Ahad, 24 Mei 2009

AKU MILIKMU JUA ( BAB 2 )

BAB 2: MAKNA SUATU PEMBERIAN

Jam menunjukkan pukul 12.00 tengahari. Aku menyudahkan ayat terakhir surat perjanjian usahasama Syarikat MH Holding dan Syarikat Sinar Berjaya yakni anak syarikat SFRZ Holding.

Aku leka menyemak semua syarat-syaratnya. Bimbang ada kesalahan ejaan dan kesalahan-kesalahan ayat yang mungkin akan mengubah isi perjanjian tersebut. Aku menelengkan kepala ke kiri dan kanan. Tiba-tiba aku mengangkat pandanganku dan pandanganku tertumpu ke suatu sudut pejabat Encik Saiful. Dia sedang memandang tepat kepadaku. Aku cepat-cepat memalingkan kepalaku memandang ke sudut lain.

Hatiku tersentak dengan pandangan tajam itu. Encik Saiful, seorang pengurus yang dedikasi. Aku agak kagum dengan sikapnya yang bersahaja tetapi tegas. Kami menghormati sebagai seorang ketua berwibawa.

'Kenapa dia tengok aku semacam sahaja', Hatiku berkata sendiri. Berkerut dahiku memandang skrin komputer. Aku mula muncam.

" Hoi, cik adik! Dah siap ke?", Kak Amin tiba-tiba menegur. Aku agak terkejut. Terangkat bahuku sedikit.

" Asyik termenung sahaja, ingat siapa hah!", sambil mengangkat tangannya. Aku segera menarik bahuku. Kak Min gelak besar. Kuat. Beberapa memandang kami. Semua bersiap-siap untuk keluar makan tengahari. Baru aku sedar yang kebanyakan mereka sudah tiada. Iqram, Harith dan Kamal juga tiada.

" Hai, cari buahati ke?" Tegur Kak Min melihat aku tercari-cari seseorang.Lynn dan Suzie sudah sampai ke muka pintu melambai-lambaiku. Aku senyum.

"Dia keluar dulu. Nak sedia transport, katanya." Kak Min menggomel sendiri.

"Siapa?" Aku bertanya Kak Min dengan nada merajuk yang dibuat-buat.

"Alahai, macamlah Kak Min tak tahu.. Rima cari Aiman, kan?"

Aku menjelingnya.

"Bukanlah! Rima tengok cepat sangat pula pejabat ni lengang. Selalunya masih ada dua tiga orang yang masih buat kerja." Aku cuba mencari alasan lain.

"Cik adik, jangan tak tahu. Sekarang ni 20 minit pukul 1.00. Waktu rehat 12.15. Awak tu yang leka sangat buat kerja!" Kak Min membebel.

Aku melihat jam di meja. Sudah hampir 12.45 tengahari. Aku bergegas berkemas. Menutup komputer. Beg tangan kucapai segera. Sesuatu terjatuh. Lalu aku tercari-cari apa yang jatuh.

Kak Min berdiri sahaja melihat aku. Tiba-tiba dia tunduk mengambil sesuatu. Aku tidak sedar tindakan itu. Air muka Kak Min berubah.

"Rima, cari ni?" Kak Min menghulur sesuatu kepada aku.

Aku berdiri dan menoleh kepadanya. Segera kurampas rantai kunci dari tangannya. Dia kehairanan. AKu harap Kak Min tidak melihat wajah yang terpesong di rantai kunci itu.

"Jom..!" Ajak Kak Min.

Aku tersenyum hambar.Aku sempat menoleh telefon di sisi kanan mejaku sepintas lalu. Telefon itu tidak berdering sejak pagi lagi. Tiada satu panggilan pun untukku hari ini.

Kak Min menarik tanganku seperti hendak cepat. Aku masih melihat-lihat beg tanganku sambil berjalan. Sampai di ruang lobi, Aiman telah sedia menunggu di dalam kereta Citreon hijaunya. Bersamanya, Amri kulihat tersenyum mesra. Kami terus masuk ke kereta.

Aku sebenarnya tertanya-tanya kenapa perlu berkereta ke kedai Pak Latif sedangkan kedai itu dekat sahaja di belakang bangunan bersebelahan. Tidak sampai 10 minit berjalan kaki, pun. Kereta Citreon hijau terus meluncur laju.

Kereta membelok ke kanan, masuk ke tempat letak Restoran Anjung Abadi. Restoran tepi pantai yang begitu terkenal dengan masakan kampung terutama masakah Lemak cili padi, masakan terkenal Negeri sembilan itu.


