Ahad, 24 Mei 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 2 )

BAB 2: MAKNA SUATU PEMBERIAN

Jam menunjukkan pukul 12.00 tengahari. Aku menyudahkan ayat terakhir surat perjanjian usahasama Syarikat MH Holding dan Syarikat Sinar Berjaya yakni anak syarikat SFRZ Holding.

Aku leka menyemak semua syarat-syaratnya. Bimbang ada kesalahan ejaan dan kesalahan-kesalahan ayat yang mungkin akan mengubah isi perjanjian tersebut. Aku menelengkan kepala ke kiri dan kanan. Tiba-tiba aku mengangkat pandanganku dan pandanganku tertumpu ke suatu sudut pejabat Encik Saiful. Dia sedang memandang tepat kepadaku. Aku cepat-cepat memalingkan kepalaku memandang ke sudut lain.

Hatiku tersentak dengan pandangan tajam itu. Encik Saiful, seorang pengurus yang dedikasi. Aku agak kagum dengan sikapnya yang bersahaja tetapi tegas. Kami menghormati sebagai seorang ketua berwibawa.

'Kenapa dia tengok aku semacam sahaja', Hatiku berkata sendiri. Berkerut dahiku memandang skrin komputer. Aku mula muncam.

" Hoi, cik adik! Dah siap ke?", Kak Amin tiba-tiba menegur. Aku agak terkejut. Terangkat bahuku sedikit.

" Asyik termenung sahaja, ingat siapa hah!", sambil mengangkat tangannya. Aku segera menarik bahuku. Kak Min gelak besar. Kuat. Beberapa memandang kami. Semua bersiap-siap untuk keluar makan tengahari. Baru aku sedar yang kebanyakan mereka sudah tiada. Iqram, Harith dan Kamal juga tiada.

" Hai, cari buahati ke?" Tegur Kak Min melihat aku tercari-cari seseorang.Lynn dan Suzie sudah sampai ke muka pintu melambai-lambaiku. Aku senyum.

"Dia keluar dulu. Nak sedia transport, katanya." Kak Min menggomel sendiri.

"Siapa?" Aku bertanya Kak Min dengan nada merajuk yang dibuat-buat.

"Alahai, macamlah Kak Min tak tahu.. Rima cari Aiman, kan?"

Aku menjelingnya.

"Bukanlah! Rima tengok cepat sangat pula pejabat ni lengang. Selalunya masih ada dua tiga orang yang masih buat kerja." Aku cuba mencari alasan lain.

"Cik adik, jangan tak tahu. Sekarang ni 20 minit pukul 1.00. Waktu rehat 12.15. Awak tu yang leka sangat buat kerja!" Kak Min membebel.

Aku melihat jam di meja. Sudah hampir 12.45 tengahari. Aku bergegas berkemas. Menutup komputer. Beg tangan kucapai segera. Sesuatu terjatuh. Lalu aku tercari-cari apa yang jatuh.

Kak Min berdiri sahaja melihat aku. Tiba-tiba dia tunduk mengambil sesuatu. Aku tidak sedar tindakan itu. Air muka Kak Min berubah.

"Rima, cari ni?" Kak Min menghulur sesuatu kepada aku.

Aku berdiri dan menoleh kepadanya. Segera kurampas rantai kunci dari tangannya. Dia kehairanan. AKu harap Kak Min tidak melihat wajah yang terpesong di rantai kunci itu.

"Jom..!" Ajak Kak Min.

Aku tersenyum hambar.Aku sempat menoleh telefon di sisi kanan mejaku sepintas lalu. Telefon itu tidak berdering sejak pagi lagi. Tiada satu panggilan pun untukku hari ini.

Kak Min menarik tanganku seperti hendak cepat. Aku masih melihat-lihat beg tanganku sambil berjalan. Sampai di ruang lobi, Aiman telah sedia menunggu di dalam kereta Citreon hijaunya. Bersamanya, Amri kulihat tersenyum mesra. Kami terus masuk ke kereta.

Aku sebenarnya tertanya-tanya kenapa perlu berkereta ke kedai Pak Latif sedangkan kedai itu dekat sahaja di belakang bangunan bersebelahan. Tidak sampai 10 minit berjalan kaki, pun. Kereta Citreon hijau terus meluncur laju.

Kereta membelok ke kanan, masuk ke tempat letak Restoran Anjung Abadi. Restoran tepi pantai yang begitu terkenal dengan masakan kampung terutama masakah Lemak cili padi, masakan terkenal Negeri sembilan itu.


Aku keluar dari kereta terpinga-pinga.

"Ala Aiman, kenapa ke sini? Mana cukup duit saya nak belanja banyak orang di sini." Ammar tersenyum.. Aku pandang sekitar tempat letak kereta itu. Tiba-tiba terpandang sebuah kereta Mercedes 240C di satu sudut.. Aku kenal kereta itu.

"Kak, itu kereta Encik Saiful, kan?"

Kak Min mengangguk dan menarik tanganku menuju ke restoran. Aku menurut.

Sampai ke muka pintu restoran. Aku terpegun, terhenti langkahku. Hampir keseluruhan wajah di situ kukenali. Di ruang berhawa dingin restoran ini, aku melihat rakan-rakan sahaja yang telah duduk di tempat masing-masing. Beberapa rakan daripada departmen lain juga turut serta.

"Suprise!", Aiman mempersilakan aku ke satu meja yang dihias indah. Encik Saiful tersenyum mesra. Berdiri dan mempersilakan aku duduk. Aku terpinga-pinga. Encik Baharian dan Encik Azizi juga ada. Mereka turut tersenyum.

"Selamat Hari Lahir Ainur Rima."sambil menarik kerusi untukku. Aku tersipu-sipu dan duduk. Malunya, aku! Kak Min duduk bersebelahan denganku. Aiman dan Amri semeja denganku. Begitu juga Encik Saiful. Suzie dan Lynn pula semeja dengan Kamal dan Harun.

Aku diminta memotong 'kek' pulut kuning di hadapanku. Sebenarnya lucu juga pulut kuning ini dibentuk sedemikian rupa. Orang potong kek harijadi, tapi aku potong pulut kuning. Tak tahulah idea siapa. Aku memotong selepas diminta. Gemuruh rakan-rakan bertepuk tangan.

Aku benar-benar berasa malu. Aku tunduk .Istimewa pula majlis ini. Hatiku bergelodak. Adakah semua kakitangan meneria sama seperti yang aku terima ini? Kamal bangun diminta untuk membaca doa selamat dan seterusnya doa makan.

Kamal memang agak alim dalam kalangan kami walaupun satu kumpulan dengan jejaka-jejaka nakal itu, Kamal masih mengekalkan identiti. Berbaju melayu moden dan berkopiah. Aku pada mula berasa hairan juga bagaimana dia boleh kekal begitu apatah lagi setelah berkenalan dan berkawan dengan kumpulan jejaka sensasi itu. Aku mengangkat tangan sambil mataku memandang Kamal. Aku memberikan senyuman manis buatnya. Kamal membaca doa sambil matanya sesekali mengerling kepada aku. Begitu mesra. Aku seumapama faham dan mengerdipkan mata membalas. Selepas doa dibaca lelaki bertubuh kurus tinggi tersebut sempat melontar senyuman manis kepadaku. Aku senyum kepadanya membalas.

Majlis tamat kira-kira jam 2.30 petang. Entah apa mimpi Encik Saiful membenarkan majlis itu diadakan. Aku baru 3 bulan bekerja syarikat itu. Kami balik ke pejabat. Jam 2.45petang sampai sahaja ke pejabat, aku terus ke meja. Melihat-lihat.

"Kenapa Rima?" Kak Min menegur gelagatku..

" Tak ada apa-apalah, Rima cari telekung. Dah lewat ni, banyak kerja lagi", balasku sambil mengambil beg telekung di sisi kerusiku.

"Akak rasa Rima bukan cari telekung ni. Lain macam saja akak tengok Rima ni. Kalut je!"

"Tak ada apalah!" Aku terus berlalu ke surau. Terlupa aku mengajak Kak Min bersama-sama. Selalu aku tidak seperti itu. Aku pasti ke surau ersama Kak Min. Kak Min terpinga-pinga melihatku berlalu.

Aku berasa benar-benar kecewa. Tiada apa-apa di atas mejaku tadi. Apa yang kuharapkan hancur. Sudahlah tidak bertelefon. Kad ucapan atau suratnya tidak bertandang di mejaku. Hari istimewa ini, aku benar berharap sesuatu darinya. Biar pun hanya sebaris ayat. Itu memang benar-benar bermakna buatku. Kegembiraan yang baru lepas kulalui tidak dapat menghalang air mataku berlinang.

Selepas solat zuhur itu, aku tidak lupa berdoa agar dia tidak akan melupaiku.

Jumaat, 15 Mei 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 1 )

BAB 1 : PERJALANAN BARU BERMULA

Hari ini genap 4 bulan aku bekerja. Di pejabat yang sederhana luasnya menempatkan lebih sepuluh orang pekerja. Tempoh percubaanku telah tamat hari ini. Aku memang diterima di sini. Usia ku baru menjangkau 22 tahun ini menjadikan aku staf termuda di sini. Namun aku diterima seadanya. Rakan-rakan yang lebih senior tidak pernah memandang rendah kepadaku. Mungkin kereana pencapaianku di kolej agak baik, tetapi aku sanggup menjawat jawatan kerani sahaja. Yang tidak setaraf dengan kelayakanku. Mereka menghormati aku. Apabila ditanya, aku hanya menjawab bahawa tiada salahnya seseorang itu mempelajari sesuatu perkara dari bawah. Sekurang-kurangnya untuk mencari pengalaman sebelum memegang jawatan yang lebih baik kelak.. Perjalanan itu mungkin sukar pada awalnya...kita mungkin bertetih pada awalnya. Seringkalu kita akan lebih bersedia ketika masa muka.

Sebenarnya aku malu juga apabila menjawat jawatan ini, dulu. Namun kekangan ketika zaman kemelesetan ini begitu ketara. Aku terpaksa merebut semua peluang yang ada. jika aada peluang yang lebih baik, pasti aku tidak menerima jawatan ini. Hipokritnya aku. Sebenarnya aku memandang rendah dengan tanggungjawab ini. Aku berasa sangat tidak selesa. Impianku juga tidak kesampaian. Aku mengharapkan jawatan yang lebih baik daripada jawatanku sekarang. Namun aku tidak mahu orang lain mengetahui keinginanku ini. Keputusan yang cemerlang di kolej rupayang tidak menjanjikan apa-apa dalam mencapai impianku itu. Aku sebenarnya begitu kecewa. Tiada siapa pun tahu perasaan aku ketika itu. Rasanya ketika ini sudah cukup baik jika aku sudah punyai pekerjaan. Memandangkan banyak lagi graduan yang masih menganggur. Berbanding mereka Hidup aku lebih jauh lebih baik.

Adalah juga baiknya aku menerima jawatan ini kerana menerima jawatan ini bermakna aku dapat jauh daripada keluarga terutama ibuku..

Aku membesar tanpa perhatian ibu. Sejak kecil lagi aku dijaga oleh datuk dan nenekku. Ibu hanya beberapa kali sahaja menjengukku. Selain hari-hari perayaan. Aku berjauh hati. Memang datuk dan nenekku begitu memanjakanku.. tapi semua itu tidak sama. Tidak sama sama sekali! Selama 15 tahun aku dibesarkan oleh datuk dan nenekku itu, hanya ayah yang kerap melawatku. Ada kalanya ketika kau merengek-rengek hendak mengikut ayah balik ke rumah, ayah memberikan pelbagai alasan. Untuk bermalam di rumah ayah pun jarang sekali. Aku memang berkecil hati kerana itu. Terutama sikap ibu itu yang tidak mempedulikan aku. Adik beradik seramai tujuh orang yang lain dipelihara dan dibesarkan oleh ibu dan ayah.. Aku di kampung hanya bertemankan datuk dan nenekku yang sudah tua. Walaupun ditatang seperti minyak yang penuh oleh mereka, aku masih terasa terlalu banyak kekurangan.

Selepas kedua-dua datuk dan nenek meninggal dunia ketika menunaikan haji di Tanah Suci Mekah, barulah ayah mengambilku tinggal bersama. Namun keadaan tidak akan sama sebagaimnana tinggal bersama mereka sejak kecil, seperti adik-beradikku yang lain.

Aku tidak bertegur dengan ibu dan sikap mementingkan diri meluap-luap dalam diri aku. Aku benci dengan ibuku. Apatah lagi ketika aku melihat ibu melayan mesra adik-beradikku yang lain. Aku menjadi pendendam..pemberontak. Jika datuk dan nenekku masih ada tentu ketika itu aku masih tinggal bersama mereka dan tidak melihat semua itu. Aku iri hati dengan adik beradikku yang lain. Aku tidak boleh berkongsi dengan sesiapapun dalam kalangan mereka. Aku berasa ibu tidak adil. Ayah sahaja yang boleh berkomunikasi baik dengan aku.

Tamat sahaja tingkatan lima arus memohon memasuki kolej. Itulah peluang kau melarikan diri daripada keluargaku. Ibu pernah cuba berbaik-baik denganku tetapi aku menolak. Cuma ketika tahun ketiga di kolej, aku cuba membuka hati untuk menerima ibu dan adik-beradikku sebaik-baiknya. Itupun kerana Zuraidah teman sebilikku di asrama ketika itu. Aku belajar menerima oranglain dalam hidupku, termasuk dan terutamanya keluargaku itu. Kata Zuraidah, tidak akan ada dua ibu yang melahirkan seseorang itu dalam dunia ini. Ibulah satu-satunya ibuku yang sepatutnya aku berbakti kepada bukan menderhakainya. Sejak itulah, ibu dan adik-beradikku boleh melawatku dengan lebih kerap. Ayahku seperti biasa, sentiasa mengambil berat. Ayah contoh lelaki perihatin dan budiman dalam hidupku.

Usai pengajianku,aku duduk di rumah ayah beberapa bulan tetapi sebenarnya aku masih janggal. Walaupun aku bisa berbual dengan ibu tetapi segalanya masih terbatas. Aku rimas berada lama di rumah ayah. Oleh sebab itu, apabila aku mendapat tawaran kerja itu, aku terus menerimanya. Ayah pernah bertanya, tidakkah aku teringin menjawat jawatan yang lebih baik? Sekali lagi aku memberikan alasan yang sama. Menimba pengalaman dan banyak graduan lain yang sedang mencari perkerjaan. Aku dikira bernasib baik kerana dapat bekerja. Ayah pernah menyarankan aku meneruskan pelajaranku tetapi aku memberi pelbagai alasan menolaknya. Rasanya telah jemu pula menghadap buku-buku pelajaran lagipun jika dapat ijazah ketika tidak ke mana. Ayah akur. Aku tahu ayah dapat merasakan suatu alasan lain yang tersirat di sebalik penerimaan aku ke jawatan itu. Yakni aku ingin berada jauh dari ibu dan adik-beradikku yang lain. Sesekali berjumpa aku dapat menerimanya dan berasa selesa tetapi sudah beberapa bulan ini aku bersama mereka, aku masih berasa kekok. Dan, dendam kepada ibuku sebenarnya juga belum berakhir.

***************************************

"Hoi, mengelamun ya!" Kak Min menegurku.

" Tembuslah pula skrin komputer tu!" getusnya lagi.

" Apalah Kak Min ni, Terkejut Rima!. Aku tersipu-sipu.

" Hai, hari ini tamatlah tempoh percubaan ya ! Rima kena belanja Kak Min makan tengahari ni.."

" Boleh! Lagi pun hari ni gaji dah masuk" Aku tersenyum. Sejak mula bekerja Kak Min begitu baik denganku. Kak Min hanya lebih tua empat tahun dariku tetapi perwatakannya amat matang berbesa dengan usianya. Berkulit hitam manis dan berlesung pipit, Kak Min begitu menarik, pada pandangan aku. Walaupun tubuhnya agak tinggi dan besar namun dia begitu anggun. Gadis peramah itu memang disenangi semua. Ada sahaja jadi bahan gurauannya. Kalau dia tiada tentu sunyi pejabat ini. Ada suatu ketika dia bercuti selama tiga hari kerana urusan peribadi katanya, pejabat ini seperti dilanggar geruda layaknya.. sunyi. Hanya terdengar bunyi papan kekunsi ditekan. Sesekali suara staf bercakap sesama sendiri tetapi semuanya menyentuh hal kerja. Semua terasa kehilangan walaupun hanya untuk tempoh 3 hari. Waktu itu aku baru mula seminggu bekerja...dan aku belum begitu mengenalinya.

" Rima, ada orang nak ikut, boleh tak? Kak Min berbisik.

" Siapa?"

"Aiman.." Aku mengangguk kepala.

"Ikram .." Aku mengangguk lagi.

"Kamal.." Aku mengangkat muka memandangnya.

"Harith.." Aku membeliakkan mataku.

" Hah....!" Aku buat-buat terkejut.

" Kata, orang nak ikut. Berapa orang-orang pula yang nak ikut ni?" Aku bertanya dengan mimik muka yang sengaja ku buat-buat. Aku memuncungkan mulut dan membeliakkan mata.

" Aei..janganlah buat macam tu!" Kak Min menepuk bahuku.

" Bukan orang-orang lah.. Orang-orang tu kan duduknya di sawah..untuk halau burung daripada makan padi.. Apa Rima cakap macam tu...!"

"Kak Min maksudkan orang tu bukan seorang...kumpulan jejaka tu nak ikut makan belanja Rima. Rima bukan tak tahu mereka tu kan ke mana-mana sentiasa bersama. Kalau seorang pergi, yang lain nak ikut juga.."

"Ooh...!" Aku mengangguk kepala berkali-kali.

"Dik, apa yang macam spring ni?" Kak Min sekali lagi menepuk bahuku.

" Ah, Kak Min tepuk bahu Rima kuat sangatlah! Sakit bahu Rima ni." Aku seakan merajuk.

"Maaflah.."

"Boleh ke tidak?"

Aku memandang jejaka-jejaka di hadapan ku itu satu persatu. Kening ku naikkan. mulut kusengetkan. Aku angguk-anggukkan kepalaku. Mereka membalasnya. Sekali aku angguk. Berkali-kali pula mereka membalasnya. Akhirnya aku tersenyum tidak dapat menahan rasa kelucuan itu.

" Bolehlah.." Aku senyap sebentar.

"Tapi, gaji Rima bukan banyak sangat!"

"Kalau gerai Pak Latif bolehlah.."

Kak Min beredar menuju ke kumpulan jejaka tersebut.Kemudian Kak Min datang semula ke mejaku.

"Ok, jadilah ya Rima.."

"Jangan bimbang.. Mereka kongsi belanja adik Rima ni. Suzie dan Lynn ikut sama."

Aku memandang Kek Min dengan mimik mengejek dan akhirnya tersenyum.

"Pukul 1.00 ya! jangan lupa!"

"Rima.." Sekali lagi Kak Min menepuk bahuku. Kali ini lembut sekali. Aku memegang tangannya di bahuku. Memandangnya.

" Ini semua idea Aiman tahu. Dia tu 'gila'kan Rima agaknya.." Kak Min berbisik sambil hendak beredar.

"Mestilah!" Sahutku bangga, seakan-akan menyindir juga.

"Semua tu gilakan saya..." kataku perlahan.

Kak Min terhenti. Memandangku lama.

" Hah, perasaanlah tu!" Kak Min terus beredar sambil 'catwalk" yang dibuat-buat menuju ke mejanya. Aku tersenyum sendiri.

***********************************

AKU MILIKMU JUA (Prolog)


Hatiku meruntun sayu melihat wajah jernih anak kecil yang lena dibuai mimpi di hadapanku ini. Aku sememangnya tidak menduga dalam usiaku selewat ini akan melahirkan zuriatku ini hasil perkahwinan yang tidak pernah aku duga atau harapkan ini. Beberapa hari lagi usia menjangkau 42 tahun. Terlalu lewat badi seorang wanita menimang cahaya mata sulungnya.

Begitu lama aku menantikan kehadirannya. Syed Daniel Radzi. Anak kecilku ini baru berusia 4 bulan. Begitu pulas lenanya seumpama memberikan sinar-sinar cinta bersama-sama kelahirannya.

Tangan kecilnya kuramas lembut. Aku begitu terharu memilikinya. Terlalu banyak dugaan yang telah aku lalui. Telah sekian lama aku tidak mengharapkan atau menduga akan kehadiran seorang anak yang aku lahirkan sendiri. Harapan itu ada dahulu, tetapi telah lama kulupakan bersma pedih dan keraguan di dalam hatiku ini.

Aku menuju ke bilik air , mengambil wuduk. Menunaikan sholat tahajjud dan sholat hajat. Usai sholat, hatiku ini tergerak untuk melihat anak kecil itu semula.

Tiba-tiba air mata seakan bergenang di kelopak mata ini. Melihat sekujur tubuh yang mengiring menghadap anak kecilku ini. Wajahnya begitu bersahaja dan tenang, mengundang seribu persoalan di hatiku ini. Tentu dia sangat penat melayan karenah anak kecilku itu sehingga tertidur sedemikian rupa. Ada kekesalan di hatiku ini. Kekesalan atas kedegilan aku sendiri. Kedegilan hasil kekecewaan-kekecewaan yang lalu. Betapa dia berkorban menjagaku tanpa sebarang tuntutan dan balasan. Merelakan hidupnya dihuni oleh seroang yang seperti aku. Aku tidak mengenal syukur atas nikmat Tuhan satu ketika dulu.

Usianya yang mua, bukan penghalang dia menjadi pemimpin yang baik dalam hidupku ini. pemimpin yang berseida menghadapi hidup ini bersamaku, seorang perempuan yang hipokrit.

Aku sememanglah seorang yang hipokrit sehingga dia menerima aku dalam hidupnya. Sehingga tarikh diijabkabul pun aku masih berpura-pura. Belakon atas pentas ciptaanku sendiri. Tiada ruang untuknya di hatiku ini. Tidak sedikitpun. Namun dia tetap juga berkeras hidup bersama aku.

" Ya Allah.. Bantulah aku untuk terus memperbaiki diri dan mengubati luka-luka semalam. Semoga aku dapat memberikan sepenuh kasih sayang ini buatnya.Bukan kepalsuan tetapi kebenaran cinta yang lahir dari hati ini keranaMU, Ya Allah. Berilah aku ruang untuk membalas segala cinta kasihnya kepadaku. Semoga hidupnya tiada lagi duka oleh kedegilanku ini."

Aku memanjatkan doa semoga lelaki ini akan mejadi pembimbingku, pelindungku, kecintaanku sehingga akhir hayatku. Semoga lelaki muda ini akan berbahagia dalam hidupnya selama-lamanya. Dan semoga zuriat ini akan membuka lembaran baru dalam hidup ini.

" Anakku, kehadiranmu membawa berjuta harapan dan impian, jalan untuk mencapai kebahagiaan dalam hidupku, ibumu ini. Anakku sayang, membesarlah dikau seperti lelaki itu. Lelaki yang berada di sampingmu itu. Lelaki yang mempunyai kesucian hati dan ketulusan budi.. dan kesopanan yang tinggi. Lelaki yang budiman sepertinya adalah contoh terdekat dan terbaik untukmu.."

" Anakku.. tiada lain yang kuharapakan selain dikau membesar di bawah lindungan bayangan lelaki di sisimu itu. Lelaki yang akan membimbingmu mengenal dunia, dan mengenal dirimu.. Lelaki yang membuka mata ibumu akan ketulusan hati dan keikhlasan cinta. Lelaki yang membimbing ibumu mengenal tanggungjawab sebagai seorang anak, seorang perempuan, seorang isteri dan seorang hamba yang menurut perintah Tuhan pencipta yang maha Agung."

" Jadilah dikau anakku seperti lelaki itu yang hatinya penuh dengan cinta. Semoga dikau turut menjadi sepertinya tabah dan berani menghadapi realiti hidup ini."

" Anakku, semoga dikau menjadi pemimpin berwibawa sepertinya dalam keluargamu, masyarakatmu dan menjadi contoh dan teladan yang baik untuk bakal adik-adikmu.. Anakku sayang! Biarpun dahulu kehadiranmu tidak ibu jangka atau harapkan..namun kini, ibu berharap akan ada lagi wajah-wajah murni selepasmu lahir daripada rahim ibumu ini. Kelahiranmu anakku menguja hati ibumu ini. Untuk mengharapkan lagi zuriat seperti mu dan menambah umat Muhammad S.A.W d muka bumi ini... Apabila dikau dewasa kelak, jadilah dikau insan semurni dan seteguh lelaki itu..Amin!"