke kampung.

Aku masih lagi bermalas-malas di hostel. Membelek-belek dan membaca majalah yang baru dibeli oleh Hasnita, rakan sebilikku, semalam. Hari ini awal-awal lagi Hasnita sudah keluar, berkelah dengan keluarganya. Bukan dia tidak mengajak aku, cuma aku berasa ingin bersantai sahaja di bilik hostel. Minggu-minggu peperiksaan yang lalu begitu memenatkan. Peristiwa-peristiwa yang aku lalui sebelumnya begitu meletihkan aku. Perasaan aku berbaur.

"Rima!" namaku dipanggil seseorang.

Aku menoleh. Tersenyum nipis. Dan senyumku itu dibalas mesra.

"Boleh aku jumpa kau nanti. Ada hal hendak aku bincangkan." Fauzi meneruskan katanya seketika, semakin hampir denganku.

"Okay, malam nanti boleh? Di kafeteria ya.." Aku segera membalas. Kertas akhir JXEA Sejarah Ketamadunan Melayu tadi betul-betul memeningkan kepala. Apatah lagi aku sememangnya tidak menyukai subjek sejarah. Sejak di bangku sekolah lagi. Subjek itu merupakan satu masalah bagiku. Setiap kali mentelaah aku pasti tertidur. Jika kertas JXEA itu bukan kertas yang wajib diambil, pastinya aku sudah menggugurkan awal-awal lagi. Mujurlah kertas akhir, maka selepas ini aku tidak perlu bersusah-susah lagi. Walaupun tajuk itu berkaitan dengan ketamadunan bangsa sendiri, aku tetap tidak menyukainya. Dan aku tidak pula boleh menolak. Mahu tidak mahu aku terpaksa juga berusaha untuk mendapatkan keputusan yang sebaik mungkin untuk keputusan kertas itu

"Jam 8.30, ya.. selepas solat isyak" laung Fauzi. Aku sudah agak jauh meninggalkannya untuk pulang segera ke hostel.

Sudah tidak sabar aku lepak di katil dan memeluk bantal.. mataku juga begitu letih rasanya.. Dua minggu ini, saban hari boleh dikatakan aku hanya tidur beberapa jam sahaja. Rasanya sudah tidak sabar menqadak tidurku itu.

Jam di tangan sudah menjangkau 8.45 malam. "Mana perginya, si Fauzi ni?" getus hatiku. Aku tidak suka menanti lama.

Sengaja aku datang awal supaya semua urusan lebih cepat selesai. Aku jangka Fauzi sudah ada memandangkan dia yang menentukan waktu petemuan ini. Aku pun bukan suka hendak berjanji temu dengan lelaki begini rupa kecuali untuk pelajaran. Masa terus berlalu.

Jarum jam menjangkau jam 9.00 malam. Ah! Melampau si Fauzi ini. Setengah jam sudah berlalu. Aku menoleh ke belakang. Terpandang Fauzi berlari-lari anak masuk ke kafeteria.

Dia tersenyum. Jejaka berkulit hitam manis ini, berkaca mata dan bermisai nipis ini memang nampak sangat kacak, dan manis sekali. Dan menyenangkan hati sesiapa yang memandangnya.

"Sorry, Rima!" tercungap-cungao. Macam baru berlari pecut 100meter lagaknya. Aku hanya melihatnya duduk.

"Kenapa tak pesan makanan?" soalnya.

Eh,mamat ni..macam kafeteria ini restoran pula, pesan sahaja kemudian pelayan kedai hantar makanan.

"Kau tidak kata hendak makan, pun!" Aku cuba bergurau walaupun dengan hati yang geram kerana kelewatannya itu.

Fauzi bercerita gembira. Aku tidak banyak bercakap, lebih kepada menjadi pendengar yang baik sahaja. Mengiyakannya sekali sekala. "Apa tujuan dia sebenarnya?" getus hatiku.

Mungkin perasan dengan sikap aku akhirnya dia memulakan bicara yang sepatutnya. Agak berbeza dengan keadaannya tadi. Ketika itu kafeteria itu sudah semakin lengang.

"Rima, sebenarnya aku hendak berterus terang dengan kau." katanya perlahan, sehingga aku hampir tidak mendengarnya.

Aku menundukkan sedikit kepalaku merenung wajahnya. Dia lantas mengambil sesuatu daripada poketnya. Bekas baldu berwarna unggu itu kini di hadapanku. Aku terpinga-pinga. Awal sesampai Fauzi tadi aku telah menerima sekuntum buga mawar merah darinya. Katanya untuk memohon kemaafan disebabkan kelewatannya. Sedang, setahu aku orang bercinta saya yang romantis memberikan bunga. Kebetulan pula tarikh hari ini 14 Februari.. Hari Valentine, kata orang. Aku tidak pernah peduli dan tidak pernah sesekali meraikannya. Pada aku ia suatu peryaan budaya barat yang tidak sepatutnya diraikan apatah lagi diagungkan. Dalam Islam dan budaya Melayu sendiri, kasih sayang adalah untuk sepanjang masa diraikan. Bukan pada satu hari atau masa-masa yang tertentu sahaja. Apalagi Fauzi ini, kini satu lagi perkara pelik berlaku.

Fauzi mengunjukkan bekas itu. Sebentuk cincin bertatah 3 biji berlian jenis nilam.. hijau yang begitu cantik terletak dalam bekas itu. Aku sedar Fauzi merupakan daripada golongan orang yang mewah tetapi masakan cincin semahal itu dihadiahkan kepada aku. Mungkin aku silap menjangka.

"Sudikah kau menjadi suri hidupku?" bisiknya perlahan. Ah, sangkaan aku tidak meleset, cincin itu memang untuk aku!

Aku memandang tepat ke wajahnya. Biar betul si Fauzi ini! Masakan jauh ke situ niatnya.

"Maafkan aku Fauzi!" setelah lama aku mendiamkan diri.

"Aku tidak boleh menerimanya." kataku seterusnya. Aku melembutkan suara supaya tidak melukai perasaan seorang lelaki di hadapan aku ini.

"Aku sudah ada pilihan sendiri." Lancar mulutku mengeluarkan kata-kata. Aku sudah tidak berfikir panjang. Siapa pula pilihan aku? Alang Di? Aku sendiri tidak tahu apatah lagi Alang Di baru sahaja melukakan hati kecilku ini.

Fauzi tunduk, mungkin malu. Kasihan sungguh seorang lelaki di hadapan aku ini.
Fauzi begitu kecewa, aku kira. Aku tidak dapat menyelami perasaannya ketika ini. Dan dia diam, sediam-diamnya.

Ah, lelaki ini!

" Aku rasa kita masih boleh berkawan rapat seperti dulu-dulu. Aku tidak sesekali bermaksud melukai hatimu dan menolak permintaan ini. Sebenarnya aku sudah lama membuat pilihan." Ah, betulkah kata-kata aku ini? Aku sendiri tidak pasti!

"Jadi selama ini....." Fauzi mula bersuara.
" Selama ini, aku ingat kau benar-benar mengasihi aku. Aku menyemai benih-benih harapan, dari semasa ke semasa.. Kenapa kau buat begitu, Rima?" sambungnya sambil mengangkat muka memandang wajahku. Aku menjadi serba salah.

"Fauzi,tidakkah kau sedar bagaimana aku dengan semua orang? Aku melayan semua orang sama sahaja. Aku minta maaf jika membuat kau bersalah sangka." sekali lagi aku memohon kemaafannya.

"Aku bertepuk sebelah tangan,rupanya" katanya lemah. Senyuman mesranya tadi sudah hilang daripada wajah. Kata-kata itu lagi! Bertepuk sebelah tangan! Ah, kerap sangat kata-kata itu digunakan.

"Boleh kita terus berkawan?" soalnya tiba-tiba.
Aku mengangguk. Dia mengambil semula dan menggenggam bekas cincin itu kejap-kejap lalu disimpan semula ke poketnya. Aku menolak daripada menerima cincin itu walaupun Fauzi ingin aku menyimpannya sebagai kenangan dan tanda persahabatan kami. Aku menolak sebab tiada maknanya untuk aku.. namun berbagai-bagai alasan aku berikan dan akhirnya dia mengalah.

Keadaan kafeteria itu sudah benar-benar lengang. Kami akhirnya pulang ke hostel masing-masing. Kasihan sungguh lelaki itu. Aku melihat airmata jernihnya menitis ke pipi, sebentar tadi. Sewaktu dia menceritakan saat-saat dia jatuh cinta kepada aku. Walau puas dia menahan dan mengelak, namun aku melihat dengan jelas butiran jernih itu jatuh ke pipinya. Apa yang boleh aku buat. Aku hanya mampu mendengar dan bersimpati. Lucu pun ada juga, namun aku tidak memperlihatkannya... aku berasa lucu, kerana ada lelaki yang bisa menangis oleh sebab aku.

Aku memang tidak menyangka sedemikian sekali perasaan Fauzi kepadaku. Hanya kerana usikan demi usikanku kepadanya, hatinya berbunga harapan. Fauzi sememangnya pemuda yang amat pemalu. Hasnita rakan sebilikku sekuliah dengan Fauzi sedangkan aku dalam kuliah yang lain. Setiap kali bertemu Hasnita, aku pasti mengusiknya. Macam-macam aku lakukan supaya dia boleh tersenyum demi menyahut cabaran Hasnita. Akhirnya Fauzi benar-benar berubah. Menjadi orang yang ceria, sudah mula mesra dengan orang lain dan sudah sering bergurau senda dengan aku dan Hasnita. Dia lebih berkeyakinan dan sejak itu juga waktu senggang akan aku habiskan dengan dia. Begitu juga ketika perbincangan kertas kerja yang perlu disiapkan. Ada sahaja yang sampai ke tanganku. Kad ucapan silih berganti. Pada aku, itu semua sebagai tanda persahabatan yang ikhlas. Kebetulan Fauzi memang seorang yang kreatif. Memang salah aku tidak pernah menolak surat atau kad-kad ucapan daripadanya. Akan aku balas juga walaupun sekadar dengan ucapan terima kasih. Jika aku tidak berkesempatan aku pasti memberikannya senyuman atau mengenyitkan mataku sambil melambai-lambainya dengan kad yang aku terima itu. Tidak terniat untuk aku menggodanya atau memikatnya. Tujuan sebenar aku sudah tercapai, cabaran Hasnita sudah aku sahut... Fauzi telah aku jadikan seorang lelaki yang lebih berkeyakinan.

Rupa-rupanya salah semua tindakan aku itu. Sikap aku itu mengundang cinta di hati Fauzi. Aku benar-benar kesal. Aku mengeluh panjang. Bukan kali pertama, malah ini merupakan kali keempat seorang lelaki meluahkan isi hatinya kepada aku dan aku menolaknya. Sebelum ini Zamani dan Romzi pernah menyuarakannya. Cuma kali ini aku berasa benar-benar terharu dan berbuku kekesalan kerana lelaki itu menangis di hadapanku.

Tidak seperti Zamani, seorang pemuda yang keras kepala. Dia bermusuhan denganku. Entah apa sebabnya aku tidak tahu. Setiapkali aku hampir denggannya dia akan mengatakan panas atau rimas. Sikapnya membuatkan aku berdendam . Aku akan buktikan aku mampu mematahkan egonya itu. Dan akhirnya Zamani tunduk dengan hakikat sebenarnya dia cuba mengelak untuk menyukaiku. Dan ketika dia menyatakan kebenaran itu aku tersenyum menang.

Namun aku bukanlah kejam untuk menolaknya mentah-mentah. Dia rakan sekuliahku dan rakan kumpulan diskusiku. Aku perlu bijak dalam menangani masalah itu, dan akhirnya aku jadikan Romzi sebagai batu loncatan.

Aku sebenarnya amat menyenangi dan menyukai Zamani. Dalam tekadku mengubah sikapnya, ada bunga-bunga perasaan dan harapan berputik di hati aku, seperti perasaanku kepada Alang Di. Cuma aku tidak mahu Zamani terlalu kecewa. Aku patut bertindak pantas. Romzi juga sememangnya amat rapat denganku. Sehingga pernah suatu ketika kerana melihat keakraban aku dan Romzi, Zamani hampir-hampir menumbuk Zamani. Zamani begitu marah ketika itu. Aku jelaskan kepada Zamani tentang hubungan kami. Rakan sekuliah. Aku jelaskan betapa persahabatan itu lebih penting daripada percintaan terutama pada usia muda kami. Walaupun pada usia kami ini, ibubapa kami sudah mempunyai dua tiga orang anak. Aku bersyukur Zamani dapat menerimanya segalanya dengan hati dan minda terbuka. Hakikatnya aku tidak boleh kehilangan Zamani. Yang pasti aku takut kehilangan Zamani. Zamani begitu memahamiku. Perlahan-lahan dia menerima aku seadanya.. menerima aku sebagai kawan baiknya.

Tetapi penyelesaian itu pula membuah perasaan dan harapan Romzi kepada aku. Mana silapku, tidak pasti. Yang jelas segala penjelasan yang panjang lebar dan keputusan ku kepada Zamani dirasakan sebagai membelanya pula. Aku tidak pernah terfikirkan pujianku kepadanya menimbulkan sangkaan yang berbeza kepadaku. Dan, masalah lain pula menerpa.

Selepas kejadian itu, Romzi semakin rapat denganku. Aku juga menyenanginya dan tidak pernah berprasangka. Romzi sanggup melakukan apa sahaja permintaanku. Entah mana silapnya, aku tidak pernah perasan segala yang berlaku. Sebab sememangnya sebelum itu pun, Romzi begitu baik denganku. Jika tidak, masakan dia sanggup menerima dan membantu rancanganku menjauhi Zamani. Aku kira Romzi pasti memahami semua itu.

Dalam diam Zamani menyedari perubahan itu. Dia mengingatkanku agar pisang tidak berbuah dua kali. Namun, aku tidak pernah mengendahkannya kerana aku fikirkan tentu Zamani cemburu melihat keakraban kami itu. Tetapi akhirnya aku akur dengan teguran demi teguran Zamani dan Hasnita. Apatah lagi Hasnita memberikan bukti-bukti tentang semua perubahan Romzi. Dan ketika itulah Hasnita mencabar aku mengubah perwatakan Fauzi.

Tidak seperti keadaan aku dan Zamani, aku sendiri bertanyakan Romzi tentang apa yang berlaku selama ini. Romzi mengakuinya. Aku tergamam. Kelu lidahku. Lama sekali. Akhirnya Romzi sendiri membuat keputusan. Kecewakah pemuda ini? Airmata bergenang di kelopak mata. Belum lagi hilang perasaan bersalahku kepada Zamani. Datang pula masalah baru. Romzi memutuskan dia akan bersikap seperti Zamani. Romzi meminta izin untuk bersikap seperti sebelumnya dan berharap aku tidak berubah sikap terhadapnya. Akhir semester dua ini aku mempunyai tiga orang sahabat baik. Hasnita, Zamani dan Romzi. Menjalani persahabatan dengan ikhlas. Dan pada ketika yang sama itulah aku mendekati Fauzi.


Kehadiran Zaki dalam sejarah hidup aku pula agak berbeza dengan Zamani dan Romzi. Zaki seorang yang berterus terang. Daripada minggu orientasi ladi, dia cuba mendekatiku. Aku memang tidak menyenangi. Namun aku teringat nasihat ayah. Aku perlu bijak menguasai keadaan. Di mana bumi dipijak di situlah langit perlu aku junjung. Aku sedar kepentingan menyesuaikan diri dalam masyarakat. Apatah lagi, siswa-siswi di kolej ini datang daripada segenap pelusuk Malaysia. Zaki anak jati Perak. Zaki memang tampan. Tinggi lampai, berkulit cerah. Memang banyak siswi yang meminatinya.

Tetapi bukan aku. Perasaan aku kepada Alang Di masih kuat di hatiku. Mustahil aku boleh menerima seseorang semudah itu. Mungkin Zaki menjadikan itu cabarannya. Seperti dendamku dulu kepada Zamani. Aku memang sentiasa cuba untuk menjauhinya. Tidak aku nafikan penampilan Zaki begitu menarik dan mengkagumkan. Tidak hairanlah banyak yang tergila-gilakannya. Apatah lagi, apabila aku tahu dia sudah mempunyai tunangan. Harapan jelas kenapa kau perlu menjauhkan diri. Dan yang jelas, aku tidak berminat.

Setiap semester Zaki akan terus mencuba. Aku tidak pasti niat sebenarnya. Untuk apa dia mengejar aku sedangkan dia mempunyai tunangan. Kelasnya di sebelah kelasku memudahkan dia berulang-alik. Asal tiada pensyarah, batang hidungnya pun kelihatan di kelasku. Zaki memang seorang yang berani. Sudah berkali-kali dia mengumumkan aku kekasihnya. Aku diam sahaja. Malas melayang orang gila itu. Ada kebencian aku kepadanya. Kadang kala ketawa besar, Zamani dan Romzi kerana usikan Zaki itu. Aku hanya mampu mendiamkannya dan tersenyum nipis yang sinis setiap kali mendengar usikannya. Tidak pula aku sangka sikapku itu dianggap sebagai aku mengiyakan kata-katanya.

"Rima, kalau aku datang...mesti tersipu-sipu!" usiknya sambil memeluk bahu Zamani dan Romzi, dua sahabat baikku itu. Mereka tergelak. Ah, bencinya aku!

"Rima, aku sudah putuskan pertunangan aku.. Aku tunggu kau. Jangan tolak aku, sudahlah... Macam kau tolak kawan aku yang dua orang ini" sambil menepuk-nepuk bahu Zamani dan Romzi.

"Lantak kau lah" Aku gumam.

"Tiada kaitan langsung.." keras aku menjawab. Aku memandang Zamani dan Romzi minta dibantu. Simpati.

"Ada sesiapa yang kata, tiada kaitan? Semuanya bersebabkan kau.."

"Kerana kau, aku di sini... Kerana kau, keterus menanti. Dan kerana kau yang ku utamakan, ku putus tunangan. Terbayang wajahmu aku rindu..." Zaki berlagukan lagu Allaycat dengan mengubah sedikit liriknya.

" Ah, sudahlah... aku banyak kerja" Aku bingkas bangun meninggalkan tiga orang lelaki yang mengusikku itu. Menuju ke meja Fauzi yang sedang berseorangan menelaah pelajaran.

"Malulah tu! Kalau sudah jadi bini aku, hilanglah malu kau itu!" Gelaknya kuat.

"Siapa yang hendak jadi bini kau?" Bentakku. Sepintas memaling mukaku memandang mereka bertiga. Sempat aku melihat wajah Zamani dan Romzi berubah.

Zaki bukan tidak tahu tentang kisah aku dengan Romzi dan Zamani. Kisah aku ada pilihan hati di kampung. Dan tentang aku yang setia dengan cintaku ini.

"Hei, Fauzi! Kau ingat sikit, Rima ini bakal bini aku tahu!" sergah Zaki ketika melintas meja tempat aku dan Fauzi beberapa minit kemudian.

" Pergilah kau! Aku lebih rela Fauzi jadi suami aku, tahu? Kan, Fauzi?" pintasku.

Fauzi merenungku tajam. Berbunga hatinya. Dia mengangguk. Dan rupa-rupanya kata-kata itu disimpan di hatinya.

Seminggu selepas itu aku mendengar kesahihan kata-kata Zaki. Itupun melalui Hasnita. Hasnita pula mendengar cerita itu daripada Zalifah sepupu Zaki sendiri. Zaki benar-benar sudah putus tunang. Katanya dia sudah ada kekasih hati di kampus. Zalifah juga percaya orang yang dimaksudkan itu adalah aku kerana Zaki sering bercerita tentang aku kepada keluarganya. Dan sikap Zaki yang selalu cuba mendekatiku. Gila betul lelaki itu. Kenapalah buat keputusan tanpa tahu duduk perkara sebenar. Lalu Hasnita menasihati aku bersemuka dengan Zaki.

Keesokan harinya aku mengambil peluang bertemu Zaki di Taman Rekreasi Kembara Kolej. Kebetulan kami menyertai kelab yang sama untuk memenuhi syarat kokurikulum. Selepas aktiviti itu, aku memanggilnya. Dia memang begitu gembira sekali lagaknya. Oleh sebab sikapnya yang suka berterus-terang, maka aku mengambil pendekatan untuk berterus-terang kepadanya.

Wajahnya berubah sewaktu aku menyatakan pendirian dan keputusan aku. Dia seakan-akan singa yang terjaga dari tidur. Garang sekali. Rupa-rupanya pendekatan aku itu untuk berterus terang sahaja dengannya begitu menggugat ego kelelakiannya.
"Percaya sangatlah dengan Zaidi kau itu. Aku hendak tengok sampai mana hubungana kau dengan di Zaidi itu!" katanya keras sambil berlaku meninggalku terpinga-pinga. Dia menendang keras batu-batuan di hadapan laluannya itu. Keras sekali melahirkan protes dan perasaan marahnya itu.
Aku termangu-mangu melihat dia teus berlalu. Bagaimana dia tahu nama pilihan aku itu, Zaidi. Ah, mungkin sewaktu dia menyampaikan parsel daripada Alang Di, tempohari. Nama Alang Di tertera di luar bungkusan itu. Biarlah. Dan ketika itu terus berlalu.