Aku keluar dari kereta terpinga-pinga.

"Ala Aiman, kenapa ke sini? Mana cukup duit saya nak belanja banyak orang di sini." Ammar tersenyum.. Aku pandang sekitar tempat letak kereta itu. Tiba-tiba terpandang sebuah kereta Mercedes 240C di satu sudut.. Aku kenal kereta itu.

"Kak, itu kereta Encik Saiful, kan?"

Kak Min mengangguk dan menarik tanganku menuju ke restoran. Aku menurut.

Sampai ke muka pintu restoran. Aku terpegun, terhenti langkahku. Hampir keseluruhan wajah di situ kukenali. Di ruang berhawa dingin restoran ini, aku melihat rakan-rakan sahaja yang telah duduk di tempat masing-masing. Beberapa rakan daripada departmen lain juga turut serta.

"Suprise!", Aiman mempersilakan aku ke satu meja yang dihias indah. Encik Saiful tersenyum mesra. Berdiri dan mempersilakan aku duduk. Aku terpinga-pinga. Encik Baharian dan Encik Azizi juga ada. Mereka turut tersenyum.

"Selamat Hari Lahir Ainur Rima."sambil menarik kerusi untukku. Aku tersipu-sipu dan duduk. Malunya, aku! Kak Min duduk bersebelahan denganku. Aiman dan Amri semeja denganku. Begitu juga Encik Saiful. Suzie dan Lynn pula semeja dengan Kamal dan Harun.

Aku diminta memotong 'kek' pulut kuning di hadapanku. Sebenarnya lucu juga pulut kuning ini dibentuk sedemikian rupa. Orang potong kek harijadi, tapi aku potong pulut kuning. Tak tahulah idea siapa. Aku memotong selepas diminta. Gemuruh rakan-rakan bertepuk tangan.

Aku benar-benar berasa malu. Aku tunduk .Istimewa pula majlis ini. Hatiku bergelodak. Adakah semua kakitangan meneria sama seperti yang aku terima ini? Kamal bangun diminta untuk membaca doa selamat dan seterusnya doa makan.

Kamal memang agak alim dalam kalangan kami walaupun satu kumpulan dengan jejaka-jejaka nakal itu, Kamal masih mengekalkan identiti. Berbaju melayu moden dan berkopiah. Aku pada mula berasa hairan juga bagaimana dia boleh kekal begitu apatah lagi setelah berkenalan dan berkawan dengan kumpulan jejaka sensasi itu. Aku mengangkat tangan sambil mataku memandang Kamal. Aku memberikan senyuman manis buatnya. Kamal membaca doa sambil matanya sesekali mengerling kepada aku. Begitu mesra. Aku seumapama faham dan mengerdipkan mata membalas. Selepas doa dibaca lelaki bertubuh kurus tinggi tersebut sempat melontar senyuman manis kepadaku. Aku senyum kepadanya membalas.

Majlis tamat kira-kira jam 2.30 petang. Entah apa mimpi Encik Saiful membenarkan majlis itu diadakan. Aku baru 3 bulan bekerja syarikat itu. Kami balik ke pejabat. Jam 2.45petang sampai sahaja ke pejabat, aku terus ke meja. Melihat-lihat.

"Kenapa Rima?" Kak Min menegur gelagatku..

" Tak ada apa-apalah, Rima cari telekung. Dah lewat ni, banyak kerja lagi", balasku sambil mengambil beg telekung di sisi kerusiku.

"Akak rasa Rima bukan cari telekung ni. Lain macam saja akak tengok Rima ni. Kalut je!"

"Tak ada apalah!" Aku terus berlalu ke surau. Terlupa aku mengajak Kak Min bersama-sama. Selalu aku tidak seperti itu. Aku pasti ke surau ersama Kak Min. Kak Min terpinga-pinga melihatku berlalu.

Aku berasa benar-benar kecewa. Tiada apa-apa di atas mejaku tadi. Apa yang kuharapkan hancur. Sudahlah tidak bertelefon. Kad ucapan atau suratnya tidak bertandang di mejaku. Hari istimewa ini, aku benar berharap sesuatu darinya. Biar pun hanya sebaris ayat. Itu memang benar-benar bermakna buatku. Kegembiraan yang baru lepas kulalui tidak dapat menghalang air mataku berlinang.

Selepas solat zuhur itu, aku tidak lupa berdoa agar dia tidak akan melupaiku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan